Tag Archive: Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah
Sekitar 150 peserta menyertai ‘Seminar Aqidah : Ancaman Fahaman Moden Terhadap Umat Islam’ anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah yang diadakan di masjid berkenaan sejak awal pagi sehingga jam 2 petang. Seminar berkenaan dibimbing sepenuhnya oleh Yang Mulia Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu.
Antara fahaman moden yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang disentuh oleh penceramah ialah sekularisme, modenisme, rasionalisme, pluralisme, liberalisme dan lain-lain. Selain itu, penceramah turut menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh peserta yang hadir. Untuk rekod, ini kali pertama Syukbah Dakwah menganjurkan seminar aqidah yang menyentuh ideologi moden seumpama ini.
Berbicara tentang sekularisme, fahaman ini bukan sekadar memisahkan politik dan agama saja. Fahaman ini menyusup dengan cukup halus ke dalam ruang kehidupan umat Islam sehingga umat Islam kini sudah tersasar jauh daripada agama Islam. Sebagai contoh sekularisme berjaya menyuntik pemikiran umat Islam bahawa agama hanya terbatas kepada masalah-masalah yang bersifat individual seperti sembahyang, puasa, zakat, nikah kahwin, talak, nafkah, iddah, waris, kematian dan membaca doa semata-mata. Orang-orang sekularisme menyebarkan fahaman ini melalui pelbagai cara seperti melalui undang-undang, pendidikan dan media massa.
Fahaman sekularisme sangat berbahaya. Apabila ia telah mendarah-daging di dalam diri individu, ia akan bertindak menyisihkan agama daripada urusan kenegaraan. la menolak agama daripada turut campur mengurus dan mengendalikan negara. Tempat agama di masjid dan surau. Fahaman ini sangat berbahaya sekali. Adalah Islam sebagai ‘Din’ tidak pernah mengajarkan demikian. Islam adalah agama yang mengatur dan mengurus semua aspek dan lapangan kehidupan berbangsa dan bernegara.
Terima kasih di atas kesudian Ustaz Haji Bungsu Aziz yang meluangkan masa berkongsi ilmu sekitar 4 jam bersama para peserta pelbagai peringkat umur yang hadir. Insya Allah Syukbah Dakwah akan terus menganjurkan siri-siri kursus yang bersesuaian dengan isu semasa dan memenuhi keperluan masyarakat Islam sekitar Kota Kinabalu.
Seminar Akidah : “Ancaman Fahaman Moden Terhadap Umat Islam”
Fasilitator : Al-Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pensyarah Kanan UiTM, Kota Kinabalu, Sabah.
Tempat : Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.
Tarikh/Masa : 06 Mei 2012/Jam 8.30 pagi – 12.00 tengahari.
Yuran Penyertaan : RM10 sahaja.
Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.
Kredit : Sebahagian foto disedut dari facebook Amran Aliamat.
Jujurnya kami terpaksa bekerja keras untuk menyampaikan surat undangan dan iklan khususnya ke masjid-masjid dari Lok Kawi hingga ke Sepanggar. Bermula pada pagi rabu, sempena cuti hari pertabalan Agong yang baru sehingga pada pagi sabtu kami bergerak dan dalam serba kekurangan dapat menyelesaikan dan menampal kira-kira 80 iklan berbanding 100 keping yang sudah disediakan.
Natijahnya, alhamdulillah kehadiran program Tahsin Solat Siri 2 melonjak hampir tiga kali ganda berbanding siri sebelumnya. Kalau siri 1 kehadiran hanya sekitar 50 orang, maka kali ini kehadiran ialah seramai 130 orang. Maka kami berpendapat bahawa mengutus surat dan iklan di masjid-masjid dan surau-surau lebih memberi kesan positif daripada segi kehadiran berbanding jika iklan hanya melalui facebook dan blog.
Namun lucunya pula apabila kehadiran melonjak sedikit kelam-kabut kerana kertas kerja terpaksa ditambah dan difotokopi semula dan urusan makan minum juga terpaksa ditambah. Apa pun kehadiran yang baik sangat membahagiakan kami kerana dapat menyebarluaskan ilmu pengetahuan apatah lagi ia berkaitan dengan ibadah tiang ugama Islam ini.
Alhamdulillah seperti minggu lalu, perjalanan kursus dengan tajuk asas solat dan wirid berjalan baik dengan sebahagian peserta yang ditemui sangat teruja dan gembira dengan pendekatan dan penyampaian yang menarik oleh pembimbing Ustaz Bahtiar Hud dari Pejabat Mufti Negeri Sabah. Sesi soal jawab juga diadakan selepas solat zuhur dan berakhir pada jam 2 petang. Majlis dipengerusikan oleh Tuan Haji Pozi Awang, setiausaha Syukbah.
Kursus Tahsin Solat anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah bermula dan insya Allah akan berlangsung sepanjang ahad pada bulan April ini. Alhamdulillah, siri 1 berjalan lancar dengan bimbingan Ustaz Bahtiar Hud, pegawai dari Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kota Kinabalu.
Mungkin atas kelemahan kami sendiri terutama hal promosi, siri 1 ini hanya dihadiri 55 orang sahaja. Maklumlah, mesyuarat diadakan pada akhir mac dan bersetuju mengadakan siri-siri tahsin solat sepanjang April. Apatah lagi kami tidak mempunyai staf tetap untuk bekerja mengendalikan urusan-urusan promosi, agak mencabar juga untuk menyebarluaskan maklumat ini kepada mereka yang berminat.
Berdasarkan pengalaman lalu, walaupun program sebegini diwar-warkan secara bersungguh-sungguh melalui blog dan facebook, tanpa iklan dan undangan ke masjid-masjid atau surau-surau, kehadiran berada di bawah garis yang disasarkan. Untuk siri 1 ini, berpuluh rakan-rakan facebook membantu mengongsikan maklumat dan poster iklan berkenaan di dinding atau status masing-masing tetapi demikianlah kehadirannya. Walaubagaimanapun, sedikit atau ramai program tetap diteruskan sebagaimana yang ditetapkan.
Ustaz Muchlish Ali Kasim selaku pengerusi Syukbah ini ada mencadangkan tempoh hari agar wajah-wajah baru diperkenalkan khususnya anak-anak tempatan bagi mengendalikan kursus seumpama ini. Alhamdulillah, malam mesyuarat yang sama Ustaz Bahtiar Hud, senior kami di Mesir dahulu sudi meluangkan masa untuk tampil membimbing siri-siri kursus tahsin solat kali ini.
Saya tidak mahu mengulas panjang tentang pengisian kuliah beliau, tetapi memadailah saya katakan ramai yang mulai selesa dan teruja dengan gaya penyampaian beliau. Beliau memimpin dengan baik berkenaan tajuk ‘bersuci’ ini. Ramai yang memandang remeh hal bersuci atau toharah ini dalam ibadah mereka. Saya setuju dengan pandangan sdr Amran Aliamat, kalau kita gagal bab toharah, ibadah utama kita seperti solat akan bermasalah.
Antara yang menarik dalam penyampaian beliau ialah ada beberapa hukum hakam yang beliau buatkan perbandingan dengan mazhab-mazhab yang lain dengan tujuan ilmu, agar masyarakat setempat tidak terkejut apabila bertemu dengan hukum atau amalan tertentu di negara lain kerana mungkin mereka mengambil pendapat mazhab lain yang masih diterima dalam ahlussunnah wal jamaah.
Insya Allah kami mengusahakan yang terbaik untuk promosi kursus tahsin solat bagi siri-siri berikutnya. Semoga Allah memudahkan urusan yang baik ini, dan memberi petunjuk untuk orang ramai menghadirinya pada siri akan datang.






























































