Tag Archive: Sembelih arnab


DAGING ARNAB GORENG

Arnab Goreng (1)

Pulang lewat tengah malam semalam, saya melihat sang arnab yang tinggal sendirian sejak 4 bulan sudah mula kelihatan sedikit lemah. Pada peringkat awal semasa saya membelinya ada dua ekor – sepasang arnab. Sedangkan pada sebelah siang sebelumnya masih kelihatan cergas.

Berdasarkan sedikit pengalaman sebelum ini, saya khuatir hayatnya  tidak panjang. Dengan bantuan isteri, malam itu juga saya selesaikan urusannya. Sembelih, lapah dan potong kecil dan pada paginya dimasak lalu menjadi menu sarapan pagi kami.

Lucunya, anak-anak tidak langsung mengetahui daging yang nyaman mereka makan itu rupanya daging arnab. Pagi itu mereka melihat sangkar arnab yang sudah tidak berpenghuni kemudian tertanya-tanya kemana menghilang arnab. Sesudah foto sembelihan arnab masuk ke dalam facebook barulah mereka sadar dan ketawa bahawa daging enak itu adalah arnab kesayangan kami.

Arnab Goreng (2) Arnab Goreng (3) Arnab Goreng (4)

 

SEMBELIH ARNAB LAGI

Ia aktiviti yang jarang kami lakukan, apatah lagi bilangan arnab kami hanya stabil sekitar antara 15-18 ekor saja. Saya menyedari keadaan tempat tinggal mereka yang tidak mencukupi, hanya ada lima kandang dengan setengahnya bercampur dua jantan dalam satu kandang sejak kecil. Seminggu lepas saya baru perasan ada luka-luka di badan beberapa ekor yang terpampan dengan bulu-bulu badan arnab.

Tanpa sempat saya pisahkan, ada dua ekor yang mati, faham saya barangkali mereka bergaduh. Saya teringat dalam buku menceritakan tentang kehidupan arnab, yang melarang mencampurkan dua ekor arnab jantan atau lebih dalam satu kandang. Katanya, daya cemburu arnab jantan terhadap jantan lain amat tinggi  sehingga pergaduhannya mensasarkan kemaluan musuhnya untuk dirosakkan.

Yang terakhir saya selamatkan seekor arnab jantan yang masih sihat elok tapi beberapa kesan luka di tubuhnya jelas kelihatan. Begitu juga di sebelah telinganya yang koyak, bukan dengan sebab kutu yang menyerang.  Saya asingkan supaya arnab berkenaan hanya hidup sepasang di dalam kandang lain sementara menanti dia sembuh. Terakhir, petang semalam tanpa banyak berfikir saya panggil Ummu Nuha supaya mengambil pisau dan saya terus menyembelihnya.

Pengalaman makan daging arnab sudah berkali-kali sebenarnya termasuk ketika belajar di Mesir dahulu. Hanya menyembelih arnab, ini arnab yang ketiga.  Tidak sukar menyembelih dan melapah arnab bahkan membuang kulitnya lebih mudah berbanding ayam. Cuma seperti ramai orang, kasihan melihat arnab kerana dia adalah haiwan yang comel dan jinak terhadap kami.

Saya juga yang melapah kulitnya, membuang bahagian dalam badan yang tidak diperlukan dan membersihkannya. Hanya isteri saya menyambung kemudian dan daging berkenaan dibahagi dua. Kami ambil sedikit dan sebahagian besarkan saya sedekahkan kepada sahabat saya yang memerlukan untuk rawatan lumpuh. Menurut pengajian kami di Darussyifa’, daging arnab jantan adalah petua untuk penyakit lumpuh. Cuma adalah cara-cara menggunakannya.

Sebahagian besar foto yang ada, dirakamkan oleh anakanda Nuha Wafiyyah.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 76 other followers

%d bloggers like this: