Tag Archive: PAS


Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10304-pas-bina-surau-al-harakah-di-pulau-shanghai-

SANDAKAN: Cita-cita penduduk pulau Shanghai, yang terletak setengah jam perjalanan bot dari Sandakan, untuk memiliki sebuah surau dan tempat berkumpul menjadi kenyataan apabila sebuah surau didirikan dan dirasmikan hari ini. Surau ini dinamakan Al-Harakah sempena penyumbang utama untuk pembinaannya adalah datangnya dari pembaca Harakahdaily.

Ia selamat dilancarkan hari ini oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang disertai sama oleh Haji Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah. Turut serta adalah anggota Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat yang menjadi penganjur kepada pembinaan surau ini. Lebih 150 penduduk tempatan turut sama dalam majlis pelancaran surau ini hari ini.

Majlis pelancaran surau itu dibuat melalui tandatangan ke atas plak surau itu yang disempurnakan oleh Tuan Ibrahim dengan disaksikan penduduk tempatan. 31 Disember tahun lalu Tuan Ibrahim yang memimpin ekspedisi ke pulau ini memacakkan tiang tanda janji untuk membina sebuah surau di pulau itu.

“Kita mahu surau ini menjadi pusat perpaduan penduduk di pulau ini. Pusat aktiviti, pusat kerjasama,” kata Tuan Ibrahim dalam ucapannya hari ini. Tuan Ibrahim ketika mengimbau kembali lawatan pertamanya ke sini Disember lalu berkata, apabila ditanya penduduk di sini, apa yang mereka perlukan di sini mereka berkata banyak yang tak ada di sini.

“Dari banyak yang takda, air bersih, letrik, dewan, surau, kami pilih buat surau tempat berhimpun dan berjamaah,” katanya. Selepas itu, kempen dibuat untuk mengumpul dana untuk surau ini keseluruh dunia termasuk ke Arab Saudi. Ekoran itu lebih RM60,000 berjaya dikumpul khasnya dari pembaca Harakahdaily ekoran iklan yang disiarkan dalam laman web ini.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat memberikan sumbangan khasnya pembaca Harakah kerana menjayakan projek ini. Atas dasar itu kita namakan surau ini Al-Harakah,” kata Tuan Ibrahim. Tuan Ibrahim yakin PAS dan Pakatan Rakyat akan berbuat lebih lagi untuk rakyat Sabah jika diberikan mandat untuk mentadbir negara.

“Ini tempat untuk semua orang untuk memenuhi keperluan didik agama kepada anak-anak, program motivasi, solat dan sebagainya. Kami serahlah kepada tuan-tuan semua untuk mengisi program di sini agar surau ini sentiasa hidup dengan program,” katanya. Beliau juga berkata, selepas ini surau kedua pula akan dibantu oleh PAS untuk dibina iaitu di Keningau.

“Di sana ada satu kampung yang gereja ada dua buah tetapi tidak ada satu pun surau di situ sedangkan orang Islam ramai,” katanya.

Sumber : http://presiden.pas.org.my/v2/

Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.

Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya, kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri, tetapi sifat fitrah juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa, suku kaum, berkeluarga yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji setiap rakaat sembahyang. Allah berfirman (maksudnya):

Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat: 13)

Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa, samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia menegaskan ;”Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.

Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya.

Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.

Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

سنن أبي داود – (ج 13 / ص 325)

Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas perjuangan asobiyyah).

Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.

Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.

Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya.

Akhirnya Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.

Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua Umar bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan:

“Kita adalah kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa yang hina“.

Kenyataan ini berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad: 38)

Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup.

Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa asing yang menindas mereka dengan hina.

Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah, sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana laut.

Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam, menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab, sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.

Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti.

Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin UMNO.

Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO, bahkan jatuh terhumban bersamanya.

PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia. Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.

Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.

Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya.

Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO.

BERFIKIRLAH SEJENAK

TERUTAMA KEPADA MELAYU ‘ATAS PAGAR’

Tajuk asal : Kesan politik durjana Umno terhadap Melayu

Sumber : di sini

Isu perpaduan menjadi topik utama dalam pelbagai medium perbincangan, khusus di kalangan orang Melayu. Perpecahan digambarkan berpunca dari wujudnya parti politik yang ditunjangi oleh kelompok orang Melayu. Ia seolah-olah menjadi  unsur utama perpecahan sehingga diucap oleh kebanyakan pimpinan samada pimpinan politik atau agama.

Persoalan utama apakah kewujudan parti politik menjadi punca perpecahan Melayu. Kalau kewujudan parti politik menjadi punca perpecahan, kenapa kita menerima sistem demokrasi yang mengizinkan wujudnya pelbagai parti politik, dan kenapa kerajaan meluluskan pendaftaran pelbagai parti politik khusnya parti berteraskan perkaumanan – kerana dengan meluluskan pendaftaran parti tersebut, kita mengizinkan rakyat Malaysia berpecah.

Hakikatnya masyarakat Melayu tidak berpecah, mereka hanya berbeza pandangan dan sokongan kepada parti parti politik yang sah dari sudut perlembagaan. Bilamana kita menerima sistem demokrasi bermakna kita mesti bersedia untuk menerima perbezaan pandangan, sokongan dan kelompok yang berbeza. Andainya ini diterjemahkan sebagai perpecahan, maka tentulah golongan yang menganggap demikian tidak memahami erti sistem demokrasi. Bahkan dalam satu parti, masih wujud kelompok- kelompok yang berbeza.

Kita mesti bersikap terbuka dalam menilai sesuatu keadaan, kerana kalau perbezaan pandangan dan sokongan dianggap perpecahan, maka tindakan kerajaan meluluskan pendaftaran parti bersifat perkauman seperti Umno yang memperjuangkan Melayu, MIC yang memperjuangkan nasib kaum India, MCA yang memperjuangkan nasib kaum Cina mesti diharamkan, kerana inilah punca utama wujudnya masalah besar perpaduan nasional dalam negara kita.

Bagi PAS, kita menilai perbezaan bukanlah perpecahan, sebaliknya ia adalah perkara normal dalam mana-mana negara atau kelompok masyarakat sekalipun. Kerana itu, al Quran menjelaskan:

Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka.” –Al-Anfaal:63

Dalil di atas menunjukkan kepada kita penyatuan mesti berdasarkan nilai universal yang bukan bersifat bangsa, warna kulit, dan keturunan. Kerana ini bukan pilihan manusia. Tidak mungkin kita boleh menukarkan bangsa  Melayu  untuk menjadi Cina, India untuk ditukar menjadi Jawa dan seterusnya. Yang boleh ditukar ialah sesuatu yang dalam pilihan manusia seperti agama (aqidah) kerana manusia boleh memilihnya. Kerana itu, Islam tidak meletakkan soal agama sebagai unsur paksaan, kerana ia dibina di atas keyakinan seseorang.

Namun, Islam menyarankan agar dakwah dilaksanakan di kalangan masyarakat agar Islam diketahui  dan difahami dengan sebenarnya. Kerana seandainya seseorang memahami dengan sebenarnya ajaran Islam yang bersifat universal ini, tentu ia akan menerima Islam sebagai agama pilihan. Bagi golongan yang tidak menerima bukanlah musuh, kerana yang dianggap musuh adalah yang menentang atau bersikap memusihi Islam. Ini adalah perkara normal  di mana-mana sistem pun. Golongan komunis tidak akan menerima kaum kapitalis dalam pentadbirannya.

Adalah malang bagi golongan Melayu Islam bilamana perpaduan Melayu itu dilihat sekiranya orang Melayu menyokong Umno yang bersifat asabiah, manakala golongan yang menyokong PAS atau PKR dianggap golongan yang memecah belah masyarakat Melayu. Keadaan ini telah diasak dalam pemikiran rakyat, sehingga ianya diterima oleh sebahagian orang Melayu, dan itu adalah hakikat yang paling menyedihkan dalam kesan terus politik asabiah Umno terhadap kaum yang mereka ingin bela.

Pemikiran tertutup inilah sebenarnya yang membawa perpecahan di kalangan orang Melayu. Sehingga Melayu menjadi lemah, lebih-lebih lagi malas dan hilang daya saing kerana sentiasa bergelumang dalm salah guna kuasa, masalah moral dan rasuah sebagai jalan keluar. Sedangkan semua pimpinan di semua peringkat adalah orang Melayu – dari Raja-raja, Perdana Menteri, Timbalan menteri, Menteri Besar, Exco-exco, pegawai daerah, penghulu, ketua kampung dan JKK.

Apabila Melayu lemah, muncullah pimpinan Umno bangkit menyalahkan Cina (DAP). Sedangkan berpuluh tahun orang Melayulah mendominasi pimpinan negara. Inilah sikap dan politik durjana Umno yang bilamana gagal mengurus tadbir negara dengan baik , maka diletakkan kesalahan kepada PAS sebagai punca perpecahan Melayu, manakala nasib orang melayu yang lemah dan semakin jatuh berpunca dari DAP.

Lebih menyayatkan rakyat Malaysia, pembohongan ini diterima oleh sebahagian masyarakat Melayu kerana perkara ini diulang-ulang oleh Umno di media perdana seolah-olah ia benar, walhal asalkan seseorang itu rajin berfikir sejenak, pembohongan ini mudah dikesan dan disedari.

Saya teringat satu ceramah yang disampaikan oleh Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus berkenaan orang-orang yang liat untuk menerima Islam sebagai satu cara hidup secara keseluruhan. Yang banyak berlaku dalam masyarakat ialah menerima sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Ada menzahirkan penolakan mereka dan ada pula yang menyembunyikan dengan dalih yang bermacam-macam.

Ada yang ‘berbulu’ mendengar teguran dalam ceramah, seolah-olah menyesal menjemput ustaz datang kerana teguran itu walaupun benar tetapi terkena batang hidung mereka. Di sisi yang lain ada juga yang berterima kasih kerana teguran itu benar kerana sudah tidak menyangkut dengan diri mereka lagi.

“Hentam ustaz, hentam! Saya dah pencen”, demikian cerita Ustaz Ismail dalam ceramahnya, mengajuk kembali kata-kata audien yang pernah berjawatan tinggi yang mendengar ceramahnya. Ertinya, ketika dia masih berjawatan dan berpangkat tinggi, jangan cuba-cuba hendak menegur atau mengkritik. Tunggulah akibatnya. Ia biasanya ceramah tentang keperluan menegakkan Islam dalam pemerintahan dan pentadbiran yang meresahkan ramai manusia berkepentingan.

Ini menunjukkan naluri mereka sebenarnya mahu kepada kebaikan dan kebenaran. Hanya sanya kerana mereka terikat dengan jawatan seperti ketua-ketua jabatan atau ahli yang berhormat, jadi mereka menolak nasihat atau teguran mana-mana ustaz yang berkenaan. Tapi kalau ceramah dalam bab sembahyang, puasa, haji, baca al-Quran, sedekah, mereka boleh terima.

Pengalaman peribadi saya juga begitu. Seorang bergelar datuk ketika memegang jawatan sebagai pengarah sebuah jabatan, bukan main payah untuk ditegur terutama dalam hal mempraktikkan kerja Islami dalam jabatan, perkhidmatan awam, pentadbiran negeri dan negara. Tapi apabila beliau sudah pencen, beliau pula lebih bersemangat dan mengiya-iyakan perkara berkenaan apabila saya menyebutkannya dalam ceramah di sebuah masjid.

Ketika berjawatan, mereka tidak berani menyatakan kebenaran di hadapan ketua atau pihak atasan mereka. Apa sebabnya, mungkin kerana jawatan, kerana periuk nasi, kerana ampu sana dan ampu sini, kerana rahsia peribadi yang berada dalam ‘kocek’ ketua mereka, mereka masing-masing tau sebabnya.

Tidak sedikit kisah beberapa Ahli Yang Berhormat sebelah UMNO yang saya ketahui dalam diam mengkagumi keperibadian pimpinan PAS terutama Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang sehingga timbul rasa hormat dan segan mereka. Mereka ceritakan kepada orang dekat mereka tetapi di khalayak tidak mahu menzahirkan kebenaran itu. Ia bukan semata-mata keperibadian dua tok guru itu sebenarnya tetapi Islam yang mereka junjung dalam diri dan seluruh pentadbiran yang mereka pimpin.

Tidak sedikit juga kisah mereka yang berjawatan politik dalam UMNO yang memohon khidmat dan menerima pengubatan Islam daripada Tuan Guru Dr Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus, tetapi apabila kedua-duanya menceritakan tentang kebenaran politik Islam yang PAS bawa, serta merta mereka berdalih dan menolak. Saya dapat mengesahkan ada orang besar UMNO di Sabah yang menggunakan khidmat perawat Darusyyifa’ Bangi dengan membayar  tiket penerbangan terus ulang alik dari KLIA ke Sabah untuk merawat seorang keluarga mereka yang mengalami sakit gangguan makhluk halus.

Seorang berjawatan besar dalam negara ini berpangkat Tan Sri juga pernah menceritakan kepada seorang berjawatan tinggi di Sabah betapa dia mengkagumi cara perbahasan dan ceramah beberapa Ahli Parlimen dari PAS dan PKR terutama yang muda-muda. Seorang pemandu kepada seorang Allahyarham Tan Sri juga menceritakan bahawa di dalam kereta, Tan Sri berkenaan suka sekali mendengar cd dan kaset ceramah Ustaz Ismail Kamus.

Seorang Datuk YB apabila terserempak dengan Tok Guru Haji Abdul Hadi di LTA Kota Kinabalu, bersalaman dan mencium tangan beliau. Akibatnya tidak lama kemudian beliau dipanggil oleh pihak tertentu atas tindakannya itu.  Saya mengenali baik beliau dan beliau juga mengenali saya. Demikianlah mereka sebenarnya dalam diam mengakui kebenaran dan Islam yang PAS junjung. Tetapi dalam tindakan terutama di khalayak ramai, mereka terpaksa menjaga perut mereka.

“Katakanlah : Telah datang kebenaran, dan terhapuslah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu akan hilang akhirnya”.

p/s : kirim salam dengan yb berkenaan. kita boleh jumpa dan minum sama-sama.

(Datuk Tuan Ibrahim memacakkan kayu tanda hasrat membina surau di pulau Shanghai, Sandakan 31 Disember lalu)

KUALA LUMPUR, 28 Mac : Selepas seminggu Tabung Pembinaan Surau Shanghai dilancarkan, tabung itu kini berjaya mengumpulkan sejumlah RM25,162.23. Ia dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai secara terus ke dalam akaun bank itu atau melalui kempen yang dibuat oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat. Menurut pegawai penerangan PAS, Mohd Shahir, jumlah itu adalah sehingga pagi 28 Mac. Mereka mensasarkan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk projek ini.

Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat  pada 31 Disember 2011 lalu dalam ekspedisinya ke Sabah telah berjanji akan membina sebuah surau di pulau Shanghai, Sandakan, Sabah. Keputusan ini diambil memandangkan pulau ini tidak mempunyai sebarang kemudahan asas samada masjid, surau, dewan orang ramai, kemudahan air bersih dan letrik. Ternyata pulau ini terus terabai dari arus pembangunan negara dalam keghairahan pemimpin melaungkan negara maju menjelang 2020, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi lajnah berkenaan yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

“Sehubungan itu kami merayu kepada para dermawan untuk turut menyumbang bagi menjayakan hasrat pembinaan Surau tersebut. Semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik dan mengampuni dosa sebagaimana yang dijanjikan,” kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi lajnah yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Satu akaun telah dibuka di Bank Islam atas nama Tabung Pembinaan Surau Shanghai dengan nombor akaun 14041010080138 untuk tujuan itu. Ekoran itu, sumbangan mula diterima dari orang ramai  bagi menjadikan cadangan pembinaan surau ini satu realiti. Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS menjangka, tapak asas surau ini akan dibina pertengahan bulan April nanti apabila pimpinannya turun semula ke sana nanti. (Sumber : Harakahdaily)

***

Terkini : 3 April: Selepas 10 hari dilancarkan, tabung pembinaan surau Shanghai, Sandakan, Sabah telah mengumpulkan dana sebanyak 30,959.57.

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Apabila kerajaan menganggap kuasa yang dimiliki mereka sebagai peluang melakukan apa sahaja dan bukan amanah yang perlu dijaga, maka akan berlakulah segala kepincangan dalam pentadbiran negara. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN perlu menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar setelah dipilih rakyat melalui pilihan raya.

“Tanggungjawab menjadi kerajaan adalah amanah. Bila diberi peluang menjadi kerajaan bukan bermakna boleh melakukan apa sahaja. Apabila ada sikap mahu melakukan apa sahaja, berlakulah kecelaruan dan penyelewengan. Konsep memilih pemimpin juga adalah amanah terbesar. Rakyat yang menyertai pilihan raya pun menjalankan amanah,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan yang tidak menjaga amanah yang diberi menyebabkan wang rakyat termasuk zakat diseleweng untuk kepentingan mereka.

“Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan,” katanya.

Tambahnya, sikap kerajaan yang mengambil kesempatan di atas kuasa yang ada juga menyebabkan kebajikan rakyat diiketepikan.

“Ini  termasuklah duit KWSP, Tabung Haji disonglap, diambil di tengah jalan. Ini kerana kerajaan menganggap menjadi pemimpin adalah peluang, bukan untuk menunaikan amanah termasuk tabung haji sebagai contoh. Tabung haji pada awalnya ditubuhkan untuk memberi khidmat untuk orang menunaikan haji. Tapi jadi perniagaan. Khidmat tabung haji tak banyak, lebih besar untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Menyentuh mengenai pilihan raya  pula, beliau berkata penggunaan dakwat kekal sahaja belum menjamin pilihan raya yang bersih. Katanya, selagi elemen-elemen lain tidak diperbaiki, pilihan raya tidak akan memenuhi prinsip demokrasi.

“Penggunaan dakwat kekal sahaja tidak menjamin pilihan raya yang adil. Selagi ada undi pos, pengundi yang meragukan, media yang tidak adil, selagi itulah pilihan raya tidak boleh dianggap bersih,” katanya.

 

Sumber : http://presiden.pas.org.my/v2/

Masih ramai dikalangan anggota masyarakat yang terbelenggu dengan kongkongan kejahilan terhadap Islam khususnya Fiqh Siyasah, apabila mereka merasa pelik melihat PAS boleh mengadakan persefahaman kerjasama politik bersama parti bukan Islam seperti DAP, yang dituduh setengah pihak sebagai  fanatik atau chauvinis. Seterusnya mereka ini bertanya : Mengapa PAS tidak boleh mengadakan persefahaman dengan UMNO yang sebangsa dengan PAS?

Tidakkah pendekatan mengadakan persefahaman dengan UMNO akan menjadi lebih mudah berbanding DAP atau PKR? Lalu penentang PAS yang tidak faham ini menyimpulkan bahawa PAS telah menggadaikan prinsip perjuangannya sebaik sahaja mengamalkan pendekatan Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat! Persoalan di atas boleh difahami jawapannya dengan mempunyai fikiran yang tenang dan terbuka dalam menekuni tulisan ringkas ini.

Syarat pertamanya ialah kita mestilah memahami kaedah ajaran Islam dalam menangani masyarakat majmuk bersama pendekatannya. Perlu difahami juga bahawa Islam pula bukannya agama yang terikat dan terbelenggu dengan semangat kebangsaan, walaupun peranan bangsa tidak boleh dinafikan wujudnya. Dalam amalan politik Islam pula terdapat ajaran dan hukum yang berkait dengan pendekatan yang adil terhadap masyarakat majmuk termasuklah layanan Islam dalam aspek kepelbagaian agama.

Risalah atau mesej Islam adalah bersifat sejagat, kerana kedatangan Nabi Muhammad SAW membawa rahmat kepada seluruh alam, manusia dan makhluk yang lain. Kerasulannya adalah kepada seluruh rumpun manusia, tidak terikat dengan bangsanya sendiri, tanahair dan zaman. Maka yang dikira termasuk dalam kerasulannya juga adalah dalam aspek politik menegakkan dan mentadbir sesebuah negara.

Islam tetap didahulukan, manakala fahaman kebangsaan pula hanyalah satu perasaan yang tidak boleh menjadi akidah. Peranan kebangsaan menjadi baik apabila Islam menjadi akidah dan petunjuknya. Hanya Islam menjadi petunjuk kepada bangsa, hanya bangsa yang berpegang dengan Islam sahaja boleh menunaikan amanahnya.

Adalah menjadi  hikmah terbesar, bahawa musuh pertama Islam di kalangan Nabi Muhammad SAW di Semenanjung Tanah Arab ialah dari kalangan bangsa Arab Makkah dan yang awal menerima Islam dan memperjuangkannya pula adalah mereka juga. Rasulullah SAW memulakan kemerdekaan bangsanya dengan menentang kongkongan jahiliyah daripada bangsanya  sendiri, walaupun di masa itu ramai kabilah Arab dan wilayahnya dijajah oleh kuasa besar Rom dan Parsi.

Walaupun mesej Islam itu kepada seluruh manusia, tetapi konsep berdakwah menekankan bahawa kita sekali-kali tidak boleh memaksa pihak lain supaya menganut Islam. Dalam masa yang sama Islam menerima konsep masyarakat majmuk yang menjadi naluri manusia yang menjadikan mereka wajib bermasyarakat madani, walau pun berbeza bangsa dan agama. Di sinilah betapa hebatnya firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13) الحجرات

Maksudnya : Wahai manusia, Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (hawwaa) dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Meliputi Ilmunya.

Manusia itu wajib bermasyarakat di peringkat setempat dan antara bangsa, kerana mereka tidak mampu menghasilkan keperluan hidupnya secara bersendirian atau individu, satu keluarga dan satu bangsa sahaja tanpa berhubung di antara satu sama lain. Sehelai kain untuk pakaian memerlukan penanam kapas, pelombong besi dan tukang besi untuk alat tanaman, penenun kain dan seterusnya. Begitulah juga keperluan makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

Ibnu Khaldun (1332M – 1406M) menyebut manusia itu bersifat  dengan sifat Madani, iaitu kemestian untuk berkumpul dan berhubung secara berpusat dengan adanya penempatan yang memerlukan pertukaran kemahiran dan hasil kerja yang berbeza. Tempat berhimpun itu dinamakan Bandar (Madinah)  dan pekerjaan mereka mestilah dimajukan secara ilmu, menerusi kajian dan pengalaman dengan menggunakan akal yang berkembang sehingga berlakunya kemajuan dan pencapaian yang dinamakan sebagai “Tamaddun”. Walau pun mereka berbeza agama dan bangsa, namun keperluan berhubung tetap wujud secara fitrah. Dalam masyarakat yang bersifat madani mereka perlu kepada cara hidup berkonsepkan politik dan berekonomi disemua peringkat, negeri dan antarabangsa.

Kedua, bagi merealisasikan aspek ini maka Rasulullah SAW melaksanakan konsep madani dengan mengadakan “tahaluf” atau kerjasama di kalangan yang boleh bekerjasama dari  aspek kemanusiaan  dengan kalangan manusia yang menyedari hakikat ini, dan negara pertama itu dinamakan Madinah. Rasulullah SAW melaksanakan tugas serampang dua mata yang ditunjuk oleh Allah menjadi tujuan kerasulannya untuk seluruh manusia dengan menyatukan umat manusia yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Pertama - dinamakan ‘umat Ijabah’, mereka ialah penganut Islam yang menyahut seruan menganut agama. Kedua - umat dakwah, mereka termasuk kalangan bukan Islam berbagai bangsa dan agama, namun diajak bersama melihat sifat kemanusiaan sejagat yang ada dalam Islam secara amali (praktikal) bagi menghasilkan keperluan hidup secara nalurinya. Pelaksanaan secara amali terhadap manusia majmuk itu ditemukan dengan menegakkan keadilan mutlak yang diwajibkan oleh Allah mengikut firman Allah SWT :

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا

يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا - النساء

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu melaksana dan mentadbir dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.

Diriwayatkan dalam  Hadith Qudsi bahawa Allah SWT berfirman :

يا عبادي إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرماً فلا تظالموا

(رواية مسلم )

Maksudnya : (Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya aku telah mengharamkan zalim itu berlaku ke atasku dan aku jadikan ia diharamkan di kalangan kamu, maka jangan sekali-kali kamu berlaku zalim).

Dalam pendekatan yang kedua Rasulullah SAW berhubung dengan kalangan bukan Islam yang ada sifat kemanusiaan, dalam keadaan orang Islam pula kosisten dan iltizam berpegang kepada prinsip dan konsep Islam. Pelaksanaannya dilakukan ketika tanpa negara dan bernegara. Ketika di Makkah, Rasulullah SAW menerima perlindungan bapa saudaranya Abu Tholib yang tidak menganut Islam, dengan konsep yang dinamakan “Himayah” (perlindungan).

Ianya juga dilakukan dengan Mut’im bin Adi iaitu seorang bukan Islam, ketika Rasulullah SAW masuk ke Makkah daripada Thaif. Ciri persamaan adalah kebencian terhadap kezaliman. Rasulullah SAW juga menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit, juga seorang bukan Islam bagi memandu unta ketika berhijrah dengan penuh kerahsiaan  dan memerintah menantunya Saidina Ali KWJH supaya memulangkan simpanan amanah kalangan penduduk Makkah daripada kalangan bukan Islam yang mempercayainya.

Ketika di Madinah pula Rasulullah SAW mengadakan Tahaluf (persefahaman politik) dengan pihak kalangan bukan Islam dan melakukan muamalah berhutang dan bergadai dengan mereka, seterusnya menerima beberapa kabilah musyrikin bernaung di bawahnya dalam perjanjian Hudaibiyyah. Dalam kedua-kedua keadaan tersebut Rasulullah SAW teguh dengan dasar dan menunjukkan akhlak mulia Islam terhadap bukan Islam yang ada persamaan dari segi kemanusiaan. Dasar dan konsep ini dilaksanakan oleh sepanjang generasi di zaman keemasan dan kejayaan, ditinggalkan di zaman kelemahan dan kejatuhan sehinggalah negara umat Islam dijajah.

Pendekatan  PAS yang berdasarkan Islam, dalam hubungan dengan bukan Islam sangat berbeza dengan UMNO yang berfahaman kebangsaan mengatasi Islam secara sekularisme. Di bawah pemerintahan BN, Islam tidak berkuasa mentadbir tetapi berada di bawah tadbir, dalam keadaan menerima hakikat yang sama wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak ditangani secara Islam yang sebenarnya.

Lihat sahajalah contoh kejadian terkini yang berlaku terhadap Encik Frusis Lebi, seorang OKU yang juga merupakan seorang pekebun dan petani dari Kampung Entulang Entawa dari Bahagian Sri Aman  yang dinafikan bantuan Kerajaan di atas alasan menyokong pembangkang di Sarawak (rujuk Surat Menteri Muda Pertanian Sarawak, KPP/MM/31 bertarikh 8 Disember 2011 yang disiarkan melalui portal berita Malaysiakini). Inilah antara siri ketidakadilan layanan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat, sedangkan mereka juga adalah rakyat yang turut sama menyumbang kepada pendapatan negara. Inikah rupa bentuk kerajaan bertanggungjawab yang mahu ditegakkan?

PAS berpegang dengan konsep yang ditunjuk oleh al Quran, bahawa bumi adalah kepunyaan Allah, bukan kepunyaan mana-mana bangsa.   Seluruh manusia adalah pemegang amanah di mana bumi mereka berpijak, adalah wajib  melaksanakan keadilan Ilahi tanpa mengira bangsa. Apatah lagi, bagi umat Islam tuntukan melaksanakan keadilan adalah tersangat penting untuk dilaksankan kepada semua.

Maka PAS berbeza pendekatan dengan UMNO bagi mengolah politik masyarakat majmuk yang diwujudkan oleh penjajah. Kita mestilah memahami bahawa penjajah telah melonggokkan berbagai kaum untuk diperhamba bagi kepentingan mereka dan di adu domba untuk menjadi lemah supaya terus bernaung di bawah mereka selama-lamanya.

Pendekatan PAS ialah pemimpin Islam teguh berpegang dengan prinsip dan akhlak contoh dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa memaksa dalam perkara yang berbeza, serta memanfaatkan kebolehan berbagai kaum secara bersama dan saksama bagi membina negara. Bangsa Melayu ada keistimewaannya dari segi kebolehan, begitu juga bangsa Cina, India dan lain-lain. Kalau diselaras secara saksama nescaya dapat dimanafaatkan untuk membina negara dengan baik.

PAS tidak berganjak dalam perkara halal dan haram, serta perkara wajib, dalam semua urusan peribadi dan cara hidup tanpa memaksa penganut agama lain. PAS mewajibkan sifat Islam itu bermula dengan peribadi pemimpin. Dalam hal ini sesiapa sahaja ahli PAS yang mengerjakan perkara haram dipecat daripada parti. PAS pernah memecat ahli Parlimen yang menari dan sebagainya.

Ada pun pihak lain terpulang kepada anutan yang tidak boleh diganggu gugat dengan kawalan yang tidak merosakkan hubungan masyarakat majmuk. Apabila memerintah kerajaan negeri dan PAS memimpinnya, maka pendekatan Islam mengikut bidang kuasa negeri dilaksanakan dengan batas hukum Syarak. Penganut agama lain wajib diberi hak yang adil tanpa fanatik perkauman.

UMNO pula tidak konsisten dan iltizam apabila menunjukkan Islam secara terpilih dan tidak ada peraturan boleh memecat ahli UMNO yang mengerjakan maksiat, kerana sifat kebangsaannya sahaja mengatasi sifat Islamnya. Pelaksanaan Islamnya juga tidak istiqamah, contohnya dalam  kawalan terhadap arak dan judi pula secara berlesen yang tidak ada sempadan kukuh bagi penganut Islam, bukannya  kawalan secara hukum Islam yang sebenar sehingga penganut Islam dalam UMNO tidak mampu menjadi model Islam dan UMNO gagal mendidik melayu Islam menjadi contoh yang baik. PAS pernah bersama kerajaan campuran dengan UMNO diawal tahun tujuh puluhan dan bersama menubuh BN dipertengahannya, dengan syarat PAS tetap dengan dasarnya, kemudiannya berlaku pertembungan kefahaman.

Presiden MCA secara terbuka dalam debatnya menyatakan kejayaannya menundukkan UMNO dalam isu pelaksanaan hukum hudud, sebaliknya Sdr. Lim Guan Eng menegaskan itu adalah hak PAS yang berbeza dengan DAP. UMNO tidak konsisten dalam mempertahankan kawasan melayu dan Islam apabila sanggup menyerahkan kawasan majoriti melayu Islam kepada MCA, Gerakan dan MIC bagi menyelamatkan rakannya  yang kalah di kawasan majoriti bukan Islam.

PAS telah berjaya mengubah sentimen perkauman apabila berjaya memenangi hati penganut bukan Islam ketika menentang calon bukan Islam daripada BN. Contohnya YB Dr Mariah Mahmud mengalahkan calon MIC dengan mendapat sokongan dan kegembiraan kaum India bukan Islam dan kesedihan penyokong UMNO melayu yang dikatakan kuat semangat kebangsaannya tetapi bermatian mempertahankan MIC. Begitulah juga juga kemenangan Datuk Kamarul Bahrain di Teluk Kemang. DAP pula tetap bertahan di kawasan majoriti kaum bukan Islam tanpa berpindah.

PAS juga berjaya menunjukkan kerajaan bersih secara bersendirian dan bersama Pakatan Rakyat walau pun berdepan dengan layanan tidak menghormati sistem federalisme dan akhlak amalan Demokrasi.

Dua pendekatan yang berbeza cara dalam menangani masyarakat majmuk telah diberi selama lebih 50 tahun kepada UMNO memimpin negara dengan gagasan Barisan Nasional yang banyak kelemahan dan penyelewengan, serta mencetuskan masalah rakyat berbagai kaum yang masih belum selesai dalam tempoh yang bagitu panjang, dan penganut Islam menjadi larut pegangan agamanya.

Sudah tiba masanya khususnya melayu Islam memberi kepercayaan kepada PAS menggantikan UMNO dengan konsep Islam menyelesaikan masalah masyarakat majmuk, menerusi gagasan Pakatan Rakyat.

Presiden PAS

SYRIA DI PERSIMPANGAN JALAN

Sumber : di sini

Syria menghadapi arus perubahan musim bunga politik yang sedang berlaku di dunia Arab secara khusus. Tidak boleh dinafikan sedikitpun, kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa kebebasan rakyat, kerana pemerintahan bersifat diktator bertopeng demokrasi, yang menekan rakyat dengan lesen yang diberi oleh kuasa-kuasa besar dunia diatas nama rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara paling istemewa, akhirnya tidak mampu membatalkan musim yang bertiup.

Syria mempunyai kedudukkan yang agak berbeza dengan negara arab yang lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya. Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan.

Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya. Diambil kira juga parti  Baath yang menganut ideologi sosialis yang keras sehingga hampir sama dengan negara komunis dan juga berfahaman nasionalis  fanatik yang keras terhadap Israel. Menunjukkan bahawa masing-masing lebih menjadikan rakan strategik bagi menghadapi musuh  yang sama iaitu Israel.

Dalam masa yang sama, negara kuasa besar  khususnya Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam. Kumpulan  Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dengan bantuan Iran secara terbuka juga  diumumkan oleh pemimpin utamanya Imam Ali Khamanaei dalam khutbah jumaatnya yang terakhir, diikuti oleh lawatan rasmi  ke Iran oleh Ismail Haniyyah, Perdana Menteri Palestin yang tidak diiktiraf oleh Barat dan sekutunya walaupun dipilih secara pilihanraya yang dipantau oleh pertubuhan antarabangsa.  Maka kesemuanya adalah ancaman besar terhadap negara Zionis itu.

Sebelum daripada perkembangan ini, tercetus perang di Selatan Lubnan dan selepasnya serangan terhadap Ghazzah. Kedua peristiwa percubaan Israel ini yang menyerang bagi menghapuskan ancaman terhadap negara haram itu menemui kegagalan yang memalukan. Percubaannya gagal walaupun dengan bantuan negara-negara rakan Israel dan sokongan terbuka dan tersembunyi oleh negara-negara Arab yang bersahabat dengan Israel. Kesemua negara Arab dan negara Islam itu menerima konsep Road Map tajaan kuasa besar yang bertanggungjawab menubuhkan Israel.

Ia juga ekoran dicetuskan isu ancaman teknologi nuklear Iran,  walaupun di atas tujuan perbekalan tenaga, bukannya persenjataan kerana diharamkan oleh agama Islam seperti dinyatakan oleh para pemimpinnya. Sebaliknya Israel pula telah memiliki senjata nuklear sejak tahun enam puluhan lagi, dengan tidak menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa yang mencegahnya daripada melakukan sesuatu yang mengancam keamanan dan keselamatan dunia. Sebarang tindakannya yang dikira menceroboh dan mengganas dengan nyata  diselamatkan dengan kuasa veto oleh kuasa besar pelindungnya jika ada sebarang keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Inilah dia undang-undang  rimba yang diamalkan di peringkat antarabangsa iaitu siapa yang kuat dia selamat.

PAS bersama dengan parti Islam di seluruh dunia mengutuk segala kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. PAS dan gerakan Islam bersetuju supaya  kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap rakyat. Kami juga bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan kepada demokrasi yang sebenar. Namun kami tidak bersetuju jika perubahan yang berlaku kerana hendak menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel  dan sekutunya. Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah serta Iran (daripada Syiah).

Pihak yang melawan kerajaan Syria pula melibatkan kumpulan Islam dan bukan Islam. Mereka  dibekal dengan bermacam bantuan termasuk senjata dan ada yang diberi di atas nama Islam dengan agenda menegakkan kerajaan baru yang menyelamatkan Israel melalui gabungan kerjasama kumpulan Islam yang tidak kuat dengan kumpulan sekular yang berpangkalan di negara Barat yang lebih diperkuatkan supaya menguasai gerakan perubahan.

Media Israel  melaporkan kenyataan pemimpin kerajaan dan tentera Israel bahawa mereka mahukan perubahan yang bukan berteraskan Islam yang lebih menyelamatkan Israel. Jika tidak maka Bashar Assad perlu diteruskan berkuasa pada tempatnya. Ini kerana perubahan yang memberi kemenangan kepada kumpulan Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Libya lebih menjadi ancaman kepada keselamatan Israel.

Usaha mereka bukan sahaja menyekat ancaman terhadap Israel daripada utara dan selatannya, tetapi juga dilakukan bagi menghapuskan kekuatan Iran dan kemajuan teknologinya. Beberapa bulan yang lalu media Barat mendedahkan perselisihan pendapat di kalangan Zionis Yahudi berhubung keperluan melancarkan serangan ke atas Iran seperti yang pernah dilakukan ke atas janakuasa tenaga nuklear Iraq di tahun 70-an di masa Saddam Husain.

Usaha juga dilakukan dengan menggunakan Iraq di zaman Saddam bagi menyerang Iran yang baru berjaya dalam Revolusi Islam menjatuhkan regim Shah yang pro Barat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju supaya Iran diserang habis-habisan. Mereka ialah kalangan pelampau Zionis yang berada dalam negara haram Israel. Ada juga yang tidak bersetuju Iran diserang. Mereka ialah kumpulan Zionis yang  berada  di Amerika dan Eropah. Mereka bimbang tindakan itu akan menyuburkan gerakan anti Zeonis dikalangan masyarakat barat apabila berlakunya krisis sampingan selepas serangan itu.

Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel. Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat. Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Othmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya.

Pertama, umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing  sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Othmaniyyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Othmaniyyah terhadap wilayahnya. Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lorans dan rakan-rakannya  Arab dibantu untuk menentang  Turki Otmaniyyah.  Akhirnya Kerajaan Othmaniyyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.

Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing  mengikut road map Sykes Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya. Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut. Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing  yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.

Yang kedua, melagakan umat dengan mazhab yang ramai pengikut. Pengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam  dan menjadi mazhab kerajaan Othmaniyyah yang bermazhab Hanafi, dilagakan dengan mazhab Syiah Imamiyyah yang  ramai penganutnya di Iran, Iraq dan  Selatan Lubnan dan menjadi mazhab Shah Iran di masa itu. Mazhab Zaidiyyah yang sebahagian besar pengikutnya di Yaman dan juga menjadi mazhab raja yang bergelar Imam yang memerintah Yaman. Ada pun Oman pula bermazhab Khawarij Ibadiyyah.  Syah Iran dan Imam Yaman berperang dengan kerajaan  Othmaniyyah. Oman pula menjadi pengkalan kuasa barat.

Malangnya dalam pergolakan yang berlaku di Syria dan  perang yang masih dingin di antara Iran dan negara Barat dan sekutunya, isu nasionalisme dan mazhab dihidupkan  semula. Dihidupkan semula  galakan semangat nasionalisme di kalangan umat Islam sehingga meletakkan ajaran Islam yang boleh menyatukan umat dan akhlaknya yang mulia dilupakan. Masalah khilafiyyah  di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan semula.

Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni. Ia disebarkan seperti salafi (wahabi) dan Asya’irah dan Maturidiyyah  di kalangan Ahli Sunnah. Masalah cabang  ajaran agama yang berbeza dikalangan empat mazhab dan lain-lain dikalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam  yang cetek pengatahuan agamanya.

Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang membuat perubahan politik daripada syiah tradisi  di kalangan Syiah, diantara syiah Arab dan syiah Parsi di Iraq. Di samping menyebarkan mazhab-mazhab ini  di kalangan umat Islam yang masih jahil agama, bukannya menyebarkan dan  menambahkan penyebaran Islam di kalangan bukan Islam. Semua ini adalah agenda laga dan perintah atau penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.

Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar. Pandangan semua ulama dicatit menjadi kajian, termasuk pendapat paling lemah kerana keadaan situasi dan realiti yang boleh berubah. Kesilapan dalam perkara rukun diperbetulkan dengan kebijaksanaan. Maka paling menariknya berlaku perkembangan Islam secara damai lebih pesat daripada ketika berperang.

Allah mengajar penganut Islam di zaman Rasulullah S.A.W. supaya umat Islam bersatu di atas dasar dan konsep Islam serta menggunakan pendekatan damai dan strategik dengan masyarakat bukan Islam. Walaupun Rasulullah S.A.W. sudah wafat dan para sahabat generasi awal Islam berbeza pendapat  siapakah pengganti Rasulullah S.A.W. selepas wafatnya  sehingga melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij. Namun mereka bersatu bersama para Khulafa Rasyidin R.A. dalam menghadapi cabaran dan menyebarkan Islam sehingga berjaya  selama beberapa abad.

Mereka yang jahil dan melampau disingkirkan daripada masyarakat umat yang besar. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A. Semua para ulama yang berwibawa itu menentang kezaliman di zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah dan mendokong sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan. Adapun pertelingkahan yang tajam selepasnya, berlaku di kalangan para jahil daripada semua pihak.

Langkah penubuhan Majma’ Fiqh di bawah OIC yang melibatkan para ulama daripada semua mazhab itu adalah sangat positif bagi umat Islam. Begitu juga kenyataan dan fatwa pemimpin utama Iran Imam Ali Khaminaei supaya para pengikutnya berhenti daripada mencaci dan menghina para Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah S.A.W.) yang bertaraf ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman dengan perintah Al Quran secara nas dan berhenti menghina para sahabat R.A. malah para ulama besarnya memaklumkan  bahawa lebih daripada sembilan ribu hadith yang ada dalam kitab al-Kulaini yang menimbulkan masalah hendaklah ditolak.

Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS.

Foto hiasan dari google.

Sumber : http://dakwahkemaman.blogspot.com/

-oleh BayangDiAir

Pak Teh  hampir menjangkau 90 tahun umurnya. Dalam usia selanjut itu, Tuhan masih memberi kesihatan kepadanya sehingga dia mampu untuk bekerja dan bergerak ke sana ke mari. Jangan terkejut kalau diberitahu bahawa beliau ialah ahli Unit Amal PAS. Usia dan kudrat yang semakin terhakis tidak pernah dijadikannya sebagai alasan untuk tidak berjuang. Memang teramat sukar untuk mencari di dunia ini manusia setua ini yang masih sanggup menginfakkan tenaganya untuk Islam.

Pak Teh adalah seorang miskin dan mempunyai beberapa orang anak dan cucu-cicit. Hidupnya susah namun kecintaannya dan komitmennya terhadap perjuangan mendaulatkan Islam amat dikagumi. Kata Pak Teh, “saya dah rasa susah hidup di dunia. Jadi saya tidak mahu susah pula apabila di akhirat nanti” Itulah kata-kata suci yang pernah terpancul dari mulut orang tua kampung ini. Maka tidak hairanlah sejak muda hingga tua Pak Teh istiqamah mengikuti aktiviti-aktiviti Unit Amal di seluruh pelosok tanah air hatta ke Sabah sekalipun selagi ada orang sanggup membawanya.

Apakah peranan orang tua ini? Kerjanya ialah kerja yang biasa dilakukan oleh anak-anak muda iaitu menampal poster, mencacak dan menggantung bendera dan selalunya dialah yang sering menjadi tukang masak dalam program-program parti.

Kini Pak Teh telah menemui Tuhannya akibat satu kemalangan. Jenazah orang tua yang tidak dikenali ramai ini telah disembahyangkan oleh orang ramai sehingga melimpah masjid malah kubur beliau telah dikunjungi sampai ke waktu malam. Bagai tidak munasabah situasi ini berlaku kepada seorang tua yang tidak terkenal di cawangan. Adakah antara yang ramai itu juga terdiri daripada para malaikat? WalLahu’alam. Yang pasti ialah ramai yang mengenalinya menumpahkan air mata apabila mengimbas pada perjuangannya.

Mudah-mudahan roh Pak Teh sedang berada dalam golongan hamba-hamba Allah yang saleh. Demikianlah apa yang diceritakan oleh Ustaz Rosli Jabar melalui kuliah beliau. Pak Teh bukanlah insan contoh yang wujud pada zaman Nabi s.a.w. atau para sahabat. Pak Teh ialah model pejuang tulen pada era globalisasi ini. Aku rasa malu pada Pak Teh. Sebagai orang muda aku hanya mampu menulis artikel ini sedangkan Pak Teh setua itu mampu berjuang di tengah gelannggang jihad fi sabilillah. Anda pula pada darjat mana?

BUKAN ISRAEL SAJA YANG ZALIM

Pada 25 Oktober 1978, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pernah bertanya di dalam parlimen pada masa itu berkenaan dengan pegerakan Freemason yang dikaitkan dengan zionisme. Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn yang menjawab soalan itu turut diajukan soalan tambahan bahawa adakah kerajaan Malaysia berhasrat untuk mengharamkan pertubuhan Freemason, jawapan beliau pada masa itu ialah tidak. Hari ini, generasi muda yang lahir dalam era 80-an tentu sekali tidak mengingati isu ini yang diperdebatkan hangat pada masa itu jika tidak membelek lembaran sejarah.

Sikap PAS terhadap Israel sentiasa tidak berubah. Tuan Guru Nik Aziz tegas menyatakan sikap ini lewat kunjungan Duta Amerika Syarikat ke pejabatnya pada tahun lepas bahawa sepasang selipar pun tidak berhak untuk dirampas oleh mana-mana pihak dari tuannya yang sah. Apatah lagi untuk merampas tanah yang merupakan milik rakyat Palestin, lebih-lebih lagi merupakan jenayah yang sangat kejam.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf rampasan ini pada 1948 sedikitpun tidak berhak untuk membuat keputusan yang menganiayai rakyat Palestin sehingga ke hari ini. Saya yang turut serta dalam perjumpaan itu masih ingat soalan yang ditanya oleh Duta Amerika Syarikat sewaktu Tuan Guru menyatakan pandangan itu, “apakah tuan mengira bahawa bangsa Yahudi tidak berhak memiliki sebuah negara?”. Tuan Guru menjawab, sebagai manusia, mereka berhak untuk bernegara, tetapi persoalannya kenapa dipilih tanah Palestin yang sudah bertuan? Jika benar Amerika Syarikat mahu bersikap prihatin terhadap bangsa Yahudi, sedekahkan sahaja sebahagian tanah Amerika Syarikat untuk menjadi negara Yahudi!

Hari ini, wartawan bertanya sikap Tuan Guru Nik Aziz tentang kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mengiktiraf hak Israel ke atas tanah Palestin. Jawapan Tuan Guru, kenyataan Anwar Ibrahim harus diperjelaskan oleh beliau sendiri. Memetik kata-kata Anwar dari media massa milik UMNO umpama bertanya tentang mutu kereta Honda kepada pengeluar Toyota. Sudah tentu diperhodohkan sehingga ke tahap maksimum. Bukankah beberapa minggu lepas, media massa inilah yang memutarbelitkan kenyataan Anwar yang didakwa menyokong homoseksual, sedangkan apa yang diperkatakan sebaliknya.

Bukan beliau sahaha yang menjadi mangsa media massa milik UMNO ini, bahkan Tuan Guru sendiri saban waktu sentiasa dicari celah munasabah untuk diputarbelitkan kenyataannya. Bahkan sepanjang 21 tahun Tuan Guru mentadbir Kelantan selaku Menteri Besar, berapa keratkah laporan positif yang keluar tentang Kelantan? Pagi, petang, siang dan malam, tidak henti-henti media massa ini menghentam kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Alhamdulillah, Allah SWT memberikan kekuatan yang berpanjangan kepada PAS untuk terus berdiri tegak di bumi Serambi Mekah ini.

Hari ini, UMNO bertindak seolah-olah merekalah juara rakyat Palestin. Barangkali mereka fikir rakyat telah lupa bagaimana APCO Wordwide, sebuah syarikat perunding antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan Yahudi diberikan kontrak bernilai hampir RM77 juta khusus untuk meningkatkan imej kerajaan UMNO dan Barisan Nasional? Dengan duit apa kontrak ini dibayar jika tidak dengan duit rakyat?

Pandangan Anwar Ibrahim masih dalam ruang lingkup perbincangan apatah lagi ia dilaporkan oleh media massa lidah UMNO, namun tindakan UMNO menggunakan khidmat APCO ini sudah jelas mengkhianati wang rakyat. Dan janganlah lupa bahawa pada 16 Ogos 1999, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada masa itu pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak di atas kemenangannya pada pilihanraya!

Hakikatnya, isu ini hanyalah modal sementara untuk menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat. Padahal seharusnya mereka sedar, Israel dibenci bukan kerana namanya Israel, tetapi kerana kezalimannya merampas hak rakyat Palestin. Apakah bezanya dengan tindakan merampas hak royalti minyak milik sah rakyat Kelantan tanpa satu sen pun dibayar kepada anak bumi Kelantan? Sebenarnya, bukan Israel sahaja yang zalim.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 31 Januari 2012 bersamaan 8 Rabiul Awwal 1433 H

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers