Tag Archive: Makkah al-Mukarramah


SEKITAR AL-HARAM

Sumber foto : http://hajiarshad.blogspot.com/

Foto-foto suasana terkini di Masjid al-Haram

 

Sumber : http://hajiarshad.blogspot.com/2012/03/bersama-dato-harun-dinsemoga-dapat.html

 

 

 

PENGHARGAAN

Sepanjang perjalanan pergi dan balik, segala urusan yang berkaitan sebelum dan selepas rehlah imaniah tempohari, saya rakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada insan-insan berikut :

1) Ust Azam yang menghubungi dan mempelawa kami untuk menyertai umrah dan ziarah, sekaligus menjadi amir rombongan. Begitu juga kepercayaannya kepada saya sebagai pembantu beliau dalam misi ini.

2) Rakan-rakan sebilik yang sangat baik dan memahami. Cikgu Hamid, Ust Azman, Amir Fadli dan Ust Zulkifli. Kata orang, cara mengenali perangai dan tabiat rakan adalah dengan bermusafir dengannya. Alhamdulillah, saya diberikan sahabat yang baik dan tidak menyakitkan.

3) Semua ahli rombongan seramai 38 orang. Sebahagian daripada mereka memang dikenali manakala sebahagian lagi hanya dikenali sepanjang perjalanan. Rakan yang membelanja makan, membayarkan tambang bas, membantu kesusahan sesama rakan dan sebagainya.

4) Mereka yang mendoakan. Antaranya ialah isteri dan ahli keluarga, juga rakan-rakan yang berada di tanahair. Begitu juga rakan-rakan yang sering memberi semangat dan peransang melalui sms, komen lewat facebook dan blog Abu Nuha Corner ini.

Apabila bercerita dengan kerja-kerja ibadah ini, bukanlah tujuan saya dan rakan-rakan untuk menunjuk-nunjuk dan meminta pujian. Ia tidak lebih sekadar menceritakan nikmat beribadah sebagai satu motivasi khususnya kepada pelayar blog ini.

Firman Allah : “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya”. (ad-Dhuha).

Mudah-mudahan dengan kisah-kisah dan catatan yang dipaparkan memberi semangat untuk kita beribadah lebih gigih lagi di tempat sendiri, menggamit kenangan yang manis dan terindah dalam hidup dan berusaha pula untuk ke sana lagi.

Kepada sahabat dan para pembaca yang belum pernah ke sana, atau yang bakal ke sana untuk ibadah umrah dan haji yang akan datang buat pertama kalinya, mudah-mudahan artikel-artikel santai ini dapat memberikan  sedikit sebanyak gambaran dan suasana di tanah suci. Saya mendoakan agar para pembaca beroleh nikmat dan rezeki beribadah di sana.

Mudah-mudahkan kita semua mendapat ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT, serta diberikan rezeki dan kesempatan untuk datang semula ke Baitullah dan menziarahi maqam Rasulullah SAW.

Sehingga kini, apabila bertemu rakan-rakan, masing-masing masih terbayang saat-saat manis di sana. Malah ada rakan yang pulang ke tanahair dan terus mengaktifkan akaun Tabung Haji.

Semoga Allah SWT memudahkan.

HARI-HARI AKHIR

1) Khutbah dan Solat Jumaat

Kami selesai melakukan lawatan ke sekitar Makkah menjelang 11.30 tengahari. Ziarah sejak jam 7 pagi ke Masjid Hudaibiyah, ladang unta, Gua Tsur, Arafah, Jabal Rahmah, Mina dan Masjid Ji’ranah.

Beberapa sahabat mengambil kesempatan untuk berihram dan umrah melalui miqat di Masjid Ji’ranah. Seperti yang saya catatkan sebelum ini, Ji’ranah menjadi lokasi Rasulullah SAW miqat umrah.

Sementara saya agak keletihan kerana umrah baru saya tamatkan sekitar jam 3 pagi. Alhamdulillah, ketika itu saya dapat mengkhatamkan al-Quran ketika ibadah saie. Tilawah itu saya mulakan sejak perjalanan bermula dari KKIA ke KLIA.

Menanti azan Jumaat dan khutbah, saya memulakan tilawah buat kali kedua, sambil sesekali saya dengan Cikgu Hamid berbual dengan seorang jamaah dari Mesir yang menunaikan umrah.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai Muhammad Abdul Ghaffar an-Najjar bin Ahmad Muhammad an-Najjar. Melalui sembang itu, beliau menceritakan datuk dan bapanya adalah ahli Ikhwan al-Muslimin. Bahkan datuknya adalah antara penggerak awal pada zaman Hassan al-Banna.

Khutbah khatib pada hari tu berkisar tentang sejarah Palestin dan Masjidil Aqsa yang menjadi kewajiban umat Islam membebaskannya daripada cengkaman Yahudi Israel.

2) Madrasah Soulotiah

Ust Azam ada menyebutkan kepada saya berkenaan madrasah bersejarah ini. Saya mendapat maklum ia diasaskan pada tahun 1292 Hijrah (sekitar 1870an).

Madrasah ini dikatakan diasaskan oleh ulama’ dari India dan antara penuntutnya ialah Datuk Hj Ahmad Othman (mantan timbalan mufti Sabah).

Madrasah ini terletak bersebelahan dengan Hotel Durrah tempat penginapan kami. Namun apabila saya menjejakinya, bangunan madrasah ini sudah kosong tidak berpenghuni lagi.

3) Kepulangan rombongan pertama

Sabtu 20 Mac, 33 ahli rombongan kami berlepas pulang dalam dua penerbangan. Abang Yusuf dan isteri pulang melalui penerbangan Air Arabia menuju Sharjah-Dubai-Kuala Lumpur.

Sementara 31 orang diketuai Ust Azam pulang menerusi Penerbangan Malaysia terus dari Jeddah-Kuala Lumpur.

Sekurang-kurang ada dua perasaan yang berlegar sesama kami. Yang pulang berpendapat kami yang tinggal lebih untung kerana berpeluang beribadah lebih di bumi Makkah ini.

Sementara kami yang tinggal sedikit sebanyak tidak dapat menyembunyikan perasaan sunyi kerana kini hanya tinggal berlima.

4) Bertemu beberapa orang

Sejurus keberangkatan pulang 31 orang sahabat kami, waktu asar pun tiba. Jadi kami terus ke Masjidil Haram.

Di Masjidil Haram, selepas solat saya bertemu dengan Menteri di Jabatan Ketua Menteri YB Datuk Hj Nasir Tun Sakaran yang bakal pulang keesokan harinya ke tanahair melalui Penerbangan Diraja Brunei.

Esoknya, saya bertemu pula dengan Ust Saifuddin Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS bersama anaknya dalam keadaan mereka berihram. Di hotel tempat menginap, kami turut bertemu dan berbual dengan pak mertua kepada Ahli Parlimen Parit Buntar YB Dr Mujahid Yusuf.

5) Usrah di Masjidil Haram

Selepas solat maghrib (20hb Mac), kami berkumpul di tingkat 1 Masjidil Haram, tidak jauh dari Bukit Safa tempat permulaan Saie. Kami seramai 5 orang + 3 orang jamaah dari Banjarmasin Kalimantan yang menyertai usrah ringkas itu.

Cikgu Hamid mempengerusikan usrah, sementara saya mengisi sedikit ruang dengan mengulas ringkas ayat 96 & 97 daripada surah Ali Imran :

“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”.

Sementara Ust Zulkifli Mustafa menghurai lanjut daripada segi falsafah talbiah yang dilafazkan oleh setiap jamaah umrah dan haji.

Pada penghujung usrah, kami mengaminkan doa buat rakan baru dari Banjarmasin ini memohon petunjuk kepada Allah SWT kerana seorang rakan serombongan mereka hilang sejak 4 hari lalu.

6) Ibadah sendirian

Ahad, mulanya kami merancang untuk ke Muzium Haramain namun akhirnya terbatal begitu sahaja kerana semuanya tidur dan terjaga semula pada jam 11.30 pagi.

Namun selepas itu hampir semua pergerakan kami dilakukan sendirian. Mungkin menjelang sehari sebelum pulang, masing-masing hendak memuaskan hati dan diri sendiri sebelum berpisah.

Ada yang memperbanyakkan tawaf sunnat dan iktikaf sementara saya berjuang untuk mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 hari buat kali kedua.

Dalam masa yang suntuk, sempat juga sesekali keluar membeli belah. Tumpuan saya jubah abaya, jubah, kopiah dan kitab-kitab. Sahabat yang lain tidak ketinggalan membeli buah tangan untuk mereka di tanahair.

7) Tawaf Selamat Tinggal

22 Mac 2010 (Isnin) 11.30 pagi. Akhirnya detik memilukan itu hadir juga. Kami bergerak dari hotel dan kemudian bertawaf buat kali terakhir.

Kira-kira 10-15 minit sebelum zuhur, tawaf wida’ ini berakhir. Pusingan tawaf yang ketujuh, saya dibasahi dengan hujan renyai beberapa ketika. Kami menanti solat Zuhur sebelum berangkat keluar.

Alhamdulillah, dalam penantian zuhur inilah saya dapat mengkhatamkan al-Quran. Sepenuhnya saya baca di bumi Makkah. Inilah kenangan terindah saya dan azam saya untuk meneruskan ibadah tilawah ini di tanahair.

Bergerak keluar dari Masjidil Haram cukup menyedihkan. Di kawasan perkumpulan burung merpati, saya mendapat ‘hadiah dari langit’. Tahi burung mengena lengan jubah berwarna krim saya.

8) Makkah – Jeddah

Selesai makan tengahari yang istimewa – nasi basmati dengan daging kambing, kami berangkat pulang dengan sebuah van meninggalkan Hotel Durrah dan bumi Makkah yang dikasihi dengan perasaan bercampur baur.

Perjalanan sejam dengan pemandu bernama Aiman yang baik hati. Dia bercerita tentang dirinya dan bermacam perkara. Saya beri peluang Cikgu Hamid duduk di hadapan sebelah Aiman, mempraktiskan bahasa Arabnya buat kali terakhir sebelum pulang.

Sekitar sejam kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah dengan tambang van 250 riyal. Nampaknya ramai rakyat Malaysia dan Indonesia menanti masa untuk pulang ke tanahair masing-masing.

Di sini kami bertemu dengan YB Abdul Fattah Haron dari Kelantan yang penerbangan pulangnya sama dengan kami. Sedikit sebanyak kami berbual tentang isu semasa khususnya tentang Kelantan dan politik Malaysia.

9)  Berangkat Pulang

Alhamdulillah semua urusan kami boleh dikatakan berjalan lancar. Awal pendaftaran masuk, dan barang pula mudah masuk kargo walaupun kesemua kami terlebih had muatan yang dibenarkan.

Penerbangan Malaysia pada jam 11.55 malam waktu Saudi dan selamat tiba di KLIA pada jam 1.45 petang waktu Malaysia. Jam 7.50 malam kami bertolak ke KKIA dan selamat tiba di rumah sekitar 11 malam. Alhamdulillah.

Pasangan kerdil yang menjadi tumpuan jamaah ketika tawaf. Tinggi pasangan ini kedua-duanya sekitar pinggang orang dewasa.

Masjidil Haram 18hb Mac 2010, 7.14 pagi

Masjidil Haram 18hb Mac 2010, 7.15 pagi. Pekerja Masjid sedang membersihkan binaan Maqam Ibrahim.

Rombongan dari Turki.

Makcik-makcik Turkiah, mengenakan bunga kuning untuk lambang kumpulan umrah mereka.

Kasih isteri.

Lelap. Foto dirakam pada 18 Mac 2010, jam 7.19 pagi

Pekerja Masjidil Haram membersihkan dataran utama masjid

Mengingati Allah ketika baring

Pekerja Masjidil Haram mengemas dan menyusun al-Quran al-Karim

Air zam-zam menjadi tumpuan sebelum dan sesudah solat

Anak-anak kecil ini juga mengambil kesempatan untuk minum air zam-zam yang barakah ini.

Permulaan tawaf ditandakan dengan lampu hijau ini.

Sepanjang berada di sini, saya memerhatikan beberapa bukti keamanan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

1) Ketika menukar wang USD/RM kepada Riyal, saya perhatikan sekeliling premis pengurup wang. Tiada pengawal keselamatan, tiada sekuriti dengan senapang M16. Bahkan wang kertas matawang seluruh dunia bernilai jutaan bertaburan di atas lantai tanpa diusik melainkan oleh dua pekerja.

2) Ketika pulang dari berziarah, saya nampak satu mesin ATM di tepi jalanraya. Tiada pengawal di dekatnya, atau sebarang penjaga yang berhampiran seperti di tempat kita.

3) Kunci bilik hotel hanya diletak di atas meja kaunter. Dalam banyak keadaan biasanya kaunter berkenaan tidak ada sesiapa pegawai mereka yang menjaga. Demikian keadaan kunci berkenaan ditinggalkan sehingga pulang kembali dari luar. Tidak hilang dan tidak diusik.

Di tempat kita, bank dan seumpamanya dilengkapi dengan CCTV dan sekuriti bersenjatakan M16. Itupun masih terdapat rompakan jutaan ringgit.

Di tempat kita, ATM bank 24 jam biasanya ada kawalan keselamatan sama ada dengan pengawal atau CCTV. Setidaknya, ia diletakkan dekat dengan kawasan ramai. Kedapatan pengawal sendiri berpakat dengan perompak melarikan mesin ATM.

Di tempat kita, jangankan hotel, pusat membeli belah dan sebagainya, PA System dan tabung masjid pun dicurinya.

Keamanan di tanah suci dijanjikan oleh Allah SWT. Dua Tanah Suci adalah bumi terlaksananya undang-undang Jinayat Islam. Pelaksanaan undang-undang Islam disukai oleh orang beriman dan digeruni oleh penjenayah.

Allah SWT menimbulkan perasaan gerun dan takut di dalam hati mereka kerana hukuman itu adalah berdasarkan peruntukan undang-undang Allah SWT bukan undang-undang manusia.

Di bumi yang tidak melaksanakan perundangan Islam, buatlah peraturan sehebat mana, denda sebanyak mana, penjara selama mana, gantung berulang kali pun, itu semua tidak digeruni penjenayah kalau tidak berteraskan undang-undang dan semangat Islam.

Kalimah Ji’ranah dinisbahkan daripada nama seorang wanita yang hidup di daerah tersebut. Sekarang, Ji’ranah adalah sebuah perkampungan di Wadi Saraf, lebih kurang 24 km dari Masjidil Haram sebelah timur laut.

Di masjid ini biasanya digunakan untuk berihram dalam ibadah umrah oleh penduduk Makkah.

Di Ji’ranah inilah Rasulullah SAW pernah meninggalkan para tawanan dan harta rampasan perang yang diambil dalam perang Hunain pada tahun 8 hijrah.

Selama 10 malam berada di sini, Rasulullah SAW tidak membahagi-bahagikan harta rampasan perang, kerana menunggu-nunggu orang Hawazin yang bertaubat datang menyusul.

Ketika harta dibahagi-bahagikan itulah utusan Hawazin datang memohon kepada Rasulullah SAW agar baginda membebaskan tawanan perang bersama hartanya.

Rasulullah SAW menyuruh mereka memilih diantara tawanan atau harta, lalu mereka memilih tawanan untuk dibebaskan. Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar membebaskan para tawanan Hawazin dengan lembut.

Kemudian, pada malam itu jugalah dari Ji’ranah ini Rasulullah SAW mengenakan pakaian ihram dan melakukan ibadah umrah yang diselesaikan oleh baginda pada malam itu juga.

Menarik untuk dicatatkan di sini bahawa ketika pembahagian harta dijalankan, harta rampasan itu dibahagikan kepada mereka yang baru memeluk Islam. Baginda SAW tidak memberikan harta rampasan ini kepada golongan Ansar sehingga menimbulkan cakap-cakap di kalangan mereka.

Ketika itulah baginda SAW bersabda :

“Adakah kamu wahai orang Ansar tidak suka, jika ada orang yang datang dengan kambing dan untanya; kemudian kembali pulang bersama Rasulullah di dalam rombongan mereka?”

Mereka menangis mendengar penjelasan Rasulullah SAW sehingga membasahi janggut mereka sambil berkata : “Kami rela di atas keputusan dan ketetapan Rasulullah SAW”

Di sini juga turun wahyu berkenaan ibadah haji dan umrah melalui surah al-Baqarah ayat 196 :

“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati.

Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah).

Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya)”.

Perjalanan diteruskan lagi.

Bas lalu sebentar di kawasan Bukit Shur. 

Di sinilah lokasi persembunyian Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq selama 3 malam sebelum bergerak menuju ke Madinah dalam peristiwa hijrah yang bersejarah.

Gua Tsur terletak 4km dari Masjidil Haram sementara tingginya dari permukaan tanah sekitar 458m.

Persembunyian Rasulullah SAW di Gua Tsur bersama Abu Bakar memberi erti yang sangat mendalam. Baginda mengajar strategi dalam perjuangan kerana lokasi gua ke arah selatan bukannya menuju ke arah Madinah di utara.

Ia juga mengajar erti persahabatan, ukhuwwah Islamiyyah antara sesama sahabat baginda khususnya Abu Bakar as-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Asma’ binti Abu Bakar, Amir bin Fuhairah, Abdullah bin Abu Bakar bahkan seorang yang bukan Islam bernama Abdullah bin Uraiqit yang menjadi penunjuk jalan.

Semuanya memainkan peranan yang tidak sedikit untuk usaha murni ini.

Ketika masuk ke dalam gua, Abu Bakar masuk terlebih dahulu untuk memastikan apakah ada binatang berbisa yang boleh membahayakan Rasulullah SAW, setelah itu barulah baginda masuk.

Abdullah bin Abu Bakar bermalam bersama mereka, sementara waktu pagi kembali ke Makkah untuk mengetahui situasi semasa dan memantau orang Quraisy. Waktu malam Abdullah akan kembali menyampaikan maklumat terkini.

Firman Allah (at-Taubah : 40) :

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya : “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”.

Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

JAMAL & IBIL

“Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?” (Surah al-Ghasyiah : 17)

Di kawasan Hudaibiyah ini juga kami singgah di ladang unta yang luas.

Kebanyakan penziarah-penziarah tanah haram mengambil kesempatan untuk menyaksikan haiwan yang disebut namanya di dalam al-Quran ini, khususnya dari negara-negara yang tidak mempunyai haiwan berkenaan.

Bukan setakat melihat unta dari jarak yang dekat, bahkan dapat meminum susunya dengan harga 5 riyal untuk satu botol plastik ukuran sederhana yang boleh dibawa balik.

Unta adalah sejenis haiwan yang sangat hampir dalam masyarakat Arab. Ia berfungsi sebagai kenderaan penumpang dan barangan khususnya untuk jarak jauh, kerana ia tahan lasak dan mampu untuk tidak makan selama beberapa hari. 

Selain itu, dagingnya boleh dimakan bahkan termasuk dalam haiwan yang boleh dibuat qurban dan aqiqah; susunya boleh diminum bahkan ada yang menyebut susunya lebih berkhasiat berbanding susu lembu.

Ia mempunyai bulu mata yang panjang dan melentik, sesuai dengan aktiviti lasaknya merentasi padang pasir yang luas itu bulu matanya menjadi penghalang pasir dan debu daripada masuk ke dalam matanya. 

Selain itu, sebagai kenderaan utama zaman dahulu, unta dapat bertahan berjalan siang dan malam dalam musafirnya walaupun tuannya sedang tidur. Sekiranya ia merasa sesat, ia akan berhenti dan menanti arahan tuannya.

Demikian antara kelebihan haiwan yang dipanggil jamal atau ibil ini.

Di sini, dialah personaliti utamanya kerana para pengunjung berebut bergambar bersamanya. Hehehe..

18 Mac 2010 (Khamis)

Pagi khamis, kami semua ahli rombongan dibawa melawat ke beberapa lokasi. Pertama, Masjid Hudaibiyah.

Al-Hudaibiyah ini berada di luar batas tanah suci, iaitu jalan antara Makkah dan Jeddah dan sekarang lokasi ini dipanggil Syumaisi, dinisbahkan kepada Bi’r Syumaisi.

Terdapat sebuah masjid di sini yang jaraknya dari Masjidil Haram sekitar 24km. Di sebelah kanan kiblat masjid ini, terdapat bekas bangunan masjid lama yang dibangun dengan batu hitam bersimen.

Hudaibiyah merupakan lokasi para sahabat Rasulullah SAW melakukan bai’ah (janji taat setia) kepada Rasulullah SAW untuk memerangi kafir Quraisy yang dikenali dengan nama Bai’atur Ridhwan pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah (Mac 628M).

Pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat hendak ke Makkah untuk menunaikan umrah. Ketika sampai di Hudaibiyah ini, kaum kafir Quraisy menghalang rombongan Rasulullah SAW untuk masuk ke tanah haram.

Rasulullah SAW mengutus Sayyidina Uthman Affan untuk berunding dengan mereka.

Setelah lama menunggu Sayyidina Uthman yang tidak kembali, terdengar khabar mengatakan bahawa Sayyidina Uthman mati dibunuh sehingga menyebabkan para sahabat marah dan membai’ah Rasulullah untuk memerangi Quraisy.

Saat itu turun wahyu dua ayat iaitu ayat 10 dan 18 daripada surah al-Fath :

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar”.

“Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”.

Tidak lama sesudah itu, Sayyidina Uthman kembali dengan selamat. Beliau memperlihatkan butir proposal perjanjian genjatan senjata  daripada musyrikin Makkah kepada Rasulullah SAW.

Isi Perjanjian Hudaibiyah

1) Gencatan senjata selama sepuluh tahun.

2) Orang Islam dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya, tinggal di Makkah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung.

3) Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.

4) Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.

5) Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

6) Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan.

Perjanjian itu kemudiannya dikenali dengan ‘Perjanjian Damai Hudaibiyah’ atau ‘Sulh Hudaibiyah’. Kemudian Rasulullah SAW dan para sahabat kembali ke Madinah.

Di tengah perjalanan itulah melalui perantaraan Malaikat Jibril AS, turun wahyu yang lain pula :

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.

“Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya)”.

“Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)”.

“Dialah Allah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

“(Allah melakukan demikian) supaya ia memasukkan orang yang beriman ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka)”. (al-Fath : 1-5)

Tapak ini dikatakan bekas masjid lama yang menjadi lokasi bai’atur ridhwan. Wallahu a’lam. 

Kumpulan ziarah dari Turki yang sedang menghayati kisah al-Hudaibiyah daripada ustaz mereka.

ISKAN RUSAIFAH

17 Mac 2010 (Rabu)

Ceritanya bermula sebelum kami berangkat ke Tanah Suci lagi.

Keluarga mantan mufti negeri, Datuk Hj Ismail Abbas mengamanahkan kami untuk menyampaikan sedikit kiriman kepada keluarganya di Makkah.

Bekalan sebuah beg sederhana disediakan oleh Tuan Hj Salman Ismail untuk saya bawa dan sampaikan kepada sepupunya, Puan Munirah, yang keluarganya berasal dari Kedah.

Setelah kami tiba di Makkah, saya menghubungi sendiri Puan Munirah Ismail dan kami bertutur dalam bahasa yang bercampur Arab + Melayu. Beliau masih boleh berbahasa Melayu tetapi pelat Arab.

Beliau dan suaminya Muhammad Basinan yang berasal dari Hadramaut Yaman datang ke penginapan kami untuk mengambil kiriman. Dalam pertemuan ringkas itu, mereka berdua mengundang kami untuk menjamu selera pada keesokan harinya (17 Mac 2010).

Alhamdulillah, rombongan kami seramai 12 orang dijemput dengan dua kenderaan.

Rumah Puan Munirah dan Muhammad Basinan terletak di Iskan Rusaifah, 15 minit dari hotel. Iskan Rusaifah adalah satu kawasan hujung Makkah, jalan menuju ke Jeddah.

Selain kami yang hadir, tuan rumah turut mengundang rakan-rakannya untuk menjamu selera. Alhamdulillah, kami dapat memupuk persaudaraan Islamiyyah dengan kenalan baru.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 75 other followers

%d bloggers like this: