Tag Archive: Mesir


Saintis Perancis Memeluk Islam Setelah Mengkaji Penemuan Mayat Firaun Pada pertengahan tahun 1975.

Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.

Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri :

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).” Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

Pencalonan Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Sebagai Presiden Mesir

1. Seluruh dunia dikejutkan dengan keputusan Ikhwan Muslimin secara rasmi meletakkan calon presidennya dalam pilihanraya akan datang dengan menamakan Ir Khairat Al Shater, Naib Mursyidul Amnya bagi calon Presiden Mesir 2012.

2. Setelah mengadakan mesyuarat tergempar sebanyak 3 kali pada akhir Mac lalu, akhirnya Majlis Syura Ikhw…an Muslimin mencalonkan Ir Khairat Shater sebagai calon tatkala penamaan calon masih berbaki 7 hari lagi setelah dibuka 8 Mac lalu dan akan ditutup pada 8 April 2012.

3. Yang menariknya, pada mesyuarat kali pertama Majlis Syura Ikhwan Muslimin pada 16 Mac yang lalu, seramai 81 ahli menolak untuk Ikhwan Muslimin meletakkan calon Presiden. Hal ini kerana, mengikut ketetapan yang telah dipersetujuin pada April 2011 yang lalu bahawa mereka tidak sama sekali akan mencalonkan mana-mana anggota mereka.

4. Manakala pada 27 Mac yang lalu, mesyuarat kali kedua bagi Majlis Syura seramai 61 orang pula tidak menyokong dan ia menunjukkan kemerosotan berbanding mesyuarat yang pertama. Baru-baru ini iaitu tanggal 31 Mac 2012, mereka bersidang sekali lagi bagi membincangkan perkara yang sama berdasarkan suasana dan waqi’e semasa dan dalam persidangan tersebut seramai 56 orang menyokong, manakala 52 lagi membantah daripada jumlah ahli yang hadir menyuarat seramai 108 ahli (keseluruhan Ahli Majlis Syura seramai 110 orang). Dua orang lagi ahli iaitu Dr. Sa’ad Katatni dan Dr. Essam ‘Iryan tidak hadir kerana menghadiri Persidangan Ahli Parlimen Dunia.

5. Antara mereka yang tidak bersetuju dengan pencalonan jawatan presiden tersebut adalah Dr. Helmy, Sayed Enzily dan Mohammed Mahdi Akef, bekas Mursyidul Am yang lalu akan tetapi kesemuanya berlapang dada dan thiqah terhadap keputusan yang telah dipersetujui tersebut.

6. Sumber mengesahkan bahawa, antara sebab Ikhwan Muslimin terpaksa menamakan calon daripada mereka adalah kerana melihat kepada kerajaan sementara dan tentera seolah-olah tidak mematuhi segala perkara yang telah diputuskan oleh Parlimen,satu-satunya institusi yang dipilih oleh rakyat ketika ini dan juga tidak menghormati kehendak rakyat iaitu supaya kerajaan awam diserahkan kepada rakyat, bukannya diperintah oleh tentera.

7. Sebelum daripada itu juga, Ikhwan Muslimin telah mengadakan rundingan dengan beberapa calon Islamik yang lain iaitu Syeikh Hazim Solah Abu Ismail, Abdul Mun’iem Abul Futouh dan Dr.Salim al-Awwa untuk berbincang berkenaan pencalonan Presiden akan tetapi Ikhwan Muslimin melihat bahawa terdapat beberapa perkara yang menyebabkan mereka terpaksa menamakan juga calon daripada mereka dan kesemua calon tersebut kurang menepati kriteria yang dikehendaki oleh mereka untuk membolehkan mereka membuat ketetapan menyokong mana-mana calon tersebut.

8. Terkini, sehari sebelum penamaan calon ditutup, Ikhwan Muslimin dan parti politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) memutuskan mencalonkan Presiden parti itu, Dr.Mohammad Mursi sebagai “calon simpanan” bagi jawatan Presiden jika sebarang kemungkinan berlaku kepada Khairat Shater. Ini kerana Shater sebelum ini berhadapan dengan tuduhan yang direkacipta oleh mahkamah tentera di zaman Mubarak yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara. Beliau baru dibebaskan setelah berlaku Revolusi 25 Januari dan kesnya masih belum selesai dan sedang diusahakan oleh para peguamnya untuk digugurkan.

9. Walau bagaimanapun, kes beliau itu hanya sebagai tuduhan yang dicipta dan Lajnah Undang-Undang Ikhwan Muslimin dan FJP telah bersepakat kondisi Shater sekarang selamat dan tidak mempunyai apa-apa masalah dari sudut perundangan kerana kesnya sekarang hanya bersifat teknikal untuk digugurkan.

10. Walau bagaimanapun, Ikhwan dan FJP melihat pihak Majlis Tentera sendiri yang cuba mengotorkan proses Pilihanraya Presiden. Hingga kini, terdapat empat nama mereka yang pro-Mubarak telah disahkan bertanding. Mereka ialah bekas Naib Presiden dan juga Ketua Perisikan di zaman Mubarak, Omar Suleiman, bekas Perdana Menteri Mubarak, Ahmed Syafiq, bekas Ketua Liga Arab ‘Amr Mousa dan Mansour Hasan.

11. Berikut jadual perjalanan Pilihanraya Presiden Mesir 2012 seperti yang diumumkan:

8 April: Pencalonan bagi Presiden Mesir ditutup tepat jam 12 tengah hari

9 April: Jawatankuasa Pilihanraya Presiden Mesir (JPPM) akan umumkan calon yang diterima borang

10 dan 11 April: Tempoh mengemukakan sebarang bantahan terhadap calon bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. JPPM akan mengadakan perbincangan berkaitan bantahan yang dikemukakan.

16 April: JPPM mengumumkan keputusan bagi bantahan2 yang diterima

26 April: JPPM akan mengumumkan calon yg sah bertanding

30 April: Tempoh kempen bermula dan tempohnya hanya 21 hari

11 hingga 17 Mei: 7 hari masa diberikan bagi rakyat Mesir di luar negara mengundi

20 Mei: Tempoh berkempen tamat

23 dan 24 Mei: Rakyat Mesir dalam negara membuang undi

30 Mei: Pusingan ulangan dan tempoh berkempen dibuka semula selama 15 hari

3 hingga 9 Jun: Selama 7 hari lagi rakyat di luar negara membuang undi

15 Jun: Tempoh berkempen tamat pada tepat jam 12 tengah hari

16 dan 17 Jun: Rakyat dalam negara mengundi buat pusingan kedua

18 Jun: Pengiraan undi dijalankan

19 Jun: JPPM membuka sebarang bantahan terhadap proses pilihanraya

21 Jun: Keputusan penuh dijangka diumumkan

30 Jun: Presiden baru mengangkat sumpah jawatan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Walaupun ceramah diadakan pada akhir disember 2011 lalu, rasanya amat baik juga untuk didengar dan direnung bersama. Majlis ceramah perdana / isu semasa bersama Tuan Hj Mohamad Sabu timbalan presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS ) dan Saudara Hanipa Maidin selaku AJK PAS pusat | isnin | 26 Disember 2012 | jam 6 malam | bertempat di dewan Rumah Selangor H10 | Anjuran SUARA kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Negeri Selangor.

MENANTI MEREKA PULANG

Sekalung tahniah dari Abu Nuha Corner (dan rasanya bagi pihak pelayar setia blog ini) di atas kejayaan saudara-saudaraku di Universiti al-Azhar Mesir yang telah menamatkan pengajian mereka masing-masing untuk sesi berakhir 1432H ini. Alhamdulillah, puja dan puji ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan kejayaan ini kepada mereka.

Kami menantikan kehadiran mereka untuk mengisi ruang-ruang dakwah yang sangat luas dan terbuka ini khususnya di gelanggang negeri Sabah. Medannya terlalu luas, baik di sekolah dan pusat pengajian, di masjid dan surau, hatta di pasar dan padang permainan. Sasarannya juga segenap usia dan kedudukan – daripada kanak-kanak sehingga orang tua, golongan mustad’afin dan al-mala’.

Entah sama ada saya sesuai menasihatkan mereka atau tidak. Tetapi peninggalan para guru dan alim ulama antanya ialah akan sebuah ayat al-Quran daripada surah at-Taubah, ayat 122 : “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang yang tinggal itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Duduk dari kanan : Guntur Benjare (Usuluddin), Suhaili bin Mohd Said (Usuluddin), Azhar Haji Jismil (syariah) dan Suhaidi Kuanting (Qiraat). Berdiri dari kanan : Erna Suzieana Ag Matusin (Syariah), Jainuddin Ires (Syariah), Mohd Arif Hairal (Syariah), Mahadir bin Amboala (Qiraat) dan Azlinah Abdul Ghani (Syariah).

ANTARA BKPSM DAN PUM

Saya antara orang yang paling gembira apabila hasrat menemukan pimpinan dan aktivis Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah dengan exco dan ahli Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) yang berlangsung di bilik mesyuarat Masjid Negeri Sabah berjalan lancar sehingga ke tengah malam tadi. Saya utarakan niat awal itu kepada beberapa AJK PUM Sabah dan wakil BKPSM, lalu hasrat itu disambut baik oleh semua.

Objektif kami ialah untuk membuat jaringan awal antara kedua pihak agar sekembalinya mereka dari pengajian di bumi Mesir akan terlibat dalam kerja-kerja dakwah. Bukan semata-mata untuk graduan pengajian Islam bahkan juga untuk yang lain (tanpa menafikan perubatan juga termasuk dalam ilmu Islam). Kelebihan-kelebihan yang mereka miliki seperti kepakaran dalam ilmu perubatan (bagi pelajar perubatan) sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk program dakwah bilhal.

Nasihat-nasihat Ustaz Haji Muchlish yang sangat bermanfaat, sebenarnya bukan hanya untuk tetamu kami daripada kalangan BKPSM, bahkan untuk kami juga yang nakal-nakal ini. Ustaz menasihati dalam banyak hal terutama keperluan orang agamawan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Begitu juga dalam penampilan diri harus dititikberatkan sehingga para ustaz dan ustazah boleh dipercayai orang awam.

Banyak input-input menarik, soal jawab tentang PUM-BKPSM antara kedua-dua pihak dan akhirnya diulas dengan baik sekali oleh Ustaz Haji Muchlish. Program berakhir pada jam 12 tengah malam.

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

abdnaddin@yahoo.com

Tiket sudah dibeli. Tapi hasrat Asraf untuk belajar di Al-Azhar, universiti tertua di dunia itu mahu tidak mahu terpaksa ditangguhkan kerana terjadi pergolakan di Mesir. Puluhan ribu orang turun di jalan-jalan menunjukkan perasaan kecewa dan marah terhadap Presiden Hosni Mubarak yang berkuasa sejak 30 tahun. Ratusan orang mati, ribuan orang cedera dan terluka. Semua pelajar Malaysia terpaksa pulang ke tanahair atau singgah sementara di Jeddah menunggu badai amarah kembali reda.

Gejolak yang berlaku di Kaherah itu amat menarik untuk diteliti. Rakyat Mesir barangkali mempunyai sebab tersendiri sehingga mereka sanggup keluar mendesak presiden mereka untuk berundur. Sukar untuk menidakkan bahawa peristiwa ini berlaku sedikit banyak dipengaruhi oleh rangkaian kejadian di Tunis namun jika kita meneliti senario di dunia Arab, kita dapat menduga sebab musabab terjadinya peristiwa yang mendorong rakyatnya sanggup memperlihatkan kepedihan mereka.

Pendapatan yang rendah,kemiskinan dan kekayaan yang tidak merata, korupsi yang menggejala, serta represi yang dialami rakyat adalah antara bibit bibit yang tumbuh, mengakar dan menjalar menjadi kehampaan dan kekecewaan yang telah lama menunggu waktu untuk meledak. Tetapi Mesir boleh dikatakan sebuah negara yang makmur namun tekanan yang telah lama dirasakan oleh sebahagian besar rakyatnya menyebabkan mereka mhukan pergantian kepimpinan dan menggesa agar Hosni Mubarak melepaskan jawatan.

Juga menarik untuk disemak ialah sikap pentadbiran Obama terhadap apa yang berlaku di Mesir itu. Hosni Mubarak adalah sekutu utama mereka dan mendukung pemerintahan itu sekalipun ia tidak lagi bersesuaian dengan pandangan mereka terhadap demokrasi.

Jika mereka menyokong Mubarak, ia bermakna mereka kelihatan seolah-olah anti demokrasi. Sebagaimana yang kita ketahui, tempoh pemerintahan Hosni Mubarak telah berakhir pada 2009 tetapi kerana sokongan Amerika, beliau masih berada di tampuk pemerintahan negara itu. Melihat senario yang ada, kelihatan Hosni Mubarak sedang menghitung hari-hari terakhirnya. Bagaimanapun, kita tidak dapat menerima campur tangan Amerika terhadap kedaulatan negara lain dan sikap pentadbiran Hosni sendiri yang dilihat mengetepikan suara dan aspirasi rakyatnya, sebenarnya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Alasan yang diberikan Hosni hanyalah bahawa jika beliau turun takhta, keadaan akan bertambah kusut lagi. Hosni juga mengatakan bahawa beliau khuatir Ikhwanul Muslimin, yang ditakuti Washington tetapi mendapat sokongan rakyat akan memegang kuasa.

Hakikat bahawa gerakan pembangkangan kali ini lebih kuat, dengan munculnya ilmuan dan tokoh seperti Mohamad El Baradei dan juga parti-parti lan, menyebabkan apa yang berlaku di Mesir itu tidak luput dari sorotan dunia. Ikhwanul Muslimin, sebuah parti yang telah lama berjuang tetapi diharamkan pemerintah tidak terlepas dari tudingan sebagai pemicu kebangkitan rakyat. Namun walaupun mereka mengatakan tidak berminat untuk mengambil alih kuasa tetapi mereka tetap mendesak agar Mubarak berundur.

Apa yang berlaku di Tahrir Square, (bukan Tiananmen Square) menunjukkan tahap kemarahan rakyat. Kita tidak mahu rakyat Mesir terpecah belah dan memudahkan anasir luar mengambil kesempatan di antara kesempitan. Kita tidak mahu ada unsur luar yang sengaja memprovokasi agar dunia Islam sentiasa berada dalam keadaan yang tidak tenteram.

Pergolakan politik yang berlaku di Mesir itu menyebabkan Asraf, anak sahabat saya, Ustaz Abu Masykur tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Mesir. Mungkin selain Asraf, ramai lagi anak anak lain sedang berura-ura untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Kahrerah, Iskandariah, Asfahan atau daerah-daerah yang menganjur sepanjang Sungai Nil. Meskipun tempatnya jauh tetapi tanah Mesir sentiasa dekat di hati kita.

Mesir adalah tempat dimana ramai nabi dan rasul kita pernah memanfaatkan hidup mereka untuk menyampaikan berita-berita mengenai kebenaran, keadilan dan kebaikan. Jika tidak silap saya, antara nabi kita yang bermukim di Mesir yang terkenal ialah Nabi Yusuf, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Harun dan banyak lagi nabi nabi Allah yang lain. Selain itu,bermula dari Mesir juga, kebangkitan nasionalisme dan gerakan menentang penjajah di Nusantara mendapat pengaruh dari tokoh tokoh penting di sana.

Mesir juga mengingatkan kita tentang tokoh gerakan pembaharu seperti Muhammad Abduh, Jamaluddin Afghani, dimana gerakan mereka itu sangat berpengaruh di Nusantara melalui terbitan buku dan majalah seperti Al Manar dan sebagainya. Banyak tokoh tokoh kita memang pernah belajar di Kaherah. Saya banyak menyaksikan Mesir melalui karya-karya Naquib Mahfouz, Tawfiiq Al Hakim dan gambaran yang diberikan Habiburrahman El Shirazy dalam banyak novel-novelnya seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih membantu pemahaman kita terhadap Mesir.

Bila bercakap tentang Mesir, saya akan teringat mengenai orang kampung kami yang meninggal di Mesir ketika cuba memasang antena TV di rumahnya sewanya. Meskipun begitu, mereka yang belajar di Al Azhar tetap memiliki tempat yang terhormat kerana ketinggian ilmu dan komitmen mereka terhadap untuk mendapatkan pendidikan walaupun terpaksa berdepan dengan kesukaran.

Saya teringat betapa ramai rakan-rakan yang belajar di bumi Mesir itu, antaranya. Ustaz Datuk Haji Mohd. Arifin Arif, ADUN Membakut, Ustaz Datuk Haji Suhaili Said, Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah, Dr. Haji Mohd.Kassim Tussin, Ustaz Awang Laiman, Abdullah Maria, Ustaz Matning Rajunah, Ustaz Md Akmal Othman, Ustaz Jadmin Mohd Soon. Antara mereka ramai yang menjadi tokoh yang terkenal dalam bidang masing-masing.

Ini menunjukkan betapa dekatnya hubungan kita dengan Mesir. Jadi apabila berlaku pergolakan dan kekacauan di Mesir, ia turut mengusik kedamaian di hati kita. Kini seramai 14,000 rakyat Malaysia di Mesir sedang dibawa keluar dari negara itu. Apa saja yang berlaku di Mesir tetap memiliki pengaruh bukan saja terhadap dunia Arab malah dunia Islam keseluruhannya.

Saya fikir, sebagai sebuah negara yang memiliki pengaruh dan wibawa yang cukup besar dalam dunia Islam dan dunia internasional, sudah sewajarnya negara kita mengambil peranan dalam proees untuk mencari kedamaian yang berkekalan di Kaherah dan dunia Islam yang lain.

Banyak perkara yang mengingatkan saya tentang Mesir. Bukan setakat piramid dan sungai Nil.

WAHAI PRESIDEN HOSNI MUBARAK..

Menanti saat-saat kejatuhan dan tumbangnya Presiden Mohammad Hosni Mubarak di Mesir, saya teringatkan video klip yang merakamkan kata-kata nasihat oleh seorang ulama terkemuka di Mesir, almarhum Syaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi (foto) di hadapan Presiden Mubarak satu ketika dahulu.

Syaikh Sya’rawi memang seorang ulama’ yang ikhlas, berkata benar walaupun di hadapan Presiden negaranya. Meskipun beliau sudah kembali kerahmatullah 15 tahun lalu, rakaman kuliah tafsirnya yang hebat dan menyentuh hati itu masih ditayangkan di tv Mesir. Poster-poster gambarnya masih bergantung di rumah umat Islam menandakan beliau sememangnya diterima dan dikasihi umat Islam khususnya di Mesir. Kitab-kitabnya dibaca orang dan diterjemahkan termasuk ke dalam bahasa melayu.

Saya pernah dimaklumkan sejuta umat Islam membanjiri kawasan pengkebumiannya saat beliau dimakamkan di Mit Ghamr ketika pemergiannya. Alhamdulillah ketika belajar dulu, bersama rakan-rakan yang lain, saya sempat menziarahi maqam almarhum Syaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi yang mulia ini.

Terjemahan :

“Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi)..

Wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku menjadi munafiq. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa.

Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan). Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata?

“..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” – (Surah al-Baqarah : 258, al Quranul Karim)

Maka kekuasaan itu, Allah diberi kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia.

Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu. Aku berkata kepada kamu sekalian, Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :

“..Wayamkuruuna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah : “..Innahum yakiiduna kaidan wanakiidu kaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga).

Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;

“..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.

Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita! (Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu presiden Mesir dan berkata) :

“..Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami)..”.

*Terjemahannya saya perolehi di blog Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofree

DATARAN TAHRIR, MESIR

Beberapa video klip berkenaan demonstrasi besar-besaran bermula di Dataran Tahrir, Kaherah Mesir. Demonstrasi berkenaan memaksa agar Presiden Husni Mubarak yang telah memerintah Mesir lebih 30 tahun supaya turun segera. Demontrasi ini juga dikhabarkan merebak ke wilayah-wilayah lain di negara berkenaan.

Rakyat Mesir sememangnya sudah muak dengan pemerintahan diktator Husni Mubarak dan mereka mendapat semangat daripada peristiwa yang telah berlaku di negara Tunisia tempohari. Dijangka jika berjaya menumbangkan Husni Mubarak, demontrasi sama akan melanda di negara-negara arab yang lain.

DIA HANYA TAHU AL-QURAN

Video klip ini patut menginsafkan kita semua yang kononnya sempurna anggota badan dan akal fikiran. Pemuda ini sebenarnya menghidapi kecacatan mental namun apabila ayat al-Quran dibacakan kepadanya dia dengan pantas mampu menjawabnya.

Tetapi apabila mumtahin (penyoal) bertanya berkenaan latar belakangnya, dia nampaknya keliru dan terpinga-pinga dengan  memberikan jawaban yang lain daripada kehendak soalan. Benar kata mumtahin (penyoal) itu bahawa pemuda bernama Ahmed Muslim Ahmed Eid tidak tahu apa-apa melainkan al-Quran al-Karim.

Semoga kita mengambil manfaat dan iktibar sempena hari raya qurban ini…

DR AHMED NUAINA DI IRAN

Meremang bulu roma mendengar tilawah qari terkenal Dr Ahmed Nu’aina dalam suatu majlis di Iran.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers