Tag Archive: Sipitang


Tahun ini sekali lagi kami – Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Sabah – diundang ke daerah Sipitang untuk mengisi slot-slot ceramah sempena keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan program diadakan di tujuh buah masjid dengan tujuh orang penceramah. Ustaz Rafihi Wasihim, Ustaz Mohammad Suaid, Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, Ustaz Mat Razali Mat Lazim, Dr Aliakbar Gulasan, Ustaz Norzam Senin dan saya sendiri bertolak sekitar jam 3 petang sabtu dengan sebuah kenderaan.

Kami singgah solat asar di Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut dan meneruskan perjalanan sebelum tiba kira-kira 10 minit sebelum maghrib di Pekan Sipitang. Di perjalanan kami ada berbincang beberapa point penting isi ceramah untuk dikongsi bersama, antaranya mengaitkan perjuangan Nabi SAW yang paling utama ialah dalam soal aqidah. Gejala aqidah di dalam masyarakat seperti sihir, tangkal, mandi buang sial dan seumpamanya dikaitkan dalam ceramah, sementara isi-isi yang lain tergantunglah atas kreativiti masing-masing.

Setiba kami di pekan, Tuan Imam Haji Raffee Haji Mohd Salleh selaku imam daerah sudah menunggu kami bersama dengan imam-imam masjid yang akan membawa para penceramah ke masjid masing-masing. Ustaz Rafihi ke Masjid Pekan Sipitang, Ustaz Mohammad ke Kg Pelakat, Dr Aliakbar ke Kg Banting, Ustaz Mat Razali ke Kg Pantai, Ustaz Norazamuddin di Kg Luagan, Ustaz Norzam di Ulu Sipitang dan saya sendiri ke sempadan – Masjid Sahabat Sindumin-Merapok.

Masjid Sahabat Sindumin-Merapok ialah sebuah masjid yang dibina pada zaman pemerintahan BERJAYA, khabarnya atas cadangan Tun Dr Mahathir ketika itu bagi mengeratkan hubungan sempadan Sabah-Sarawak. Menariknya masjid ini, apabila kita berdiri atau duduk di tengah masjid, sebelahnya adalah tanah Sabah, sebelah lagi tanah Sarawak. Jamaahnya terdiri daripada 2 negeri, begitu juga Jawatankuasa dan imam-imamnya. Kehadiran malam itu dianggarkan sekitar 100 orang dan mereka duduk membuat bulatan mendengar ceramah. Oh ya, pada tahun 2010 dahulu, ceramah maulidnya di sini disampaikan oleh Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin juga atas kunjungan kami dari Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

Untuk ke masjid ini (atau ke sempadan) jaraknya kira-kira 15-20 minit dari Pekan Sipitang. Untuk masuk ke kawasan perkarangan masjid pula, laluannya mesti masuk ke imigresen sempadan Sabah-Sarawak terlebih dahulu. Dari sini pula hanya mengambil sekitar setengah jam untuk ke Bandar Lawas, Sarawak. Saya pernah catatkan dalam satu entri dulu, rupa bentuk masjid ini sama dengan masjid Telekom Malaysia (TM) di Sepanggar dan Masjid Jamek Kg Layang-Layangan Labuan.

Ceramah saya dan sahabat-sahabat lain di masjid masing-masing sekitar sejam bermula jam 7 malam – seperti yang disepakati dengan penganjur. Saya mulakan dengan menceritakan beberapa keutamaan dan kelebihan Rasulullah berbanding dengan nabi-nabi yang lain, Rasulullah SAW datang sebagai pembawa rahmat, dan beberapa contoh pergaulan baginda dengan isteri, keluarga, sahabat bahkan dengan orang bukan Islam sekalipun.

Selepas solat isyak, masjid-masjid mengadakan majlis barzanji dan marhaban, dan kami berkumpul kembali di Restoran Azmie Pekan Sipitang selepas itu untuk menikmati jamuan makan malam, bertukar-tukar fikiran dengan imam-imam yang hadir untuk mengadakan program-program yang lain pada masa akan datang. Kami pulang masing-masing membawa pengalaman yang berharga. Tidak lupa, bekalan sekarung durian yang diberi oleh pihak Imam Daerah yang baunya semerbak memenuhi kenderaan dalam perjalanan yang memakan masa 2 jam.

Imam Kudi Abdullah, imam rawatib masjid ini. Beliau yang menjemput dan menghantar saya ke Pekan Sipitang semula. Terima kasih banyak atas kesudian dan maklumat yang diberi sepanjang perjalanan.

Saya berdiri menghadap arah makmum, membelakangi kiblat. Di kawasan sebelah kanan adalah Sarawak dan sebelah kiri tanah Sabah. Kaki saya berpijak di tengah-tengah!

BERTEMU KELUARGA ANGKAT

“Dia ni lahir songsang ni..” demikian kata-kata ibu Hajah Amit kepada kami menunjuk kepada saya sejurus kami tiba di rumah beliau. Kami semua tertawa ketika masih belum duduk di kerusi sofanya. Ia mengimbas kenangan dan kisah lebih 31 tahun lalu.

***

Sekembali kami dari berziarah di Kg Gelapas Trusan Lawas, tiba di rumah Pakcik Haji Zainal Timbang di Kampung Buang Sayang sekitar jam 5.30 petang. Saya berunding dengan isteri berkira-kira hendak pulang ke Kota Kinabalu seusai solat jamak maghrib dan isyak di rumah berkenaan. Hampir maghrib, bapa bertanya, “Mau ziarah mama angkatmu?”

Saya terkejut dan mengingat semula nostalgia lama. Saya tidak tahu kisahnya, tapi teruja. Mesti menarik, bisik saya. Saya lahir pada 1979 di Kampung Buang Sayang Sipitang. Lebih tepatnya di rumah guru, SMK Pengiran Omar Sipitang ketika itu bapa bertugas sebagai pengetua di sana. Saya diberitahu, dalam adik beradik kami, hanya saya yang lahir di Sipitang sementara yang lain semuanya di Labuan.

Selesai maghrib, kami sebanyak tiga buah kereta bergerak ke sana. Hati saya berdebar juga sebenarnya. Saya baru tahu bahawa saya punya keluarga angkat. Bapa kata, selesai dilahirkan, saya diangkatkan kepada keluarga jururawat ini. Hajah Amit dikenali di daerah ini sebagai seorang jururawat dan sekaligus bidan selama perkhidmatannya lebih 36 tahun.

Bayi itu (saya) asalnya didapati songsang dalam perut emak, lalu atas pengalaman dan kepakarannya boleh mengurut dan memutar kedudukan bayi agar lahir secara normal. Perlu diingat zaman itu belum ada cerita scan dan doktor pakar seperti sekarang. Justeru kepakaran dan kebolehan Hajah Amit begitu diperlukan, khususnya di Sipitang ini. Barangkali terhutang budi dan jasanya, saya langsung dianak angkatkan kepada mereka.

Selain kisah saya dilahirkan songsang itu, pertemuan jejak kasih yang bersejarah ini juga menemukan bapa dengan suami Hajah Amit iaitu Cikgu Pengiran Haji Abdul Rahman, yang sudah bersara dari perkhidmatan perguruan beberapa tahun lalu. Nampaknya kami semua gembira dengan pertemuan ini. Mereka mengimbas kembali saat-saat berkhidmat dahulu tambahan lagi bapa bertugas di sini sekitar 3-4 tahun pada akhir 70an.

Ngian bersemangat menceritakan nostalgia mereka apatah lagi kisah beliau diserang angin ahmar beberapa ketika lalu. Lebih emosi mereka berdua saling bercerita detik anak sulung mereka, Pengiran Adnan yang kembali kerahmatullah ketika berumur 37 tahun empat tahun lalu setelah lemas di laut tidak jauh dari pantai SMKPO dalam cuaca yang tidak begitu mengizinkan. Allahyarham adalah rakan abang saya ketika mereka belajar bersama-sama.

NOSTALGIA 1979

Kata Along, gambar-gambar ini dirakam di Sipitang Sabah sekitar pertengahan atau hujung tahun 1979. Kalau zaman millenium ini nama mereka ialah Aness, Danial dan Abdul Hadi.

Seorang suka tunjuk lambang peace, seorang belum pandai berjalan dan si kakak pula pegang buah epal. Lebih 30 tahun kemudian, masing-masing dikurniakan anak yang antaranya sudah bersekolah.

Pantasnya masa berlalu, mudah-mudahan anak-anak kepada anak bertiga ini lebih baik masa depannya dunia dan akhirat. Amin.

Barangkali dalam keluarga besar kami, pernikahannya antara yang dinanti-nanti.

Alhamdulillah, ketika umur mencecah 36 tahun, jodohnya tiba dan bertemu dengan Nurul Fitriyah 22 tahun dari Kg Tunggul Tinggi Sipitang.

Azlimun adalah adik berlainan ibu dengan bapa kami dalam keluarga besar. Dalam seluruh adik beradik mereka, kini hanya tinggal seorang lagi yang masih belum berumahtangga.

Sementara di sebelah keluarga besar emak, beberapa sepupu yang berumur masih bergelar bujangan sudah berumur 40an dan 50an keatas.

Pernikahan Azlimun berlangsung secara ringkas di bilik VIP Masjid Negeri Sabah dan dinikahkan oleh Ust Hj Imbran Anggun, Pengawai Agama Istana Negeri pada jam 2.15 petang tadi dan berakhir 20 minit kemudian.

Kedua-dua pihak keluarga hadir termasuk dari Sipitang dan Kota Kinabalu. Turut hadir, Ust Mohammad Sidik Ag Adi, Timbalan Pengarah (HEI) JHEAINS.

Kenduri walimatul ‘urus dijangka berlangsung pada 14 Mac ini di Sipitang.

Isteri saya mengingatkan, Nurul Fitriyah yang berumur 22 tahun akan dipanggil nenek oleh anak-anak saya. Azlimun meski 36 tahun bertaraf pakcik kepada saya kerana dia adalah bersaudara dengan bapa.

Jadi mereka adalah pangkat nenek dan datuk kepada anak-anak saya juga…

PUM KE SIPITANG LAGI

Ini kisahnya.

Sebulan lalu, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah Ust Hj Muchlish Ali Kasim ada menghubungi saya.

Beliau memberitahu hasrat rakan-rakan dari Sipitang agar PUM Sabah datang lagi ke sana bagi mengisi program ceramah Maulid Nabi SAW secara serentak di lapan buah masjid dan surau.

Tahun lalu, kami datang ke sana untuk ceramah Isra’ Mi’raj seramai 7 orang di 7 buah masjid dan surau serentak pada satu malam dan itu dianggap berjaya.

Permintaan itu kami persetujui. Tarikh yang ditetapkan ialah 20 Februari 2010. Tugas saya berhubung dengan Imam Daerah Sipitang, Imam Rafaie dan menghubungi rakan-rakan yang bersedia untuk turut serta berceramah ke Sipitang.

Pada awalnya ia tidaklah sukar mencari lapan orang dan meminta persetujuan mereka. Dua minggu lalu, Ust Hj Muchlish menarik diri kerana ada mesyuarat PUM Pusat pada tarikh yang sama. Itu tidak mengapa kerana masa masih banyak untuk mencari pengganti.

Alhamdullillah pengganti diperolehi. Awal minggu saya berhubung dengan penganjur di Sipitang untuk memuktamadkan jumlah masjid dan surau. Ia berkurang kepada tujuh buah, sama ketika program Isra’ Mi’raj dahulu.

Saya memikir seseorang untuk ditolak tetapi saya pendamkan sehingga saat akhir.

Malam jumaat, Ust Ithnin yang bertugas di SMK Bandaraya menyatakan hasrat menarik diri kerana bertembung dengan kuliahnya di UPM. Sementara pada Jumaat Ust Azam mohon sedia pengganti kerana kurang sihat dan masih berada di KL.

Jadi kami kekurangan seorang.

Pagi sabtu pula, Ust Zainuddin menarik diri kerana hal yang tidak dapat dielak. Saya mohon bantuan beberapa orang untuk sama-sama mencari pengganti. Menjelang jam 11 pagi, semua pengganti dapat dicari dan bersetuju untuk menyertai misi ke Sipitang.

Tetapi sepanjang 3 jam mencari dan bertelefon, saya memperolehi bermacam alasan. Tidak kurang 15 orang yang dihubungi. Belum lagi dihitung bantuan rakan-rakan lain yang menghubungi sahabat masing-masing.

Mereka yang mempunyai komitmen awal dengan program masing-masing, itu tidak mengapa. Tetapi ramainya tidak sanggup untuk berceramah dan kerana tidak sanggup berjalan jauh. Padahal ke sana dengan berkenderaan dan balik malam yang sama.

Sedih sangat diri saya ketika itu. Betapa kemampuan berceramah untuk acara yang begitu asas kepada orang kampung seperti maulid nabi tidak disanggupi. Walaubagaimanapun, itu menjadi cabaran dan pengajaran yang sangat berguna buat kami bersama.

Kami akan bergerak sekitar jam 2.30 petang. Jam 2 petang, seorang pengganti pula menarik diri kerana suaranya mula selsema. Ust Azam yang tiba tengah malam dari ibu negara menyelamatkan keadaan walaupun kesihatan zaujahnya tidak begitu mengizinkan.

Alhamdulillah, di Sipitang kami tidak menghadapi masalah. Kami solat maghrib di Masjid Daerah sebelum beredar ke restoran yang menaja makan malam kami. Setelah jamuan, kami bergerak ke masjid yang ditetapkan.

Ust Bungsu Aziz di Masjid Daerah, Ust Abu Asyraf  di Masjid Sindumin (sempadan Sabah-Sarawak), Ust Arbaen Syawal di Masjid Ulu Sipitang, Ust Sayuti di Kg Pelakat, Ust Azam di Masjid Banting, Sheikh Hannafi di Masjid Mesapol Lama dan saya di Masjid Kg Pantai.

Saya sendiri selesai ceramah jam 9 malam, berhadapan 6 soalan yang berkait dengan keadaan mereka. Antaranya berkait masalah mandi safar, solawat, menyambut kelahiran, dan kaedah menyambut maulidur rasul. Mau setengah jam menjawab persoalan mereka.

Selesai ceramah, kami berkumpul kembali di restoran dan masing-masing bercerita dengan pengalaman manis itu. Ust Arbaen tiba paling akhir dengan senyuman jam 10.20 malam. Di restoran, kami dikehendaki menulis nama masing-masing dan lokasi masjid atas permintaan Cawangan Khas.

Jam 10.40 malam kami bertolak pulang dengan dua kenderaan.  Alhamdulillah, saya selamat tiba di rumah jam 12.30 malam.

Terima kasih JHEAINS Sipitang, semua imam daerah dan qaryah, JK masjid yang terlibat, penduduk kampung, penaja makan dan lain-lain. Kami memperolehi pengalaman, kenalan baru, layanan istimewa dan pelbagai kenangan.

Saya berkunjung ke Sipitang mengisi program bermakna pada hari saya dilahirkan 31 tahun lalu di daerah saya dilahirkan. Manis rasanya!

CATATAN JUMAAT

1) Perjalanan ke Sipitang merentasi 5 kawasan parlimen – Putatan – Papar – Kimanis – Beaufort – Sipitang berjalan lancar. Hanya bagi yang perasan, jalanraya selepas jambatan Sungai Padas menuju Sipitang banyak alunan (tidak rata).

2) Singgah solat jumaat di Masjid Pekan Membakut, sejuk hati melihat ‘sahabat tinggi’ Ust Hj Herwan Harun mengimami solat berkenaan, sesuatu yang jarang saya nikmati ketika zaman pengajian. Namun, suara dan tajwidnya begitu bagus sekali.

3) Hampir setahun tidak balik ke Labuan, hati terasa gembira melihat ramai sanak saudara dari sana hadir ketika pernikahan Nurul & Mahadzir. Timbul juga rasa sedikit bersalah kerana tidak dapat bersama lebih lama, maklum hendak meraikan majlis yang lain juga.

4) Tayar persona kami ‘terkubur’ di laman rumah Kg Limbawang. Mujur ramai ahli keluarga yang sudi membantu. Kasihan salah seorang mereka dikotori tanah lumpur yang menghambur ke seluarnya. Terima kasih atas bantuan.

5) Solat maghrib & isyak di sebuah surau / masjid yang agak baru di Parlimen Kimanis. Dua tandasnya bermasalah. Sebuah bilik gelap lampunya rosak dan sebuah lagi mangkuk tandasnya tersumbat. Hilang ‘selera’ hendak ‘membuang’.

6) Berhenti di Stesen Petronas Papar untuk beli air minuman. Semua pelanggan termasuk saya dilayan dengan ucapan selamat datang daripada pekerja mereka. Apabila saya hendak balik, ada sapaan salah seorang mereka : “Selamat datang encik!”

NURUL & MAHADZIR

Siang tadi saya balik kampung. Kampung kelahiran.

Bertolak sebelum tengahari, berhenti untuk solat Jumaat di Masjid Pekan Membakut sebelum meneruskan perjalanan bersama isteri dan anak nombor 1,2 dan 3. Kami tiba di Kg Buang Sayang Sipitang pada jam 2.15 petang.

Ini kampung kelahiran saya lebih 30 tahun lalu.

Dalam adik beradik saya 6 orang, ada 5 lelaki seorang perempuan. Daripada 6 orang, hanya adik bungsu lahir di hospital. Daripada 6 orang, hanya saya lahir di Sipitang sedang yang lain di Labuan.

Rumah yang saya kunjungi adalah rumah keluarga besar kami. Nurul Faezah Adni adalah ahli keluarga besar kami yang merata di seluruh negara, bahkan ada di luar negara juga.

Saya pernah ke rumah ini sejak kecil lagi. Kemudian semasa sekolah menengah di KK, saya pernah berziarah dan bercuti beberapa kali di sini. Rumah Cikgu Hj Zainal Timbang dan Hjh Mariam Mahali, adik bapa saya.

Hari ini hari bersejarah mereka. Rumah ini menerima seorang ahli baru. Suami bagi si isteri, menantu bagi mertua, ipar bagi ipar yang lain.

Mahadzir Zakaria berasal dari Kulim Kedah. Seorang anggota polis yang kini bertugas di Petaling Jaya Selangor. Umur mereka sebaya, 25 tahun.

Yang hadir menurut pemerhatian saya termasuk keluarga dari Brunei Darussalam, WP Labuan, Kota Kinabalu selain keluarga pengantin lelaki dari Kedah.

Ada sesuatu yang saya pesankan kepada Nurul sebelum kami berangkat pulang. Mudah-mudahan ia menerima dengan hati terbuka. Selamat pengantin baru.

KENDURI KAHWIN MINGGU INI..

Ust. Mohd Mazlan Molok & Hasneh Wahab

Kenduri : 5 Dis 09 (Sabtu) 10 pagi – 1 t/hari di Kg Kuala Papar

 

Ustazah Norizawati Mahmud & Susanto Hj Seesaw

Akad Nikah : 4 Dis 09 (Jumaat), 2 petang di Kg Buang Sayang Papar

Kenduri : 5 Dis 09 (Sabtu) 9-1 t/hari di Dewan Kg Buang Sayang Papar

 

Ustazah Noor Fazeelah Salimin & Azrin Arshid

Akad Nikah : 4 Dis 09 (Jumaat) 10 pagi di Kg Meninipir Keningau

Kenduri : 5 Dis 09 (Sabtu) 2-5 petang di Kg Meninipir Keningau

 

Ustazah Suraya Fitri Aching & Aras Sulaiman

Akad Nikah : 4 Dis 09 (Jumaat) 4 petang di Kg Limbawang Beaufort

Kenduri : 5 Dis 09 (Sabtu) 9 pagi – 2 petang di Kg Limbawang Beaufort

 

Nurul Faezah Adni Hj Zainal & Mahadzir Zakaria

Akad Nikah : 4 Dis 09 (Jumaat) 2 petang di Kg Buang Sayang Sipitang

Kenduri : 6 Dis 09 (Ahad) 10 pagi - 3 petang di Kg Buang Sayang Sipitang

NUHA JUMPA NUHA

IMG_7718

Gambar ini direkodkan di rumah sahabat kami, Sdr Zulfikar Khomeni dan Ustazah Pg Siti Umi Kalsum Pg Abdullah di Taman Lok Kawi Height setelah selesai majlis kenduri masuk rumah dan berbuka puasa semalam.

Zul bertugas di Kementerian Kewangan, Bahagian Audit sementara Umi mengajar di SK Mesapol Sipitang. Umi adalah rakan sekelas di SMAI TPHR.

Zul dan Umi ada dua puteri. Yang sulungnya bernama Dg Nuha Sofiyyah dan yang kedua Dg Alya Nazeeha.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Hj Sapawi Thussin, Pengerusi Surau Taman Austral yang merupakan keluarga tuan rumah, serta sahabat sekelas kami Ust Rahim Yahya Abd Rahman dan isteri Ustazah Inun Mamit.

Terima kasih atas undangan.

IMG_7717

 

Pemandangan indah dari Pekan Sipitang

Pemandangan indah dari Pekan Sipitang

 

Kami bertolak sekitar jam 3.40 petang dan singgah solat asar qasar di Masjid Kg Beringis, Papar.

Perjalanan diteruskan, walhamdulillah kami tiba di Pekan Sipitang pada jam 6.00 petang. Sebagaimana dijadualkan kami berhenti untuk makan di Restoran Sri Sipitang, milik keluarga Imam Daerah Tuan Imam Rafaee.

Ketibaan kami disambut mesra oleh wakil-wakil masjid yang terlibat dalam program ceramah. Sementara layanan dan menu makanan lautnya sungguh menyelerakan, bersesuaian dengan kehidupan ramai penduduk di sini yang berkerjaya sebagai nelayan.

Selesai solat maghrib di Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang, barulah kami dibawa ke lokasi masing-masing dan kembali ke Restoran Sri Sipitang jam 10 malam.

Bertemu di Restoran Sri Sipitang semula, masing-masing membawa cerita dari masjid yang baru diziarahi.

Tuan Guru Ust Hj Muchlish Ali Kasim, sememangnya kehadiran beliau dinanti oleh masyarakat Islam di Sipitang, khususnya Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang.

Berceramah di sini menjadi satu kelebihan buat beliau kerana pada awal 80an, beliau pernah berkhidmat di bawah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Beliau memahami selok belok kehidupan masyarakat Islam sekaligus memudahkan beliau menyampaikan ceramah dengan berkesan sekali.

Ust Bungsu Aziz Jaafar pula sejak dari Kota Kinabalu telah ditempah awal oleh Masjid Kg Banting. Kehadiran beliau menarik perhatian 3 buah kampung yang berdekatan, khususnya pendekatan beliau berceramah dengan bahasa Brunei, bersesuaian dengan suku kaum Brunei dan Kedayan yang menjadi majoriti masyarakat di sini.

Ust Hj Ithnin Hashim seronok bercerita tentang pengalaman beliau berceramah di lokasi paling hujung dan jauh.  Masjid Sahabat ini letaknya di sempadan 2 negeri Sabah dan Sarawak. Jamaahnya terdiri dari masyarakat 2 negeri dan sambutan yang diberikan juga sangat memberangsangkan.

Ust Hj Ahmad Hafizullah pula dihantar ke Masjid SFI (Sabah Forest Industry). Kehadiran paling ramai dicetak di sini dengan audien melepasi 200 orang. Sudah tentu ia bersesuaian dengan jiwa kepemudaan dan semangat berceramah yang dimiliki oleh beliau.

Ust Zainuddin Lateh bersama masyarakat di Masjid Kg Pantai juga tidak kurang hebatnya. Beliau memuji sambutan dan layanan masyarakat di sini. Keletihan beliau memenuhi program di Kota Kinabalu sebelum tiba di Sipitang seakan hilang dengan layanan mesra mereka.

Ust Hj Nor Azamuddin Umar bersama masyarakat di Surau Kg Naluyan. Beliau memulakan ceramah setelah selesai majlis membaca yasin dan berlanjutan sehingga 2 jam.

Saya sendiri dihantar di Masjid Kg Pelakat, kampung rakan sekelas saya Ustazah Inun Mamit yang menjadi suami rakan karib saya, Ust Rahim Yahya Abd Rahman. Sebelum ceramah, saya diberi taklimat ringkas tentang sejarah dan pembangunan masjid ini.

Imam Qaryah di sini Md Ridzuan Kaplin merupakan seorang anak muda berumur 21 tahun dan masih bujang. Bukan setakat itu, Imam Ridzuan juga diberi kepercayaan sebagai Pengerusi JK Masjid. Ridzuan adalah pelajar kelahiran SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah (2000-2005).

Dalam banyak ceramah malam tadi, sayalah orang terakhir yang menamatkan ceramah pada jam 9.50 malam. Walaupun begitu, kehadiran melebihi 100 orang terdiri daripada orang dewasa lelaki dan perempuan serta anak-anak tidak berganjak sehingga majlis selesai.

Semangat gotong royong mereka juga terserlah, apabila masing-masing setiap rumah membawa juadah masing-masing untuk santapan bersama.

Bagi pihak Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah, saya mengucapkan penghargaan kepada Ust Md Sidik Ag Adi (Tim Pengarah JHEAINS), Ust Md Hafidz Ahmad (PPTA JHEAINS), Imam Hj Rafaee (Imam Daerah), semua imam qaryah, pengerusi dan AJK masjid yang terlibat.

Semoga Allah SWT memberi rahmat kepada kita semua. Insya Allah, program ini akan dilanjut dan diperbaiki daripada masa ke masa serta diperluaskan ke daerah-daerah lain.

 

Menjamu selera di Restoran Sri Sipitang. Terima kasih Imam Rafaee

Menjamu selera di Restoran Sri Sipitang. Terima kasih Imam Rafaee

 

Bergambar kenangan sebelum beredar ke masjid

Bergambar kenangan sebelum beredar ke masjid

Anak-anak damit turut hadir mencengar ceramah

Anak-anak damit turut hadir mencengar ceramah

Bakal pejuang dan pembela Islam masa hadapan

Bakal pejuang dan pembela Islam masa hadapan

Sebahagian beliau-beliau yang hadir..

Sebahagian beliau-beliau yang hadir..

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 75 other followers

%d bloggers like this: