Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang [Marang]: Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakaatuh.

[Membaca sepotong ayat Al-Quran] Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, saya memulakan ucapan perbahasan ini dengan menyebut firman Allah Subhanahuwataala [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Surah Al-Hajj, ayat 41 yang bermaksud; “Orang-orang yang kami berikan kepada mereka kuasa memerintah negeri, mereka mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat, mereka menyuruh kepada yang baik, mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan.”

Menunjukkan bahawa di sana ada empat konsep bagi memerintah negara untuk menjamin segala pengurusan pentadbiran kewangan dilaksanakan dengan betul dan baik dan mencapai kejayaan. Pertama ialah pembangunan insan atau pembangunan manusia, yang kedua konsep kewangan dan dasar kewangan, yang ketiga konsep Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar, yang keempat wawasan yang betul dan tepat.

Kejayaan belanjawan tidak hanya bergantung kepada duit yang dibentangkan dengan jumlah yang dibangga-banggakan sahaja dan bukan dengan projek pembangunan yang disenaraikan berjela-jela. Ia bergantung kepada manusia yang melaksanakannya dan manusia yang mengurus serta manusia yang menerima sumbangan itu, sejauh mana dapat menunaikan dengan sempurna.

Duit yang diterima dan diurus dengan baik, tidak dinafikan bahawa bajet dan politik tidak dapat dipisahkan, bukan bermain politik dengan bajet, ini adalah tanggungjawab politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Bezanya kerajaan sudah memerintah 50 tahun lebih, penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan 40 tahun lebih penubuhan Malaysia.

Manakala pembangkang belum lagi memerintah Kerajaan Pusat, mereka memerintah kerajaan negeri, maka dilaksanakan dalam negeri. Politik mempunyai peranan yang penting di dalam membentangkan bajet kepada pembangkang dan melaksanakan kepada mereka yang telah memerintah.

Dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, kerajaan tidak boleh berlagak maha suci daripada bersifat kekurangan dan kelemahan, tidak boleh berlagak seperti tuhan, tidak ada kekurangan, tidak ada kelemahan, tidak ada ketirisan, kita jangan melekakan rakyat dengan slogan yang bertali arus satu demi satu, bermula dengan ‘Bersih, Cekap, Amanah’, ‘Kepimpinan Melalui Teladan’, ‘Islam Hadhari’ dan macam-macam dan hari ini pula ‘Janji Ditepati’.

Kita tidak menafikan di sana ada janji yang ditepati dan ada janji yang belum ditunaikan dan masih ada janji yang ditunaikan tetapi tidak sempurna, tidak selesai, tidak dapat dilaksanakan dengan betul, masih ada negeri-negeri, wilayah, daerah, kampung, rakyat yang ketinggalan.

Contohnya negeri Tuan Yang di-Pertua sendiri Sabah, Sarawak, Malaysia Timur. Sarawak 40 tahun kita mencapai kemerdekaan, walaupun dijanjikan dengan pelbagai janji sejak mula mencapai kemerdekaan, ditunaikan tetapi tidak habis, bukan tidak ditunaikan, tidak sempurna.

Masih ada lagi kelemahan-kelemahan yang kita kena sedar, wilayah, daerah, kampung yang masih terbengkalai, rakyat yang ketinggalan walaupun di sana diberikan bantuan masih ada yang ketinggalan. Projek terbengkalai tidak menepati jadual, Lebuh Raya Timur – Barat sudah berapa penggal pilihan raya masih belum selesai antara pantai timur dan pantai barat.

Lebuh Raya Simpang Pulai daripada Simpang Pulai ke Gua Musang, Kuala Bera melalui Kelantan dan Terengganu dirancang sejak tahun 70-an sekarang sudah berapa tahun masih belum selesai. Itu janji dibuat bukan tidak buat tetapi tidak sempurna. Bahkan ada janji yang dibuat tetapi runtuh, stadium runtuh, buat jambatan runtuh, walaupun jumlahnya tidak besar tetapi tidak boleh dianggap, dipandang ringan dalam perkara ini.

Kerajaan perlu mengizinkan satu muhasabah yang adil dan telus, satu muhasabah yang adil dan telus banyak penyelewengan hilang cerita, cerita lama hilang timbul cerita baru, penyelewengan Bank Bumiputera beberapa tahun yang lalu, KWSP, Tabung Haji, Baitulmal, zakat dan macam-macam lagi, Petronas dikatakan ada juga. Diakhiri dengan kapal selam, pembelian senjata-senjata sky hawk, PERWAJA dibawa ke mahkamah sekejap, habis cerita, tidak tahu kisahnya, tidak tahu apakah akibat mereka yang melakukan kesalahan itu.

Lebih malang lagi apabila penyelewengan ini dilindungi dengan media-media yang dibatasi, yang dihalang dengan undang-undang ISA, OSA yang tidak mengizinkan pendedahan sebagai rahsia kerajaan untuk menutup segala kesalahan ini. Pilihan raya yang tidak menghakimkan rakyat sepatutnya rakyat boleh menjadi hakim di dalam pilihan raya untuk menentukan hukuman kepada kerajaan yang buat silap tetapi rakyat tidak boleh menjadi hakim kerana pilihan raya yang tidak telus, pilihan raya yang masih belum berjalan dengan cara yang baik, yang memuaskan mengikut amalan demokrasi yang beradab dan berakhlak.

Tanpa muhasabah yang betul, maka bajet yang dibentang akan memberikan bajet politik wang, bajet rasuah, bajet menjelang pilihan raya kerana dibentangkan hampir hendak pilihan raya di bentang, sudah tentu nawaitunya sedikit sebanyak ada pilihan raya walaupun sebanyaknya kalau sedikitnya akan menjadi sebegitu.

Saya kembali kepada asas empat perkara yang disebutkan tadi, kejayaan untuk mencapai bajet yang sempurna, pembangunan insan, dasar kewangan dengan konsep yang betul, konsep pelaksanaan, Amar Ma’ruf Nahi Munkar, wawasan yang pertama pembangunan insan, pembangunan manusia, Allah Taala memilih manusia untuk memakmurkan bumi

[Membaca sepotong ayat Al-Quran]; “Dan sesungguhnya kami memuliakan manusia anak keturunan Adam, tidak diberikan kepada binatang, tidak diberikan kepada malaikat, tidak diberikan kepada makhluk yang lain, diberikan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi kepada manusia”,

Yang penting manusia itu perlu dibangunkan manusiawi nya, dibangunkan insannya. Untuk membangunkan insan, mestilah mengikut acuan penciptanya, mengikut fitrah, mengikut naluri sifat semula jadi. Manusia ada jasad, ada roh dan akal. Maka pembangunan insan mestilah memenuhi ketiga-tiga aspek ini. Kegagalan dan kebuntuan berlaku apabila pembangunan insan tidak memenuhi ketiga-tiga aspek ini.

Pembangunan roh, pembangunan diri dengan iman, akidah mengawal hati dan rohani. Adanya perhitungan benar dan salah, perhitungan dosa dan pahala bagi orang Islam. Di sana ada perhitungan sejagat, perhitungan manusia baik dan buruk kepada orang bukan Islam. Itu adalah aspek rohani yang perlu diberi tekanan.

Sejauh mana penekanan ini berjaya dalam dasar pendidikan dan sistem pendidikan kita. Ilmu yang memberi manfaat. Islam membahagikan ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain yang wajib atas tiap-tiap orang lelaki dan tiap-tiap orang perempuan. Kebanyakan orang mengenali fardu ain ini sembahyang lima waktu. Mereka tidak tahu termasuk fardu ain juga ialah memahami baik dan buruk, jahat dan tidak jahat, betul dan salah.

Itu perlu diketahui tiap-tiap orang. Bukan sahaja ajaran Islam tetapi termasuk ajaran kemanusiaan. Ini fardu ain antara tiap-tiap orang. Perlu ditanam kepada anak-anak sejak kecil lagi dan dipanjangkan sehingga dewasa. Fardu ain dan fardu kifayah. Fardu kifayah ini bukannya sembahyang mayat sahaja. Termasuklah setiap keperluan hidup manusia dalam bidang ekonomi, dalam bidang industri, dalam bidang segala-gala keperluan, itu fardu kifayah yang wajib ditunaikan. Fardu kifayah ini ada kaitan dengan fardu ain.

Ilmu itu dikaitkan pula dengan pembangunan roh, tidak boleh dipisahkan. Seterusnya ialah akhlak yang mulia. Akhlak yang mulia ini perlu ditekan. Akhlak ini adalah perkara sejagat. Dalam masa yang sama, peranan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda dikatakan bahasa jiwa bangsa untuk mengilmukan rakyat dengan sebanyak-banyak dan seramai-ramainya mestilah dengan bahasa kebangsaan, dengan bahasa ibunda. Ini termaktub dalam Perlembagaan, dengan bahasa ibunda, dengan bahasa kebangsaan supaya seramai-ramai boleh diilmukan.

Kemudian, untuk ke peringkat yang lebih mendalam, lebih tinggi, maka pergi ke mana-mana dunia dengan bahasa-bahasa asing. Sejauh mana kita memperkasakan bahasa kebangsaan? Bahasa kebangsaan semakin hari menjadi semakin hendak luntur. Kita sendiri biarkan bahasa kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan untuk mencipta istilah-istilah ilmu tetapi tidak digunakan sepenuhnya. Sepatutnya bahasa kebangsaan diperkasakan tetapi tidak diperkasakan.

Di mana semua aspek ini, pembangunan roh, pembangunan ilmu dan pembangunan akhlak merupakan tanggungjawab agama. Di sinilah tiap-tiap orang Islam yang sembahyang dia sebut… [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Sesungguhnya sembahyang aku, hidup aku, mati aku, semuanya kerana Allah.”

Tidak ada sekutu bagi-Nya, barulah seluruh kehidupan kita ini ada rasa tanggungjawab. Bukan sahaja tanggungjawab dalam masalah yang dinamakan ibadat, dalam masalah mentadbir negara, masalah menguruskan kewangan tidak ada tanggungjawab. Di mana acuan inilah yang melahirkan manusia zaman Umar bin Khattab RA, zaman Umar bin Abdul Aziz sebagai contoh.

Umar bin Al-Khattab, bagaimana seorang wanita penjual susu hendak tipu jualannya di waktu malam yang sunyi dan didengari oleh Khalifah Umar bin Khattab di mana bila hendak tipu tetapi anak gadis dia kata jangan tipu. Lalu dia kata Umar tidak tahu. Walaupun Umar tidak tahu tetapi anak dia kata, Tuhan Umar tahu. Tuhan Umar tahu. Walaupun manusia tidak tahu, Tuhan tahu. Aspek inilah yang perlu ditanam dalam diri. Dan Umar terus melamar gadis itu untuk dikahwinkan dengan anaknya dan melahirkan cicit Umar bin Abdul Aziz yang memerintah dengan adil dengan kemewahan yang diberkati oleh Allah.

Seterusnya konsep kewangan. Duit halal dan mesti duit berkat. Ini tanggungjawab kepada orang Islam. Kalau duit haram, tidak berkat. Kemusnahan komunisme kerana duit haram pun dirampas. Hak kebebasan merampas harta orang. Tidak ada aspek agama. Ini kemusnahan komunisme. Kemusnahan kapitalisme, tanda-tanda kemusnahan ekonomi di Greek dan lain-lain lagi hari ini ialah kerana menipu, kerana riba, kerana rasuah. Ini adalah sumber-sumber haram yang meruntuhkan ekonomi negara-negara besar dunia. Jangan kita main-main dalam masalah halal dan haram ini.

Di sini Allah SWT menyebut dalam al-Quran… [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Kalau sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami bukakan untuk mereka keberkatan yang turun dari langit dan keluar dari bumi tetapi mereka membohonginya.”

Di mana perkataan berkat tidak ada dalam istilah ekonomi ciptaan manusia. Yang ada dalam Islam sahaja. Ini perlu diperkenalkan. Kemudian pengambilan hasil. Pengambilan hasil tidak menindas dan tidak digalakkan berhutang. Jangan menindas. Di sinilah disebut… [Bercakap dalam bahasa Arab] “Dan tunaikanlah zakat”. Zakat adalah satu konsep memungut hasil secara ibadat kepada orang Islam yang disebut oleh Nabi SAW… [Bercakap dalam bahasa Arab] “Diambil daripada mereka yang berada dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dan kepada keperluan negara”. Hanya dibebankan kepada mereka yang berada. Mereka yang tidak berada tidak dibebankan dengan cukai.

Inilah maka kita cadangkan tol dihapuskan. Tol dihapuskan kerana tol ini melibatkan semua rakyat termasuk kalangan-kalangan yang terlalu miskin. Ini kerana bila tol naik, begitulah juga barang lain akan naik. Oleh sebab itu kita hapuskan sebagai satu contoh di mana cukai-cukai yang membebankan rakyat miskin diturunkan. Ini tanggungjawab. Tidak menindas dan tidak digalakkan berhutang. Bukan tidak boleh hutang tetapi tidak digalakkan berhutang.

Akan tetapi sering kali kerajaan yang tidak mengamalkan sistem dan konsep Islam ini, mereka jadikan hutang sebagai satu sumber kewangan. Ini satu sikap yang salah. Dengan sebab itu kita perlu menggunakan sumber asli yang ada dalam bumi kita. Negeri kita negeri yang kaya dengan sumber asli. Contohnya hasil petroleum, balak dan sebagainya tetapi kadang-kadang kita uruskan dengan cara yang tidak betul, haram, maka tidak jadi berkat.

Contohnya royalti petroleum. Royalti petroleum ini ialah yang ada perjanjian antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri dalam tahun 1975. Mereka yang terlibat masih hidup lagi iaitu Yang Berhormat Tengku Razaleigh Hamzah, Yang Berhormat Gua Musang, Tun Rahman Yaakub, Tun Salleh Abbas. Ini yang masih hidup lagi. Orang yang hidup ini masih lagi bercerita balik, mengisahkan bagaimana hendak selesaikan masalah Kerajaan Pusat dengan Malaysia Timur. Hanya Malaysia Timur yang ada hasil minyak pada masa itu.

Lalu, mereka membuat keputusan, menggubal Akta Petroleum dan diluluskan di Parlimen dan ditubuhkan Petronas dan dibuat perjanjian di antara kerajaan negeri dan Petronas di mana semua Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri mengadakan perjanjian dan menandatangani perjanjian itu. Sekiranya ada hasil minyak di darat dan di laut, maka diserahkan kepada Petronas dan Petronas hendaklah menyerahkan kepada kerajaan negeri sebanyak 5% royalti. Ini perjanjian.

Akan tetapi apabila kami menang di Terengganu, mereka sanggup, luluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO satu usul. Dalam Perhimpunan Agung UMNO, bukan dalam Parlimen, untuk merampas royalti Terengganu. Kemudian, dinafikan Kelantan. Ini merupakan satu tindakan yang zalim yang menyebabkan tidak berkat. Zalim membawa tidak berkat. Inilah yang menyebabkan berlaku macam-macam hal dalam negara kita. Percukaian yang adil. Percukaian adil saya sebut zakat tadi… [Bercakap dalam bahasa Arab] Di mana sepatutnya cukai ini dinaikkan di kalangan mereka yang berada.

Kalangan yang tidak berada kalau boleh hapus, hapuskan kecuali dalam keadaan darurat. Kemudian mengurus duit tidak bakhil dan tidak boros. Firman Allah SWT… [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Dan orang-orang yang bijak yang Tuhan sayang ialah orang yang membelanjakan harta, mereka tidak boros dan mereka tidak bakhil dan mereka sederhana di antara keduanya.” Ini diajar oleh Islam, tidak boros dan tidak bakhil. Di mana tidak boros dan tidak bakhil, keperluan umum hendaklah diutamakan. Keperluan umum hendaklah dijaga dan dipelajari oleh kerajaan.

Kadang-kadang kerajaan mengambil kesempatan daripada keperluan umum di mana di sebut dalam satu hadis Nabi bersabda… [Membaca sepotong Hadis] Manusia itu bersekutu dalam tiga perkara iaitu air, api dan padang ragut. Itu zaman Nabi SAW. Zaman sekarang ini dia tambah lagi air, tenaga, kesihatan, transport, pos dan termasuklah pendidikan.

Ini merupakan keperluan umum. Sepatutnya kerajaan mengendalikan keperluan umum ini, dikendalikan kepada mereka yang tidak mampu dibantu. Geran kesihatan sebagai contohnya, pernah pada zaman British dahulu, British mengamalkan negara berkebajikan (welfare state) di mana mereka memberi rawatan percuma. British pernah buat dan ada negara lain pernah buat. Rawatan percuma. Ini satu perkara yang sangat menarik sebenarnya diambil daripada Islam dan dianggap sebagai keperluan umum.

Kerajaan kata akan timbul masalah kos pula. Sekarang ini banyak hospital swasta. Kerajaan boleh naikkan cukai daripada pihak swasta untuk tampung kekurangan ini. Banyaklah benda yang kita boleh buat. Pengagihan. Pengagihan mesti adil. Adil untuk semua rakyat. Bukan sebahagian rakyat sahaja. Saya tidak nafi bajet yang dibentangkan kena ada pengagihannya, tetapi kadang-kadang tiris. Tiris yang disedari. Banyak janji-janji hendak buat rumah. Rumah akan dibuat. Kita bimbang rumah itu kayu tidak ada kualiti. Simen tidak cukup, besi tidak cukup kerana berlaku kontraktor yang bergilir-gilir, bertukar. Jual, jual, jual, akhirnya rumah tidak sempurna.

Ini sudah berlaku. Sudah berlaku. Kita bimbang hal ini akan berlaku lagi. Bagi duit, tidak kena pada tempat. Bagi duit. Contohnya bagi duit kepada pegawai kerajaan. Itu bagus. Kena tempat. Naikkan gajinya. Gaji minimum. Itu kena pada tempat. Akan tetapi bagi duit kepada petani. Bagi duit kepada nelayan sebagai contohnya. Apa yang diperlukan oleh petani dan nelayan, kalau bagi duit secara one-off, habis selepas itu. Tidak selesai masalah kemiskinannya. Sepatutnya bagi petani, duit ini digunakan untuk menurunkan harga baja, menurunkan harga barang makanan, membantu dalam pasarannya.

Sepatutnya ditunaikan itu. Bahkan berlaku kadang-kadang diskriminasi. Contohnya Pantai Timur dan Pantai Barat. Di Kelantan, di Terengganu, terpaksa bawa baja daripada kilang-kilang baja daripada Pantai Barat dan Selatan yang menyebabkan harga baja dan harga binatang ternakan melambung tinggi. Ini merupakan perkara yang perlu diselesaikan oleh kerajaan. Dengan sebab itu, sepatutnya kerajaan bantu menurunkan harga baja dan harga makanan haiwan. Begitu juga barang-barang keperluan kepada pembangunan, simen dan lain-lain bahan.

Sepatutnya kilang bukan di Pantai Barat sahaja, di Pantai Timur kena ada kilangnya. Kilang yang cukup, yang boleh menurunkan harga simen, menurunkan harga bahan-bahan ini. Ini yang menyebabkan pengusaha-pengusaha bumiputera mampus, tidak tahan kerana lepas naik, naik, naik kerana bahan ini dimonopoli oleh kalangan-kalangan yang tertentu.

Seterusnya konsep Amal Makruf dan Nahi Mungkar. Kita perlu menyedari bahawa memerintah negara dengan adil adalah Amar Makruf. Memerintah negara tidak adil adalah mungkar yang sangat besar. Di sinilah maka Nabi SAW bersabda, [Membaca sepotong hadis] yang bermaksud, “Tujuh jenis manusia yang dijanjikan oleh Allah mendapat payung naungannya di Padang Mahsyar pada hari Kiamat”.

Ada tujuh jenis. Pertama ialah pemerintah yang adil. Disebut pemerintah yang adil yang pertama. Selepas itu barulah pergi ke masjid, barulah berzikir dan barulah hal-hal yang lain. Ini menunjukkan bagaimana pemerintahan negara yang adil adalah perkara makruf yang besar fadilatnya kerana cabarannya besar. Bila pangkat besar, duduk tempat tinggi, nampak duit banyak, nampak macam-macam, kelabu mata, jadi keliru dan banyak cabaran hawa nafsu. Oleh kerana itulah sekiranya pemerintahan negara dilaksanakan dengan adil, dengan amanah, maka pahalanya sangat besar. Allah meletakkan amanah memerintah negara ini adalah amanah yang terbesar, yang tidak mampu dipikul oleh langit dan bumi.

[Membaca sepotong ayat Al-Quran] Maksudnya, “sesungguhnya Kami (Allah) telah mempamerkan amanah kepada langit, bumi, bukit bukau dan gunung ganang supaya mereka memikul amanah. Semua makhluk ini tidak bersedia, gerun dan takut. Namun manusia bersedia untuk memikulnya. Mereka yang zalim dan jahil memikulnya”. Amanah yang dimaksudkan di sini ialah amanah mengendalikan urusan negara yang diwajibkan adil untuk semua. Yang ditegaskan oleh Allah. Merupakan amanah yang besar.

[Membaca sepotong ayat Al-Quran] yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya kamu menunaikan amanah kepada orang yang ahli dapat menunaikannya dan apabila kamu memerintah di kalangan manusia”. Tidak disebut Islam atau bukan Islam, tidak disebut Melayu, Cina, India. Dia sebut manusia seluruhnya hendaklah berlaku adil. Dan Allah menyuruh kamu dengan ajaran yang sebaik-baiknya. Maka pemimpin yang menunaikan amanah dengan melakukan adil untuk semua, pahalanya sangat besar tetapi pemimpin yang khianat terhadap amanah, yang zalim, menyalahgunakan kuasa, menjadikan harta negara untuk dia, keluarga dia, kroni-kroni dia, ini satu khianat yang sangat besar.

Allah SWT sebut, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] yang bermaksud, “Orang-orang yang zalim akan ketahui di mana tempat jatuh mereka pada akhirnya”. Allah SWT menjadikan pemerintahan adalah ujian kepada manusia. Allah SWT beri pemerintah yang adil, pemerintah yang zalim. Semuanya ada umurnya. Tidak diberi umur selama-lamanya. Kerajaan Nabi Sulaiman A.S, Nabi Daud A.S tidak selama-lamanya. Kerajaan Nabi Muhammad SAW tidak selama-lamanya.

Khalifah Umar bin Aziz dua tahun sahaja. Kerajaan Firaun tidak selamalamanya. Kuasa besar dunia, Hitler tidak selama-lamanya. Empayar British tidak selama lamanya. Tuhan jadikan ini untuk menguji manusia keseluruhannya. Menguji pemimpin dan menguji rakyat sama-sama. Menguji pemimpin yang menunaikan amanah dan menguji rakyat yang memberikan amanah kepada pemimpin. Maka pemerintahan yang zalim bukan sahaja dibebankan kepada pemimpin-pemimpinnya termasuklah kepada rakyat dan kakitangan yang menyokong kerajaan itu.

Kita melihat banyak kegagalan berlaku dalam negara kita ini. Hendak mencegah kemungkaran-kemungkaran ini. Bukan sahaja di peringkat atas tetapi juga peringkat bawah. Dadahnya, jenayahnya, maksiatnya, penyelewengannya berlaku. Kelemahan yang berlaku bukan sahaja kerana pembangunan insan, termasuklah kerana undang-undang yang lemah. Tidak ada kedaulatan undang-undang.

Undang-undang yang tidak berkesan. Undang-undang yang tidak ada kehebatan. Penjenayah berani, penjenayah tidak gerun. Oleh kerana itu, saya mengharapkan supaya kerajaan bukan sahaja menubuhkan IKIM, gunakan IKIM ini untuk menjalankan tugasnya dan memberi sumbangan kepada kerajaan untuk membuat kajian supaya melihat peranan syariat Islam dalam segala aspek. Bukan sahaja aspek munakahat, aspek pusaka termasuklah aspek jenayah, aspek ekonomi, aspek undang-undang antarabangsa yang ada dalam Islam.

Perlu dikaji. Barangkali kita tidak sedar di sana ada orang-orang Barat yang mengambil undang-undang antarabangsa yang ada dalam Al-Quran. Kita tidak baca Al-Quran. Contohnya Undang-undang Suaka Politik sebagai contoh. Bila ada sebuah negeri yang zalim menindas rakyat, rakyat lari jadi pelarian ke negeri lain di mana pakar-pakar undangundang tidak jumpa melainkan mereka membaca terjemahan Al-Quran.

[Membaca sepotong ayat Al-Quran] yang bermaksud, “Jika sekiranya seorang musyrikin yang bukan agama kamu datang meminta perlindungan kerana dizalimi di negerinya, maka beri perlindungan kepadanya”. Dan ucapkan kalimah, ajak dia masuk Islam. Tidak boleh paksa. Kalau dia tidak mahu masuk Islam, tidak boleh hantar ke negeri dia balik lalu dia dibunuh. Tidak boleh.

Hantar ke negeri yang aman untuknya. Di mana ayat ini menjadi asas kepada undang-undang antarabangsa. Begitulah juga kepada undang-undang yang lain. Undang-undang jenayah qisas, hudud, ta’zir perlu dikaji. Bukan kaji hukuman, tetapi kaji bagaimana proses undangundang, proses kesaksian. Dikaji semuanya di mana undang-undang Islam adalah undang-undang yang ada roh, undang-undang yang ada aspek spiritual yang tidak ada pada undangundang yang lain. Di sinilah menyebabkan undang-undang ini lebih mendidik di mana undangundang Islam menggalakkan dibebaskan daripada dihukum.

Menggalakkan penyelesaian di luar mahkamah. Dengan sebab itu bila ada seorang pencuri yang mencuri, dia bawa kepada Nabi SAW. Lalu Nabi tanya adakah awak mencuri? Dia kata ya. Nabi kata katalah tidak. Katalah tidak, apa salahnya. Saya mencuri. Walaupun mencuri kerat tangan. Katalah tidak, tiga kali setelah jika dia mencuri dia mengaku baru dipotong.

Menunjukkan bahawa undang-undang ini lebih mendidik bukan untuk menjatuhkan hukuman. Sepatutnya undang-undang ini dikaji dengan sesungguh-sungguhnya. Insya-Allah dengan kita melaksanakan semua perkara tersebut kita dapat mewujudkan sebuah negara yang melahirkan masyarakat madani di peringkat nasional dan di peringkat antarabangsa.

Makna masyarakat madani ialah masyarakat yang bertamadun, yang bertimbang rasa. Ini makna madani. Bertamadun, berilmu, bertimbang rasa, tukar menukar di antara satu sama lain dengan konsep yang adil untuk semua…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Masa Yang Berhormat.

Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Oleh kerana itu masalah masyarakat majmuk tidak timbul. Saya kira kita balik ini adil untuk semua, dapat menyelesaikan masalah. Masyarakat madani untuk antarabangsa. Tidak timbul soal hina Nabi macam berlaku hari. Hina Nabi. Amerika kata tidak ada undang-undang hendak bertindak terhadap orang yang hina Nabi. Negeri dia ada kebebasan tetapi kita baca berita dalam media bila sebuah media Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua di Barat, menyiarkan gambar, memalukan Kolonial British. Lalu diambil tindakan supaya British jangan siar.

Bila giliran kolonial di British ada undangundangnya. Bila masuk Nabi Muhamad SAW tidak ada undang-undang. Ini double standard. Saya ucapkan terima kasih kerana diberi peluang dan hendak beri peluang kepada rakan-rakan yang lain.  Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.