Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan

Firman Allah SWT bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.  Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadaNya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Begitulah besarnya ibadah haji. Umat Islam berhimpun di Makkah bagi menunaikan kefardhuannya. Umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa dan adat resam tetapi bersatu menjadi umat Islam yang menyahut seruan Allah SWT. Mereka beribadah kerana Allah, Tuhan yang Maha Esa, menghala ke arah satu qiblat. Disatukan oleh persaudaraan Islam yang diikat oleh iman yang ditanam di dalam hati sehingga menjadi ikatan yang kukuh seperti satu jasad.

Namun sedarkah kita semua, di luar dari Makkah umat Islam berpecah belah? Kerana iman mereka sudah rapuh dan lemah, kerana lemahnya pegangan kepada Islam sehingga berani meninggalkan hukum Allah dan mempersendakannya? Ada yang merasakan, jika beramal dengan hukum Allah SWT akan membawa kemunduran dan kesusahan, kerana hukum halal dan haram menyekat kemahuan manusia mencapai kemajuan.

Hukum Allah SWT diamalkan sebahagian sahaja dan banyak bahagian yang ditinggalkan. Lalu digantikan dengan hukum rekaan manusia dan mempertahankannya dengan bersungguh-sungguh, sanggup melakukan kezaliman terhadap orang yang menasihati mereka supaya kembali kepada hukum Allah. Jumlah mereka yang tidak beramal dengan ajaran Islam lebih ramai daripada mereka yang beramal.

Kerja-kerja maksiat tidak dihapuskan dengan bersungguh-sungguh. Pada masa yang sama mengajar cara-cara maksiat masuk ke dalam rumah kita dengan bebas dan tiada kawalan yang menyekatnya secara berkesan. Maka hilangnya sifat sebaik-baik umat yang disifatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, sebagaimana maksud firmanNya :

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik”. (Ali Imran : 110).

Pada zaman dahulu betapa ramai orang yang bukan Islam masuk Islam kerana melihat contoh teladan yang baik daripada umat Islam apabila mereka benar-benar berpegang dan beramal dengan ajaran Islam. Sedarlah! Sifat-sifat ini sudah berkurangan dalam kalangan umat Islam sendiri sehingga orang yang bukan Islam salah faham terhadap ajaran Islam dengan sebab perangai buruk umat Islam.