Mimpi baik adalah daripada Allah, justeru bertahmidlah kepadaNya; ceritakan mimpi berkenaan kepada orang yang dikasihi seperti suami, isteri, ibu, bapa dan seumpamanya. Juga boleh bercerita kepada orang yang tahu dalam ta’wil mimpi.

Mimpi buruk adalah daripada syaitan, justeru pohonlah perlindungan kepadaNya; jangan ceritakan mimpi itu kepada sesiapa; tiup atau berludah di sebelah kiri sebanyak 3 kali, serta berpindah posisi tidur.

Daripada Abu Sauid al-Khudri RA, ia mendengar Nabi SAW bersabda :

‏”‏إذَا رَأى أحَدُكُمْ رُؤْيا يُحِبُّها، فإنَّمَا هِيَ مِنَ اللَّهِ تَعالى، فَلْيَحْمَدِ اللَّه تَعالى عَلَيْها وَلْيُحَدّثْ بِها‏”‏ وفي رواية ‏”‏فَلا يُحَدِّثْ بِها إِلاَّ مَنْ يُحِبُّ، وَإذَا رأى غَيْرَ ذلكَ مِمَّا يَكْرَهُ فإنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطانِ فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّها وَلا يَذْكُرْها لأحَدٍ فإنها لا تَضُّرُّهُ‏”‏‏‏

“Apabila salah seorang kamu bermimpi akan sesuatu yang disukainya, mimpi itu adalah daripada Allah Ta’ala, maka hendaklah ia memuji Allah Taala, dan hendaklah ia menceritakannya.

Dalam riwayat lain : “Janganlah ia menceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang dikasihinya.

Apabila ia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disukainya, maka itu adalah daripada syaitan. Oleh itu hendaklah ia meminta perlindungan daripada kejahatannya, dan janganlah diceritakan mimpi itu kepada sesiapa, kerana mimpi itu tidak memudharatkannya”. (HR Bukhari)

Daripada Abu Qatadah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :

“‏الرُّؤْيا الصَّالِحَةُ‏”‏ وفي رواية ‏”‏الرُّؤْيا الحَسَنَةُ مِنَ اللَّهِ، والحُلْمُ مِنَ الشَّيْطانِ، فَمَنْ رأى شَيْئاً يَكْرَهُهُ فَلْيَنْفُثْ عَنْ شِمالِهِ ثَلاثاً وَلْيَتَعَوَّذْ مِنَ الشَّيْطان، فإنهَا لا تَضُرُّهُ‏”‏ وفي رواية ‏”‏فَلْيَبْصُقْ‏”

“Mimpi yang baik itu daripada Allah, mimpi yang sebaliknya daripada syaitan. Sesiapa bermimpi melihat sesuatu yang dibencinya, hendaklah ia meniup-niup ke sebelah kirinya 3 kali, dan meminta perlindungan daripada syaitan. Mimpi itu sebenarnya tidak memudharatkannya.

Dalam riwayat lain : “…hendaklah ia meludah..” sebagai ganti kepada ‘meniup-niup’.

Daripada Jabir RA, daripada Rasulullah SAW baginda bersabda :

‏إِذَا رأى أحَدُكُمُ الرُّؤيا يَكْرَهُها فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسارِهِ ثَلاثاً، وَلْيَسْتَعِذْ باللَّه مِنَ الشَّيْطانِ ثَلاثاً، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كانَ عَلَيْه

“Apabila salah seorang kamu bermimpi sesuatu yang dibencinya, hendaklah ia meludah ke arah kirinya sebanyak 3 kali, dan meminta perlindungan dengan Allah 3 kali, dan mengubah posisi tidurnya” (HR Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA :

“‏إذَا رأى أحَدُكُمْ رُؤْيا يَكْرهَها فَلا يُحَدِّثْ بها أحَداً وَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ‏”

“Apabila salah seorang kamu bermimpi sesuatu yang dibencinya, janganlah ia menceritakan mimpi itu kepada sesiapa, hendaklah ia bangun bersolat”. (HR at-Tirmizi)

Ibnus Sunni berkata dalam kitabnya :

‏”‏إذَا رَأى أحَدُكُمْ رُؤْيا يَكْرَهُها فَلْيَتْفُلْ عن يَسَارِهِ ثَلاث مَرَّاتٍ، ثُمَّ ليَقُلِ‏:‏ اللَّهمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَمَل الشَّيْطانِ وَسَيِّئاتِ الأحْلامِ؛ فإنَّهَا لاَ تَكُونُ شَيْئا

“Apabila seseorang kamu bermimpi sesuatu yang dibencinya, hendaklah ia berludah ke arah kiri 3 kali, kemudian berdoa : [Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada amalan syaitan dan kejahatan mimpi, sesungguhnya mimpi itu tiada apa-apa”

Sedutan kuliah di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru, kitab al-Azkar Imam Nawawi, setiap sabtu malam ahad.