Tag Archive: Putatan


KEDAI 24 JAM DI PUTATAN

Suatu malam saya pulang lewat.

Hampir Putatan saya teringat pesanan isteri untuk membeli sedikit keperluan anak-anak yang agak mendesak. Saya keletihan dan tidak berhajat untuk patah balik ke arah Kepayan, Tanjung Aru, Sembulan atau ke Kota Kinabalu. Putatan menjadi daerah penuh dan semakin berkembang pesat pembangunannya, jadi saya terpaksa meronda mencari kedai-kedai runcit 24 jam sekitar pekan.

Nampaknya tiada.

Saya lihat poliklinik 24 jam, restoran india 24 jam, premis atm bank 24 jam, tapi belum ada kedai runcit seperti ‘Seven Eleven’, ‘Orange’ dan sebagainya di kawasan pekan. Belum ada. Barangkali kosnya tinggi, risikonya juga besar. Dalam keletihan itu, saya gagahi juga memandu ke arah Kg Ketiau, manalah tau ada bertemu kedai-kedai runcit yang masih buka tengah malam.

Rezeki saya bertemu dengan sebuah rumah berdekatan Kg Serigai di tepi jalan, selepas SK Tansau dan sebelum SMK Tansau. Rumah 2 tingkat, dan di bawahnya ada kedai runcit. 24 jam, akui mereka. Apa yang saya cari, saya temui di situ. Saya lupa nama kedai tersebut, tapi saya tolong promosi di sini, untuk orang Putatan. Saya ucapkan tahniah kepada mereka, walaupun sepatutnya di tengah pekan Putatan yang semakin berkembang itu sudah ada kedai runcit 24 jam.

TINGGAL KENANGAN

 

“Lebih 30 gerai semuanya di sini”. Kata seorang makcik, salah seorang penjual di gerai yang saya tanya beberapa hari lalu. “Kami berjualan di sini lebih sepuluh tahun, ada yang lain barangkali lebih 15 atau 20 tahun”, katanya. Ada yang mendakwa berjualan lebih dari 20 tahun.

Gerai-gerai tepi jalan di Jalan JKR Putatan, berdekatan sederet kedai ‘Putatan Lama’ (menurut sebutan orang awam)  sudah dirobohkan beberapa hari lalu bagi memberi laluan kepada pelebaran jalan. Saya sudah mendengar ura-ura perobohan ini sebulan dua lalu dan mereka khabarnya hendak dipindahkan ke kawasan lain. Sejauh mana cerita lanjutnya, saya kurang maklum.

Putatan mengalami perkembangan pesat yang memberansangkan beberapa tahun kebelakangan sehingga menyebabkan kesesakan teruk khususnya pada waktu puncak pagi dan petang. Terdapat beberapa hypermarket seperti Giant dan Servay selain beberapa premis utama di Putatan seperti Supermarket Standard, Kamdar dan lain-lain. Beberapa buah bank juga menempatkan cawangan atau sekurang-kurangnya mesin ATM mereka. Antaranya Bank Islam, CIMB, Maybank dan BSN. Projek yang sedang membangun sekarang ialah projek perumahan di belakang hypermarket Giant yang menempatkan lebih seribu unit.

Sementara itu difahamkan, gerai-gerai berkenaan yang menjual makanan, minuman, buah-buahan dan sayuran itu didirikan di atas kawasan JKR. Buat sementara mereka masih diberikan kebenaran sementara berjualan di tapak berhampiran sehingga satu masa yang akan dimaklumkan kelak.

ANTARA DUA RUMAH

Ada rumah yang meninggi ke atas. Ada rumah yang menurun ke bawah. Rumah meninggi ke atas menjadi sebahagian tempat mengumpul amal untuk dibawa ke rumah menurun ke bawah, alam sempadan sebelum dihadapkan di mahkamah Allah SWT.

Ada tiga yang akan mengiringi jenazah ke kubur. Ahli keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua akan kembali ke rumah sementara yang satu tinggal bersamanya. Yang balik adalah ahli keluarga dan hartanya, sementara amalannya tinggal bersama. Ramai orang menyibukkan diri terhadap sesuatu yang bakal ditinggalkan. Tidak ramai orang yang menyibukkan diri terhadap sesuatu yang akan dibawanya ke dalam kubur.


Jumaat lalu saya diundang ke surau ini untuk menyampaikan khutbah.

Surau al-Bari’ Taman Ketiau baru sahaja mendapat kebenaran menunaikan solat Jumaat sejak April lalu. Demikian saya dimaklumkan oleh Ustaz Ali Abdullah, orang kuat surau berkenaan.

Surau ini kecil sahaja, tetapi pihak pengurusan menambah sedikit ruang dan atap di bahagian sayap kanan dan kiri surau. Saya memahami permohonan jumaat mereka memandangkan masjid terdekat iaitu Masjid Kg. Ketiau juga penuh sesak pada setiap jumaat sehingga melimpah keluar.

Doa saya semoga surau ini terus diimarahkan dengan aktiviti bermanfaat untuk umat Islam yang menjadi penduduk majoriti di taman ini.


Sudah ramai rakan-rakan memberi maklum akan Pasar Nelayan Pasir Putih ini. Letaknya berdekatan jalan masuk ke Taman Teluk Vila. Saya pula oleh kerana jarang lalu di kawasan ini, tidak pernah pula singgah di sini kecuali semalam, buat pertama kalinya.

Sebelum ini pernah juga hendak singgah tetapi apabila masa tidak kena dan kelihatan lengang, saya tidak jadi hendak berhenti.

Saya dapati ikan-ikan segar yang para nelayan tangkap sama ada dengan pukat atau pancing. Katanya, mereka memukat atau memancing sekitar kawasan berhampiran sehinggalah ke kawasan arah tengah laut Papar, Pulau Mengalun atau ke Pulau Tiga.

Kebiasaannya, bot yang membawa ikan akan tiba di lokasi pada jam 8.30 pagi dan jam 5 petang untuk memunggah hasil tangkapan dan seterusnya dijual kepada para pelanggan.

Ketika saya berkunjung petang semalam, kebetulan ikan-ikan segar baru tiba beberapa minit sebelumnya. Ada ikan tenggiri (RM16 sekilo), bakulan (RM6 sekilo), rumahan (RM7 sekilo) dan lain-lain.


Salah satu keberkatan di dalam sebuah rumah sebagaimana diajar oleh agama ini ialah dengan selalu tilawah ayat suci al-Quran al-Karim di dalamnya.

Tidak hanya untuk anak-anak kami, di rumah ini sejak 2005 diadakan kelas-kelas al-Quran untuk anak-anak jiran. Ia kendalian isteri saya pada setiap hari selepas solat maghrib sehingga jam 8 malam.

Bahkan saya dimaklumkan bahawa kelas itu sudahpun dimulakan lebih awal pada akhir 90an dengan bimbingan abang-abang isteri saya ketika itu secara bergilir-gilir.

Jumlah terkini, seramai 22 orang anak-anak kampung ini bahkan daripada kampung berdekatan datang menghantar anak-anak mereka yang berumur antara 5-12 tahun untuk mengaji sama ada iqra atau al-Quran bersama isteri saya.

Saya tidak dapat membantu kerana mengisi program kuliah maghrib di surau dan masjid mengikut jadual yang sudah disusun.

NENEK LAUT

Begitu panggilan anak-anak saya kepadanya.

Nenek Laut kerana rumahnya dibina di atas air menghadap Laut China Selatan. Anak-anak juga biasa bertandang ke rumahnya sesekali. Bahkan Nenek Laut juga acap kali ke rumah kami.

Hubungan akrab itu bukan baru bahkan sudah terbina berpuluh tahun lalu dengan keluarga mertua saya. Akrabnya, ketika saya mendirikan rumahtangga, Nenek Laut ikut serta ke WP Labuan untuk majlis kenduri kahwin di sana.

Kenduri kendara di rumah kami di KK, beliaulah salah satu tenaga dan teraju utamanya dalam hal masak memasak. Nenek Laut salah seorang daripada ahli kumpulan kaum ibu yang begitu aktif di kampung ini.

Kini, wajah itu hanya tinggal kenangan.

Petang semalam, tepatnya ketika azan asar berkumandang, Nenek Laut kembali kerahmatullah dalam usia 55 tahun. Secara asasnya, penyakit yang dihidapi adalah ulser tetapi kemudian berkembang.

Beliau agak kritikal pada pagi ahad di Hospital Queen Elizabeth dan masuk ICU menjelang tengahari. Pagi semalam, saya sempat menziarahinya di ICU dalam keadaan beliau sudah tidak sedarkan diri dan tekanan darah terlalu rendah.

Selesai zuhur tadi, jenazahnya dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Kg Meruntum dan bacaan talqin dipimpin oleh al-Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim yang juga rakan baik suaminya, Sdr Saberun Abd Kadir.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa Allahyarham Puan Salbiah Asmawi, memberi kesabaran kepada suaminya Saberun Abdul Kadir dan juga anak-anaknya, Sani, Johari dan Adam.

Ibu mertua saya bersama rakan-rakannya yang lain termasuk antara yang bersedih kerana kehilangan kawan rapatnya.

Daripada Dia kita datang, kepadaNya kita kembali. Al-Fatihah.

Sumber rasmi Jabatan Bomba & Penyelamat kata 42 buah rumah musnah dalam kebakaran besar pagi ini di Kg Sri Pandan.

Sumber ketua kampung pula kata 70 buah rumah dan 79 ketua keluarga. Sumber rakan daripada Pejabat Daerah pula kata 52 rumah.

Namun yang penting, musibah sudah terjadi. Sebagai orang yang mengaku beriman dan bersaudara, hulurkanlah bantuan menurut kemampuan masing-masing.

Saya sendiri sebenarnya mula melihat kepulan asap seawal jam 8.55 pagi ketika bergerak ke Wisma MUIS, tetapi tidak menyangka kebakaran besar bakal berlaku.

Hampir jam 10 pagi, saya dimaklumkan oleh Pengerusi Masjid al-Hilal Tg Dumpil mengatakan kebakaran ketika itu sudah memusnahkan 5 buah rumah. Bergerak terus ke lokasi dari Wisma MUIS, mood untuk menyaksikan kesudahan majlis sambutan maulidur rasul sudah tiada lagi.

Saya terus mendapat maklum pelbagai sumber sms dan saksi kejadian bahawa tidak ada pili bomba di kawasan kejadian. Jentera bomba pula hanya mempunyai bekalan air yang terbatas. Wallahu a’lam.

Namun penduduk kampung dan anggota bomba tetap bekerja keras mengawal kebakaran. Begitu juga kawalan anggota trafik begitu pantas sekali mengawal jalan kampung agar tidak mengganggu kerja-kerja pemadaman.

Dari sudut lain, saya melihat kesatuan anak-anak murid Ust Hj Muchlish yang segera ’berkubu’ dan berkumpul di rumah beliau. Yang jelas, kebakaran itu begitu hampir dengan rumah beliau. Kenderaan yang memenuhi laman rumahnya dialihkan oleh anak-anak murid.

Kelihatan para pelajar SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, para guru, jamaah Masjid Negeri, Surau Austral dan jamaah Masjid Kg Pasir Putih bergilir melawat rumah ustaz bagi memastikan bantuan yang boleh dihulurkan.

Demikianlah kasihnya kepada guru.

Dari sana, barulah kami bergerak melihat kebakaran berlaku. Satu demi satu rumah musnah dijilat api. Ketika itu cerita orang kampung, sudah 40 buah rumah musnah.

Sekejap angin bertiup kencang, dan kemudian perlahan pula. Bersama rakan-rakan, kami melihat sebuah rumah yang disambar api, musnah serta merta tidak sampai 5 minit.

Kalaulah kita mempelajari makna nama Allah yang disebut al-Jabbar, al-Qahhar dan seumpamanya, nescaya kita akan memahaminya hikmah kejadian ini. Mudah-mudahan ada pengajarannya kepada kita semua.

Pihak kami sekeluarga dan Abu Nuha Corner mengucapkan takziah kepada mangsa kebakaran, tidak lupa Ust Izhar Hussin sekeluara, seorang guru agama veteran yang rumahnya turut menjadi mangsa dalam musibah ini.

Kita adalah milik Allah, kepadaNya kita kembali.

11.35 pagi, saya beredar untuk bergerak pulang ke rumah sebelum ke Masjid Kg Pengalat Besar Papar menyampaikan khutbah di masjid baru dan ‘merasmikan’ mimbar jumaat mereka.

Selesai solat jumaat di Papar, saya kembali semula melihat sisa musibah ini. Kelihatan anggota bomba masih berkawal di tempat kejadian. Antara yang selamat ialah Surau Nurul Huda Kg Linsuk yang juga begitu hampir dengan salah sebuah rumah yang menjadi korban.

Sementara Surau al-Firdaus Kg Sri Pandan sedikit jauh dari lokasi dan terselamat dalam kejadian ini. Khabarnya surau-surau ini menjadi antara penempatan sementara bagi mangsa-mangsa kebakaran.

Edit : Sumber Berita Harian pula 45 buah rumah musnah.

KASINO DI PUTATAN

Sebut saja daerah Putatan, terbayang di kepala sebuah daerah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Dari Kg Petagas, ke Kg Ulu, sehingga Kg Ketiau, Kg Serigai, Kg Lembising dan Kg Lok Kawi Baru di hujung. Patah balik Kg Meruntum, Kg Sipanggil, Kg Pasir Putih, Kg Sri Pandan, Kg Linsuk Bersatu, Kg Tg Dumpil, Kg Contoh dan Kg Muhibbah, majoriti penduduknya beragama Islam.

Setiap kampung mempunyai masjid atau suraunya sendiri.

Begitu juga taman-taman perumahannya seperti Taman Pasir Putih, Teluk Villa, Taman Ketiau, Taman Bersatu, Taman Jumbo, Taman Union, Taman Friendship, dan lain-lain majoriti penduduknya beragama Islam.

Bak kata seorang sahabat, Putatan bagaikan jantung umat Islam di sebelah pantai barat.

Selain masjid dan surau yang berselerak dan bergerak aktif, Putatan juga dikaitkan dengan sejarah kewujudan USIA kerana persatuan Islam terawal lahir di sini, iaitu Persatuan Islam Putatan.

Di daerah ini juga bekas TYT pertama, Ketua Menteri ke-3 dan Yang Dipertua USIA pertama dikebumikan. Di sini juga dikebumikan Allahyarham Datuk Awang Sahari bekas Pengarah Dakwah USIA yang terkenal itu.

Di kawasan berhadapan dengan Pasaraya Servay Putatan, berdiri megah sebuah bangunan kasino.

Bangunan berwarna coklat bertulis Airways itu khabarkan akan beroperasi sedikit masa lagi. Baru-baru ini iklan untuk mencari pekerja khususnya sebagai pelayan sudah dibuka. Ini adalah khabar duka buat umat Islam.

Sebenarnya kalau yang tidak perasan, berdekatan simpang empat Putatan itu (simpang masuk ke Giant) memang ada sebuah bangunan lama Airways 2 aras mempunyai ruang untuk mesin slot judi dan cafe.

Maklumat yang saya terima dan selidiki, premis berkenaan akan berpindah ke bangunan baru yang 3 kali ganda lebih besar daripada bangunan lama. Maka itulah mereka memerlukan pekerja yang lebih ramai.

Dalam tinjauan saya ke bangunan lama Airways itu, memang ada dicatatkan larangan berjudi keatas orang Islam tetapi pekerja di sana memaklumkan kepada saya bahawa orang Islam kerap ke sana dan memaksa mereka agar dibenarkan masuk untuk bermain mesin slot judi.

Berdekatan dengan kasino ini, ada beberapa buah masjid dan surau.

Masjid Kg Sipanggil, Masjid Daerah (yang sedang dibina), Masjid Jamek Kg Ulu Putatan, Surau Kg Tebongan, Surau Kg Sailan dan Masjid Kg Ketiau. Rasa saya jika kesemuanya melaungkan azan akan kedengaran hingga ke kawasan kasino ini.

Di Putatan, ada Bangunan Balai Cerap milik Pejabat Mufti. Di Putatan, ramai Yang Berhormat bermastautin di sini. Timbalan Ketua Menteri & ADUN Petagas, Ahli Parlimen Sipitang, ADUN  Pantai Manis Papar.

Di Putatan ramai ketua jabatan dan para alim ulama tinggal. Mayor, Mufti, Pengarah SIRIM, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah. Di Putatan ada UMNO Bahagian, ada PKR Cabang dan PAS Kawasan. Tolonglah.

Dahulu di bangunan lama Airways mungkin tidak ramai tahu dan perasan. Kini ia benar-benar di laluan utama masyarakat hendak membeli belah di bangunan pasaraya Servay dan jalan pintas ke Kg Ulu Putatan.

Putatan majoriti umat Islam, apa perlunya kasino itu yang bakal merosakkan generasi masyarakat?

Kalau umat Islam di Putatan tidak melakukan sebarang usaha untuk menentangnya, atau tiada langsung sekelumit perasaan benci dan marah kepada perkara mungkar, maka terpulanglah kepada Allah untuk memutuskan urusanNya.

Wallahi, saya akan melaksanakan kempen untuk menentangnya.

MUKHTASAR IBNU ABI JAMRAH

Alhamdulillah, dengan segala kekurangan dan serba kelemahan, kami di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan berjaya menamatkan bacaan hadith-hadith Rasulullah SAW yang dipetik dari Kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah.

Kitab ini mengandungi 294 hadith pilihan dari Kitab Sahih Imam al-Bukhari. Buku terjemahannya ditulis oleh Ustaz Mustafa Abd Rahman terbitan Dewan Pustaka Fajar.

Kitab Hadith al-Jami’ as-Sahih susunan Imam al-Bukhari merupakan kitab hadith yang mendapat perhatian paling besar di kalangan para ulama’, baik yang terdahulu sehingga kini.

Para ulama’ kemudiannya mengarang kitab-kitab syarah, ulasan dan komentar, mengeluarkan istinbath hukum daripadanya. Di kalangan mereka terdapat juga yang mengusahakan ikhtisar atau ringkasan supaya lebih diambil manfaatnya.

Antara kitab yang mensyarahkan kitab al-Jami’ as-Sahih karangan Imam al-Bukhari ialah

1) Kitab al-Kawakib ad-Darari Fi Syarh Sahih al-Bukhari tulisan al-Allamah Syamsuddin Muhammad bin Yusuf bin Ali al-Karmani yang wafat pada 786H. Kitab ini selesai ditulis pada 775H.

2) Kitab Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari karya al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqolani yang wafat pada 825H. Fathul Bari mengandungi sebanyak 13 jilid dan ditulis oleh Ibnu Hajar selama 25 tahun (817H-842H).

3) Kitab Umdatul Qari karya al-Allamah Syaikh Badruddin Mahmud bin Ahmad al-Aini al-Hanafi yang wafat pada 855H. Kitab ini dikarang beliau selama 26 tahun (821H-847H).

4) Kitab Irsyadus Sari ila Sahih al-Bukhari, karya al-Allamah Syaikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Khatib yang terkenal dengan sebutan al-Qastalani yang wafat pada 922H.

Selain itu, antara kitab ikhtisar (ringkasan) kepada al-Jami’ as-Sahih al-Bukhari ialah Kitab Jam’un Nihayah Fi Bad’il Khair wal Ghayah karya Abu Muhammad Abdullah Saad bin Abi Jamrah al-Azdi al-Andalusi. Beliau wafat pada 699H di Mesir.

Kitab ini kemudiannya beliau syarahkan dan diberi judul Bahjatun Nufus wa Ghayatuha bi Ma’rifati Ma Laha wa ‘Alaiha. Mukhtasar ini kemudiannya lebih dikenali sebagai Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah memuatkan 294 hadith sahih yang disaring daripada sejumlah 7397 buah hadith dalam al-Jami’ as-Sahih al-Bukhari.

Bermula dengan hadith kisah permulaan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW, kami terus berdikit-dikit membaca dan bergerak sehingga hadith yang terakhir berkenaan firman Allah SWT kepada penduduk syurga.

Mengakui dengan segala kekurangan dan kelemahan itu, bacaan hadith-hadith ini banyak saya rujuk hasil mengaji bersama Shaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari satu ketika dahulu.

Di Masjid as-Sobirin ini, kuliah bermula pada 2 April 2007 dan berakhir pada Disember 2009 lalu. Semoga ada sedikit hasilnya untuk saya hadapi di hadapan Allah SWT.

Terima kasih kepada pengerusi JK Masjid Hj Ag Damit Yusuf bersama AJKnya serta jamaah yang setia mendengar celoteh dan teguran saya selama hampir 3 tahun lamanya.

Kontrak sudah habis, saya menanti pelawaan seterusnya, sama ada kekal di sana atau menerima undangan di surau atau masjid lain.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers