Tag Archive: Perkahwinan


Lyan adik angkat isteri saya sejak zaman sekolah lagi. Justeru saya juga boleh dikatakan biasa dengannya sejak 10 tahun lalu. Kami pernah berziarah ke rumah mereka ini di Kg Benoni Papar. Sementara Ibrahim juga telah saya kenali dalam tempoh yang sama. Lebih lama lagi saya sudah mengenali kakaknya Puan Noraima dan juga bapanya Tuan Haji Ahmad yang bekerja di Restoran Sri Rahmat.

Saya rasa lucu pula menghadiri majlis perkahwinan mereka di sini kerana memang niat asal sekadar memenuhi undangan ke walimah al-urus mereka. Rupanya keluarga perempuan menghendaki lebih daripada itu. Menjadi suatu adat perkahwinan dalam suku brunai, pengantin lelaki sejak tiba dan keluar dari kereta akan dipimpin dan diiring oleh seseorang yang dihormati mereka bertemu dengan pengantin perempuan sebelum mereka disandingkan di pelaminan.

Maka itulah yang mereka harapkan daripada saya, maka saya tersengih mengingatkan permintaan mereka. Manakan tidak, ini suatu ‘tugasan’ yang tidak pernah saya lakukan. Teringat pula semasa diri sendiri naik pelamin hampir 10 tahun lalu dipimpin oleh orang lain. Maka spontannya saya teringat, ketika saya dan isteri melangsungkan perkahwinan, maka Lyan dan Ibrahim inilah yang menjadi pengapit kami. Semacam ini membalas ‘jasa baik’ mereka pula.

Kami sangat bergembira Allah SWT mentakdirkan mereka disatukan setelah sekian lama mereka saling mengenali antara satu sama lain. Semoga mereka menjadi pasangan dan keluarga yang bahagia, menjadi contoh yang baik kepada keluarga besar dan kawan-kawan sebaya mereka. Insya Allah.

DANG NIJAH & MUHARMAN

Kami sekeluarga merakamkan tahniah kepada Dayang Asnizah Haji Ismail dan Muharman Olang yang selamat disatukan. Sebenarnya mereka telah selamat dinikahkan pada 10 Februari 2012 lepas, dan pada ahad lepas adalah kenduri majlis perkahwinan mereka. Tuan Haji Ismail sekeluarga adalah termasuk keluarga besar kami yang tinggal di Kg Andus Papar, hanya saya kurang maklum daripada segi salsilah keluarga.

Saya rasa berbesar hati, setiap kali kenduri kendara beliau ada mengundang saya datang walaupun tidak semua saya dapat penuhi.  Kenduri baru ini, saya terlambat datang. Tetapi anak-anak beliau dan seangkatannya kesemuanya mengalu-alukan ketibaan saya. Majlis sudah selesai sebenarnya, tetapi mereka semua berkumpul kembali untuk sesi fotografi keluarga besar mereka.

Buat Dang Nijah dan Muharman, selamat menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Semoga Allah SWT memberkati kehidupan kalian berdua dan berkekalan sehingga ke syurga. Ada masa, datanglah ke rumah. :)

SITI FARIDAH & MOHZANI

Pagi ahad yang damai, kami sekeluarga menziarahi majlis pernikahan Siti Faridah Parmin dan Mohzani di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Majlis pernikahan diadakan bermula jam 9 pagi dengan dihadiri sekitar 100 ahli keluarga dan rakan terdekat. Pengantin perempuan diwalikan sendiri oleh ayahanda beliau Ustaz Haji Parmin Sahlan, sementara Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar dan Ustaz Sakaria Samela (kedua-duanya AJK Masjid Bandaraya) sebagai saksi.

Saya dimaklumkan pengantin lelaki berasal dari Negeri Johor yang juga merupakan negeri asal Ustaz Haji Parmin sekeluarga. Selepas majlis akad nikah berlangsung, tetamu disajikan dengan jamuan di ruang terbuka bersebelahan Dewan al-Mubarak. Kelihatan ramai para ustaz dan jamaah masjid yang menghadiri majlis yang berakhir sehingga petang. Kelihatan juga YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran hadir sama.

Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada kedua mempelai serta kedua-dua keluarga.

MOHD AZIZAN & NORHALINI

Tuan Haji Fauzi How adalah peminat kelas-kelas pengajian Islam.

Di Surau Taman Austral, beliau boleh dikatakan tetamu tetap saya yang sangat istiqamah dalam kuliah pengajian al-Quran dan tajwid. Kuliah-kuliah selepas solat isyak di Masjid Negeri Sabah juga sering dihadirinya. Apabila beliau mengundang kenduri kendara, saya ingin benar untuk hadir tetapi selalu saja bertembung dengan program lain. Jadi kali ini apabila undangan perkahwinan anaknya – Mohd Azizan dan pasangannya Norhalini binti Mailin, maka saya tidak ingin menghampakan beliau untuk hadir.

Saya lihat majlis beliau agak sederhana di Dewan Wisma Pertanian siang tadi. Ada kumpulan kulintangan, kumpulan hadrah, dan kumpulan solawat Masjid Negeri Sabah. Keluarga besar beliau dari kalangan tiong hua juga kelihatan hadir, begitu juga jamaah masjid dan surau, para ustaz dan imam hadir untuk menyantuni beliau sekeluarga. Semoga kehadiran menantu baru dan keluarga mereka akan menambah seri kebahagiaan dalam keluarga besar Tuan Haji Fauzi How.

Tahniah daripada Abu Nuha Corner sekeluarga.

AZMAHYANTI & SATRIA

Inilah tujuan pertama saya sekeluarga balik ke Labuan kali ini. Sebenarnya hati  saya berbelah bagi untuk pulang kerana hendak melihat Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Sabah 1433 di Kota Kinabalu. Lebih khusus menyaksikan beberapa sahabat dan kenalan yang menerima anugerah hijrah kali ini kerana saya sempat dilantik sebagai urus setia anugerah sebelum berpindah ke maahad.

Tetapi kerana abang dan kakak ipar meminta saya pulang, dan mereka membelikan tiket feri untuk kami pulang juga meraikan perkahwinan dua mempelai, maka kami pun setuju. Azmahyanti adalah adik kepada kakak ipar saya, Cikgu Zunika yang berasal dari Semporna. Sementara suami Yanti, Satria berasal dari Tangkak Johor.

Yang seronoknya dalam majlis pada petang sabtu lepas, diadakan secara adat sahaja acara merisik, kemudian bertunang selama beberapa minit dan terus dinikahkan sejurus selepas itu. Semua acara pada sabtu dan ahad dilakukan di rumah abang saya, Azri Onn dan isteri Cikgu Zunika di rumah baru mereka Kg Ganggarak, dengan dihadiri oleh ahli keluarga kami dan keluarga dari Semporna.

Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada kedua-dua mempelai dan semua keluarga yang terlibat. Terima kasih juga kepada semua tetamu yang sudi hadir termasuk Ahli Parlimen Labuan YB Datuk Yussuf Mahal, sanak saudara dan sahabat handai seluruh Labuan.

IFFAH & FENDY

Tahniah kepada Iffah Elmandily binti Awaluddin dan Fendy bin Saili yang selamat disatukan pada 20hb November 2011 di Dewan Serbaguna Kompleks Penjara Kepayan. Alhamdulillah, saya sempat hadir sebentar menjelang tengahari dengan kehadiran tetamu yang ramai meraikan pengantin sekeluarga. Seronok juga berjumpa kalangan ustaz ustazah yang hadir, teman-teman dari JHEAINS, juga kalangan muallaf yang turut bersama-sama sebab Ustaz Haji Awaludin Nasution dan Ustazah Hajah Maria Hasibuan yang bertugas di Bahagian Dakwah JHEAINS juga membimbing dalam kelas-kelas saudara kita.

Antaranya saya bertemu Datuk Haji Ag Syahrin Alimin, Ustaz Ghazali Sulaiman dan keluarga, sahabat saya Ustaz Safruddin Mansuruddin sekeluarga, Sdr Fahmi sekeluarga, Abang Jamiun Osman teman di pejabat lama, abang Daud yang menjadi deejay, dan ramai lagi khususnya dari JHEAINS. Lazimlah majlis perkahwinan menjadi ruang pertemuan bagi yang lama tidak berjumpa dan sembang santai di luar daripada aktiviti pejabat dan acara rasmi.

Lucu juga cerita-cerita tetamu khususnya Sdr Abu Bakar Ongkosing, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) katanya, ramai orang termasuk ustaz ustazah masuk penjara hari itu. Maklumlah, majlis diadakan di kawasan jabatan penjara dan Ustaz Awaludin tidaklah asing dengan dunia penjara kerana selalu memberikan ceramah dan khutbah di sini kepada para banduan. Ustaz Ghazali Sulaiman pula bercerita tentang banjir yang menimpa kawasan Putatan, termasuk rumah mereka yang dimasuki air sehingga paras lutut menjadi ujian dalam kehidupan mereka.

SEBENTAR TAPI BERMAKNA

Pulang sendirian ke kampung kali ini tidak sampai 24 jam, tetapi rasanya agak bermanfaat khususnya kami adik beradik dapat berkumpul sekeluarga. Tujuan asal kepulangan saya adalah untuk hadir meraikan perkahwinan adik sepupu, Khairul Azad @ Andi dengan pasangannya Marlianah Omar di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Saya pulang sendirian, dan tidak ramai ahli keluarga di kampung yang mengetahui hajat kepulangan ini sehingga bertemu mereka sendiri. Kebetulan pula petang sabtu, sebelum maghrib satu majlis kesyukuran diadakan secara ringkas meraikan ulangtahun ke-7 anak buah kami, Yaya di rumah abang kami nombor dua. Jemputan majlis itu hanya saya terima sebelah pagi sabtu ketika saya dalam perjalanan ke Beaufort, seterusnya ke Labuan.

Tiba di Labuan, saya belum memaklumkan sesiapa kecuali di facebook, dan tidak mahu menyusahkan sesiapa lalu menaiki bas – amalan yang sudah lama saya tinggalkan sejak memiliki kereta. Saya duduk kerusi belakang sekali. Nampaknya ruang antara kerusi belakang dan hadapannya sangat sempit. Sakit kepala lutut berlaga dengan kerusi hadapan. Rasanya persatuan pengguna sewajarnya memperjuangkan keselesaan penumpang. Pihak pengusaha bas juga patut berfikir dan bertindak sama, jangan hanya mahu kerajaan menaikkan tambang tapi kualiti perkhidmatan masih di tahap lama.

Sampai di rumah, pintu berkunci dan saya menghubungi abang nombor dua minta tolong ambil dan bawa ke rumahnya di kampung berdekatan. Rupanya di rumahnya, – rumah baru siap beberapa bulan lalu, dipenuhi oleh ahli keluarga besar kami termasuk along dari KK. Ertinya kami enam beradik berkumpul semuanya. Yang tiada ialah isteri dan anak-anak along, dan Ummu Nuha dan anak-anak kami. Hari itu kami makan-makan bersama, dan solat maghrib berjamaah diimamkan oleh bapa kami, suatu amalan yang telah lama kami tinggalkan sejak masing-masing duduk asrama, dan seterusnya punya keluarga sendiri.

Sesi berikutnya acara bergambar beramai-ramai, sampai kami semua naik jemu. Entah berapa banyak aksi kami adik beradik, walaupun semuanya sudah dewasa dan berkeluarga kecuali adik kami yang bungsu masih bujang sudah berumur 26 tahun. Bahagia rasanya dapat berkumpul adik beradik, sesuatu yang jarang berlaku kerana keadaan kesibukan masing-masing. Insya Allah tahun depan ada umur kami akan berhari raya di Labuan semuanya.

KENDURI KAHWIN ANDI

Khairul Azad atau panggilan kami Andi kepadanya, adalah sepupu kami yang agak rapat juga. Ibunya Datin Dayang Pungut Abdul Jalil adalah adik bungsu kepada mama kami. Justeru kami memanggilnya ‘bungsu’ walaupun sudah bergelar datin setahun dua ini. Teringat, Bungsu adalah orang yang menyolekkan saya ketika naik pelamin 9 tahun lalu. Suaminya Datuk Haji Yunus Kurus adalah Senator mewakili Labuan.

Andi anak keempat daripada empat beradik. Hanya seorang lagi abangnya yang masih bujangan. Kini berkhidmat di Putrajaya. Dia seumur dengan adik kami juga yang masih bujang. Saya bisikkan juga kepada keluarga, agar mengatur majlis yang sama untuk adik kami ini. Kepada Andi saya doakan kebahagiaannya. Saya berharap dia mengingati nasihat yang saya bisikkan di telinganya sebelum saya pulang tempohari.

Begitulah, dalam kenduri kahwin biasanya mengumpulkan sekian banyak ahli keluarga besar, dan kami turut tidak ketinggalan. Turut serta mengeratkan hubungan kekeluargaan ialah keluarga besar kami dari Kota Kinabalu, Kudat, Brunei dan Kuching Sarawak. Bahkan ada yang sudah lebih 15 tahun tidak saya temui. Habis majlis perkahwinan, saya terus kembali ke terminal feri, menempah bot laju, bertolak ke Menumbok dan kemudian memandu sendirian lagi ke Kota Kinabalu.

Moralnya ialah, jika ada orang mengundang majlis seumpama perkahwinan dan sebagainya, dan kita berkelapangan dari segi masa dan kewangan untuk hadir, usahakanlah untuk hadir. Insya Allah ada manfaat hubungan silaturrahim yang akan terjalin.

Foto : FB Azri Onn Othman

Tahniah kepada kedua pengantin Ustaz Thowiil Di Babus Salam dan Cikgu Nurul Husna @ Ann yang selamat melangsungkan perkahwinan mereka sabtu lalu di Taman Tuaran Impian, berdekatan Taman Telipok Ria.

Saya difahamkan beberapa slot walimah diadakan sejak majlis pernikahan sebelah siang sehingga ke malam. Sementara saya hanya hadir sebentar bersama keluarga pada waktu malam sekitar setengah jam saja kerana ada komitmen lain. Untuk rekod, Cikgu Ann pernah berkhidmat seketika sebagai guru PASTI al-Fathonah Taman Union 2 tahun lalu dan menjadi guru kepada anak-anak kami.

Sebulan lebih lalu, Cikgu Ann menempah saya agar menyampaikan tazkirah pada majlis resepsi mereka, dan saya persetujui tanpa banyak soal. Hanya pada majlis itu sebenarnya kurang sesuai dengan sesi tazkirah dengan suasana bising tetamu, dan dalam masa yang sama mereka sibuk bersalaman dan mengucap tahniah kepada pengantin di pelaminan mereka di pentas dewan dan kemudian lalu lalang di hadapan saya yang kononnya sedang bertazkirah.

Apapun mengadakan tazkirah itu satu percubaan yang baik, dan ia menjadi cabaran buat saya sendiri. Tahniah kepada pengantin dan keluarga, terima kasih atas undangan.

DR FARIZ & DR ALLIA

Sekitar jam 12 tengahari sabtu, saya tiba di lokasi majlis perkahwinan Dr Mohd Fariz Datuk Amri dan pasangannya Dr Allia Najmie Muhammad Yusuf. Perjalanan solo, sejak jam 6 pagi dari rumah di Putatan, mengisi slot ceramah di Kundasang bersama penggerak dakwah JAKIM Sabah dan kemudian langsung ke rumah pengantin di Kg Pasir Putih Ranau. Lokasi rumah hanya beberapa minit dari masjid daerah Ranau, jalan Ranau-Tambunan.

Saya difahamkan kedua pengantin telah selamat dinikahkan di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya Selangor pada 3 Jun 2011 lalu dan bertunang tidak sampai setahun. Majlis perkahwinan di sini sangat meriah dengan kehadiran keluarga besar kedua-dua pihak. Saya diberitahu rombongan keluarga perempuan dari Selangor sekitar 30 orang, manakala keluarga besar pengantin lelaki pula selain di sini, turut datang memeriahkan ialah dari Labuan dan negara Brunei Darussalam.

Selain itu kelihatan hadir beberapa kenamaan seperti YB Datuk Masidi Manjun, Datuk Nordin Siman, YDH Pesuruhjaya Polis Sabah, deretan warga JHEAINS dan para guru. Saya sendiri asalnya hanya berhajat sekadar hadir dan menjamu selera, akhirnya berada di sana sehingga 3 jam kemudian, memandangkan keluarga ibu pengantin lelaki yang berasal dari Labuan dan sekampung pula dengan saya, jadi kesempatan itu saya ambil untuk beramah mesra setelah bertahun-tahun tidak berjumpa.

Menarik juga menurut budaya di sini, pengantin dan rombongan akan diarak mengelilingi sekitar Pekan Ranau untuk memberitahu majlis perkahwinan sedang berlangsung. Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada pengantin dan keluarga besar mereka terutama Ybhg Datuk Haji Amri Aliaman Suratman, Pengarah JHEAINS dan Datin atas anugerah Allah menerima menantu baru.

SURAYA & RIZWANDY

Suraya atau panggilan mesra kami Sarah adalah sepupu isteri saya. Saya dimaklumkan zaman kanak-kanak dan remaja dahulu Sarah tinggal bersama keluarga isteri saya dalam tempoh yang lama juga. Justeru, hubungannya dengan keluarga mertua amat akrab sehingga kini. Ketika saya berkahwin dengan isteri pada tahun 2002, Sarah sudah tidak tinggal bersama kami.

Majlis ini hujung minggu lalu di Restoran SZ, Kinarut milik pasangan suami isteri Dayang dan Zainal yang juga sepupu isteri saya menjadi medan pertemuan sanak saudara sebelah isteri saya. Majlis pernikahan berlangsung di Wisma MUIS beberapa hari sebelum itu dan majlis berinai di Taman Pantai Lok Kawi. Alhamdulillah, kami tumpang gembira Sarah akhirnya bertemu jodoh dengan orang yang dikasihinya, Rizwandy yang kami lihat santai orangnya. Tahniah, semoga berbahagia dan berkekalan selama-lamanya.

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers