Nur Izzati (1)

Pertama kali mendengar tentang Maahad Tahfiz Sains di Kelantan seingat saya ialah beberapa tahun sudah. Saya begitu teruja apabila hasrat yang diluahkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ingin melihat anak-anak Kelantan khususnya mendalami bidang tahfiz al-Quran dan dalam masa yang sama menguasai ilmu-ilmu semasa.

Saya membuat sedikit carian di internet tentang sekolah ini dan bertemu web rasmi sekolah berkenaan. Di ruang pengenalannya tercatat ungkapan ayat berikut :

MAAHAD TAHFIZ SAINS Yayasan Islam Kelantan telah mula beroperasi pada 25 Januari 2004 yang dirasmikan oleh YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan. Idea penubuhan ini juga adalah hasil dari cetusan pemikiran beliau sendiri yang mengharapkan wujudnya kesepaduan ilmu wahyu dengan ilmu wakie dalam kurikulum. Bermula dengan 60 pelajar lelaki dan 50 pelajar perempuan dengan empat kelas sekarang ini jumlah pelajar ialah 1485 orang dengan penempatan di lima buah sekolah agama Yayasan Islam Kelantan. Kampus induk di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah menempatkan 674 pelajar.

Sepanjang lebih kurang dua minggu terakhir cuti persekolahan ini, saya didatangi oleh seorang pelajar banat MTS Tanah Merah. Pelajar tingkatan 1 dan bakal ke tingkatan 2 pada tahun 2013. Rupanya anakanda ini – Nur Izzatun Najwa ingin menyambung tasmik al-Quran dari awal juzu’ 3 sehingga juzu’ 4 bersama saya.

Saya difahamkan ada satu peraturan, bahawa mereka dikehendaki menghafaz sekian juzu’ pada setiap tahun, dan sekurang-kurangnya menghabiskan 70% (?) muqarrar yang ditetapkan. Pihak sekolah juga membenarkan pelajar mereka tasmik dengan para asatizah di luar maahad terutama musim cuti sekolah dengan syarat ustaz yang berkenaan adalah mereka yang berkelayakan dan penghafaz al-Quran yang disahkan oleh jabatan atau maahad masing-masing.

Selain menghafaz, mereka juga dikehendaki menulis ayat-ayat al-Quran yang dihafaz menurut rasm uthmani dan ilmu dhabt al-Quran, yang disemak dan disahkan juga oleh guru tasmik al-Quran. Saya berpandangan ini satu pendekatan yang sangat baik untuk para penghafaz al-Quran.

Kehadiran Nur Izzatun Najwa – yang dahulunya bersekolah di SK Sri Gaya – telah membuka satu pengalaman baru buat saya dan mengetahui sedikit sebanyak tentang MTS Tanah Merah daripada pelajarnya sendiri. Ini membuatkan saya teruja untuk berziarah ke sana satu ketika nanti.

Nur Izzati (2) Nur Izzati (3) Nur Izzati (4) Nur Izzati (5)