“Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka terhadapmu. Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan”. (Yasin : 76)

Terdahulu daripada ayat ini, Allah SWT telah menyatakan sebahagian bukti kekuasaan-Nya. Antaranya menjadikan langit dan bumi, matahari dan bulan, kapal yang belayar di lautan bahkan binatang ternak yang hidup di sekitar lingkungan manusia. Haiwan ternak ini pula dimanfaatkan oleh manusia dengan berbagai cara baik semasa hidupnya dijadikan tunggangan atau sesudah matinya dengan memanfaatkan daging, kulit, susu dan bahagian-bahagian yang lainnya.

Sepatutnya bukti-bukti ini menjadikan manusia melihat dan berfikir, lalu mengambil iktibar agar kembali kepada Allah SWT yang Maha Esa dan Maha Kuasa. Namun mereka tetap enggan dan kufur kepada Allah SWT dengan mengambil patung sebagai sembahan sedangkan patung-patung itu tidak memberi kesan dan manfaat sedikitpun dalam hidup manusia.

Allah SWT juga mengingatkan agar manusia menyedari asal usulnya daripada air mani yang hina.  Allah SWT menjadikan manusia daripada air mani dan air mani itu pula keluar dari lubang air najis iaitu saluran kencing lelaki. Mengapa tiba-tiba sahaja sesudah dewasanya, manusia menjadi pembantah dan penentang kepada Allah SWT?

Seterusnya, Allah menyatakan kepada Nabi SAW agar jangan berasa dukacita dengan kata-kata dan tindak-tanduk umat baginda yang angkuh itu. Kenyataan ini merupakan satu hiburan kepada Nabi SAW yang merasa sedih dan berduka dengan fitnah yang dilemparkan oleh musuh kepada baginda.

Dalam kalangan mereka yang menentang Islam ini, sememangnya banyak perkara yang menyakitkan hati para pejuang Islam. Apatah lagi apa yang dialami sendiri oleh Nabi SAW pada saat itu yang merupakan penentangan yang datang daripada kaum kerabat baginda sendiri, yang selama ini mengasihi dan menyanjung tinggi budi pekerti Nabi. Namun jika orang beriman sabar maka ganjaran besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Kata-kata cemuhan dan ejekan daripada musuh Islam (walaupun mengaku muslim) yang dilontarkan kepada golongan Islam adalah sebahagian daripada tugasan mereka. Antaranya, memfitnah golongan Islam sebagaimana tuduhan keatas Nabi SAW kononnya Nabi adalah pendusta, ahli sihir, gila, pemecah belah masyarakat dan sebagainya.

Lalu Allah SWT selaku pembela Nabi SAW meminta Nabi agar jangan berdukacita terhadap kata-kata mereka kerana Allah SWT sendiri Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dan apa yang nyata daripada ucapan mereka.

(Sebahagian nota kuliah maghrib, kelas al-Quran, Tajwid & Tafsir  Surah Yasin di Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral Kepayan setiap rabu malam khamis).