Tag Archive: MTQQNS


Saya pasti wajah keceriaan di muka para siswa-siswi kami, apabila mereka mula berangkat dari Maahad menuju ke lokasi berikutnya di Pusat Latihan Binsuluk Membakut, kira-kira sejam  setengah perjalanan menaiki bas. Semua pensyarah menyertai rombongan kali ini bagi meraikan minggu halawatul ukhuwah buat siswa siswi baru Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

Antara acara menarik di sana ialah aktiviti sukan, pertandingan menghafaz al-Quran, malam penghayatan dan majlis penutupan serta penyampaian hadiah. Rombongan balik ke Kota Kinabalu menjelang tengahari sabtu. Kita saksikan saja foto-foto menarik sepanjang program di sana. Jurugambar ialah Md Rezu dan Khairul Anwar serta dibantu oleh kawan-kawan yang lain.

Sejak pagi hingga menjelang tengahari tadi, Maahad Tahfiz dikunjungi oleh hampir 20 calon yang berminat untuk ditemuduga masuk menghafaz al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah, Kepayan dekat sini. Sesi pertama temuduga bermula dengan ujian bertulis yang merangkumi dua subjek iaitu ilmu tajwid dan Bahasa Arab.

Pada sesi kedua, temuduga lisan dijalankan dengan panel diketuai sendiri oleh Puan Pengetua Ustazah Hiryanti Tabin. Temuduga lisan mengambil kira markah bahagian hafazan al-Quran, penampilan, akademik, bahasa arab dan pengetahuan am. Ahli panel yang lain ialah Ustazah Dayang Masni Datu Saribu, Ustaz Haji Azlan Bakri dan saya sendiri.

Di antara calon-calon berkenaan, ada yang datang dari Sandakan, Beaufort, Papar dan selebihnya sekitar Kota Kinabalu. Pada pagi khamis, satu temuduga lagi akan diadakan di daerah Kunak dengan jumlah calon hampir 30 orang dijangka hadir. Semua keputusan dijangka dikeluarkan pada minggu hadapan.

Sebahagian siswa huffaz al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) membuka peluang kepada pelajar – lelaki dan perempuan – lepasan SPM yang berkelayakan untuk memohon masuk ke program Diploma Pengajian Tahfiz al-Quran bagi sesi 2012-2015 (3 tahun @ 6 semester).

Antara syarat kemasukan ialah warganegara Malaysia berumur tidak lebih 21 tahun, mempunyai SPM dengan syarat kepujian Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Pengetahuan Agama Islam Tinggi, dan lulus Bahasa Inggeris. Proses kemasukan adalah melalui proses temuduga yang akan dijalankan pada 25 April 2012 di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah, Kepayan.

Tarikh tutup bagi menghantar borang permohonan ialah pada 20 April 2012 (Jumaat) di Pejabat Am Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah atau di Bahagian Pendidikan JHEAINS, tingkat 9 Wisma MUIS. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung di talian 088-317072 (Pejabat Maahad Tahfiz).

Nota : Sebuah artikel panjang sempena majlis menghafaz al-Quran negeri Sabah

Sekitar seminggu daripada sekarang, Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah akan diadakan. Mengikut hitungannya ini kali keempat diadakan tetapi kali pertama diadakan secara besar-besaran, diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu pada sabtu 7 April 2012 akan datang.

Nampaknya ada sedikit peningkatan daripada segi penganjuran bagi memilih wakil Sabah ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan selepas ini. Saya diamanahkan untuk melatih sedikit sebanyak kepada peserta dari Maahad Tahfiz Negeri, mengadakan latih tubi soal jawab khususnya apabila berada di pentas. Insya Allah, latihan sedang berjalan sehingga sehari dua sebelum majlis berlangsung. Dalam dunia menghafaz, kami sekadar membantu dan mendorong mana yang patut, selebihnya ia bergantung kepada mutu hafazan mereka sendiri.

Kepada mereka seramai 10 orang, di peringkat awal saya ceritakan tentang sejarah penglibatan peserta Sabah ke Majlis Menghafaz Peringkat Kebangsaan berdasarkan apa yang saya ketahui melalui kisah senior-senior dan juga pengalaman peribadi yang pernah menyertai majlis ini dua kali pada 1995 dan 1997. Ia kisah yang seingat saya belum pernah saya catatkan melalui blog ini dan saya bersangka baik serta positif dengan apa yang telah berlaku berdasarkan perkembangannya sehingga kini.

PERINGKAT 1

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah mula beroperasi pada pertengahan tahun 1995. Sebelum kewujudannya, wakil-wakil Sabah untuk menyertai Majlis Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan dipilih terus dari pelajar-pelajar Sabah yang menuntut di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ) yang kini dikenali sebagai Darul Quran. Antara mereka ialah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi, Ustaz Adam Abdul Hai, Ustaz Pajudin Nordin, Ustaz Imran Anggun, Ustaz Azizul Ramli Saparuddin dan lain-lain.

Seringkali terdapat kelompangan dari segi jumlah perwakilan ke peringkat kebangsaan. Ketika itu setiap negeri sepatutnya menghantar 6 orang wakil, 3 lelaki dan 3 perempuan untuk mengisi setiap kategori juzu’ 1-3, 1-15 dan 1-30. Menjadi kebiasaan Sabah hanya menghantar seorang atau dua orang peserta daripada kalangan pelajar tahfiz di Kuala Lumpur. Bahkan saya pernah dimaklumkan bahawa ada ketikanya sekitar tahun awal 90an pelajar tahfiz dari negeri lain menawarkan diri bagi mewakili Sabah kerana ketiadaan atau kekurangan peserta.

PERINGKAT 2

Apabila Maahad Tahfiz Sabah diwujudkan, peserta Majlis Menghafaz al-Quran ke Peringkat Kebangsaan menjadi lebih terbuka. Pada awal-awal penubuhannya, perwakilan dipilih dari kalangan pelajar maahad sahaja mengikut prestasi dalam kuliah masing-masing. Masih belum ada sebarang pertandingan atau majlis bagi pemilihan peserta di peringkat negeri.

Sebagai orang yang pernah mewakili negeri Sabah pada 1995 dan 1997, saya memahami hakikat bahawa ketika itu objektif penyertaan kami ialah sekadar untuk memaklumkan bahawa Sabah sudah mempunyai maahadnya sendiri. Ketika itu belum timbul objektif persaingan di peringkat kebangsaan kerana maahad yang masih baru dipupuk diperingkat awal. Penyertaan dari pelajar Sabah di Darul Quran juga dibuka semula kerana wakil dari Maahad Tahfiz Sabah masih belum mencukupi.

PERINGKAT 3

Sejak 4 tahun lalu, seingat saya JAKIM mahukan Sabah mengadakan majlis menghafaz al-Quran di peringkat negeri. Ini kerana prestasi Sabah di peringkat kebangsaan masih di takuk yang lama seperti tahun-tahun 80an dan 90an. Tidak usah malu kepada sejarah, zaman awal dahulu ramai yang naik pentas dan kemudian geleng kepala terhadap soalan yang dilontarkan. Kemudian mendapat saguhati ‘hasil gelengan kepala’ tersebut.

Saya pernah utarakan kepada ramai pihak yang berautoriti dan mereka yang berada dalam bidang ini, bahawa sudah sampai masanya Sabah menghantar pesertanya untuk bersaing di peringkat kebangsaan, bukan lagi sekadar menghantar wakil seperti zaman kami dan zaman sebelumnya. Jadi apabila JAKIM mahukan Sabah mengadakan majlis menghafaz di peringkat negeri, saya antara individu yang sangat gembira.

Tidak mengapalah majlis pada kali pertama dan kedua diadakan sekadar di bilik kuliah Maahad Tahfiz – walaupun bagi memilih peserta negeri untuk ke kebangsaan dan kemudian pada kali yang ketiga ‘diangkat ke Dewan al-Azhar juga di Maahad Tahfiz. Pada tahun 2012 ini ia dinaiktarafkan lagi dengan diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS, satu dewan yang biasa mengadakan majlis bertaraf negeri dan kebangsaan khususnya dalam acara keagamaan.

Daripada segi perasmian majlis sebagai perbandingan, pada kali pertama dan kedua seingat saya tidak ada perasmian sangat, sementara kali ketiga dirasmikan oleh Ustaz Haji Abdul Rahman Talipuddin, selaku pegawai Bahagian Pendidikan JHEAINS yang diamanahkan menyelia perkembangan Maahad Tahfiz al-Quran. Khabarnya tahun ini majlis akan dirasmikan oleh Pengerusi MUIS YB Datuk Suhaili Said.

Saya melihat di negeri-negeri lain majlis menghafaz mereka dirasmikan oleh Sultan atau wakilnya atau Menteri Besar atau setidak-tidaknya exco yang menjaga hal ehwal agama. Apa signifikannya majlis perasmian? Sebenarnya dengan kehadiran pembesar-pembesar negeri, ia akan ‘mengheret’ lebih ramai tetamu berkepentingan untuk hadir bersama-sama.

Dalam konteks Sabah, saya percaya jika Pengerusi MUIS merasmikan, ia mungkin sekadar menarik beberapa pegawai kanan JHEAINS untuk hadir. Jika Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang hadir, sudah tentu lebih ramai ketua jabatan dan pegawai kanan yang hadir. Jika Ketua Menteri yang hadir, ia akan menarik ramai YB dan ketua-ketua jabatan hadir bersama-sama. Jika TYT Yang DiPertua Negeri Sabah hadir, majlis ini dihadiri oleh semua jemaah menteri dan majoriti ADUN beragama Islam.

Kesannya ialah lebih ramai yang mengetahui dan mendengar kualiti peserta dan majlis menghafaz al-Quran itu sendiri. Bajetnya sudah tentu meningkat, dan ini sudah tentu sangat baik untuk perkembangan ilmu al-Quran di kalangan umat Islam di Sabah. Tidak mengapalah untuk kali ini, kerana itu mungkin sekadar cita-cita dan impian saya melihat majlis ini akan lebih meriah dan gah pada tahun mendatang.

Saya merasa bersyukur, dua tahun kebelakangan Sabah sudah menonjolkan peserta yang berbakat di peringkat kebangsaan.  Muhammad Khairul Razikin sudah pernah mendapat tempat terbaik dalam majlis menghafaz peringkat kebangsaan pada tahun 2011 dan 2010. Begitu juga Zainab Sapiuddin yang pernah mendapat tempat ketika pada tahun 2010. Ustaz Kadri Abdul Hamid selaku orang lama sebagai hakim majlis menghafaz kebangsaan pernah memaklumkan kepada saya, kualiti peserta Sabah sudah jauh berbeza berbanding dahulu.

DORONGAN

Kepada anak-anakanda peserta saya minta mereka bayangkan beberapa situasi dalam majlis berkenaan. Pertama, seorang pelajar remaja yang terpegun mendengar kualiti hafazan peserta, sehingga Allah SWT menggerakkan hatinya untuk memasuki mana-mana institusi tahfiz selepas itu. Kedua, seorang ibu mendengar hafazan seorang peserta, sehingga hatinya terbuka untuk menghantar anaknya masuk ke maahad tahfiz. Ketiga, seorang ahli korporat muslim yang menyaksikan kehebatan peserta menjawab soalan hafazan, sehingga ia tertarik dan mengeluarkan sedikit hartanya untuk menaja atau mendirikan sebuah institusi tahfiz di Sabah.

Sudah tentu peserta-peserta berkenaan akan mendapat saham yang tidak sedikit daripada situasi yang berlaku tadi. Apa yang saya maksudkan ialah Majlis Menghafaz al-Quran bukan sekadar satu acara rasmi kerajaan. Lihatlah majlis menghafaz ini dari konteks dan kacamata dakwah. Insya Allah bumi Sabah akan terus subur dengan para penghafaz al-Quran dengan kaedah dan strategi yang betul, seiring dengan petunjuk Allah SWT.

Pagi ini Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah di Kepayan menerima tetamu dari Pusat Zakat Sabah yang diketuai oleh Ustaz Haji Awangku Raimy Pengiran Abdul Rahman selaku Penolong Setiausaha Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS merangkap Ketua Unit Penganjuran Pelajaran. Sedikit majlis ringkas diadakan bagi meraikan rombongan berkenaan sekaligus penyampaian zakat atas asnaf fi sabilillah sebanyak RM36 ribu untuk para pelajar maahad berkenaan.

Terdahulu, Ustaz Awangku Raimy dalam ucapannya menasihatkan para pelajar agar memanfaatkan wang berkenaan untuk perkara yang berfaedah. Ini kerana wang zakat adalah wang ibadah umat Islam yang disampaikan kepada Pusat Zakat Sabah dan ia menjadi amanah Pusat Zakat Sabah untuk menyampaikan kepada mereka yang berhak. Beliau juga memaklumkan bahawa Pusat Zakat Sabah ada memberikan sumbangan kepada para siswa siswi peringkat diploma dan ijazah pertama.

Bagi pihak seluruh warga Maahad Tahfiz, kami mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan sumbangan yang disampaikan.

Suasana penuh ceria tapi santai menghiasi majlis makan malam akhir tahun Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah di Hotel Beverly Karamunsing dua malam lepas. Kami tidak sampai 50 orang pun merangkumi siswa siswi, para pensyarah, pentadbiran dan beberapa tetamu istimewa kami. Saya memilih untuk duduk bersama para siswa dengan niat untuk lebih mengenali mereka dan bersembang santai berkenaan hal-hal peribadi. Maklumlah, saya orang baru.

Ia bukan semata-mata makan malam kata Mudirah, Puan Hiryanti kerana beberapa penghargaan, anugerah pelajar cemerlang dan anugerah khas pengetua disampaikan kepada mereka. Tahniah kepada semua penerima, semoga menjadi pencetus kegemilangan maahad pada tahun 2012 pula kepada semua siswa siswi.

KELUARGA BARU

Pengetua, tenaga pensyarah dan kakitangan bukan mengajar

Foto-foto ini kami rakamkan akhir minggu lepas kerana kebetulan pengetua dan beberapa pensyarah Maahad akan menyertai satu bengkel pendidikan JHEAINS di Tawau selama 2 hari. Jadi sebagai salah satu bentuk laporan, kami yang sedikit ini mengambil kesempatan untuk merakamkan kenangan bersama. Kiranya saya beruntung juga kerana baru saja menyertai institusi Maahad Tahfiz seminggu lalu.

Di maahad ini ada 30 siswa siswi semuanya, merangkumi semester 2, 4 dan 6. Siswa 17 orang dan bakinya adalah siswi. Sebelum saya masuk ke sini, saya dimaklumkan dua siswi mengambil keputusan untuk berhenti tanpa sebab yang saya ketahui. Jadi sebenarnya inilah antara musim maahad ini mempunyai pelajar siswa siswi yang paling ramai. Sebab pada zaman sebelum ini sejak zaman kami tidak pernah mencapai jumlah 30 orang, dan saya berkeyakinan ia akan terus bertambah pada pengambilan siswa siswi pada tahun hadapan.

Di kalangan tenaga pensyarah yang ada, mereka bukanlah asing dengan saya sendiri sebelum saya berpindah ke sini. Ustaz Haji Azlan Bakri adalah senior di SMAN Toh Puan Hajah Rahmah dan di Mesir, bahkan kami pernah serumah di Kaherah sementara Ustazah Mahliana Mohammad juga pernah seangkatan di Mesir walaupun tidak berapa akrab. Ustazah Dayang Masni adalah tenaga lama di sini dan beliau masuk mengajar apabila kumpulan kami keluar tamat belajar.

Puan Hiryanti, pengetua ketika ini adalah kumpulan yang sama apabila kami menyertai perkhidmatan awam khususnya JHEAINS beberapa tahun lalu. Ustazah Sahiful dan Ustaz Suhaidi adalah alumni pelajar di sini dan kini kembali mencurah khidmat bakti di sini. Suhaidi sendiri baru beberapa minggu kembali ke Sabah setelah 3 tahun berada di Maahad Qiraat al-Azhar Mesir. Kakitangan bukan mengajar pula sudah saya kenali dan biasa kerana mereka sudah lama berkhidmat dengan JHEAINS.

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah ini, meski kuantitinya sedikit adalah satu institusi yang penting dalam JHEAINS. Ia institusi pendidikan tertinggi yang JHEAINS miliki setakat ini. Saya sangat bersyukur dapat ke sini dan mudah-mudahan dapat membantu khususnya dalam soal hafazan al-Quran mereka. Walaupun sudah kenal lama dengan para pensyarah, buat masa ini saya mengambil sikap memberi tumpuan kepada akademik khususnya hafazan al-Quran dan kembali mengenal hati budi teman-teman sejawat dan para pelajar saya.

Semester 6

Semester 4

Semester 2

RUTIN DI MAAHAD

Sekitar 10 minit bermula jam 7.20 pagi, semua siswa-siswi akan berkumpul di perkarangan maahad untuk perhimpunan pagi. Antara pengisiannya ialah doa, asmaul husna, dan seminggu sekali ada tazkirah beberapa minit yang disampaikan salah seorang daripada kalangan mereka secara bergilir-gilir. Saya berminat untuk mencadangkan tazkirah kultum setiap hari agar mereka dilatih bercakap dengan nas dan hujjah.

TASMIK

Kelas tasmik (memperdengarkan) al-Quran yang baru dihafaz bermula pada jam 7.30 pagi dan berlanjutan selama 2 jam. Saya diamanahkan menjadi guru tasmik al-Quran di kelas semester 2, yang sukatan hafazan mereka antara juzu’ 6 hingga 10. Sebenarnya semester 2 kini ada 15 orang dengan dua guru tasmik, Ustaz Sahiful menjaga 6 siswa dan saya pula 9 orang siswa siswi.

Memang di kalangan mereka ada yang mempunyai kualiti hafazan yang baik, ada yang sederhana dan ada yang lemah dan tertinggal hafazan berbanding rakan-rakan mereka. Memandang beberapa minggu ini semester 2 baru bermula, ada di kalangan mereka yang agak tertinggal berbanding teman-teman mereka yang lain dan belum menyelesaikan sukatan hafazan semester lepas (juzu’ 1 hingga 5).

Saya ada meletakkan sasaran untuk mereka, namun bagaimanapun itu semua terpulanglah kepada usaha mereka sendiri. Buat masa ini saya masih berbaik sangka dan optimis dengan kemampuan mereka dengan serba sedikit motivasi. Beberapa orang pula agak sederhana prestasinya, tidak terlalu terkehadapan dan tidak pula tercorot. Di kalangan mereka ada juga yang suka berlumba-lumba dalam hafazan, saling cantas-mencantas, dahulu-mendahului secara positif dan saya suka sikap itu. Mereka istibaq bil khairat!

Saya berharap mereka mengambil iktibar sepotong ayat al-Quran daripada surah Fathir :

32. Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

Selepas berehat sekitar 15 minit, mereka masuk ke bilik kuliah untuk subjek-subjek berikutnya. Untuk tempoh itu saya diamanahkan subjek tafsir (surah al-An’am dan al-Anfal) untuk semester 4, dan subjek Dhobtul Quran untuk semester 6. Dhobtul Quran adalah suatu ilmu berkenaan titik dan tanda baris di dalam al-Quran seperti sukun, tasydid, baris atas, bawah dan hadapan dan lain-lain. Subjek-subjek lain dipikul oleh pensyarah-pensyarah lain untuk semester 2, 4 dan 6.

MENGULANG

Sebenarnya tugasan rasmi pensyarah berakhir di situ, sementara untuk siswa-siswi ada sesi prep pada sebelah petang antara jam 2.30 hingga jam 4.30. Oleh kerana saya sudah terbiasa dengan kerja waktu pejabat, dan saya punya misi untuk membantu mengemaskan hafazan yang ada di dada mereka, justeru saya tetapkan untuk siswa siswi yang berada dibawah tanggungjawab saya untuk mengadakan kelas i’adah atau muraja’ah atau mengulang al-Quran beramai-ramai. Kelas ini saya wajibkan kepada mereka dan ruang yang sama diberikan kepada siswa siswi lain yang berminat.

Kaedah ini pernah diterapkan kepada kami oleh guru kami Ybhg Datuk Haji Asmali Bachi. Sekumpulan kami – yang memang sedikit pun – datang ke rumah beliau pada waktu petang atau malam, akan mengulangkaji hafazan al-Quran secara bergilir-gilir. Caranya begini, beliau telah menetapkan juzu’ yang diulang pada petang nantinya. Seorang demi seorang akan membaca semuka demi semuka secara bergilir-gilir beberapa pusingan dan ketika itu semuanya dikehendaki menutup al-Quran mendengar ayat yang dibaca oleh kawan-kawan yang lain.

Tempoh membaca satu juzu’ misalnya akan mengambil masa yang tidak begitu lama sekiranya masing-masing telah mempersiapkan diri dengan hafazan masing-masing yang telah ditentukan lebih awal. Jadi, sekiranya yang hadir (contohnya) lima orang untuk mengulangkaji sejuzu’ (20 muka surat), terdapat empat pusingan berlaku dan masing-masing hanya akan membaca sebanyak 4 muka surat sahaja. Satu segi ia ‘menguntungkan’ dan mengurangkan letih mereka, membaca hanya 4 muka surat tetapi sebenarnya sudah mengulang 20 muka surat melalui mendengar hafazan sahabat-sahabat.

Di sini, saya bahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama siswa bermula sekitar jam 2 sehingga asar, dan kumpulan kedua siswi selepas asar sehingga jam 5.30 petang. Tempoh ini mereka akan mengulang juzu’ satu dan akan naik juzu’ dua. Selepas juzu’ dua, turun semula juzu’ satu dan naik hingga dua dan tiga, kemudian turun satu semula. Begitulah yang akan saya lakukan perlahan-lahan.

Baru seminggu di sini, sebenarnya saya keletihan walaupun hanya duduk-duduk mendengar hafazan mereka. Namun keletihan itu terubat dengan nikmat al-Quran yang saya dengar setiap pagi dan petang bersama-sama mereka yang kini menjadi teman saya setiap hari, lalu saya sendiri dapat mengembalikan al-Quran yang sedikit sebanyak dilupakan dari hati saya buat beberapa tahun kebelakangan. Mendengar al-Quran sekitar 2-3 juzu’ sehari bersama-sama mereka adalah satu nikmat yang tidak patut saya lepaskan.

KENANGAN

Sikit lagi

Secara rasminya, saya sudah melapor diri ke tempat bertugas yang baru pada 1 November 2011 tempohari, namun seperti kebiasaan orang yang berpindah tempat bertugas, saya masih hadir ke tempat lama di Bahagian Penyelidikan & Informasi (BPI) JHEAINS menyiapkan tugasan-tugasan berbaki dan mengemas barang-barang peribadi untuk diangkut sedikit demi sedikit.

Setelah dimaklumkan pertukaran saya secara hitam putih, saya mula berkemas sedikit demi sedikit. Dua minggu hari bekerja, saya angkat sedikit demi sedikit pada waktu petang. Sebenarnya barang peribadi tidaklah terlalu banyak, jadi tidak  sukar untuk membawa beransur-ansur ketika pulang petang. Sehingga ada teman sepejabat terkejut bilik hampir lengang pada petang jumaat lepas.

Saya melapor diri ke bahagian ini pada 29 Februari 2008 dalam suasana kempen pilihanraya, kira-kira seminggu sebelum hari pengundian pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 setelah setahun empat bulan di Istana Negeri. Alhamdulillah,  di BPI ini saya mendapat teman-teman sepejabat yang sangat mengerti terutamanya ketua kami Ustaz Musally Moksin yang sempoi orangnya.

Lucu juga mengingatkan saya pernah buat kecoh dan dianggap menyusahkan pentadbiran kerana isu teks khutbah yang didakwa menyinggung perasaan orang tertentu daripada kalangan al-mala’. Teks khutbah jumaat yang saya tulis untuk jabatan kemudian ditarik balik walaupun sudah dibaca ramai khatib seluruh Sabah. Saya kemudiannya di’gam’ daripada menulis khutbah untuk jabatan. Itulah antara asbab saya kemudiannya menulis blog yang sedang saudara saudari tatap sekarang ini.

Tidak mengapalah kerana itu saya anggap sebagai asam garam kehidupan dan pahit manis perjuangan (walaupun itu hanya kecil sahaja). Ada lagi beberapa kali, tetapi saya abaikan saja, sehingga dipanggil dan ditemui oleh teman SB. Dalam soal kerja, saya amat mengakui kelemahan saya dalam soal penyelidikan kerana saya tidak dilatih untuk itu. Antara yang diingati ialah membaca beberapa buah buku yang disyaki mengandungi fakta-fakta agama yang menyeleweng, walaupun saya bukan pakar usuluddin, syariah atau tasawuf.

Kunjungan ke beberapa lokasi ajaran yang didakwa pengadu mengadakan ajaran sesat atau salah, antaranya ke Tuaran, Papar, Kota Marudu, Semporna, bahkan ke sekitar Kota Kinabalu juga dan lain-lain. Ada juga individu tertuduh melibatkan teman-teman yang dikenali, yang rasanya melibatkan emosi persahabatan dan sudah tentu lebih sukar menyelesaikannya.

Saya turut menyertai beberapa operasi bersama KDN, KPDN&HEP dan agensi lain untuk meninjau buku-buku terlarang serta bersama Unit Halal (disebut sebagai urus setia Makanan Gunaan Islam -MGI) membuat operasi bersama ke restoran dan kilang-kilang memproses makanan. Ketika musim Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) daerah-daerah dan perkhidmatan awam, saya agak sibuk mengatur hakim-hakim tilawah untuk diagihkan bertugas di lokasi yang ditetapkan. Di sini juga saya diberi peluang menulis sebuah buku kecil bertajuk ‘Tazkirah, Peringatan Buat Diri Yang Lemah’, dan dicetak 3 ribu naskhah untuk edaran kepada masyarakat.

Saya kira itu semua sebagai pengalaman manis dalam berkhidmat sebagai penjawat awam. Tugasan-tugasan seperti itu, saya amat hargai dan saya amat berterima kasih kepada semua pihak, daripada Ybhg Datuk Pengarah sehinggalah kepada teman-teman sepejabat di BPI. Insya Allah ia menjadi kenangan terindah dan tidak akan saya lupakan. Kepercayaan pentadbiran khususnya Datuk Pengarah dan Timbalan Pengarah (HEI) dengan perpindahan saya ke tempat baru beserta nasihat-nasihat berharga mereka juga tetap hargai.

Justeru, saya menganggap bertugas di Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Sabah bermula semalam (14 November 2011) sebagai peluang untuk mendidik dan berkongsi ilmu bersama bakal para huffaz al-Quran. Dalam mesyuarat akademik tempohari, saya ada menyuarakan hasrat saya membantu mengemaskan hafazan mereka sama ada daripada segi hafazan baru (tasmik) atau memelihara hafazan sedia ada (muraja’ah atau i’adah atau mengulang).

Saya katakan, kebiasaannya pelajar diawasi oleh para pensyarah dalam soal tasmik (memperdengarkan hafazan yang baru), tetapi agak terabai dalam soal mempertahankan hafazan yang lama, dan itu juga menjadi keutamaan saya. Saya diamanahkan menjadi guru tasmik al-Quran kepada 9 siswa siswi semester dua – semester dua ini ada 15 orang semuanya, guru tasmik dua orang. Saya juga mulai petang tadi mengadakan kelas mengulang al-Quran secara beramai-ramai dengan teknik yang saya rasa boleh diikuti oleh mereka, berdasarkan apa yang kami alami semasa bergelar siswa ketika di bawah didikan Datuk Haji Asmali Bachi dahulu.

Semoga Allah SWT membantu saya, dan saya pohon doa para pembaca agar saya dapat bertahan di sini, kerana saya sangat gembira di sini. Pagi petang saya boleh mendengar al-Quran bersama mereka sekurang-kurangnya satu-dua juzu sehari, dan antara lagi yang menyukakan ialah saya dapat menyertai solat berjamaah bersama mereka di surau yang terletak dalam satu blok yang sama dengan pejabat kami, dan hanya beberapa langkah di hadapan bilik-bilik kuliah kami. Inilah nikmat yang tidak patut saya dustakan.

AKAN PINDAH

Saya dipindahkan ke sini.

Mengejutkan.

Saya dimaklumkan petang tadi surat pertukaran beberapa orang pegawai JHEAINS dan nama saya terkandung di dalamnya. Surat itu, arahan pertukaran nama yang terlibat adalah bersifat serta merta. Walaubagaimanapun, berdasarkan amalan biasa, surat melapor diri ke tempat baru akan dikemukakan dalam masa terdekat, hanya tarikh mula bertugas akan dibincangkan kemudian.

Ketua saya juga terkejut dengan perpindahan saya. Maklumlah, bilik saya bersebelahan dengannya dan saya salah seorang teman bualnya khususnya berkenaan isu-isu dakwah dan isu semasa. Jujurnya saya tidak ada memohon secara rasmi dan bersurat walaupun saya pernah menulisnya. Hanya pernah meluahkan isi hati melalui pertemuan saya dengan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam, itu pun rasanya sudah lebih setahun lalu. Alhamdulillah, beliau memahami dan saya meyakini beliau amat berperanan.

Orang pertama saya maklumkan ialah isteri saya. Dan masih ramai rakan-rakan belum mengetahui pertukaran itu. Allah SWT maqbulkan doa saya sejak Mac 2010, ketika kami menunaikan umrah. Saya panjatkan doa ketika tawaf, di hadapan maqam ibrahim, di multazam, hijir ismail, di raudhah bahkan sesudah pulang ke tanahair. Sedikitpun saya tidak benci bahagian saya bertugas sekarang, kerana saya mempunyai ketua dan rakan-rakan sepejabat yang baik dan memahami.

Hanya di tempat baru ini memang sudah lama saya impikan, demi al-Quran yang berada di dalam hati saya. Atas kelemahan diri, saya memerlukan suasana dan lokasi yang kondusif untuk menjaga al-Quran ini. Insya Allah saya akan melapor diri minggu hadapan kepada puan pengetua di sana. Bila mula bertugas, akan dibincangkan nanti. Semoga Allah memudahkan urusan dan memberikan yang terbaik untuk saya dan kita semua.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers