Tag Archive: Pendakwah Sabah


18 Mac 1929 – 9 November 2011

Hujan lebat pada awal pagi ini seolah-olah turut bersedih dengan pemergian seorang tokoh ulama’ yang tidak asing di bumi Sabah. Al-Fadhil Tuan Guru Datuk Ustaz Haji Ahmad Othman (82 tahun) disahkan kembali kerahmatullah sekitar jam 4.25 petang semalam di Sabah Medical Centre (SMC) setelah ditahan sejak hari isnin. Menurut sumber, Allahyarham sempat menunaikan solat hari raya aidil adha di Masjid Bandaraya pada pagi ahad sebelum masuk ke hospital keesokan harinya. SMS menyebarkan pemergian beliau pada saat akhir hari tasyriq itu mula berterbangan selepas maghrib dan umat Islam bertalu-talu berziarah ke rumah beliau di Kg Likas.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Setar Kedah (1941-1945); Sekolah Pondok Pantai Cegar, Alor Setar Kedah (1947-1948); Maahad Saulatiah, Makkah (1948-1955); Ma’ahad Ulumudiah, Makkah (1955-1962). Ketika belajar di Masjid al-Haram Makkah (1951-1962) beliau pernah berguru dengan seorang ulama tersohor Sheikh Abdul Kadir al-Mandili; kemudian di Universiti Islam Madinah (1962-1968) sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu; pensyarah agama di Maktab Perguruan Kent Tuaran (1972-1974); Pegawai Bahagian Pendidikan MUIS (1974-1976); Nazir Bahagian Pendidikan MUIS (1976-1981). Ketua Nazir Pendidikan MUIS (1981-1983); Pemangku Pengarah Bahagian Pendidikan MUIS (1983-1986), Timbalan Pengarah Amar Makruf (Dakwah) MUIS (1986-1989), Pengarah Dakwah MUIS (1989-1994) dan Timbalan Mufti Negeri Sabah (1994-1996). Beliau juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah (1974-1997). Terlibat secara langsung dalam program keagamaan, antaranya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah sebagai Pengerusi JK Kehakiman MTQ (1977-1994), Ketua Jamaah Hakim MTQ Negeri (1977-1994).

Tidak sedikit jasa beliau dalam perkembangan dakwah di bumi Sabah khususnya sejak beliau mula berhijrah ke Sabah pada awal tahun 70an. Antara sumbangan besar beliau ialah menyusun kurikulum baru SUIS dan SMU (1976); berusaha mendapatkan pengiktirafan dan kouta untuk pelajar Sabah di Universiti Ummul Qura’ Makkah (1980). Beliau juga antara orang yang berperanan mendapatkan pengiktirafan pelajar lepasan SMU Toh Puan Hajjah Rahmah KK bagi melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir; menyusun aktiviti dakwah dan perlantikan Pengerusi JK Dakwah Daerah, sebagai AJK Penggubal Undang-Undang Syariah Negeri Sabah, pendakwah USIA dan sebagainya.

Selepas menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan, beliau terus menyumbangkan ilmu dan kepakaran beliau dengan memberikan kuliah-kuliah al-Quran, tauhid, fiqah dan sebagainya di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Jangan lupa, beliau adalah penerima Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah pada 1431/2009 di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu Sabah. Allahyarham yang dilahirkan pada 18 Mac 1929 di Kg Alor Merah, Alor Setar Kedah, menetap di Sabah sejak tahun 1971 sehingga pemergiannya. Beliau meninggalkan isteri (yang kami panggil Ummi) dan 10 orang anak (3 lelaki dan 7 perempuan).

Beliau adalah seorang ulama’ yang tegas tetapi tetap dikasihi oleh para murid yang menadah ilmu dengannya. Ketika ziarah kami pada awal tahun 2010 ke rumahnya saat beliau uzur, saya mengiringi Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Haji Nahar dan Ustaz Arbaen, beliau sempat memperlihatkan beberapa kitab yang ada dalam maktabahnya, menyebut nama kitab, pengarangnya serta tempat letak kitab tersebut dengan begitu lancar sekali.  Barangkali ada pendapatnya yang tidak dipersetujui namun itu tidak mengurangkan penghormatan dan kasih kepada beliau yang bertaraf tuan guru. Bahkan Ustaz Muchlish sendiri mencium tangan beliau saat kami bertemu dan berpisah.

Barangkali ramai mengingat ketegasan beliau yang tidak bersetuju dengan sebutan penama jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah dalam doa khutbah kedua yang pernah menimbulkan perbincangan satu ketika, sehingga TYT ketika itu, Tun Ahmadshah Abdullah sendiri meleraikan khilaf itu dengan tidak mahu namanya disebut, memadai dengan hanya menyebut gelaran ‘Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah’ sahaja tanpa menyebut nama orangnya dan isterinya. Ketika Presiden PAS Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor meninggal dunia, beliau menggesa masyarakat Islam di Masjid Bandaraya, Likas agar turut menunaikan solat janazah ghaib, katanya bagi membuktikan kata-kata orang UMNO yang bercerita hal perpaduan bangsa dan agama ketika itu.

Ada beberapa kisah menarik yang saya ketahui termasuk soal pendirian politik beliau serta isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat, tetapi buat masa ini biarlah saya pendamkan dahulu untuk saya kisahkan pada masa yang sesuai nanti. Namun dari sudut agama, pemergian seorang ulama’ adalah satu bencana kepada umat yang masih tinggal kerana Allah SWT mencabut ilmu dengan mematikan para ulama’. Hayat dunia masih panjang selama ulama’ masih ada dan berjuang untuk Islam. Namun apabila ulama’ semakin berkurangan, maka orang akan bertanya hukum kepada orang jahil lalu orang jahil menjawab dengan jawapan yang menyesatkan.

Pemergiannya ditangisi oleh pencinta agama di negeri ini khususnya mereka yang mengenali dan menuntut ilmu dengan beliau. Saya sendiri sebak dengan doa yang dirafa’kan oleh Ustaz Haji Muchlish pagi tadi di Masjid Jamek Kg Likas dengan kehadiran kira-kira 500 orang. Pemergian beliau telah mengumpul dan menemukan para pendakwah dan alim ulama’. Solat janazah dipimpin oleh Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim sementara doanya oleh Ustaz Haji Muchlish. Antara yang saya lihat ialah Ustaz Haji Ghazali Sulaiman, Ustaz Datuk Mohammad Nor Wahab, Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Nor Azamuddin Umar, Ustaz Haji Arifin Ali, Ustaz Haji Awang Laiman Ikin, Ustaz Haji Saifuddin Daud, Ustaz Sidik Ag Adi, Ustaz Haji Khamis Jamil, Ustaz Haji Awwaluddin Nasution, Ustazah Hajah Zaloha, Ustazah Hajah Maria Hasibuan dan ramai lagi. Turut kelihatan Speaker DUN Sabah Datuk Salleh Said dan Ahli Parlimen Kalabakan YB Datuk Ghafur Salleh.

***

Di bumi Likas ini, sesiapa menyedari bahawa ramainya alim ulama’ dan para pendakwah yang masih hidup, tinggal dan menetap di sini. Tuan Guru Datuk Haji Ismail Abbas (mantan mufti), Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim, Datuk Ustaz Haji Mohammad Nor Wahab (mantan qadhi besar) dan ramai lagi. Di Taman Perkuburan Umat Islam Kg Likas, juga ramai para pendakwah disemadikan di sini. Sekadar mencatat beberapa tokoh besar di negeri Sabah, Allahyarham Ustaz Umar Sidik, Allahyarham Ustaz Haji Nahar Matamin dan hari ini Tuan Guru Datuk Ustaz Haji Ahmad Othman. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya keatas arwah mereka, memberikan balasan yang hebat di atas jasa-jasa besar mereka serta menempatkan mereka di kalangan orang yang bertaqwa.

Jasad Allahyarham Datuk Ahmad Othman disemadikan beriringan dengan kubur Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin. Al-Fatihah.

“Alhamdulillah, tiada amalan khusus. Ini hanya pemberian Tuhan”, kata Tuan Haji Suratman Abdullah, 88 tahun dari Ranau yang kelihatan masih sihat dan bertenaga. Saya menyertai sembang santai bersamanya dan Datuk Haji Mokhtar Rapok sempena majlis perkahwinan cucunya, Dr Mohd Fariz Datuk Amri. Dalam usia sebegini katanya, beliau masih ke masjid dengan memandu kenderaan sendiri.

Mengimbas kenangan, beliau yang dilahirkan pada tahun 1923 telah memeluk Islam pada tahun 1947 iaitu ketika berumur 23 tahun oleh seorang pendakwah dari Jawa bernama Raden Wira. Terdahulu itu katanya, beliau sendiri pernah hidup sebagai pagan dan Kristian Roman Katholik dan kemudian Kristian Sidang Injil Borneo (SIB) sebelum memeluk Islam.

Tuan Haji Suratman juga mengakui beliau adalah ahli Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pernah bergiat aktif dalam program-program dakwah di merata tempat satu masa dahulu. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada beliau dan gembira bersama anak cucu cicit yang tersayang.

PINDAH

Satu majlis ringkas diadakan baru-baru ini bagi meraikan dua sahabat kami yang akan berpindah ke tempat baru. Cikgu Mohd Nordi Mohd Daud sahabat yang murah dengan senyuman dan sudah bertugas selama 13 tahun di Sabah akan kembali ke Kelantan – sama ada di Jeli atau di Kota Bahru. Senyuman manis beliau khususnya akan diingati oleh anak-anak murid di Maktab Sabah dan kami semua.

Ustaz Wan Zaidel yang bakal berpindah ke Kuching Sarawak sudah saya kenali sekitar 10 tahun lalu. Tidaklah terlalu rapat, tetapi sesekali bertemu di mana-mana masjid dan surau. Pernah bertugas di SMK Pulau Gaya sebelum berpindah ke SMK Likas. Beliau tamatan al-Azhar dan isterinya adalah orang Sabah. Untuk kedua-dua mereka, Abu Nuha Corner mengucapkan selamat berjaya di tempat baru bertugas.

UZUR

Sejak masuk ke dalam dewan utama solat Masjid Bandaraya, saya sudah melihat beliau duduk di atas kerusi rodanya menghadap ke kiblat, bersama-sama ribuan jamaah lain mendengar khutbah jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Haji Parmin Sahlan. Sayu hati saya melihat keuzuran yang menimpa Datuk Haji Ahmad Othman, mantan Timbalan Mufti Negeri Sabah ini.

(Ziarah terakhir ke rumah beliau adalah pada awal tahun 2010 bersama-sama dengan Ustaz Haji Muchlish, Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin dan Ustaz Arbaen Shawal)

Selesai solat fardhu jumaat, hati saya ingin terus bersalaman dengan ulama’ ini tetapi saya perhatikan ramai jamaah masjid yang hendak pulang berpusu-pusu bersalaman dan mencium tangannya, bahkan ada yang memeluk dan mencium pipinya. Saya perhatikan suasana itu sehingga sedikit lengang. Saat saya menuju ke arahnya, beliau memandang dan memanggil nama saya. Oh, beliau nampaknya masih mengingati saya.

Saya fikir meski fizikalnya semakin susut, tetapi fikirannya masih sihat bahkan barangkali semakin baik. Ramai jamaah yang mengetahui bahawa emosinya terganggu selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah pada 1431H/2009M. Saya tidak berhasrat bercerita di sini hal itu kerana terdapat beberapa insiden yang membuatkan beliau berkecil hati. Selepas daripada itu keadaan emosi beliau semakin terganggu khususnya apabila beliau solat berjamaah di Masjid Kg Likas.

Keluarga beliau membawanya balik ke kampung di Kedah beberapa ketika. Saya diceritakan bahawa tiada sesiapa lagi yang mengenalinya di kampung halaman sendiri sehingga beliau mahu kembali ke Kota Kinabalu. Maklumlah umur sudah semakin lanjut dan beliau sudah meninggalkan kampung halaman sejak puluhan tahun untuk belajar di tanah suci dan kemudian berhijrah ke Sabah.

Seperti tiada soalan lain, selepas mencium tangannya saya tanyakan kesihatan beliau sambil mengurut-urut lengan beliau yang semakin tidak berisi. Sayu juga beliau menceritakan bahawa katanya dirinya semakin susut. Beliau juga bercerita sebentar kisah kepulangannya ke Kedah dan kemudian kembali ke Kota Kinabalu. “Saya mahu ke Sabah”, katanya.

Datuk Ahmad Othman yang dilahirkan pada 18 Mac 1929 itu kemudiannya disapa oleh Ketua Menteri Datuk Haji Musa Haji Aman bersama beberapa kenamaan lain yang turut menunaikan solat jumaat di masjid ini. Beliau yang masih duduk di kerusi roda kemudiannya disorong keluar masjid. Saya berhasrat untuk menziarahi beliau lagi selepas ini. Semoga Allah memberi kekuatan kepada beliau untuk menikmati sisa kehidupan ini.

CIKGU RIZAL HADI ISMAIL

Kami bertemu pada petang ahad di Hospital Queen Elizabeth saat dia menemani ibunya yang ditahan di wad berkenaan. Nampaknya kesihatannya semakin baik  walaupun berat semakin susut daripada 120kg kepada 70kg setelah menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, kini beliau sudah mula mengajar di sekolahnya di Tenom.

Cikgu Rizal dalam sembang kami masih bersemangat dan menunjukkan kepada saya risalah yang dibuat untuk diedarkan kepada jamaah Masjid ar-Rahman Pekan Tenom. Katanya ada risalah mingguan dan ada risalah bulanan. Bahkan beliau mengajak saya untuk menulis sedikit artikel untuk risalah bulanan itu nanti yang bermula pada februari.

Jiwa pendakwahnya masih belum luntur apabila setiap kali selepas rawatan dialisis, beliau terus melakukan ziarah kepada pesakit di Hospital Tenom. Selain itu, beliau juga mula kembali sebagai khatib di masjid dan mengisi program menurut kemampuan beliau. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepadanya.

 

USTAZ ZULHAZMI OSMAN

Ustaz Zulhazmi Osman mula saya rapati saat beliau masih bertugas di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu (KK High School) dan saya pula bertugas di Masjid Negeri sebagai imam. Beliau menghubungi secara peribadi meminta mengisi satu slot tazkirah kepada para pelajarnya dalam satu majlis ringkas di Masjid Negeri Sabah.

Sebelum itu sudah mengenali dan mendengar namanya sedikit demi sedikit.  Jujurnya, saya segan bertazkirah depan pelajarnya sedang dia ada di sisi ketika itu. Maklumlah saya orang yang baru bertatih untuk belajar menyampaikan tazkirah.

Persahabatan berlanjutan sehingga kini dan beliau yang kami kenali tidak reti berhenti mengadakan program dakwah baik kepada pelajar rendah atau menengah, kepada orang awam dan sebagainya. Pendekatannya juga pelbagai. Di Surau Taman Austral beliau antara orang kuatnya dan mengadakan pelbagai program seperti sembelihan lembu untuk aqiqah, qurban atau sembelihan biasa.

Ustaz Zulhazmi yang datang ke Sabah pada tahun 1995 berhenti daripada dunia pendidikan secara formal pada tahun 2005 setelah bertugas di Kudat dan Kota Kinabalu untuk menceburi dunia perniagaan secara sepenuh masa dengan syarikat Siddqi Auto yang menjual kereta-kereta terpakai di Taman Mesra dan Taman Austral.

Beliau juga berperanan besar dalam menubuhkan Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral bersama rakan-rakan yang lain sejak 6 tahun lalu. PPI an-Nur adalah sebuah sekolah agama rakyat (SAR) yang berdaftar dengan JHEAINS dan mempunyai lebih 100 pelajar.

Hendak mencatatkan semua sumbangannya dalam artikel ini sudah tentu terlalu banyak. Memadailah saya catatkan beliau seorang yang rajin dan kreatif, berani mencuba untuk setiap aktiviti yang dianjurkannya.

Hujung bulan ini beliau akan berpindah ke Kedah, kampung halamannya setelah 15 tahun berbakti di negeri Sabah. Namun, khabarnya beliau akan datang beberapa hari setiap bulan untuk meninjau perniagaannya. Walaupun  begitu, kami mengucapkan setinggi penghargaan atas jasa baik beliau bersama keluarga dalam dunia dakwah khususnya di Sabah.

ZIARAH CHE’GU JAMIL

Beliau sekeluarga tinggal menyewa di Taman Pakatan Jaya, Ipoh sejak berpindah dari Sabah akhir tahun lalu. Ini pertemuan kali ketiga tahun ini setelah mereka pindah, namun kali pertama saya datang dan bermalam di sini. Cerita kami banyak berkaitan isu-isu dakwah di Sabah, cerita keluarga masing-masing dan sahabat-sahabat di Sabah dan pengalaman baru mereka setelah hampir setahun berpindah.

Nampaknya mereka masih dalam proses menyesuaikan diri, mencari kawan-kawan baru, mencari rentak untuk menyertai program-program dakwah seperti di Sabah. Kata beliau, bil penggunaan telefon bimbit masih rendah berbanding ketika di Sabah, telefon ke sana  ke mari untuk berprogram. Banyak perbezaan dalam tempoh setahun di sini berbanding ketika di Sabah, khususnya dalam suasana bermasyarakat. Kehidupan mereka juga banyak diisi dengan menjaga ayah beliau yang  semakin uzur, dan itulah antara punca beliau balik berpindah.

Semasa saya bermesyuarat dalam lajnah tashih al-Quran di Alor Star, saya ada nyatakan kepada pengerusi kami iaitu Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansor yang juga pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Perak agar memanfaatkan Che’gu Jamil sebagai aktivis baru PUM di Perak.

Yang nostalgianya di rumah beliau ialah kenangannya terhadap Sabah sangat terserlah. Saya dipinjamkan tuala mandi berlogokan SMKA Inanam (sekarang SMKA Tun Ahmadshah Abdullah) juga foto kenangan bersama TYT di Istana Negeri Sabah yang digantung di dinding rumah menjadi bukti ingatannya di Sabah. Jangan lupa kedua-dua keretanya masih ‘cop’ Sabah lagi. Saya turut dibawa melihat rumah barunya  yang masih dalam pembinaan, tidak jauh dari tempat beliau bertugas di SMK Tambun.

Dua malam bersama, saya berterima kasih atas kesudian beliau sekeluarga menerima saya sebagai tetamu.

ROTI CANAI USTAZ KHAIRUL


Masih cerita jaulah di Ranau.

Letih perjalanan dan mengisi program seharian di beberapa lokasi di daerah ini terubat sedikit apabila perjalanan pulang kami singgah di rumah Ustaz Khairul Anwar Md Yusob di belakang Pekan Nabalu. Ini kunjungan kali kedua selepas Mei tahun lalu.

Memang hajat untuk berehat sebentar menghilangkan lelah badan dan suara yang banyak bercakap sepanjang hari. Tambahan pula saya juga memandu kerana Arshad yang menjadi teman perjalanan baru berumur 16  tahun.

Ustaz Khairul Anwar sekeluarga memilih untuk menetap di sini sejak 6 tahun lalu, dalam kelompok komuniti bukan Islam. Itu yang saya kagumi beliau. Masjid terhampir untuk solat jumaat ialah Masjid Pekan Kundasang, 30km dari rumahnya.

Masuk jalan menuju rumahnya khususnya pada waktu malam memang agak sunyi. Kalau kali pertama dahulu, saya datang menyertai rombongan kawan-kawan, kali ini pula saya memandu sendiri. Perasaan seram pun ada juga kerana melalui kawasan hutan walaupun tidak sampai 10 minit.

Langkah kanan kami tiba kerana Ustaz Khairul Anwar sedang sibuk menyediakan roti canai untuk dijual di sekolahnya – SK Kaung Kota Belud. Pagi keesokan katanya, ada program bestari solat bersama pelajar sekolah. Roti canai yang dibikinnya sendiri laku di sekolah dengan harga yang murah.

Alhamdulillah, kebetulan belum makan malam. Roti canai Ustaz Khairul memang kena dengan selera kami. Setengah jam di rumahnya, kami meminta diri kembali ke Kota Kinabalu. Jam 11.30 malam, saya tiba di rumah dengan sepenuh kereta berbau durian yang dibawa dari Kampung Luanti.

Perjalanan terakhir seorang hamba Allah

Selepas solat subuh di Masjid Jamek Kg Likas dan bersarapan di Likas Plaza bersama rakan-rakan yang berjaga malam, saya kembali ke masjid. Baru jam 6 pagi, ada sedikit masa untuk berehat. Fikiran masih berkecamuk setelah kehilangan Ustaz Nahar yang dikasihi.

Rehat dan lena tidak sampai sejam sedikit sebanyak terusik dengan kenangan lama. Lagi pun beberapa rakan membuat panggilan masuk dan sms ke telefon, bertanyakan urusan penyelenggaraan jenazah, bila mandi, bila solat, bila kebumi dan seumpamanya.

Hampir jam 8 pagi, kami yang hanya berada di luar rumah dimaklumkan jenazah ustaz sudah bersedia untuk disolatkan. Maklumlah keluarga dan sanak saudara beliau yang besar, ahli jamaah masjid serta rakan-rakan ramai dan sedia membantu urusan mandi dan kafan.

Solat janazah didirikan di Masjid Jamek Kg Likas yang terletak berhadapan dengan rumah ustaz dengan diimamkan oleh Imam Abd Ghani Hj Nawawi disertai kira-kira 500 jamaah. Sesudah solat pertama, muncul lagi kumpulan kedua yang terlewat sampai diimamkan oleh Ustaz Shahrul Nizam, rakan beliau yang sama-sama belajar di Jordan yang tiba dari Pahang malam tadi.

Sekitar 8.25 pagi, jenazah bersiap sedia untuk diusung ke Taman Perkuburan yang terletak tidak jauh, hanya berjalan kaki sekitar 5-10 minit. Saya melihat deretan orang ramai sama ada saudara mara, sahabat, guru-guru agama, para pendakwah terus berkunjung ke taman perkuburan, tidak sempat menyertai solat janazah dan terus ke majlis pengkebumian ustaz walaupun majlis hampir ke penghujung.

Kami jangkakan tidak kurang tiga ribu umat Islam yang mengikuti dan memberikan penghormatan terakhir buat ustaz yang dikasihi. Oleh kerana tempat persemadian ustaz berada di lereng anak bukit, masih ramai berdiri dan duduk jauh kerana keadaan tersebut tambahan keadaan tanah yang licin akibat hujan lebat semalam.

Imam Abd. Ghani dan Imam Wahid bersilih ganti memimpin talqin dan tahlil. Hati begitu sedih dan sebak sekali berpisah dengan ustaz. Saya melihat setiap sahabat-sahabat seusrah, rakan-rakan seperjuangan yang hadir semuanya sugul dan mengalirkan air mata.

Imam Wahid turut sebak saat memimpin tahlil. Teringat kebaikan ustaz yang suka membantu muallaf dan pekerjanya, santunnya kepada anak muda, kasih sayangnya kepada sahabat, pemurah kepada tetamu, juga hormatnya kepada pemimpin. Alhamdulillah, beliau pergi meninggalkan isteri yang baik dan anak yang soleh. Mudah-mudahan Nasyraf menjadi pemimpin dan pengganti yang baik dalam keluarga.

Semoga Ustaz Haji Nahar tenang dan bergembira menerima nikmat dari Allah SWT di alam barzakh. Marilah kita meneruskan perjuangan Islam yang ditinggalkan oleh para pendakwah terdahulu termasuk oleh Ustaz Nahar. Beliau telah mendahului kita semua.

Ya Allah ampuni Ustaz Nahar, kasihani dia, afiatkan dia, maafkan dia, muliakan dia, luaskan tempat semadinya, sucikan dia dengan air, salju lagi sejuk dan nyaman. Gantikan dia dengan kehidupan yang lebih baik berbanding yang sudah dialaminya di dunia. Jauhkan dia daripada azab kubur dan fitnahnya, juga daripada azab api neraka. Masukkan dia ke dalam syurga bersama orang-orang yang baik. Allahumma amin.


Malam tadi kami sahabat-sahabat akrab Allahyarham Ustaz Haji Nahar berziarah ke rumah beliau di Kg Likas. Saya sudah berpesan kepada sahabat-sahabat agar membawa sekali isteri masing-masing bagi mengucap tazkiah kepada Kak Shida.

Orang yang datang begitu ramai sekali. Bertali arus. Antaranya mantan mufti Datuk Haji Ismail Abbas bersama-sama jamaah Masjid Kg Likas yang baru menunaikan solat isyak. Datuk Sanin Pandin, mantan Ahli Suruhanjaya Cobbold juga kelihatan sama.

Sebelah siangnya, juga tidak kurang ramainya jamaah yang datang. Antaranya Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) Datuk Haji Ismail Ag Besar, mantan Imam Besar Datuk Haji Mokhtar Rapok, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Sabah) Haji Khairan Untoh, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, mantan Pengerusi MUIS Datuk Haji Matusin Ag Damit, ADUN Pantai Manis Datuk Rahim Ismail, Ahli MPT PKR Haji Ansari Abdullah dan ramai lagi.

Hujan lebat beberapa jam petang itu di sekitar Kota Kinabalu telah menenggelamkan beberapa lokasi. Demikian kami dimaklumkan. Namun jenazah Ustaz Nahar tidak putus dikunjungi orang. Rakan-rakan sekerja dari JHEAINS, guru agama,  pengawai tinggi kerajaan, orang-orang politik hadir silih berganti. Asalnya kami dimaklumkan jenazah mahu diselenggarakan secepat mungkin, namun hujan lebat itu menjadi salah satu halangannya. Tambahan lagi pihak waris masih menanti beberapa ahli keluarga yang hanya tiba ke Kota Kinabalu lewat petang.

Hampir 10 malam, kami mula meminta diri untuk pulang. Saya bersalam erat dengan Nasyraf, 17 tahun, anak sulung Ustaz Nahar. Saya menyabarkan beliau dan mengatakan bahawa kini amanah ketua keluarga berada di pundaknya. Kami sebagai rakan-rakan seusrah babahnya bersedia membantu sekadar yang termampu.

Rupanya Kak Shida ada permintaan lanjut. “Bolehkah ahli usrah bermalam di sini malam ni?” “Ya”, jawab saya. Kami berunding dengan rakan-rakan akan datang semula pada tengah malam. Saya juga balik sebentar untuk menghantar isteri dan anak.

Jam 1 pagi kami datang berkumpul. Ketika itu, keadaan sudah sunyi sepi kecuali suara bacaan al-Quran. Yang lain sudah mulai melelapkan mata. Banyak cerita kenang-kenangan bersama Allahyarham kami luahkan. Kisah saat-saat akhir hayatnya juga kami kongsikan bersama. Saudara Amir, pembantu Ustaz Nahar banyak bercerita tentang detik pemergian ustaz. “Ustaz Nahar sempat mengucap dua kalimah syahadah”, katanya, sebelum Allahyarham terlentok di bahunya.

Di rumah, anak-anak dari SMKA Tun Ahmadshah Inanam membacakan al-Quran sejak tengah malam sehingga ke jam 4.30 pagi. Kami pula mengambil saat akhir sebelum subuh untuk membacakan Yasin dan doa untuk Allahyarham. Sebelum berangkat ke masjid, saya buka lagi kain yang menutup wajahnya. Demi Allah, kami melihat wajah beliau dengan bibirnya yang tersenyum.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers