Tag Archive: Kemalangan


KEMALANGAN NGERI DI SEPANGGAR

Saya di antara ratusan kenderaan yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas pada malam berkenaan, iaitu malam sambutan ‘Hari Malaysia’. Takziah kepada semua keluarga mangsa yang berasal dari Beaufort. Takziah juga kepada YB DSP Haji Lajim Haji Ukin kerana dimaklumkan kesemua mereka adalah penyokong beliau yang menyertai program di Tuaran. Oleh kerana kamera sudah kehabisan bateri, saya hanya dapat merakam menggunakan kamera telefon.

Sumber berita : http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/62138

KOTA KINABALU: Lima orang maut termasuk dua pasangan suami isteri dalam kemalangan ngeri berdekatan bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sepanggar di Kota Kinabalu pada malam Sabtu. Mangsa yang meninggal dunia dikenali Ramsin Tamisin Pahang, 59, isterinya Siti Runi Tarawi, 55, pasangan kedua Hassan Jimi, 55, isterinya Saimah Jamin, 51, dan seorang lagi Taripan Bintaman, 53.

Semua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di muka, badan dan kepala. Kesemua mereka sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Beaufort apabila kereta pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna Naza Ria dari arah bertentangan di Jalan Sepanggar berdekatan bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, di sini, malam kelmarin.

Pemandu kenderaan jenis Naza Ria dikenali sebagai Chong Chee Kiong, 23, dan penumpangnya Sheena Patrick, 28, dan Lily Govinjen, 56, dan semua mereka mengalami cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth. Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, semua pemandu dan penumpang pacuan empat roda jenis Isuzu Invader dari arah bulatan Sepanggar menuju ke pusat bandar dipercayai dalam perjalanan pulang ke Beaufort selepas menghadiri satu majlis di Pantai Dalit Tuaran dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner, Jauteh Dikun, berkata kejadian itu dipercayai bermula apabila sebuah kereta Naza Ria yang datang dari arah lampu isyarat Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipercayai terbabas selepas dirempuh dari arah belakang sebuah pacuan empat roda lain menyebabkan kereta Naza Ria masuk ke jalan bersebelahan.

“Akibat rempuhan dari belakang itu, kereta Naza Ria itu bertembung Isuzu Invader yang datang dari arah bulatan Sepanggar menuju ke pusat bandar,” katanya. Beliau berkata akibat pertembungan itu pemandu dan penumpang kereta Isuzu Invader maut di tempat kejadian.

“Sementara itu, pemandu dan penum- pang kereta jenis Naza Ria mengalami cedera parah dan menerima rawatan di HQE II,” katanya ketika dihubungi, semalam. Jauteh berkata, pemandu pacuan empat roda yang merempuh dari belakang itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua mayat dibawa ke HQE untuk bedah siasat manakala tiga yang cedera menerima rawatan di HQE II dan berada dalam keadaan stabil.

“Polis masih mengesan pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.

Tanda bulat : YB DSP Haji Lajim Haji Ukin, Ahli Parlimen Beaufort.

ADI SABRI

Akhir Ogos lepas, saya ada menyalin ke blog ini satu berita kemalangan yang menimpa sepupu isteri saya di Alor Gajah Melaka. Adi Sabri Zulkifli kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sesudah beberapa hari, Adi dipindahkan ke Hospital Melaka pula. Keluarga kami di Kota Kinabalu menumpukan perhatian terhadap musibah yang menimpa Adi serta mengambil berat perkembangan kesihatannya.

Takdir Allah SWT, saya menerima surat untuk bermesyuarat di Melaka. Perkara awal yang saya fikirkan ialah saya mahu menziarahi Adi dan keluarganya sedapat yang boleh khususnya mewakili keluarga di Kota Kinabalu. Sebenarnya saya bukan kenal sangat dengan Adi kerana seingat saya pertemuan terakhir ialah 10 tahun lalu ertinya ketika dia masih bersekolah rendah, tetapi ibu bapanya pernah saya temui beberapa kali khususnya di Melaka ini.

Teman rapat Adi menjemput di hotel dan langsung membawa ke Hospital Melaka walaupun waktu melawat sudah berakhir. Saya pohon izin pengawal keselamatan kerana datang dari Sabah. Adi ketika saya ziarahi sudah sedarkan diri tetapi waktu itu dia tidur dan saya tidak pula mahu mengganggunya. Tidak lama, cuma sekadar 5 minit dan saya sempat bertanya kepada doktor yang ada. Perkembangannya sangat positif, semakin stabil.

Adi baru saja menjalani pembedahan kecil di tangan kanan, memasukkan besi. Kata doktor kalau perkembangannya semakin memuaskan mungkin dia boleh balik ke rumah. Kami doakan semoga Adi sembuh dan kembali seperti biasa. Kepada keluarganya harap bersabar dan saya gembira dapat bertemu mereka di hospital sebentar sahaja walaupun tidak dapat berziarah di rumah kampung. Terima kasih atas doa pembaca blog ini.

PARAH REMPUH LEMBU

Ini musibah yang menimpa sepupu kepada isteri saya di Alor Gajah Melaka. Sekarang berada di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Pohon doa kawan-kawan pembaca blog ini untuk keselamatan dan kebaikannya.  Semoga ada hikmah yang terkandung di sebalik kejadian ini.  Foto di atas diperolehi dari facebook abang ipar kepada mangsa yang melawat kejadian. Berita berikut pula disiarkan dalam akhbar Harian Metro.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Parahrempuhlembu/Article/

ALOR GAJAH: Seorang pekerja restoran cedera parah di kepala dan patah tangan kanan apabila motosikal ditunggangnya merempuh kumpulan lembu di Jalan Sungai Ragut, Ayer Paabas, dekat sini, pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.40 pagi, Adi Sabri Zulkefli, 21, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar makan bersama tiga rakan.

Rakan mangsa, Mohd Razi Azmi, 20, berkata, dia bersama mangsa serta dua lagi rakannya, Amir Abdul Mutalib, 21 dan Mohd Azwan Abd Kadir, 21, dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing menaiki kenderaan berasingan. Menurutnya, dia yang berada 50 meter dari lokasi kemalangan sebelum itu terdengar dentuman kuat seperti objek terjatuh di atas jalan raya.

“Saya pergi ke arah bunyi itu sebelum melihat mangsa terbaring menggelupur menahan kesakitan sambil mendengus dalam nada tersekat-sekat. Ketika itu darah memancut keluar dari belakang kepala tanpa henti manakala kaki kanannya dihempap motosikal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Mohd Razi berkata, ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas dihubungi dan membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Mohd Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.46 pagi dan sebuah ambulans dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, penunggang motosikal itu masih terbaring di atas jalan raya dalam keadaan separuh sedar dan menggelupur manakala kepalanya berdarah. Difahamkan, mangsa yang mengalami pendarahan dalam kepala dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan ,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian dan berkata, mangsa yang koma kini dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012

BERKECAI

Ini kisah awal bulan.

Selesai urusan ziarah gelandangan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, kami minum-minum di Anjung Senja yang baru siap itu. Masa semakin suntuk, panjang sembang kami sehingga hampir jam 2.30 pagi. Dalam perjalanan pulang kami membuat pusingan akhir melalui Lebuhraya Pantai, dan ketika melalui kawasan berhadapan antara Api-Api Centre dan Star Centre berlaku satu kemalangan antara sebuah proton saga lama dengan sebuah motorsikal yang baru berlaku.

Entah ke mana saki baki motorsikal kerana yang saya nampak hanya sebuah tayar saja yang kelihatan dan tinggal di situ. Dua orang penunggang dan pembonceng motorsikal sudah terbaring di tengah-tengah pembahagi jalan. Mungkin patah pahanya, kata seorang petugas Jabatan Pertahanan Awam yang tiba di tempat kejadian.

Oleh kerana kami tiba kemalangan sudah berlaku, entah apa sebenarnya punca kemalangan itu terjadi.  Malam itu malam minggu dan jam sudah menunjukkan sekitar 2.30 pagi. Suasana lokasi kejadian begitu cepat dikerumuni orang. Barangkali malam minggu sebegitu, ahli disko pun baru pulang dan ahli rempit mungkin terkejut dengan kemalangan yang berlaku.

Saya baru tahu kemudiannya kereta proton yang berhenti jauh sedikit telah diserang oleh sekumpulan pemuda lain. Kereta berkenaan hancur remuk dan cermin pecah berkecai. Petugas JPA3 yang hanya 2-3 orang tidak dapat berbuat apa-apa kerana jumlah pemuda tadi lebih ramai. Saya lihat seseorang yang memakai vest sabahkini.net lebih awal berada di situ mengambil gambar.

HAMPIR-HAMPIR

Saya ingin bercerita tentang kisah yang berlaku lebih seminggu lalu. Akhir Oktober.

Suatu pagi saya keluar dari rumah, memandu ke arah Putatan. Sehingga di persimpangan ini, (foto atas) dekat kampung Dumpil Putatan, sedang kereta saya bergerak, beberapa kereta dari arah bertentangan pula membuat pusingan-u. Memang jalan di hadapan saya agak lengang dan tiada kenderaan lain di hadapan saya. Perlu maklum, di sini ada lampu trafik untuk kenderaan jalan terus, bagi memudahkan kenderaan dari arah hadapan membuat pusingan-u.

Satu masalah yang berlaku, apabila jalan lengang, ada pemandu kenderaan dari arah bertentangan mungkin beranggapan bahawa laluan jalan hala berhadapan mereka sedang lampu merah. Rasanya itulah tanggapan saya, apabila sebuah bas mini dari arah hadapan saya membuat pusingan-u sedangkan kereta saya terlalu hampir dengan bas tersebut. Boleh jadi dia suka-suka u-turn kerana saya akan berhenti dengan sangkaan lampu trafik sedang berwarna merah.

Mujurlah kelajuan kereta saya agak sederhana, dan saya menekan brek mengejut menyebabkan habis barang di kereta berjatuhan. Sudahlah saya baru kemalangan 3 bulan sebelum itu dengan situasi yang sama, kali ini hampir-hampir berlaku lagi. Hasilnya menyebabkan saya sedikit trauma dan terganggu setiap kali ‘melimpasi’ jalan seumpama begitu. Pihak berkenaan, tolonglah fikirkan sesuatu. Saya rasa bukan saya seorang yang pernah terkena situasi sebegini.

MOHON DOA

Update : NO AKAUN : 220 531 191 511 (Bank Rakyat) Nama  : Melih bin Bedin

Saya baru mengetahui musibah ini berlaku seketika tadi ketika seorang sahabat bercerita tentang Ustaz Melih, kenalan yang agak harum namanya di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud Sabah. Salah seorang anaknya kemalangan di Kedah dan Ustaz Melih bersama isteri berada di sisi anak yang sedang koma sudah hampir 3 minggu.

Sedikit sesal juga kerana saya lama tidak menyinggah di blog anak sulung beliau Nursakinah yang kini berada di Mesir (kerana berita dalam blog Nursakinah ini ditulis pada 4 Oktober lalu), menyebabkan saya terlambat mendapat maklumat berkenaan. Dalam perbincangan bersama sahabat-sahabat, saya akan cuba mendapatkan nombor akaun Ustaz Melih agar sahabat-sahabat pembaca blog ini boleh membantu sedikit sebanyak musibah yang berlaku. Insya Allah entri ini akan dikemaskini sesudah nombor akaun diperolehi.

Saya kira sahabat-sahabat di Kota Belud khususnya dan di seluruh negara khasnya boleh mengikhtiarkan sesuatu sama ada berbentuk kewangan, solat hajat atau berziarah (jika berada di lokasi berhampiran). Ustaz Abdullah Din (TYDP ABIM Kedah), Ustaz Zulkifli Mustafa kedua-duanya pernah bertugas di Sabah dan kini kembali ke Kedah harapnya boleh menziarahi Ustaz Melih dan keluarga. Begitu juga Ustaz Hafizullah di Pulau Pinang dan Cikgu Jamil Dayan di Ipoh boleh membantu. Setakat ini khabarnya Ustaz Zulhazmi Osman ada menghulur bantuan.

Artikel di bawah adalah catatan peribadi anak sulung Ustaz Melih setelah mendapat khabar duka tentang musibah yang menimpa ahli keluarga mereka.

Sumber : http://bintulqaryah.blogspot.com/

-Ahmad Syafie Melih-

Bismillahirrahmaanirrahiim..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang berkuasa mengatur segala kejadian, menghidupkan, mematikan dan menentukan segala qada’dan qadar hamba-hambanya…

Tragedi itu, sungguh tiada siapa yang meminta. Namun takdir, qada’ dan qadar yang Allah telah tentukan, tiada siapa juga yang mampu menghalangnya. Sejak pagi jumaat lalu, kali pertama aku mendengar berita itu hinggalah ke saat ini, aku cuba sedaya upaya untuk tidak menyalahkan siapa-siapa, cuba sedaya upaya untuk tidak berandai-andai, berkalau-kalau. Alhamdulillah aku mampu, akal masih punya pertimbangan, masih ada kewarasan. Namun aku tetap tidak mampu tidur lena, makan dengan berselera. Malah sejak hari itu, air mata ini tidak mahu berhenti mengalir. Tiap kali terkenangkan namanya, teringatkan wajahnya, terngiang-ngiang suaranya, mutiara ini akan tumpah lagi..

Dia adik aku. Ya..adik aku. Berusia 16 tahun, bertubuh tinggi lampai, kurus melengking dengan kulit hitam manis. Kini terlantar di atas katil unit rawatan rapi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star, akibat kemalangan langgar lari pagi 30 September lalu.

Mesti adik sakit, kan… Sakit sangat… Lori tu rempuh dari belakang adik. Seorang kawan adik, 15 tahun, maut akibat kemalangan tu. 4 orang lagi kawan adik cedera ringan. Aku tak mampu bayangkan keadaan adik masa tu. Kata Ustaz, adik menjerit-jerit kesakitan dalam ambulans ketika dalam perjalanan dari tempat kemalangan ke hospital. Adik masih sempat minta air minum. Tiba di hospital, adik dimasukkan ke ICU sebelum disahkan koma. Sedar dari koma, adik diberi ubat tidur kerana ada pendarahan dalam paru-parunya. Kaki adik patah, dan baru dimasukkan besi ahad lalu. Sekarang, adik masih dalam ICU. Kata doktor, tunggu paru-paru adik sembuh sendiri, baru boleh sedarkan adik..

Tengahari itu juga Mama dan Abah berlepas dari Kota Kinabalu ke Penang, terus ke hospital di Alor Star. Adik-adik yang masih kecil ditinggalkan dengan makcik di kampung. Waktu itu aku berharap untuk turut berada di situ, temankan Mama yang tentunya lebih sedih dan hiba dari aku. Aku kakak sulung adik, tapi Mama, ibu yang melahirkan dan membesarkan adik!

Semua orang suruh aku dan keluarga bersabar, redha atas apa yang berlaku. Semua orang suruh banyakkan doa, solat hajat dan baca yassin untuk kesembuhan adik. Semua orang suruh aku dan keluarga kuatkan semangat, dan jangan berhenti berusaha untuk sembuhkan adik. Alhamdulillah, suara Abah di corong telefon masih bersahaja. Mama masih bisa tanyakan khabar aku. Angah masih kuat untuk teruskan hafalan STAMnya. Tapi adik?? Adik masih bertarung dengan kesakitan itu. Adik tidur, tapi siapa tahu apa adik rasa waktu kakinya dimasukkan besi? Siapa tahu apa adik rasa? Adik…dan Allah juga yang tahu segalanya. Allah lebih tahu.. Allah lebih tahu.. Allah lebih tahu…justeru itu doaku tidak akan pernah berhenti, dan harapan untuk melihat adik sihat tidak akan pernah putus, kerana aku tahu Allah lebih tahu…

Alhamdulillah, walaupun belum sedar, keadaan adik semakin positif. InsyaAllah, semua ini  atas doa semua yang tidak putus-putus mengharapkan kesembuhan adik. Terima kasih untuk semua yang doakan adik, yang ziarah adik sejak jumaat lalu hingga hari ini, sanak saudara, keluarga angkat, guru-guru, sahabat-sahabat dan sesiapa jua yang tidak henti memberi sokongan dan kata-kata semangat. Mohon juga kepada sesiapa yang membaca entri ini, untuk turut sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan adik. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Doa kalian, mudah-mudahan membantu adik untuk terus kuat, membantu Mama dan Abah untuk terus tabah, dan membantu kami semua untuk terus sabar dan redha.. InsyaAllah… Allah lebih tahu dan lebih berkuasa atas segalanya.. Amin ya Rabbal alamin…

KEMALANGAN LAGI

Hari rabu lepas kereta persona yang saya pandu kemalangan lagi. Pagi rabu, saya keluar awal untuk menghantar isteri dan anak-anak sementara saya tidak ke pejabat kerana hendak berangkat ke KLIA sebelah tengahari untuk menyertai mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri yang dijadualkan di Port Dickson Negeri Sembilan.

Selesai urusan penghantaran, saya ke beberapa lokasi untuk membayar bil telefon dan menjelaskan saman parkir di Balai Polis Kota Kinabalu. Saya kira hendak menyelesaikan semuanya sebelum berangkat ke KLIA. Hampir jam 10 saya ke Terminal 1 untuk mengambil pas masuk lebih awal memandangkan penerbangan jam 1.30 tengahari. Seterusnya saya bergerak ke arah Putatan untuk membeli beberapa keperluan.

Melepasi lampu trafik Petagas, ada satu simpang u-turn berhadapan villa Datuk Halik Zaman dan tidak semena-mena sebuah kereta kancil membuat pusingan u secara mengejut sedangkan kereta saya sudah terlalu hampir, hanya beberapa meter. Maka berlakulah apa yang telah berlaku. Keadaan hadapan kereta remuk sementara kereta kancil remuk di pintu belakang bahagian kiri. Hendak dimarah, pemandunya adalah orang tua berumur lebih 60 tahun. Bersamanya ada menantu perempuan dan cucunya berumur 3 tahun. Cucunya itu berdarah di bahagian mulut.

Apabila saya tanya kepada pakcik tersebut kenapa beliau membuat pusingan u sedangkan kereta di hadapan terlalu hampir, dia hanya menjawab ‘aku ikut kereta hadapan pusing, aku pusinglah’. Bagi saya kereta adalah harta dunia yang boleh dibaiki atau dibeli baru, tetapi saya agak terkesan dengan luka yang dialami oleh cucunya walaupun hanya cedera ringan. Meski bukan saya yang salah, untuk beberapa hari saya terkenangkan cucunya yang barangkali terhentak dinding kereta.

Pakcik berkenaan yang berasal dari Papar hanya terduduk di pembahagi jalan setelah menantu dan cucunya dihantar oleh orang lain. Mungkin pakcik berkenaan terkejut dengan peristiwa yang berlaku dalam sekelip mata itu. Memang jalanraya sesak selepas itu apatah lagi kereta kancil melintang di tengah jalan, polis trafik hanya tiba jam 10.30 pagi – 20 minit selepas kemalangan berlaku.

Dalam tempoh menanti polis dan sepanjang polis menjalankan tugas mereka, saya didatangi oleh beberapa orang yang saya kenali sebagai jamaah masjid dan surau sekitar Petagas dan Putatan. Semuanya hendak menghulur bantuan segera, menemankan pergerakan balik saya ke rumah atau menghantar ke Balai Polis Penampang dan sebagainya. Hasrat mereka itu saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Semua urusan berkaitan laporan polis di Balai Polis Penampang (naik kereta polis), penghantaran kereta ke bengkel dan menyediakan dokumen hanya selesai hampir jam 12.30 tengahari. Terima kasih buat Sarjan Zainuddin Jahidin (foto bawah sekali) dan rakan-rakannya yang menjalankan tugas dengan baik. Dibantu oleh Sdr Suraip Hassan muazzin dari Masjid Kampung Lok Kawi Baru yang mengambil saya di balai, mengangkut keluar semua harta yang ada di kereta persona, seterusnya ke Lok Kawi – lokasi bengkel kereta kemudian menghantar saya ke rumah. Terima kasih saya ucapkan. Harapnya kereta boleh disiapkan sebelum hari raya.

Mujur beg pakaian sudah disediakan oleh isteri lebih awal. Saya hanya sempat bersalin baju, solat zuhur dan terus ke Terminal 1, KKIA dan terus masuk ke perut pesawat untuk penerbangan ke KLIA. Di pesawat, saya tidak mengambil masa yang lama untuk terlelap keletihan.

LAWAN ARUS

Saksi mendakwa melihat kereta myvi dipandu melawan arus dari arah persimpangan Sutera Habour menuju ke Sembulan dan kemudian bertembung dengan kereta kancil. Ada saksi memberitahu pemandu kereta myvi berkenaan mengaku memandu dalam keadaan mabuk. Kemalangan berlaku sekitar jam 11.30 malam, 12 Mac lalu.

SIMPANG KOTA MARUDU


16 Disember, 2.30 petang. Dalam perjalanan balik ke Kota Kinabalu, hendak singgah di deretan kedai tepi simpang antara Kota Marudu dan Kudat. Sesak nampaknya. Dua kenderaan bertembung tidak jauh dari kedai-kedai di situ.

Takziah buat semua mangsa yang terlibat. Berhati-hati di jalanraya. Ingatlah orang yang tersayang.

Lima orang diketuai Sdr Lahirul Latigu (Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah) dan Abdul Hameed Abu Bakar (YDP PAS Putatan) sempat menziarahi mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi di Wisma Fook Lu Siew, Jalan Tuaran ahad lalu.

Datuk Edmund maut dalam kemalangan jalanraya di Kota Kinabalu pada 9 Oktober lalu, merupakan wakil rakyat Batu Sapi sejak 2004. Beliau juga merupakan Bendahari Parti Bersatu Sabah (PBS).

Dalam ziarah ringkas berkenaan, wakil pimpinan PAS mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang, dan berharap agar bersabar dengan musibah yang menimpa mereka.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 76 other followers

%d bloggers like this: