Tag Archive: Masjid Nabawi


CUCI MASJID NABAWI

Saya petik daripada web Ustaz Amin bercerita tentang satu Majlis Hi Tea Amal Aidil Fitri :

Majlis Hi-Tea Amal Aidilfitri ini dianjurkan oleh Darul Ukhwah dan pusat Hemodialisis Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya pada Sabtu 9 Oktober 2010 bersamaan 1 Zulkaedah 1431 dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang. Ia bermotifkan mengumpul dana kedua-dua pusat kebajikan dan mewar-warkan kepada masyarakat kewujudan dan fungsi kedua-dua pusat kebajikan ini.

(Keterangan foto) : Bersama Dato’ Yahya A. Jalil, yang turut menjayakan majlis hari ini, beliau baru sahaja mendapat tanggung jawab mencuci Masjid Nabawi selama 30 tahun bersama Ben Laden Group.

Alhamdulillah, selepas ini orang Melayu mempunyai peluang untuk menjadi khadam Nabi SAW di masjid baginda yang penuh barakah. Sebelum ini, peluang menjadi khadam Nabi di masjid Nabawi dimonopoli pentadbirannya oleh orang Arab.

“Kunci makam Nabi pun akan diamanahkan” kata Dato’ Yahya. Jika saya berpeluang satu hari nanti, satu yang saya harapkan, agar dapat menziarahi dan berkhidmat membersihkan makam Nabi SAW dari bahagian dalam yang berkunci. Siapa berminat untuk menjadi khadam Nabi SAW di masjidnya, boleh pasang niat…..

6 Ramadhan :

Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim menjelaskan bahawa solat adalah ibadah syumuliyyah yang paling afdhal. Solat seorang hamba yang sebenar-benarnya menjadikan dia semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta tidak menjadikannya angkuh dan sombong. Demikian dalam solat dengan berlakunya rukuk dan sujud menunjukkan kepatuhan dan penghinaan diri kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

7 Ramadhan :

Dr Ali Akbar Gulasan menyebutkan bahawa penghinaan terhadap Rasulullah SAW sudah berlaku sejak zaman hayat baginda lagi dan akan berlaku sepanjang zaman kerana musuh yang tidak berkesudahan. Bagi umat Islam, sekurang-kurangnya hendaklah selalu bercerita kepada anak dan ahli keluarga akan sirah perjuangan baginda SAW serta mengaplikasi semampunya sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

8 Ramadhan :

Ustaz Syahir Ismail menyebutkan antara ciri pemuda yang dikasihi Allah SWT itu ialah apabila ia suka beribadah kepada Allah SWT tanpa jemu. Pada zaman Rasulullah SAW, para pemuda adalah tonggak kepada perjuangan Islam yang sering menjadi saf hadapan perjuangan. Dalam zaman serba mencabar ini, syabab yang berkualiti bukan sekadar mempunyai pendidikan tinggi tetapi mampu menongkah cabaran massa menurut ajaran Islam.

9 Ramadhan :

Dalam tazkirah Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, seorang manusia yang benar-benar merindui Allah SWT akan sentiasa tekun melaksanakan segala perintah-Nya dan  menjauhi larangan-Nya. Ia rindu untuk bertemu dengan-Nya, dengan membawa amal kebaikan serta mengharap ridha tuhannya. Ia bimbang dengan amalan yang sedikit dan serba kekurangan. Maka dengan itu selalu bermohon agar Allah SWT mengampuni kesalahannya serta menampung segala kekurangan ibadah yang telah dilakukannya.

11 Ramadhan :

Alam barzakh adalah sesuatu yang pasti. Ia boleh saja menjadi satu taman daripada taman-taman syurga bagi hamba yang patuh kepada Allah SWT, dan boleh saja menjadi satu lubang daripada lubang-lubang api neraka bagi manusia yang kufur dan ingkar kepada-Nya. Jika pertanyaan alam barzakh dapat dijawab dengan baik, maka rintangan selepasnya semakin mudah. Sementara jika sebaliknya, maka cabaran selepas itu akan semakin susah lagi. Demikian tazkirah Ustaz Zainuddin Lateh.

12 Ramadhan :

Ustaz Mohd Jumat Abd Razak mengambil ruang untuk menerangkan kepada audien tentang cara penentuan arah kiblat. Penentuan arah kiblat, bukan saja untuk solat, bahkan ketika meletak janazah di dalam kubur. Menghadap kiblat juga disunnatkan ketika membaca al-Quran dan sebagainya. Maka umat Islam perlu mengetahui sedikit sebanyak tatacara penentuan kiblat apatah lagi ketika bermusafir dan sebagainya. Pihaknya juga bersedia diundang untuk menerangkan kaedah ini di mana-mana jabatan atau majlis yang bersesuaian.

13 Ramadhan :

Datuk Hj Md Safari Abdul Manan memberikan taklimat pembinaan masjid daerah penampang yang kini baru dalam proses mendapatkan tanahnya. Kebersamaan umat Islam khususnya di negeri Sabah amat diperlukan apatah lagi Penampang adalah satu-satunya daerah yang belum mempunyai masjidnya sendiri. Maka umat Islam diseru untuk menyertai program wakaf yang dilancarkan oleh JK Wakaf Masjid Penampang. Dianggarkan, keseluruhan projek ini memakan kos sebanyak RM6.5 juta.

14 Ramadhan :

Ustaz Hj Mohd Hilham Md Noor menceritakan tentang sejarah pembinaan Masjid Nabawi sejak hijrah Rasulullah SAW ke al-Madinah al-Munawwarah. Masjid adalah pusat bagi perkembangan Islam, pusat pertemuan, pusat pentadbiran dan pusat segala gerakan Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah mengambil pengajaran pada zaman ini untuk menjadikan masjid sebagai lokasi wajib bukan sekadar untuk mendirikan solat semata-mata.

15 Ramadhan :

Imam an-Nawawi RH adalah ulama’ terbilang dalam Mazhab asy-Syafie. Beliau mengarang ratusan kitab. Antara yang terkenal ialah Arbain an-Nawawi (hadith 40), Riyadhus Solihin, al-Azkar dan banyak lagi. Ketekunan beliau di dalam menyebarkan ilmu terutama fekah dan hadith sehingga beliau tidak berkahwin dan mendambakan dirinya untuk ilmu Allah SWT. Kehebatan beliau sudah terserlah sejak kecil apabila beliau tidak gemar bermain tetapi suka belajar dan membaca. Kitab-kitab beliau  yang terkenal ke seluruh dunia Islam hari ini merupakan saham untuk beliau bawa ke hadapan Allah SWT. Demikian tazkirah oleh Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim.

16 Ramadhan :

Perang Badar al-Kubra adalah siri peperangan terpenting dalam Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan dengan tentera Islam seramai 313 orang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW bertembung dengan musuh seramai seribu orang. Kesatuan umat Islam khususnya antara muhajirin dan ansar serta kebersamaan dan kepatuhan mereka bersama Rasulullah ketika susah dan senang membawa kepada kemenangan umat Islam menewaskan musuh yang lebih ramai. Oleh itu umat Islam zaman ini mesti mengambil iktibar daripadanya, demikian antara pengisian oleh Ustaz Murtadha Mansor.

DARI MADINAH KE MAKKAH

15 Mac 2010 (Isnin)

Selesai zuhur terakhir di Masjid Nabawi, kami kembali ke Hotel Andalus tempat penginapan untuk persiapan keluar. Barangan dikemas dan saya memilih untuk mandi sunat dan terus mengenakan pakaian ihram.

Sungguh, perasaan meninggalkan bumi Rasulullah ini begitu menyayat hati sekali. Entah bila pula dapat berkunjung dan berziarah ke mari lagi. Rasanya kenangan 2 malam di sini begitu manis sekali.

Keselesaan beribadah, solat di awal waktu, berdoa sepuasnya di Raudhah, melintasi maqam Rasulullah dan sahabatnya hampir setiap waktu, menziarahi Baqi, mengunjungi masjid-masjid bersejarah, ketenangan tilawah al-Quran…..

Sekitar jam 3 petang, kami bertolak keluar menuju ke Bi’r Ali atau dipanggil Masjid Miqat Dzul Hulaifah, tempat miqat bagi penduduk Madinah dan sesiapa sahaja yang melewati arahnya.

Dari Masjid Nabawi ke sini, hanya sekitar 10km dan perjalanan ke Makkah selepas itu mengambil jarak 410km pula.

Di masjid ini, semua keluar untuk mengenakan ihram (bagi yang belum tukar pakaian ihram) dan solat sunnat ihram selepasnya. Paling penting niat ihram di sini.

Khusus buat rakan-rakan yang berihram pertama kali, kadang-kadang lucu pula melihat aksi mereka berpakaian ihram. Ada saja yang tidak kena dan tidak selesa pada mulanya.

Namun kebanyakannya seperti saya mengakui bahawa setelah berpakaian ihram ini, perasaan begitu lain dan berdebar sekali. Yalah, ini pakaian ibadah umrah yang tidak dikecapi selalu.

Sepanjang perjalanan, talbiah dikumandangkan dan berselang dengan tazkirah yang dipimpin bergilir-gilir oleh para sahabat diketuai oleh Ust Azam dan Ust Nizam.

Labbaikallahumma Labbaik. Labbaika Laa Syarika Laka Labbaik. Innal Hamda, Wan Ni’mata, Laka Wal Mulk, Laa Syarikalak.

Tazkirah yang paling menyentuh bagi saya ialah sebagaimana yang disampaikan oleh Cikgu Abdul Hamid yang begitu bersemangat sekali.

Sambil bas bergerak laju melalui padang pasir dan bukit berbatuan, beliau menyebutkan tentang betapa perjuangan Islam itu sunnahnya melalui kesusahan dan cabaran. Oleh itu tidak wajar kita bersikap malas dan tidak mahu bersusah payah dalam perjuangan.

Memang duduk saja dalam bas yang berhawa dingin, bertalbiah, baca al-Quran, zikir, tidur, termenung ke luar tingkap – itu semua pun meletihkan. Kalaulah perjalanan 5-6 jam itu pun sudah merasa letih, apatah lagi perjalanan hijrah Rasulullah SAW dari Makkah mengambil masa 7-8 hari sebelum baginda tiba di Quba’.

Kami singgah untuk solat maghrib + isyak di sebuah masjid yang berhampiran dengan kawasan Wadi Ummu Ma’bad. Solat kami turut disertai oleh jamaah umrah dari Oman yang kebetulan juga singgah untuk solat di sini.

Ada sebuah kisah yang masyhur berlaku ketika Rasulullah SAW dan rombongan dalam perjalanan hijrah ke Madinah, baginda singgah di sebuah rumah di kawasan padang pasir. Tempat itu dikenali dengan nama Qudaid.

Di rumah itu tinggal seorang perempuan bernama Ummu Ma’bad. Rombongan Rasulullah SAW berhasrat mendapatkan bekalan makanan dan minuman untuk perjalanan yang masih jauh itu.

Ummu Ma’bad seorang yang pemurah. Biasanya tetamu yang datang akan dihidangkan dengan makanan dan minuman tanpa meminta apa-apa bayaran. Namun ketika itu keluarganya kekurangan bekalan makanan.

Ketika itu Rasulullah SAW ternampak seekor kambing yang kurus. Baginda meminta izin untuk memerah susu kambing yang kurus itu. Setelah diizinkan, baginda berdoa kepada Allah SWT dan mula memerah susu kambing tersebut. 

Dengan izin Allah SWT, kantung susu kambing itu penuh. Semua ahli rombongan dapat meminum air susunya dan Rasulullah SAW sendiri meninggalkan sebekas penuh susu kambing untuk Ummu Ma’bad sekeluarga. 

Ada riwayat menyebutkan bahawa sebelum Rasulullah SAW beredar, Ummu Ma’bad sempat memeluk Islam. Tidak lama sesudah pemergian Rasulullah SAW, sekumpulan pemuda Quraisyh datang bertanya kepadanya tentang rombongan Rasulullah SAW.

Namun sebagai seorang yang telah memeluk Islam, Ummu Ma’bad merahsiakan kedatangan dan perjalanan Rasulullah SAW. Riwayat menyebut, Ummu Ma’bad hidup sehingga zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA.  

Alhamdulillah, sekitar jam 10 malam, kami selamat tiba di tempat penginapan Hotel Durrah sebelum meneruskan tawaf dan saie pada jam 12 malam.

Bersambung…

15 Mac 2010 (Isnin)

Sejam setengah sebelum zuhur, kami mendapat satu peluang istimewa dengan menziarahi muzium Masjid Nabawi. Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa Masjid Nabawi ini mempunyai empat tingkat di bawah tanah.

Muzium Masjid Nabawi ini terletak di tingkat 3 dari bawah.

Kunjungan kami disambut oleh Penjaga Muzium yang dikenali dengan nama Sheikh Faiz, sambil taklimat disampaikan oleh seorang siswa Universiti Islam Madinah, Ust Hj Firdaus Hj Atan yang berasal dari Hulu Langat Selangor.

(Saya mendapat maklum terdapat empat orang siswa Sabah kini menuntut di Universiti Islam Madinah, namun tidak berkesempatan untuk bertemu dengan mereka. Hanya sekadar berkirim salam sahaja).

Tayangan video sekitar 20 minit dipaparkan kepada kami berkenaan pembangunan Masjid Nabawi khususnya pada zaman pemerintahan as-Su’ud.

Di bilik tayangan ini juga ada terdapat beberapa naskhah asal surat-surat baginda SAW kepada Raja Muqauqis, Raja Rom, Amir Bahrain, Raja Najasyi dan Raja Parsi. Juga bentuk cop Rasulullah SAW dan beberapa naskhah al-Quran dahulu hingga kini.

Di sebuah bilik berasingan, dipaparkan gambar-gambar pembinaan dan pembesaran Masjid Nabawi khususnya ketika zaman Raja Fahd. Perletakan batu asas projek perluasan masjid dilakukan pada 2 November 1982 oleh Raja Fahd sendiri.

Baqi’ ialah kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia di Madinah, termasuk para jamaah haji atau umrah.

Rasulullah SAW sering menziarahi perkuburan Baqi’, baginda mengucapkan salam, berdoa memohon keampunan  serta rahmat Allah kepada mereka yang dikebumikan di situ.

Perkuburan Baqi’ terletak di sebelah tenggara (kiri) Masjid Nabawi. Kini ia dilingkungi oleh pagar yang tinggi. Waktu melawatnya ialah selepas solat subuh dan selepas solat asar. Selain waktu itu, pengunjung dibenarkan masuk sewaktu ada janazah yang hendak dikebumikan.

Walaubagaimanapun kebenaran hanya diberikan kepada kaum lelaki sahaja.

Imam Malik meriwayatkan bahawa kira-kira 10 ribu sahabat yang meninggal dunia dikebumikan di Baqi’ ini. Di antara mereka termasuklah keluarga Rasulullah SAW seperti Fatimah binti Rasulullah, Hasan bin Ali, Abbas bin Abdul Muttalib, Jaafar as-Sodiq, Ruqayyah binti Rasulullah, Ummu Kalthum binti Rasulullah, Zainab binti Rasulullah dan Ibrahim bin Rasulullah SAW.

Begitu juga para isteri baginda seperti Aisyah binti Abu Bakar, Sauda binti Zam’ah, Hafsah binti Umar, Zainab binti Khuzaimah, Ummu Salamah binti Abu Umayyah, Juwairiyyah binti al-Harith, Ummu Habibah, Safiyyah binti Huyai dan Zainab binti Jahsyh.

Antara sahabat terkemuka yang dikebumikan di kawasan ini ialah Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Fatimah binti Asad (ibu Sayyidina Ali), Sayyidina Uthman bin Affan, Abu Said al-Khudri, Saad bin Muaz, Abdullah bin Mas’ud dan lain-lain Radhiyallahu anhum ajma’in.

Pagi isnin (15 Mac 2010), saya sempat masuk menziarahi kawasan perkuburan ini bersama ribuan umat Islam yang lain, berdoa kepada Allah buat mereka yang telah mendahului kita.

Saya turut ambil maklum, antara yang dikebumikan di sini baru-baru ini ialah Sheikhul Azhar yang kembali kerahmatullah, Dr Muhammad Sayyid Tantawi RH.

SEKITAR MADINAH

Jamaah masjid bersesak dan mencari ruang untuk masuk ke kawasan Raudhah di hadapan.

Raudhah adalah satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi. Selain menjadi lokasi Rasulullah SAW dan para sahabatnya beribadah dan tempat turunnya wahyu kepada baginda, ia juga merupakan taman syurga.

“Ruang antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku terletak di atas kolamku”

Kedudukan Raudhah adalah di antara rumah Rasulullah SAW dan Sayyidatina Aisyah RA dengan mimbarnya. Panjangnya ialah 26 meter jika diukur dari timur bermula dari rumah tersebut hingga ke mimbar di sebelah baratnya.

Tetapi sekarang hanya tinggal 22 meter kerana telah disekat dengan pagar makam. Lebarnya pula 15 meter bermula dari Mihrab Rasulullah SAW di sebelah selatan hingga ke akhir rumah tersebut di sebelah utara mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulama’.

Sebagai tanda, tempat ini dihampari dengan karpet berwarna putih hijau.

Buku – Madinah Munawwarah Kelebihan dan Sejarah (Ust Abdul Basit Abd Rahman)

Kesempatan beribadah di Masjid Nabawi tidak kami sia-siakan.

Oleh kerana kami tiba pada 13 Mac 2010 menjelang maghrib, kami segera bersiap dan bergegas ke masjid yang terletak 5 minit berjalan kaki. Selesai solat maghrib, bersama beberapa sahabat – Ust Mad, Cikgu Hamid dan lain-lain, saya ajak mereka terus ke ruang Raudhah.

Seperti kebiasaannya, kawasan Raudhah tetap sesak tetapi kami mesti mencuba dengan penuh sabar dan beradab. Saya tunjukkan kepada sahabat-sahabat ruang yang dimaksudkan dan banyakkan bersolawat serta berdoa agar diberikan ruang di kawasan Raudhah.

Alhamdulillah, ia tidak mengambil masa yang terlalu lama. Kata saya, ada ruang kosong terus saja solat walaupun di belakang. Yang penting masuk kawasan Raudhah terlebih dahulu.

Masing-masing sahabat mencari haluan sendiri sesudah ditunjukkan caranya. Dengan izin dan kasih sayang Allah SWT, kami berada di sana sehingga selesai solat Isyak. Solat, berdoa, berwirid, bersolawat, membaca al-Quran dan seumpamanya.

Saya sempat menghabiskan surah Hud dan kemudian memilih membaca surah Muhammad, al-Fath dan al-Hujurat di ruang Raudhah ini, sempena mengenangkan kisah-kisah baginda dalam surah-surah berkenaan.

Tidak lupa doa-doa yang dikirim oleh para sahabat sama ada melalui sms, atau pesanan lisan sebelum berangkat tempohari saya sampaikan.

Semestinya doa buat diri sendiri, isteri, anak-anak, keluarga besar sebelah keluarga saya dan isteri, guru-guru, rakan-rakan sekolah dan maahad, majikan dan rakan di JHEAINS, Persatuan Ulama’ Malaysia dan Parti Islam SeMalaysia tidak dilupakan.

Juga seluruh pendukung, penggerak dan penyokong semua gerakan Islam di mana sahaja berada khususnya di Sabah, mudah-mudahan diberikan kekuatan untuk menyampaikan risalah Islam.

Juga semua jamaah masjid dan surau di mana saya berkuliah, semua yang pernah mendengar ceramah dan tazkirah saya didoakan secara umum agar diampunkan olehNya, mudah menerima ilmu dan diberi peluang untuk sampai ke bumi yang sarat dengan perjuangan ini.

Juga kepada saudara-saudara kita semoga dikukuhkan aqidah mereka, dan diberikan hidayah kepada ahli keluarga mereka yang belum menerima Islam sebagai anutan mereka.

Yang termampu saya sebut nama mereka secara zahir, selebihnya Allah SWT Maha Mengetahui siapa sahaja yang saya maksudkan melalui doa-doa itu. Mudah-mudahan doa itu lebih bernilai dan berharga berbanding mencari buah tangan untuk dibawa balik buat sahabat yang terlalu ramai ini.

Alhamdulillah, sepanjang berada di sini sehingga petang isnin (15 Mac 2010) di Masjid Nabawi, saya berkesempatan masuk ke dalam kawasan Raudhah sebanyak tiga kali, dan ada rakan-rakan yang lebih kerap lagi.

Mudah-mudahan ini bukan kunjungan kami yang terakhir ke Masjid Rasulullah SAW. Allahumma Ya Allah!

Kawasan tengah Raudhah menuju jalan keluar di sebelah kiri mihrab.

Ruang hadapan mihrab ini memang menjadi sasaran utama jamaah untuk mendirikan solat, berdoa dan seumpamanya.

Alhamdulillah, bersama beberapa sahabat, kami bergilir-gilir solat ringkas dan berdoa di hadapan mihrab. Tidak boleh terlalu lama kerana ingin memberi peluang kepada orang lain.

“Tidaklah digalakkan bermusafir melainkan ke tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram, Masjidil Aqsa dan Masjidku ini”

“Pahala solat di masjidku ini adalah seribu kali lebih baik berbanding di masjid-masjid lain kecuali di Masjidil Haram”.

Madinah terletak di tengah-tengah lembah yang subur.

Menurut sebahagian ahli sejarah, Tanah Haram Madinah adalah sepanjang 16km. Ini bertepatan jika diukur jarak Jabal Thur dari Masjid Nabawi adalah 8km dan Jabail Eir ke Masjid Nabawi juga sejauh 8km.

Nabi SAW ada menyebut : “Tanah Haram Madinah itu diantara Bukit Eir dan Bukit Thur”.

Oleh itu kedudukan Masjid Nabawi adalah di tengah-tengah Kota Madinah.

Tanah tapak masjid ini adalah berasal dari tempat mengeringkan kurma milik dua orang anak yatim bernama Suhail dan Sahl. Kawasan ini dipenuhi dengan pokok tamar, kubur orang bukan Islam dan runtuhan lama yang kemudiannya dibersihkan untuk didirikan masjid.

Kisah tanah ini terpilih sebagai tapak Masjid Nabawi begitu unik sekali.

Setibanya Rasulullah SAW dan rombongan ke Madinah, orang ramai berebut-rebut mengheret tali unta Rasulullah SAW untuk membawa baginda sebagai tetamu ke rumah masing-masing.

Namun Rasulullah SAW menyerahkan kepada unta baginda membuat pilihannya sendiri. Unta itu terus berjalan sambil berpaling ke kanan dan kiri seolah-olah mencari sesuatu sehinggalah ia berhenti di tapak masjid yang ada pada hari ini.

Setelah itu, bangun pula ketua-ketua kaum Khazraj berebut-rebut menjemput Rasulullah ke rumah mereka. Ketika itu, Abu Ayyub al-Ansari terus mengambil barang-barang Rasulullah dan menuju ke rumahnya. Baginda tersenyum dan bersabda : “Seseorang itu mesti bersama barangnya”.

Rumah Abu Ayyub yang bertuah itu letaknya betul-betul di hadapan masjid sekarang. Rasulullah SAW tinggal di situ hampir setahun lamanya. (Fathul Bari).

Masjid Nabawi dibina buat pertama kalinya pada bulan Rabiul Awwal tahun pertama hijrah, iaitu pada hari kedua setelah tibanya rombongan Rasulullah SAW. Keluasan asalnya ketika itu ialah kira-kira 35m x 20m = 1050m persegi dan 2.9m tinggi.

Tiangnya dibuat daripada pohon tamar dan atapnya dibuat daripada pelepah tamar, disimen dengan tanah liat dan dibuat condong sedikit untuk aliran hujan. Pembinaan diketuai sendiri oleh Rasulullah SAW dengan baginda memikul dan membawa batu bata.

Selepas Perang Khaibar, berlaku pembesaran oleh Rasulullah SAW pada tahun 7 hijrah (628M) hasil pertambahan umat Islam ketika itu. Dengan pembesaran itu, keluasan masjid bertambah kepada 50m x 50m = 2500m persegi.

Ukuran keluasan masjid selepas pembesaran terakhir oleh Khadimul Haramain ialah :

1) Tingkat bawah seluas 98,500 meter persegi boleh menampung 167,000 jamaah;

2) Tingkat atas seluas 67,000 meter persegi boleh menampung 90,000 jamaah;

3) Kawasan perkarangan masjid yang dijadikan medan solat boleh menampung seramai 250,000 orang.

Keseluruhannya boleh menampung sekitar 700,000 pada hari-hari biasa, manakala pada musim haji bilangan jamaah boleh melebihi sejuta orang.

Masjid Nabawi pada hari ini mempunyai 23 buah pintu utama, 81 pintu biasa, 10 menara, 27 buah kubah bergerak, 18 tangga biasa dan 6 tangga elektrik.

Rujukan : Buku Madinah Munawwarah Kelebihan Dan Sejarah. Ustaz Abdul Basit Abdul Rahman.

13 Mac 2010 (Sabtu)

Penerbangan Air Arabia selamat mendarat di bumi Madinah al-Munawwarah jam 5.20 petang waktu Arab Saudi setelah melalui perjalanan lebih 2 jam di udara.

Di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, ada sedikit masalah kenderaan untuk ke tempat penginapan. Khabarnya bas besar tidak dibenarkan masuk ke kawasan lapangan terbang, dan kami terpaksa berpecah menaiki teksi ke hotel yang ditetapkan oleh Ust Azam.

Kira-kira 50 minit, kami tiba di Hotel Andalus. Kedudukannya sangat strategik, hanya 5 minit berjalan kaki menuju ke pintu Masjid Nabawi, dan berhadapan dengan Perkuburan Baqi’ yang bersejarah itu.

Alhamdulillah, kami sempat menyertai solat maghrib bersama. Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui perasaan kami yang bercampur baur sejak menjejaki ke bumi Rasulullah, melihat masjidnya serta bersolat di dalamnya.

Sedangkan saya yang pernah berkunjung ke sini 8 tahun lalu begitu teruja, sudah tentu sahabat-sahabat serombongan yang datang buat pertama kalinya lebih bersemangat lagi. Ada sahabat yang saling berpandangan, seolah tidak percaya sudah tiba di bumi penuh barakah ini.

Suara imam begitu mendayu sekali. Lafaznya membaca ayat-ayat al-Quran berkenaan kedudukan orang bertaqwa di syurga membuatkan hati dan diri begitu kerdil sekali.

Rakaat Pertama : (az-Zariyat 15-23)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. Mereka sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri, maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu. Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata”.

Rakaat Kedua : (at-Thur 17-28)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya). Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan mereka, dan mereka dipelihara Tuhan dari azab neraka.

(Dan dikatakan kepada mereka): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Mereka duduk berbaring di atas pelamin-pelamin yang berderet; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

Dan (penduduk Syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini.

Mereka di dalam Syurga itu (kerana melahirkan kemesraan antara satu dengan yang lain): berebut-rebut mengambil piala yang berisi arak yang tidak menyebabkan timbul (dari peminumnya) perkara yang sia-sia dan tidak pula menyebabkan (peminumnya menanggung) dosa.

Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang sentiasa beredar di sekitar mereka, (yang cantik parasnya) seolah-olah anak-anak muda itu mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.

Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya. Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah). Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka”.

“Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana sesungguhnya Dialah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha Mengasihani”.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 76 other followers

%d bloggers like this: