Tag Archive: JAWI Labuan


Sebelum berangkat pulang ke tanah besar Sabah, saya menyinggahkan diri menziarahi Madrasah Tahfiz al-Quran Sri Merinding yang terletak di kampung Layang-Layangan.

Menurut Ust Mohd Nazmi Hj Othman, guru al-Quran yang saya temui di sana menceritakan, Madrasah Tahfiz ini khabarnya sudah beroperasi sejak 1998 di atas tanah Tuan Hj Ariff Aliskah.

Ust Mohd Nazmi, 26 tahun berasal dari Dungun Terengganu dan bertugas di sini sejak 2005, dan berkahwin dengan anak Labuan sejak beberapa tahun lalu.

Hasil pengajian beliau selama beberapa tahun di Kubang Bujuk Terengganu, kini beliau mewaqafkan dirinya dengan mengajar ilmu tahfiz kepada para penuntut di Madrasah Tahfiz berkenaan.

Menurut Ust Mohd Nazmi, kini terdapat 20 orang pelajar berumur antara 10 hingga 21 tahun termasuk 4 orang yang belajar ketika musim cuti persekolahan ini.

Di kalangan mereka, terdapat 4 pelajar dari Negara Brunei Darussalam, 4 dari Sandakan, dan masing-masing seorang dari Kota Belud, Miri dan Kedah; selain 10 orang dari Labuan sendiri.

Selain menghafaz al-Quran, mereka juga diajar dengan pelajaran tajwid, jawi, bahasa arab dan fardhu ain yang menggunakan kitab Mat’la al-Badrain.

Pengajian mereka bermula seawal 4 pagi dengan solat tahajjud dan kelas tasmik (memperdengarkan hafazan kepada guru) diadakan selepas solat subuh.

Kelas  mereka diselang-selikan dengan muraja’ah iaitu mengulangkaji hafazan surah dan juzu’ yang lama. Selain itu, para pelajar juga dididik untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah di surau yang bersebelahan dengan kelas mereka.

Menurut Ust Mohd Nazmi yuran yang dikenakan kepada setiap pelajar ialah sebanyak RM120 sebulan. Beliau juga menjelaskan bahawa madrasah berkenaan telah berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam (JAWI) WP Labuan.

Untuk keterangan lanjut boleh berhubung nombor 019-8953285 atau 013-5453284.

Sejak tiba di KL mulai rabu sehingga berada di Kedah saat ini, saya telah berjumpa dengan beberapa individu yang lama tidak saya temui.

IMG_7136

1) Ust Najib Abd Ghaffar.

Ust Najib adalah rakan sepersekolahan ketika tingkatan 2 di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah. Walaupun tempohnya di Sabah singkat saja -1992, tetapi persahabatan tetap kekal sehingga hari ini.

Selepas kami berpisah pada  kerana Najib balik ke Kedah mengikut keluarganya, kami tidak lagi bertemu sehingga pada 1999 di Darul Quran (DQ) JAKIM, Kuala Kubu Baru.

Mengingat kenakalan zaman sekolah, saya sendiri tidak menyangka Najib masuk dan menyambung pengajian di DQ (1998-2001) dan menjadi junior kami pula.

Selepas DQ, Najib sambung ke Maahad Qiraat al-Azhar di Mesir pada 2002-2005, dan di sana kami bertemu pula. Kemudian Najib kembali ke DQ pada 2006 sebagai pensyarah pula, mengajar subjek-subjek al-Quran seperti tasmik, qiraat dan lain-lain.

Kali terakhir kami bertemu ialah pada 2007 lalu, apabila kami terserempak selepas solat jumaat di Masjid India, KL.

Kami bertemu pula beberapa hari lalu dalam Seminar Pemurnian Aqidah anjuran Pejabat Mufti WP dan JAWI di Masjid Wilayah.

Najib sudah berkeluarga dan kini mempunyai 2 cahayamata. Isterinya seorang guru JQAF mengajar di sebuah sekolah berhadapan DQ.

IMG_7139

2) Ust Hj Abd Malik Salleh.

Tidak banyak cerita dan kenangan saya dengan beliau, kerana zaman itu saya masih di bangku sekolah.

Ust Malik – orang Kelantan, yang kini bertugas selaku imam besar Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pernah bertugas di Jabatan Agama Islam WP (JAWI) Labuan, antara 1994 hingga 1998 sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP).

Jawatan KPP adalah jawatan tertinggi JAWI di Labuan, yang bermakna penjawat berkenaan mengetuai operasi pentadbiran JAWI di WP Labuan.

Seingat saya, nama beliau cukup baik dan harum ketika berkhidmat di sana, lantaran hubungan beliau yang sangat mesra dengan ramai orang khususnya penduduk kampung dan ahli qaryah masjid.

Ust Malik dalam sembang singkat kami tempohari juga menyebut beberapa nama yang menjadi keluarga angkatnya di WP Labuan. Beliau juga masih mengenali dan mengingati bapa saya selaku rakannya ketika itu.

IMG_7309

3) Ust Shahrizal Ghazali.

Saya bersahabat dengan beliau sejak 2003 sehingga kini. Ketika saya dan isteri mendirikan rumahtangga pada 2002, kami kemudiannya tinggal di Mansoura sehingga pulang ke tanahair pada pertengahan 2004.

Ketika di Mansoura itulah kami bersahabat baik dengan rakan-rakan yang sudah berumahtangga.

Kami berusrah bersama – usrah bait muslim, saling ziarah menziarahi, melancong bersama dengan keluarga masing-masing, tambahan pula kami masing-masing mempunyai seorang anak yang sebaya umur dan baru lahir pada 2003.

Ust Shah mengaji di Universiti al-Azhar Cawangan Tanta dalam kuliah Syariah Islamiyyah tetapi tinggal di Mansoura sejak 2002.

Sementara kami kembali pada julai 2004, Ust Shah dan keluarganya pula kembali pada oktober tahun yang sama.

Sejak 5 tahun lalu, Ust Shah bertugas di SMA al-Islah Pendang. Pertemuan terakhir kami pula ialah pada akhir 2007, ketika saya berkunjung ke negeri ini atas urusan rasmi.

Kini Ust Shah tinggal di Taman Teratai Pendang bersama isterinya Ustazah Suzana Md Nordin @ Kak Zana yang juga menjadi rakan baik isteri saya serta 3 cahayamata mereka. Md Afifi (6 tahun) – seumur dengan Nuha, Afifah Izzati (3 tahun) dan Anis Afifah (2 tahun).

Insya Allah persahabatan dan kenangan manis di Mesir khususnya bersama rakan-rakan bait muslim Mansoura lain tidak akan dilupakan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 76 other followers

%d bloggers like this: