Tag Archive: Nik Abdul Aziz Nik Mat


BERSAMA ULAMAK

Foto lama :

 

 

 

 

 

 

 

MAKAN MALAM PAS SABAH

Walaupun makan malam itu pada saat akhir tidak dapat dihadiri oleh YAB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Mursyidul Am PAS kerana kesihatan beliau yang tidak mengizinkan, sesi ceramah jarak jauh dari rumah beliau di Pulau Melaka Kelantan secara maya pada malam itu sedikit sebanyak melegakan mereka yang hadir.

Bahkan kesudian Tok Guru ‘melepaskan’ isteri beliau Datin Tuan Sabariah ke Sabah sudah menunjukkan kesungguhan beliau yang ingin bersama-sama rakyat Sabah walaupun sepatutnya seorang isteri berada di sisi suami. Ada maklumat menjelaskan bahawa Tok Guru sudah berada di KL pada jumaat untuk menghadiri satu majlis makan malam bersama Dewan Muslimat sebelum dijadualkan ke Tawau pada pagi sabtu, namun beliau terpaksa pulang ke Kota Bharu pada pagi berkenaan.

Hampir 1000 tetamu yang hadir memenuhi dewan konvensyen Star City Kota Kinabalu, terpaku diam mendengar ucapan beliau walaupun beberapa kali siaran berkenaan tersekat-sekat. Sebagai ganti Tok Guru, YB Datuk Husam Musa selaku Naib Presiden PAS dan exco kanan kerajaan negeri Kelantan hadir di Kota Kinabalu sejak lewat petang bagi melancarkan dana pilihanraya ke-13 dalam majlis berkenaan.

Selain YB Datuk Husam Musa, turut tampil menyampaikan ucapan ialah YB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bukit Gantang; Dato’ Nassaruddin Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan; Aminuddin Aling, Pesuruhjaya PAS Sabah; Ahmad Tamrin, Pengerusi Perhubungan PKR Sabah dan Dr Edwin Bosi mewakil DAP Sabah. Tuan Haji Ahmad Kambar, bekas pegawai tinggi kerajaan bertindak sebagai juruacara majlis.

Video rakaman ucapan pemimpin akan menyusul.

Sumber : http://demitinta.blogspot.com/

Oleh: Rossem

Artis itu memulakan ucapan  dengan kata-kata yang sangat menyentuh hati nurani: Pertama kali aku datang ke Kelantan, lantas aku jatuh cinta pada Tok Guru, seorang yang luar biasa, zuhud dan sentiasa merendah diri. Ribuan khalayak,  majoritasnya anak muda yang memenuhi gedung Kelantan Trade Centre (KTC) malam itu diam seketika  saat mendengar kata-kata yang dilontarkan artis cantik yang melakonkan peran Ustazah Ana dalam filem “Ketika Cinta Bertasbih” Oki Setiana Dewi.

Khalayak sepertinya terpukau bila sang artis pujaan mereka dengan suara penuh kelembutan   memuji negeri Kelantan dan Menteri Besarnya, Tok  Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sekali pandang mungkin orang tersalah tanggapan,  apakah ia benar-benar seorang artis filem dan sinatron terkenal Indonesia, kerana  penampilannya  tidak seperti majoritas  artis-artis lain  yang sering mendedahkan aurat, sebaliknya Oki Setiana Dewi mengenakan jilbab labuh mentutupi sehingga paras dadanya.  Bertambah cantik dan ayu bila dipadankan dengan baju warna unggu yang dipakai malam itu.

“Oki memakai jilbab bukan disebabkan mahu  menghadiri acara “Bicara Selebriti” yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan, di Kota Bharu, tapi Oki memakai jilbab sejak usia 16 tahun dan sebelum berlakon filem” tutur Oki.

Ketika usianya 16 tahun ia bertekad mahu menjadi seorang solehah, meskipun ia menyedari ilmu agamanya sangat minimum ketika itu. Namun telah tertanam dalam hati nuraninya satu perasaan bahawa perjalanan hidupnya kini menuju Allah SWT. Memakai kerudung adalah satu perintah agama,  untuk menjaga keselamatan wanita, justeru tiada alasan untuk muslimah mengingkarinya. Sehingga jika datang keinginan untuk melakukan hal-hal yang ditegah agama, ia teringat kerudung yang dipakainya, lantas tak jadi melakukannya. Kata Oki yang ketika itu tinggal di Batam, Riau bersama orang tuanya.

Namun memakai jilbab atau kerudung dalam usia muda pastinya banyak cabaran. Pernah orang bertanya, kenapa sih kamu pakai kerudung, bukankah itu pakaian Arab? Oki lantas menjelaskan, ini bukan pakaian Arab tapi pakaian Islam bagi muslimah. Beritahu Oki di acara bicara Selebriti malam itu.

Oki sejak dari kecil bercita-cita mahu jadi artis, namun setelah berubah ke jalan Allah dengan   memakali kerudung dalam usia 16 tahun, ia merasakan peluangnya untuk menjadi artis tertutup rapat. Cita-citanya harus dikuburkan  kerana mana ada direktor filem mahu mengambil wanita yang memakali kerudung sebagai artis. Lantas Oki bercita-cita pula mahu menjadi guru. Selanjutnya,  kata Oki “Suatu hari, tanpa diduga,  terima telefon dari direktor filem. Kamu ditawarkan berlakon filem. Belum usai percakapan,  Oki beritahu, aku sekarang memakai jilbab. Mana bisa…Jawab direktor.  Bisa!”

Mendengar tawaran itu, cita-citanya mahu jadi artis filem seperti hidup kembali.  Ia berlari ke musolla lantas  mengadu kepada Allah SWT. “Ya Allah, aku sekarang sedang berlari menuju-Mu. Manakala  rezeki  juga di tangan-Mu. Jangan persulitkan rezekiku lantaran jilbab ku ini. Namun paling penting, apakah dengan pekerjaan ku (rezeki) sebagai pelakon filem  kelak akan berpaling dari-Mu?

Oki diterima berlakon untuk filem “Ketika Cinta Bertasbih”  yang diangkat dari novel Islami terkenal hasih karya Habiburrahman El-Shirazy dan diberi peranan  sebagai ustazah Ana. Filem itu bukan saja diminati di Indonesia, bahkan Malaysia. Menurut Oki, maklumbalas  yang diterimanya selepas publik menonton filem KCB, ramai remaja perempuan mula memakai kerudung. Ini adalah kesan positif yang diterima mereka lewat filem itu. Dan ini merupakan salah satu dari uslub dakwah.

Mengakhiri  “Bicara Selebriti” Oki mendeklamasi sebuah puisi terkait dengan pengalamannya selama 4 hari di Kelantan dan kesempatan berjumpa dengan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz  Nik Mat di kediaman rasmi Tok Guru, di JKR 10.

Negeri Kelantan Seindah Namamu

Tanah Serendah Sekebun Bunga

Negeri Tadahan Wahyu
Cik Siti Wan Kembang
Cukup indah namamu
Seindah negerimu
Duhai
Wajahmu nan indah
Persis Jeddah
Yang pernah ku lewati
Taat menjunjug al-Quran
Teguh menggalas syariat
Yang tidak pernah goyah
 Tersentuh hati kudus ku
Lantaran aku di sini
Biar tidak pernah ku duga
Bertemu seorang ulama’
Yang dicintai rakyatnya
Lalu…
Kuntum rindu yang lama tersimpan
Terubat jua akhirnya
Biar sekelumit Cuma
 Beruntung rakyatnya
Menumpang teduh seorang ulama’
Yang lembut… tapi tegas beribadat
Yang pengasih…namun tidak goyah
Pada percikkan kealpaan dunia
 Pasti aku merindui mu lagi
Entah kapan bisa diubati
Cuma setitis doa bisa ku titip buatmu
Moga sejahtera selamanya
Memacu
Membangun Bersama Islam
Moga kita bertemu kembali

Selama berada di Kelantan, Oki juga meluncurkan buku novel terbaru beliau selepas novel pertama Melukis Pelangi di Perpustakaan Negeri Kelantan. Manakala pada pagi Jumaat Oki menghadiri kuliah mingguan Tok Guru di Medan Ilmu, Kota Bharu.

Seperti kata moderator pada malam itu, pengacara undangan dari TV Hijrah, Amim Idris, Negeri Kelantan sejak dulu menjadi tempat artis-artis yang berhijrah kepada kehidupan lebih Islami meluahkan perasaan dan isi hati mereka untuk  dikongsi bersama bagi menghidupkan dakwah Islamiyyah dan memantapkan iman.

Tahniah penganjur khususnya YB Ustaz Ahmad Bhaiki Atiqullah.

Insya Allah, Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap al-Mursyidul Am PAS akan berkunjung ke Sabah pada 17 dan 18 Mac akan datang. Khabarnya, 17 Mac beliau akan berada di Tawau sementara 18 Mac di Kota Kinabalu.

Di Kota Kinabalu, sedang diwar-warkan satu MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA TOK GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT DI STAR CITY CONFERENCE & EVENT CENTRE PADA 18 MAC 2012 BERMULA PADA JAM 8 MALAM. Tiket-tiket makan malam berharga RM150 setiap satu. Tajaan meja juga digalakkan dengan nilai RM1500 (10 kerusi). Hubungi Wan Azhaniz 013-8857019 untuk mendapatkan tiket dan maklumat lanjut.

BUKAN ISRAEL SAJA YANG ZALIM

Pada 25 Oktober 1978, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pernah bertanya di dalam parlimen pada masa itu berkenaan dengan pegerakan Freemason yang dikaitkan dengan zionisme. Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn yang menjawab soalan itu turut diajukan soalan tambahan bahawa adakah kerajaan Malaysia berhasrat untuk mengharamkan pertubuhan Freemason, jawapan beliau pada masa itu ialah tidak. Hari ini, generasi muda yang lahir dalam era 80-an tentu sekali tidak mengingati isu ini yang diperdebatkan hangat pada masa itu jika tidak membelek lembaran sejarah.

Sikap PAS terhadap Israel sentiasa tidak berubah. Tuan Guru Nik Aziz tegas menyatakan sikap ini lewat kunjungan Duta Amerika Syarikat ke pejabatnya pada tahun lepas bahawa sepasang selipar pun tidak berhak untuk dirampas oleh mana-mana pihak dari tuannya yang sah. Apatah lagi untuk merampas tanah yang merupakan milik rakyat Palestin, lebih-lebih lagi merupakan jenayah yang sangat kejam.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf rampasan ini pada 1948 sedikitpun tidak berhak untuk membuat keputusan yang menganiayai rakyat Palestin sehingga ke hari ini. Saya yang turut serta dalam perjumpaan itu masih ingat soalan yang ditanya oleh Duta Amerika Syarikat sewaktu Tuan Guru menyatakan pandangan itu, “apakah tuan mengira bahawa bangsa Yahudi tidak berhak memiliki sebuah negara?”. Tuan Guru menjawab, sebagai manusia, mereka berhak untuk bernegara, tetapi persoalannya kenapa dipilih tanah Palestin yang sudah bertuan? Jika benar Amerika Syarikat mahu bersikap prihatin terhadap bangsa Yahudi, sedekahkan sahaja sebahagian tanah Amerika Syarikat untuk menjadi negara Yahudi!

Hari ini, wartawan bertanya sikap Tuan Guru Nik Aziz tentang kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mengiktiraf hak Israel ke atas tanah Palestin. Jawapan Tuan Guru, kenyataan Anwar Ibrahim harus diperjelaskan oleh beliau sendiri. Memetik kata-kata Anwar dari media massa milik UMNO umpama bertanya tentang mutu kereta Honda kepada pengeluar Toyota. Sudah tentu diperhodohkan sehingga ke tahap maksimum. Bukankah beberapa minggu lepas, media massa inilah yang memutarbelitkan kenyataan Anwar yang didakwa menyokong homoseksual, sedangkan apa yang diperkatakan sebaliknya.

Bukan beliau sahaha yang menjadi mangsa media massa milik UMNO ini, bahkan Tuan Guru sendiri saban waktu sentiasa dicari celah munasabah untuk diputarbelitkan kenyataannya. Bahkan sepanjang 21 tahun Tuan Guru mentadbir Kelantan selaku Menteri Besar, berapa keratkah laporan positif yang keluar tentang Kelantan? Pagi, petang, siang dan malam, tidak henti-henti media massa ini menghentam kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Alhamdulillah, Allah SWT memberikan kekuatan yang berpanjangan kepada PAS untuk terus berdiri tegak di bumi Serambi Mekah ini.

Hari ini, UMNO bertindak seolah-olah merekalah juara rakyat Palestin. Barangkali mereka fikir rakyat telah lupa bagaimana APCO Wordwide, sebuah syarikat perunding antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan Yahudi diberikan kontrak bernilai hampir RM77 juta khusus untuk meningkatkan imej kerajaan UMNO dan Barisan Nasional? Dengan duit apa kontrak ini dibayar jika tidak dengan duit rakyat?

Pandangan Anwar Ibrahim masih dalam ruang lingkup perbincangan apatah lagi ia dilaporkan oleh media massa lidah UMNO, namun tindakan UMNO menggunakan khidmat APCO ini sudah jelas mengkhianati wang rakyat. Dan janganlah lupa bahawa pada 16 Ogos 1999, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada masa itu pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak di atas kemenangannya pada pilihanraya!

Hakikatnya, isu ini hanyalah modal sementara untuk menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat. Padahal seharusnya mereka sedar, Israel dibenci bukan kerana namanya Israel, tetapi kerana kezalimannya merampas hak rakyat Palestin. Apakah bezanya dengan tindakan merampas hak royalti minyak milik sah rakyat Kelantan tanpa satu sen pun dibayar kepada anak bumi Kelantan? Sebenarnya, bukan Israel sahaja yang zalim.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 31 Januari 2012 bersamaan 8 Rabiul Awwal 1433 H

RAPAT RAKYAT DI ALOR SETAR

 

 

ALOR SETAR, 15 Jan: Lebih 50,000 rakyat di seluruh Kedah hadir pada Rapat Rakyat Perdana yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini, malam tadi. Kehadiran orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat itu menjadikan padang bola Stadium Sultan Abdul Halim penuh sesak sehingga melimpahi ke luar stadium. Keadaan itu menjadikan suasana di padang stadium itu dipenuhi pandangan kopiah yang memutih yang cukup memukau pandangan jika dilihat dari atas tempat duduk di stadium itu.

“Macam duduk di Padang Arafah,” begitulah reaksi yang dituturkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hendak memulaklan ucapannya. Dalam ucapannya, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan antara lain mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi perintah Allah sepanjang hidup di dunia ini.

Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap antara lain meminta orang ramai mengekalkan sokongan kepada PAS bagi membolehkan Kerajaan Pakatan Rakyat terus memerintah di negeri itu pada PRU Ke-13 akan datang. Program yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar itu turut menampilkan beberapa penceramah lain dari PAS dan Pakatan Rakyat, dengan dimulai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan termasuk Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali. Manakala dari DAP, Pengerusi dan Timbalan pengerusi parti itu, Karpal Singh dan Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong. Ceramah pada malam tadi adalah kemuncak kepada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 yang diadakan di stadium tersebut bermula jam 8.00 pagi tadi. (Harakahdaily).

 

 

RAPAT RAKYAT

 

 

 

 

KULIAH TARBAWI 2011

 

 

 

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers