Sumber foto : di sini

Sumber Khutbah : Teks JHEAINS

Dalam satu kenyataan baru-baru ini sempena Hari AIDS Sedunia tahun ini, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, mendedahkan bahawa antara bulan Januari dan September 2011, terdapat 107 kes HIV, 20 kes AIDS dan empat kematian akibat penyakit berbahaya itu di Sabah. Jumlah ini menurun sedikit berbanding tempoh yang sama tahun lalu di mana terdapat 129 kes HIV, 28 kes AIDS dan 17 kematian akibat penyakit berkenaan.

Bagi kes HIV, 67.3 peratus daripadanya adalah lelaki dan 37.3 peratus adalah wanita. 57.9 peratus daripada pengidap berkenaan terdiri daripada kaum bumiputera Sabah, diikuti warga asing (18.7 peratuspc), kaum cina (13.1 peratus), kaum Melayu (6.5 peratus), kaum India (1.9 peratus) dan kaum bumiputera Sarawak (1.9 peratus). Berdasarkan kepada perangkaan tersebut, 36.4 peratus daripada kes HIV terdiri daripada kalangan yang berumur antara 20-29 tahun, diikuti kelompok yang berusia antara 30-39 tahun sebanyak 29.9 peratus, dan 12.1 peratus di kalangan mereka yang berumur antara 40-49 tahun.

Sementara dalam kalangan yang berusia antara 13-19 tahun pula (10.3 peratus), golongan yang berumur 50 tahun ke atas (8.4 peratus) dan kelompok yang berumur dua tahun ke bawah (2.8 peratus). Dan, 97.2 peratus daripada kes HIV tertular melalui hubungan seks rambang manakala 2.8 peratus lagi tertular melalui transmisi vertikal (iaitu, daripada ibu kepada anaknya). Di samping itu, 45.8 peratus yang mengidap HIV terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai kerja tetap manakala 25.2 peratus adalah mereka dalam pelbagai jenis pekerjaan, 9.3 peratus (suri rumah), 9.3 peratus (penganggur), 8.4 peratus (pegawai kerajaan) dan 2 peratus (ahli-ahli badan-badan beruniform).

Manakala mereka yang terdedah kepada risiko jangkitan HIV pula adalah golongan yang mempunyai pasangan yang dijangkiti HIV, pengunjung atau pelanggan pusat-pusat maksiat, pengamal homoseks, pengamal bertukar-tukar pasangan seks, dan penagih dadah yang berkongsi jarum penyuntik.

Walaupun kelihatan kes HIV, AIDS dan kematian akibat wabak itu di Sabah mencatatkan sedikit penurunan, namun ia juga menunjukkan bahawa gejala maksiat seperti hubungan seks haram atau zina, penagihan dadah dan lain-lain lagi masih merupakan satu ancaman kepada kesejahteraan hidup beragama dan bermasyarakat di negara kita.

Ini bererti, kita tidak boleh berhenti atau memperlahankan usaha membendung segala perbuatan maksiat dan mungkar yang menatijahkan penyakit pembawa maut itu. Kealpaan, kelalaian dan ketidakseriusan dalam membanteras semua bentuk gejala maksiat dan mungkar pastinya akan mengundang murka Allah SWT sekali gus mendedahkan kita kepada pelbagai musibah dan bencana.

Ingat dan insaflah! Allah SWT pernah menurunkan malapetaka ke atas umat terdahulu sehingga dilenyapkan daripada muka bumi ini. Sebabnya, mereka  mengingkari suruhan dan larangan Allah SWT.