Tag Archive: Ramadhan


Semalam isnin, saya terlambat hadir ke Masjid Negeri Sabah kerana urusan yang tidak dapat dielakkan. Saya tiba sedang sebahagian jamaah mulai turun ke bawah, sebahagian jamaah lagi solat sunat ba’diyah zuhur dan kemudian mendengar tazkirah zuhur. Hari ini pula saya sempat zuhur bersama-sama jamaah yang lain walaupun sedikit terlambat.

Alhamdulillah, masuk minggu keempat jamaah zuhur masih ramai sehingga ke saf yang 11-12 merangkumi 700-800 jamaah tanpa mengambil kira mereka yang masbuq selepas itu (yang tentunya lebih ramai) termasuk yang di bawah. Beruntungnya umat Islam kerana Masjid Negeri Sabah terletak di lokasi yang strategik, di kelilingi oleh kampung, taman perumahan dan kompleks pentadbiran kerajaan dan swasta seperti Wisma MUIS, JKR, Rumah Persekutuan, USIA, Wisma Kewangan, Muzium Sabah, Hospital Queen Elizabeth, Menara Petronas, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mahkamah Syariah, SMUI Toh Puan Hajah Rahmah, Hotel Yaho, Wisma Kebajikan, Hotel TaHa D Bayu (Tabung Haji) dan banyak lagi.

Jadi kedudukannya di tengah-tengah itu sepatutnya lebih memudahkan umat Islam hadir di masjid khususnya pada waktu zuhur. Semoga Masjid Negeri Sabah terus makmur dengan kehadiran jamaah pada waktu-waktu solat dan program-program lain.

Belum ada tanda-tanda surut atau pengurangan bilangan jamaah zuhur di Masjid Negeri Sabah buat minggu ketiga. Saya kira ini satu perkembangan yang sangat baik terutamanya dalam mengaplikasikan solat berjamaah. Pengamatan saya yang turut berjamaah ialah para penjawat awam di sekitar Wisma MUIS, Rumah Persekutuan, Bangunan JKR, USIA, Bomba dan para pelajar sekolah yang kesemuanya mengelilingi lokasi Masjid Negeri Sabah ini.

Minggu ini tazkirah zuhur juga akan terus berlangsung antaranya topik al-Makkatul Mukarramah oleh Ustaz Haji Mohd Israq Ramli (UMS), Iktibar Perang Badar Kubra oleh Ustaz Mohd Annuar Ali (Sri al-Hafidz), Hak muslim ke atas muslim oleh Ustaz Arbaen Shawal (Jabatan Pelajaran), Mencari Lailatul Qadar oleh Ustaz Haji Awwaluddin Nasution (JHEAINS) dan lain-lain.

Pagi ini, kami berziarah ke kelas saudara kita Teratak Fitrah di Madrasah Islamiah Sembulan sebuah kelas pengajian untuk saudara kita yang telah beroperasi sejak 7-8 tahun lalu. Barangkali sudah beratus peserta sudah menamatkan pengajian di sini bermula dengan asas bersuci, solat dan belajar membaca al-Quran sehingga berkaitan ilmu-ilmu aqidah, syariat dan akhlak dengan bimbingan tenaga pengajar yang bertugas secara sukarela.

Saya gembira dapat berziarah walaupun saya bukanlah asing dengan rakan-rakan di sini terutama AJK persatuan mereka yang dinamakan Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT), justeru saya ada mengingatkan rakan-rakan terutama dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan rakan-rakan NGO Islam yang lain agar menyampaikan sedikit sumbangan beras kepada para muallaf terutama yang didapati hidup susah dan melarat.

Saya diminta menyampaikan sedikit tazkirah sekitar 15 minit dan kemudian kami menyerahkan sumbangan kepada 20 peserta terpilih, dengan janji saya untuk menambah lagi sumbangan berkenaan, sedayanya dalam tempoh ramadhan ini juga. Sebak melihat makcik-makcik yang sangat gembira menerima sumbangan ini, walaupun cuma sekitar 5kg seorang. Sebenarnya kami hanya memanjangkan sumbangan umat Islam sekitar Kota Kinabalu untuk mereka yang memerlukan mengikut kuantiti yang kami perolehi sebagai penyelaras sahaja.

Untuk rekod, pada hari ini saja kami sudah mengagihkan ratusan kampit beras di beberapa lokasi, antaranya Masjid Kg Sembulan, guru-guru PASTI Kota Kinabalu, mangsa kebakaran di Pulau Banggi, serta lokasi terpilih di Kota Belud, Sepanggar, Ranau dan Kota Marudu melalui wakil-wakil dan sahabat yang berkunjung ke sana. Insya Allah, lokasi lain akan menyusul berdasarkan sumbangan yang kami terima.

BACALAH AL-QURAN

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada orang yang membacanya”.

“Orang yang mahir dengan al-Quran bersama para malaikat yang mulia. Orang yang tidak mahir, membaca dengan bersusah payah akan mendapat dua pahala”

“Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran dia mendapat satu kebaikan. Satu kebaikan diganda 10 kali. Aku tidak katakan alif lam mim satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”.

SABAR SAJALAH

Kes 1.

Saya dapat maklum seorang yang mengaku saudara baru mengamuk dan buat kecoh di bahagian dakwah tempoh hari.  Ia gara-gara kononnya (menurut ceritanya) ada maklumat penting yang salah sehingga beliau gagal menerima wang zakat sebanyak RM500 yang diberi oleh Pusat Zakat Sabah. Khabarnya, pada peringkat awal daftar keislamannya ialah pada 1979, ketika usianya beberapa bulan mengikut keluarganya yang memeluk Islam.

Baru-baru ini dia datang semula dan ingin membetulkan maklumat bahawa beliau memeluk Islam pada tahun 2009. Pegawai berkenaan meminta tempoh untuk menyemak dan membuka fail lama serta meminta saudara berkenaan datang semula beberapa hari kemudian. Tidak semena-mena dia mengamuk dan mahu diselesaikan pada waktu itu juga sambil mengugut hendak murtad dan sebagainya. (Pusat Zakat Sabah menyatakan tempoh untuk saudara baru menerima zakat selepas keislamannya ialah dalam tempoh lima tahun sahaja).

Saya tidak tahu kisah selanjutnya kerana ketika itu (waktu zuhur) saya sedang iktikaf di Masjid Negeri. Lelaki berkenaan rupanya ke Masjid Negeri dan mencari-cari orang yang boleh membantunya. Saya mendengar keluhannya dan menyatakan dia perlu balik segera ke Ranau dan tidak punya tambang walau sesen. Sambil bercerita masalahnya, dia berkali-kali menyebut hendak balik ke Ranau segera, kalau tidak bimbangkan kehabisan bas. Kononnya. Saya tidak mahu memanjangkan kalam menyuruhnya bersabar, sekadar memberinya RM20.00.

Jam 2 saya kembali ke Wisma MUIS. Hendak ditakdirkan Allah, saya melihat kelibat lelaki tadi merayau-rayau dan bercerita dengan beberapa orang. Dia tidak menyedari saya melihatnya dari jauh. Saya kemudian lalu di hadapannya, dan menyoalnya : Kamu menipu ya? Tadi kata mau balik Ranau? Dengan selambanya dia menjawab, “Masih awal lagi baa..” Katanya lagi : Encik janganlah buat kecoh, malu saya..” Saya katakan : Siapa buat kecoh tadi di pejabat? Kamu kan?” Saya tinggalkan dia terpinga-pinga sendirian.

Kes 2.

Ceritanya juga di Masjid Negeri Sabah. Hari ini selesai mendengar tazkirah zuhur, saya didekati oleh seseorang. Tanyanya : Di mana balai polis terdekat?” Saya kata balai polis Tanjung Aru, kerana setahu saya jika ada kes melibatkan kawasan Masjid Negeri akan dirujuk ke sana. Kata lelaki berkenaan lagi : “Ic saya hilang, mau buat laporan ke balai polis. Saya perlu tambang ke sana, saya tiada duit”.

Saya jadi simpati. Dia mengeluarkan selembar kertas salinan kad pengenalan yang berlipat-lipat, tapi dia tidak menghulurkannya kepada saya. “Minta”, pinta saya kepadanya, ingin melihat salinan kad pengenalannya. “Tidak, tidak payahlah”, jawabnya. “Mari saya bawa kamu jumpa sekuriti, diorang boleh tolong”, kata saya. “Tidak, tidak…”

“Sudahlah kalau tidak mahu..” Hasrat hendak menolong terbantut kerana sikapnya. Hendak menghulur 2-3 ringgit buat tambang tidaklah berat, bahkan saya boleh tolong hantar jika perlu. Akhirnya lelaki berkenaan pergi begitu saja. Adakah mereka, dalam dua kes berkenaan mengambil kesempatan dengan kemurahan hati umat Islam pada bulan Ramadhan untuk menipu?

Saya pulangkan kepada tuan puan pembaca untuk menilainya.

Khatib : Ustaz Zulfauzi Awang Besar

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Dalam bukunya Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mengatakan bahawa puasa itu ada tahap-tahapnya. Beliau membahagikan kepada tiga tahap atau tingkat, iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa yang khusus daripada khusus (lebih khusus lagi). Yang paling rendah ialah puasa umum atau puasa orang kebanyakan. Puasa tahap ini hanya sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.

Puasa tahap kedua adalah puasa orang khas. Pada tahap ini, akhlak dipastikan terpelihara daripada segala perkara yang keji dan tercela, di samping melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasa. Puasa peringkat ini dikatakan puasa orang soleh.  Puasa tingkatan tertinggi ialah puasa paling khas atau khusus daripada khusus. Dalam konteks puasa tahap ini, bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Dalam erti kata lain, seluruh anggota badan turut berpuasa manakala hati sentiasa berzikir kepada Allah SWT. Puasa tahap ini adalah puasa nabi, siddiqin, dan muqarrabin.

Walaupun agak sukar bagi kita mencapai puasa tahap tertinggi, iaitu Puasa khusus daripada khusus, namun kita hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan kualiti ibadah puasa kita dari tahun ke tahun. Berupaya mencapai tingkat kedua puasa, iaitu puasa orang soleh pun sudah cukup baik. Dan, puasa tingkat inilah yang seharusnya kita berusaha mencapainya.  Dalam hubungan ini, Imam al-Ghazali menggariskan enam perkara untuk mencapai kesempurnaan puasa tahap kedua itu.

Pertama, menahan pandangan daripada segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta daripada setiap yang membimbangkan dan melalaikan daripada mengingati Allah SWT. Kedua, memelihara lidah daripada perkataan yang sia-sia seperti berdusta, mengumpat, memaki dan lain-lain lagi. Ini kerana mengumpat dan berbohong merosakkan puasa. Ketiga, memelihara pendengaran daripada mendengar kata-kata yang tidak baik. Ini kerana tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya.

Keempat, memelihara anggota tubuh lain daripada perbuatan dosa seperti mengawal tangan dan kaki daripada berbuat maksiat dan mungkar, mengawal perut daripada memakan yang haram atau diragukan kehalalannya. Kelima, tidak melampau-lampau atau berlebih-lebihan dalam berbuka atau bersahur sehingga perutnya penuh dengan makanan. Keenam, hati sentiasa diliputi perasaan bimbang (khauf) dan pengharapan. Ini kerana tidak diketahui sama ada puasa kita diterima atau tidak oleh Allah. Rasa bimbang puasa tidak diterima boleh mendorong seseorang itu memperbaiki lagi kualiti puasa yang dilakukan.

RAMADHAN KALI INI

 

1) Jaga amalan makan sahur kerana sahur itu ada keberkatannya;

2) Meningkatkan kualiti ibadah puasa dengan menjaga segala anggota;

3) Berusaha menjaga solat fardhu secara berjamaah;

4) Berusaha mendirikan dan mengekalkan solat sunat rawatib;

5) Berbuka @ sungkai dengan ala kadar (belajar berjimat);

6) Mendirikan solat tarawih 20 rakaat secara berjamaah di masjid atau surau;

7) Menggandakan tilawah / tadarrus al-Quran sekurang-kurangnya sekali khatam;

8) Berusaha mendirikan qiyamullail khususnya pada waktu sahur.

SEMOGA ALLAH MEMBERIKAN KITA KEKUATAN…

PROMO PESTA IBADAH

Terima kasih dan tahniah kepada Anwar Hadi yang membikin video klip ini.

CUMA SEKAMPIT BERAS

Orang kata, perkara yang baik patut diikut. Saya mengikuti perkembangan dan pergerakan beberapa kumpulan dan NGO berkenaan bentuk-bentuk pengisian khususnya dalam bulan Ramadhan. Kempen sekampit beras ini antara program menarik yang ingin kami gerak dan kembangkan di sini bersama sahabat-sahabat yang lain.

Ramadhan ini, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dibantu oleh ramai individu prihatin melancarkan program kempen sekampit beras (5kg) yang kemudiannya akan diagihkan kepada golongan memerlukan. Untuk kempen kali ini, jika diizinkan Allah dan mencapai sasaran jumlah kampit yang diharapkan, kami berhasrat untuk mengedarkan beras-beras berkenaan di sekitar Putatan, Sepanggar, Beaufort, Sipitang, Kota Belud dan Pitas. Insya Allah pada tahun akan datang, jika ada rezeki kita boleh luaskan ke daerah-daerah yang lain pula.

Bagi yang berminat, sumbangan boleh disampaikan terus ke Masjid Negeri Sabah dan Surau Riyadhus Solihin Taman Austral sebagai lokasi pengumpulan beras berkenaan. Untuk memudahkan kerja pengagihan, kami mengutamakan dan menggalakkan peserta yang berminat agar terus membeli sekurang-kurangnya sekampit beras. Walaubagaimanapun kami menerima jika ada pihak yang memberi dalam bentuk wang. Penama-penama berikut boleh dihubungi untuk proses penghantaran beras, pertanyaan dan maklumat lanjut :

Tuan Haji Mohd Pozi Awang : 019-8025254 (Lembaga Koko Malaysia @ Setiausaha JK Surau Riyadhus Solihin Taman Austral @ Setiausaha Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah);  Ustaz Mohamad Suaid : 019-8121621 (Timbalan Pengerusi JK Surau Riyadhus Solihin @ Ahli PUM Sabah);  Mohd Shakir Mohd Nawi : 019-9251289 (Wakil di Petronas KK); Dr Aliakbar Gulasan : 013-8715971; (UMS @ Setiausaha Kerja PUM Sabah); Md Arash Abdul Ghani : 019-5397287 (Sukarelawan Syukbah Dakwah).

Selain penama di atas, segala pertanyaan juga boleh disalurkan melalui blog Abu Nuha Corner dan FB Abu Nuha. Kami juga mengalu-alukan sebarang usaha untuk memanjangkan hebahan  ini kepada kenalan, keluarga, jiran tetangga, jamaah masjid/surau atau rakan sepejabat masing-masing. Sumbangan boleh diserahkan pada bila-bila masa sebelum 20 Ogos 2011. Sumbangan beras yang diterima akan disampaikan kepada sasaran sedikit demi sedikit khususnya pada hujung minggu.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru

Perkara berkaitan persediaan menghadapi Ramadhan.

Pertama, persediaan dari sudut iman dan taqwa. Orang beriman hakikatnya merindui kedatangan Ramadhan mengatasi rindu seseorang kepada kekasihnya. Sejak lama dia sudah berdoa agar diberikan kesempatan bertemu dengannya. Apabila bertemu Ramadhan, hatinya sangat gembira bukannya merungut dan menyesal.

Kedua, umat Islam mesti mempunyai persiapan ilmu. Iaitu ilmu yang berkait dengan puasa seperti syarat sah dan batal, rukun, sunat dan makruh, adab dan akhlak berpuasa. Begitu juga dengan ilmu-ilmu berkenaan hukum hakam yang berkaitan dengan solat berjamaah, iktikaf, tadarrus dan tilawah al-Quran, qiyamullail, lailatul qadar, sedekah, tarawih, dan sebagainya. Kena ingat, Ramadhan bukan sekadar puasa. Melaksanakan ibadah-ibadah di dalam bulan Ramadhan dan di luar Ramadhan mestilah dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan sekadar semangat dan ikut-ikutan.

Ketiga, umat Islam mesti mempunyai persediaan dari sudut fizikal. Kesihatan yang baik membolehkan kita beribadah dengan selesa. Menjaga kesihatan termasuklah soal pemilihan dan penjagaan makanan, tidur yang cukup dan lain-lain. Orang yang bertenaga boleh bertahan membaca al-Quran, solat tarawih lengkap 20 rakaat, boleh qiamullail pada waktu sahurnya.

Keempat, persediaan dari sudut harta. Simpanlah sedikit pendapatan untuk bersedekah di dalam bulan Ramadhan. Sedekah seringgit di luar Ramadhan nilainya tidak sama di sisi Allah dengan sedekah seringgit di dalam Ramadhan. Bersedekahlah dengan memberi makan orang berbuka puasa, atau mewaqafkan sesuatu yang lebih berkekalan. Bahkan seorang isteri dan ibu yang berhalangan untuk puasa kerana haid atau nifas, tetapi menyediakan jamuan sungkai kepada suami dan anak-anaknya, maka dia juga dikira mendapat pahala seperti orang yang berpuasa juga.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers