Alhamdulillah, dapat mengisi satu slot ceramah maulidur rasul 1433H di Masjid Daerah Papar pada malam minggu lepas atas undangan Ustaz al-Itqan yang juga antara orang kuat dalam jawatankuasa masjid berkenaan. Masjid Daerah Papar atas pengalaman peribadi, saya pernah berkhutbah sekali di sini pada tahun 2007.

Saya berpendapat potensi masjid dan surau di sekitar Papar agak sederhana. Justeru antara perkara yang saya sebutkan dalam ceramah itu ialah memaksimakan program pengimarahan masjid dan surau. Bagi saya kita masih dalam peringkat asas, iaitu pengimarahan solat lima waktu dan kuliah maghrib. JK Masjid mesti kreatif bagaimana untuk menarik masyarakat sekitar hadir solat berjamaah dan kuliah-kuliah maghrib pun masih rendah.

Pengimarahan masjid adalah antara perkara yang ditekankan oleh Rasulullah SAW. Justeru JK dan jamaah masjid hendaklah mengikhtiarkan apa jua cara. Kalau perlu berziarah ke masjid dan surau di tempat lain yang lebih aktif dan boleh dicontohi, maka itu juga wajar dilakukan. Mohon juga bantuan guru-guru agama di sekolah-sekolah kementerian, JHEAINS dan JAKIM yang bertaburan untuk membimbing kuliah-kuliah maghrib terutamanya.

Oh ya, satu segi lagi di Masjid Daerah Papar ini, saya perhatikan kebersihan masjid yang lebih positif berbanding masa-masa lalu. Tahniahlah.