Tag Archive: JAKIM


Sumber : http://www.islam.gov.my/dakwah-intellectual-discourses-did-ums-kampus-labuan

Cawangan Pengembangan, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menganjurkan Program Dakwah Intellectual Discourses (DID) Siri 1/2012 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Islam dan Pengurusan Masjid, UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Program yang berlangsung pada 4 Mei 2012 telah menghimpunkan 50 orang pemimpin mahasiswa kampus UMS Labuan. Program ini menggariskan 3 objektif utama iaitu melahirkan kader-kader dakwah dari kalangan pelajar yang berkaliber dan berpengetahuan serta mampu menjadi pendakwah professional, meningkatkan kefahaman ke arah penghayatan nilai-nilai murni dalam aspek kehidupan untuk diterapkan kepada warga kampus dan melahirkan mahasiswa yang berilmu, berakhlak dan bertaqwa.

Terdapat 3 slot pembentangan iaitu Ancaman Sosial : Cabaran Remaja Masa Kini, Ancaman Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia dan Generasi Y : Cabaran Globalisasi dan Ketahaman Iman.

Ustaz Jamali Mohd Adnan, Ketua Penolong pengarah, Bahagian Dakwah, Jakim menyatakan bahawa program ini merupakan program berkala yang dijenamakan atas nama Dakwah Intellectual Discourses (DID) sebagai medium program ilmu kepada mahasiswa di kampus dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan sebagai destinasi pertama program ini.

“Konsep program ini bersifat perbincangan dan dialog isu-isu semasa kepada mahasiswa di Kampus. Selain itu, sebagai wasilah mendekatkan jakim dengan golongan mahasiswa”, katanya.

 

Sumber : http://www.islam.gov.my/konvensyen-pendidikan-islam-peringkat-pengajian-rendah-negeri-sabah-2012

Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah menganjurkan Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Pengajian Rendah Negeri Sabah Tahun 2012 pada 26 hingga 27 Februari 2012 bertempat di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah. Majlis tersebut telah dirasmikan olehYB. Dato Sri Haji Nasir bin Tun Haji Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah. Turut hadir Y.Bhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Y.Bhg. Dato Haji Amri A. Suratman, Pengarah JHEAINS.

Objektif penganjuran Konvensyen Pendidikan Islam 2012 ini ialah untuk memperkasa pelaksanaan pendidikan Islam di peringkat pengajian rendah secara kolektif serta mengenal pasti cabaran dan realiti sistem pendidikan Islam di peringkat pengajian rendah. Selain itu, ia mampu meransang perkongsian maklumat dan pengalaman dalam pelaksanaan sistem pendidikan Islam yang berkesan kepada pelajar-pelajar di peringkat pengajian rendah. Konvensyen ini juga akan mengeratkan silaturrahim di kalangan warga pendidik SAN, KAFA dan SAR di negeri Sabah.

Konvensyen yang julung kali diadakan itu telah menampilkan para pembentang kertas kerja yang berwibawa. Antaranya ialah Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek bin Baba, Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Selain itu, ahli panel yang lain yang terlibat ialah Ustaz Ansarullah bin Mohd Hasyim, Ketua Penolong Pengarah KAFA Bahagian Kemajuan Islam JAKIM Putrajaya, Ustaz Mohd Taif bin Kassim, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Ustaz Rapihi bin Derim @ Wasihim, Institut Perguruan Gaya dan Ustaz Sulaiman bin Musinin, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Kehadiran peserta yang memberansangkan iaitu hampir 700 orang pada konvensyen kali ini juga membuktikan penganjurannya adalah berjaya dan bermanfaat.

Dato’ Ketua Pengarah JAKIM mengucapkan jutaan tahniah kepada kerajaan Negeri Sabah kerana menyambut baik resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia 2011 yang lepas yang mencadangkan Konvensyen Pendidikan Islam ini diadakan. Negeri Sabah adalah negeri kedua di Malaysia yang menganjurkan konvensyen ini selepas Perlis.

Dalam ucapan perasmiannya, YB. Dato Sri Haji Nasir bin Tun Haji Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri menyifatkan penganjuran konvensyen seumpama ini akan menyemarakkan lagi aktiviti pendidikan Islam di negeri Sabah khususnya dan di Malaysia amnya. Beliau juga mengharapkan konvensyen kali ini akan menjadi wadah pencetus idea, memperkasa sistem pendidikan Islam sedia ada dan menghasilkan strategi kerjasama pintar diantara semua agensi terutamanya JAKIM, JHEAINS dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dalam usaha penambahbaikan yang berterusan.

Konvensyen selama 2 hari tersebut telah ditangguhkan oleh YB. Dato’ Haji Ustaz Mohd Suhaili Haji Said, ADUN kawasan N49 Tungku, merangkap Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Turut hadir ialah Y.Bhg. Tuan Haji Mohd Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Tuan Haji Rumaling Epit, Timbalan Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Sumber : http://www.darulquran.gov.my/

Tajuk asal : MULTAQA HUFFAZ RAI 51 PENERIMA SIJIL TAHFIZ MALAYSIA

17 Februari 2012 - Darul Quran Jakim sekali lagi melakar sejarah penting apabila berjaya menghimpunkan para huffaz seluruh negara dalam program Multaqa Huffaz Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 yang diadakan di Dewan Dato’ Mohd Shahir, InstitutLatihan Islam Malaysia, Bangi.

Antara pengisian majlis tersebut adalah Forum Huffaz yang telah menampilkan Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Sheikh Ismail Muhammad, Imam Besar Masjid Negara Kuala Lumpur, Y.Bhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Abd Halim Tamuri, dan Y.Bhg. Ustaz Ashraf Hj. Ismail sebagai ahli panel. Manakala Y.Bhg. Dato’ Hj. Zulkifli Ali, Pengarah Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang sebagai moderator.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jakim. Beliau dalam ucapannya menegaskan Jakim khususnya amat prihatin dan komited bagi memastikan institusi al-Quran terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam.

“Jakim juga menyokong usaha-usaha untuk menyediakan pendidikan al-Quran kepada masyarakat dengan memberi bantuan yang diperlukan bagi menjalankan program-program yang berkaitan, terutama program tahfiz al-Quran” menurut beliau lagi. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Razali Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan dan Haji Paimuzi Yahya, Pengarah Darul Quran.

Sementara itu bagi mengiktiraf dan menghargai pengorbanan serta jasa bakti dalam bidang tahfiz, Sheikh Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad telah dianugerahkan sebagai Tokoh Hafiz Kebangsaan. Manakala seramai 51 penerima anugerah telah menerima Sijil Tahfiz Malaysia sempena majlis tersebut.

Sumber : http://www.smecorp.gov.my/v4/node/924

Bermula 1 Januari 2012, hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sahaja yang boleh mengeluarkan Sijil Halal di Malaysia. Ini terpakai untuk semua produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan di Malaysia. Sijil dan logo halal yang dikeluarkan atau dipohon sama ada secara self declaration atau yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta tidak lagi dibenarkan. Tindakan tersebut adalah merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

PENGUATKUASAAN AKTA PERIHAL DAGANGAN 2011 (APD 2011) DAN PERINTAH-PERINTAH PERIHAL DAGANGAN BERKAITAN HALAL

Artikel ini disediakan oleh Bahagian Pembangunan Perniagaan SME Corp. Malaysia berdasarkan Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil 1/2011. Sebarang istilah atau maksud di dalam artikel ini yang tidak selari dengan APD 2011 dan Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil 1/2011 maka rujukan utama iaitu APD 2011 dan Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil 1/2011 adalah terpakai.

PENDAHULUAN

Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil. 1/2011 telah dikeluarkan bertujuan untuk memaklumkan berkenaan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 (APD 72) kepada akta yang baru iaitu Akta Perihal Dagangan 2011 dan Perintah-Perintah Perihal Dagangan Berkaitan Halal (APD 2011) yang telah diluluskan di Parlimen pada 11 Julai 2011. Akta yang baru ini akan mula berkuat kuasa bermula 1 Januari 2012.

OBJEKTIF UTAMA

Objektif utama pekeliling ini adalah untuk memaklumkan kesemua pengusaha produk dan perkhidmatan bahawa bermula1 Januari 2012sijil dan logo halal yang dikeluarkan atau dipohon sama ada secara self declaration atau yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta tidak lagi dibenarkan. Tindakan tersebut adalah merupakan suatukesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

LATAR BELAKANG

Pasaran produk halal yang besar juga menyebabkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan perkataan halal atau lain-lain elemen bagi menggambarkan ianya merupakan produk atau perkhidmatan halal untuk tujuan pemasaran dan keuntungan.

Sebelum akta baru ini digubal, bagi permohonan Sijil Halal boleh dibuat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau syarikat-syarikat swasta. Oleh yang demikian, timbul perbezaan bentuk Sijil Halal yang berbeza-beza bagi setiap negeri dan Sijil Halal yang dikeluarkan oleh pihak-pihak swasta yangdiragui kebolehpercayaannya serta bermatlamatkan keuntungan. Disebabkan tiada satu undang-undang khusus yang boleh memantau pengeluaran sijil dan logo halal, ini menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna.

KANDUNGAN APD 2011

Akta Perihal Dagangan 2011 dan Perintah-Perintah Perihal Dagangan Berkaitan Halal (APD 2011) yang telah diluluskan di Parlimen pada 11 Julai 2011. Pindaan akta ini, memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai badan penguatkuasaan dengan dibantu oleh  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN ). Akta tersebut juga menamakan JAKIM dan MAIN sebagai agensi pensijilan halal di Malaysia yang diiktiraf sebagai pihak berkuasa berwibawa di bawah APD 2011.  Di bawah akta ini terdapat dua Perintah Perihal Dagangan iaitu :

  • Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011; dan
  • Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Tarikh kuatkuasa APD 2011 adalah bermula pada 1 Januari 2012 iaitu hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN ) sahaja yang boleh mengeluarkan Sijil Halal di Malaysia.

Semua produk atau perkhidmatan yang telah mendapatkan pensijilan halal daripada JAKIM atau MAIN hendaklah menggunakan Logo Halal Malaysia seperti dilampirkan.

TAKRIF HALAL

Takrif Halal merujuk kepada produk atau perkhidmatan yang diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan ianya boleh digunakan oleh pengguna Islam. Ini bermaksud bahawa setiap produk dan perkhidmatan yang diperihalkan sebagai halal dijalankan mengikut Hukum Syarak.

Mana-mana orang/pihak yang membekalkan atau menawarkan produk makanan atau perkhidmatan yang memperihalkannya  sebagai halal atau dengan apa-apa ungkapan lain yang bertentangan dengan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 adalah melakukan kesalahan.

PENANDAAN/PERAKUAN PERIHAL HALAL

Semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika :

  • Diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa yang berwibawa; dan
  • Ditandakan dengan logo Halal Malaysia

Perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan perkhidmatan itu boleh digunakan oleh orang Islam melainkan jika ia diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa. Ini termasuk penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran atau apa-apa perkara atau objek yang berhubung dengan agama Islam sama ada di premis di mana makanan itu dijual atau di bekas di mana makanan itu dibekalkan.

KESALAHAN DAN PENALTI 

1. Perakuan dan Penandaan Makanan

Mana-mana orang yang :

  • Memperakukan bahawa mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal; atau
  • Membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu,

Bertentangan dengan perintah di bawah APD 2011, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan :

  • Jika ianya suatu pertubuhan perbadanan (termasuk syarikat Sdn Bhd), didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgitdan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit; atau
  • Jika ianya bukan suatu pertubuhan perbadanan (termasuk Enterprise), didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

2. Kesalahan bagi memperdayakan atau mengelirukan

Perenggan di bawah ini bermaksud sekiranya produk makanan tersebut mempunyai unsur tidak halal tetapi dibuat sebarang representasi yang mengelirukan bahawa makanan tersebut adalah halal untuk dimakan oleh orang Islam adalah melakukan kesalahan  seperti berikut:

  • Mana-mana orang/pihak yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan dengan membuat representasi atau perbuatan yang memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam adalah melakukan suatu kesalahan
  • Bagi maksud subperenggan (1), “representasi atau perbuatan’ termasuklah penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran atau apa-apa perkara atau objek yang berhubung dengan agama Islam sama ada di premis di mana makanan itu dijual atau di bekas di mana makanan itu dibekalkan.
  • Jika mana-mana orang dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah subperenggan (1) beban untuk membuktikan bahawa makanan yang dibekalkan atau ditawarkan untuk dibekalkan adalah halal mengikut kehendak perenggan 3 hendaklah terletak pada orang yang dipertuduh itu.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah perintah ini boleh, apabila disabitkan:

  • Jika ianya suatu pertubuhan perbadanan (termasuk syarikat Sdn Bhd), didenda tidak melebihi lima juta ringgit dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi 10 juta ringgit; atau
  • Jika ianya bukan suatu pertubuhan perbadanan (termasuk Enterprise), didenda tidak melebihi satu juta ringgit; ataudipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima juta ringgit; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

PERAKUAN PERIHAL HALAL BAGI PRODUK IMPORT
Bagi produk yang diimport dan dipasarkan di Malaysia, penandaan yang menunjukkan produk tersebut sebagai halal hendaklah diperakukan (dibuat)  oleh mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM di negara berkenaan.

Pengimport atau pengeluar mana-mana makanan atau barang-barang yang diperakukan sebagai halal oleh badan pensijilan luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM hendaklah menandakan nama badan pensijilan tersebut pada produk tersebut. Maklumat badan-badan tersebut diperolehi pada website JAKIM iaitu www.halal.gov.my.

PERMOHONAN PENSIJILAN HALAL

Bermula 1 Januari 2012 kesemua permohonan Sijil Halal untuk produk dalam negara hendaklah melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).

TEMPOH PERALIHAN

Produk 

Bagi produk yang berada di pasaran yang menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf, pihak industri diberi tempohsehingga 31 Disember 2012 untuk menghentikan penggunaan logo tersebut. Pada masa yang sama pihak industri perlu mendapatkan pensijilan Halal daripada JAKIM atau MAIN.

Premis

Bagi premis (termasuk  restoran) yang menggunakan logo halal yang tidak diktiraf, logo tersebut perlu dilupuskan serta merta. Pada masa yang sama pihak industri perlu mendapatkan pensijilan Halal daripada JAKIM atau MAIN.

TARIKH KUATKUASA

Tarikh kuatkuasa APD 2011 adalah bermula daripada 1 Januari 2012

RUJUKAN

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pindaan akta ini bolehlah dirujuk kepada :

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Bahagian Hub Halal
Aras Bawah, Blok 2200,
Bangunan Enterprise 3,
Persiaran APEX, 63000 Cyberjaya
Telefon : 03- 8315 0200
Fax : 03-8318 7044

PEMAKAIAN

Pekeliling ini terpakai kepada semua pihak yang akan menggunakan penandaan halal terhadap produk atau perkhidmatan atau apa-apa penandaan lain yang menunjukkan bahawa ianya adalah halal.


Sumber : http://www.islam.gov.my/darul-quran-terima-139-orang-pelajar-baru

04 Januari 2012 - Darul Quran Jakim telah membuka tirai tahun 2012 dengan menerima pendaftaran pelajar baru bagi Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-UIAM Sesi 2012/2013.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Y.Bhg Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dato’ Haji Othman dalam ucapan beliau telah merakamkan sekalung tahniah dan syabas kepada seluruh pelajar baru dan juga ibu bapa pelajar di atas kejayaan mereka mendaftarkan diri di Darul Quran sebagai pusat pengajian tahfiz terulung dalam Negara.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menekankan tentang kepentingan menjaga akhlak dan adab-adab sebagai pelajar yang menjunjung al-Quran dalam kehidupan mereka. Selain daripada itu, beliau juga menyeru para pelajar agar kekal menimba ilmu di Darul Quran dan tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Tuan Hj. Paimuzi bin Yahya, Pengarah Darul Quran dan Y.Bhg. Prof.Madya Dato’ Dr.Syed Zahir Idid bin Syed Osman Idid, Dekan Pusat Asasi UIAM.

Sumber : http://www.islam.gov.my/konvensyen-saudara-muslim-peringkat-kebangsaan-tahun-2011

Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan tahun 2011 telah berjaya dilaksanakan pada 22 hingga 24 Disember 2011 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu. Ia merupakan program ketiga yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama MAIDAM dan Yayasan Taqwa. Program ini merupakan wadah yang disediakan oleh JAKIM bagi Saudara Muslim untuk bertemu dan bertukar-tukar pengalaman  serta memperoleh maklumat  yang berguna dalam menjalani kehidupan seharian seorang Muslim.

Penganjuran Konvensyen ini  bukan sahaja melibatkan peserta dari semua Jabatan / Majlis Agama Negeri, Badan Berkanun Badan Bukan Kerajaan ( NGO ), dan lain-lain agensi yang bergiat cergas dalam bidang dakwah bahkan juga menjadi medan kerjasama strategik antara JAKIM, JAIN / MAIN dan NGO Islam.

Perasmian Konvensyen telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM mewakili YB Dato’ Dr. Mashitah Binti Ibrahim Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapannya beliau menegaskan setiap Saudara Muslim perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat iman dan Islam untuk menjadi umat yang teguh dan berusaha gigih untuk memajukan diri sendiri dengan membina semangat baru dalam menghayati semangat hijrah. Turut hadir memberikan ucapan aluan ialah YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM, sementara Majlis Penangguhan Konvensyen pula disempurnakan oleh Tuan Haji Wan Harujan bin Sulaiman CEO MAIDAM.

Konvensyen yang dihadiri seramai 800 orang Saudara Muslim Malaysia ini disusun dengan pengisian ilmu seperti pembentangan kertas kerja dan wacana minda serta pembentangan resolusi untuk memantapkan pengetahuan Saudara Muslim dalam memenifestasikan Islam sebagai cara hidup. Sebanyak 12 resolusi yang dipersetujui telah dibentangkan oleh YBhg. Haji Abdul Nasir bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah sepertimana berikut;

  1. Bersetuju supaya konvensyen seumpama ini dapat diteruskan pada setiap tahun mengikut giliran negeri.
  2. Bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa penyelarasan pendaftar-pendaftar mualaf (saudara muslim) seluruh Malaysia dan mencadangkan juga supaya NGO-NGO Islam dijemput untuk turut serta.
  3. Bersetuju supaya ditubuhkan sekretariat dakwah kepada non-muslim peringkat kebangsaan yang melibatkan JAIN, MAIN, Jabatan-jabatan Kerajaan Berkaitan, dan NGO’s Islam.
  4. Melatih pendakwah-pendakwah dari kalangan saudara muslim dari pelbagai bangsa.
  5. Menganjurkan retreat dakwah kepada non-muslim secara berkala sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
  6. Bersetuju supaya ahli jawatankuasa masjid memberi perhatian dari segi pendidikan agama dan kebajikan kepada saudara muslim di qariah masjid berkenaan khususnya yang baru memeluk Islam.
  7. Bersetuju supaya ahli jawatankuasa masjid berperanan untuk berdakwah kepada pelancong-pelancong asing dari kalangan bukan Islam.
  8. Bersetuju supaya JAIN/MAIN mewujudkan rumah-rumah perlindungan kepada saudara muslim yang baru memeluk Islam dan memerlukan perlindungan sementara.
  9. Bersetuju supaya JAIN/MAIN menubuhkan Pasukan Sukarelawan Dakwah dari kalangan pelbagai bangsa khususnya bertujuan untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh saudara muslim.
  10. Bersetuju supaya ditubuhkan Kelab Sahabat Saudara Muslim seluruh Malaysia yang diurusetiakan oleh JAKIM.
  11. Mengoptimumkan penyebaran dakwah melalui internet atau dikenali sebagai techno-dakwah.
  12. Pendidikan untuk saudara muslim perlu dipertingkatkan melalui pelbagai cara antaranya melalui pendekatan usrah.

Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua peserta khususnya Saudara Muslim. Rata-rata peserta yang ditemui berasa begitu gembira dengan program seumpama ini dan berharap ia akan diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang.

JAKIM – ASTRO

Sumber : http://www.islam.gov.my/jakim-astro

Pada 1 Disember 2011, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim bersama dengan pihak Astro telah mengadakan sesi dialog bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan media penyiaran. Dalam sesi dialog tersebut, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kawalan Media Ustaz Azman bin Mat Hassan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan telah membentangkan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam kepada ketua-ketua seksyen dan kakitangan Astro yang terlibat dalam menyemak dan menapis bahan-bahan penyiaran yang hendak disiarkan.

Selepas itu, satu sesi dialog diadakan mengenai isu-isu berkaitan dengan media penyiaran. Sesi dialog ini bermula jam 10.00 pagi dan berakhir 2.00 petang. Jumlah peserta yang terlibat dalam sesi dialog ini seramai 40 orang yang terdiri ketua-ketua unit dan kakitangan Astro. Pegawai- pegawai Jakim yang terlibat seramai 7 orang yang terdiri daripada pegawai dari seksyen Kawalan Media, Seksyen Syariah dan Seksyen Akidah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan.

Sesi dialog merupakan satu langkah awal dalam mewujudkan hubungan erat antara Jakim dan Astro dalam usaha memastikan kandungan penyiaran yang disiarkan mengambil kira  soal sensitiviti umat Islam. Berdasarkan keputusan yang dibuat dialog seumpama ini akan terus diadakan pada masa akan datang bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan penyiaran.

Hari terakhir Syawal dipilih bagi 15 agensi Islam di Sabah untuk mengadakan majlis hari raya yang diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu. Antara yang terlibat ialah JHEAINS, JAKIM, Pejabat Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah, Takaful Malaysia, YPEIM, YADIM, MUIS, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Bank Ar-Rajhi, USIA, Gabungan NGO Islam (CONCERN) dan lain-lain dengan tetamu khasnya YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Menariknya setiap agensi berkenaan menyediakan gerai masing-masing dan terpulang kepada tetamu untuk memilih hidangan yang digemari. Para tetamu pula adalah terbuka kepada semua, termasuk di kalangan bukan Islam yang bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan. Ia lebih meriah apabila diadakan pertandingan gerai terbaik. Ia dimenangi oleh JAKIM (pertama), JHEAINS (kedua), dan Pejabat Mufti (ketiga).

Dalam pada itu idea menggabungkan agensi Islam ini sangat menarik bagi memperlihatkan kesatuan agensi Islam, dan rasanya ia boleh dikembangkan lagi pada tahun-tahun mendatang. Ini kerana masih ada agensi berteraskan Islam yang tiada (sama ada tidak dijemput atau tidak dapat hadir) seperti bank-bank patuh syariah yang lain seperti bank rakyat, bank Islam, CIMB Islamik, atau syarikat takaful yang semakin mendapat tempat di hati ummat. Saya kira masjid-masjid utama juga patut diberi peluang (walaupun mereka di bawah JHEAINS), untuk meramaikan lagi peserta agensi Islam. Begitu juga NGO Islam, terutama yang tidak bergabung dengan CONCERN sebaiknya dapat diundang sama.

Di balik kemeriahan suasana majlis ini, hanya satu saya kurang berkenan. Hiburan  penyanyi wanita! Kalau kononnya hendak lagu raya, memadailah hanya penyanyi lelaki. Bahkan saya dengar sebahagiannya tidak sekadar lagu raya tetapi sudah melencong ke lagu-lagu lain. Saya harap penganjur akan memandang berat hal ini dan boleh membincangkannya secara ilmiah dan jujur.

Sumber : Web JAKIM (http://www.islam.gov.my)

Sebanyak 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menerima sumbangan khas bernilai RM 1 Juta dan masing masing-masing menerima antara RM 56,000 hingga RM 25, 000. Peruntukan RM1 juta untuk NGO Islam ini telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu merasmikan Majlis Ulama’ bersama Umara’ pada 5 Februari 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis penyampaian sumbangan khas kepada NGO Islam telah berlansung pada 18 Mei 2011 di Dewan Syura, JAKIM yang disempurnakan oleh YB Mejar Jenaral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Ketua Pengarah Jakim, Tuan Haji Othman Mustapha, Ahli-Ahli Post-Kabinet, Pengarah-Pengarah Bahagian dan wakil-wakil NGO Islam.

YB Mejar Jenaral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom (B) dalam ucapannya menyatakan sumbangan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan NGO Islam sebagai tanda sokongan untuk mereka dalam melaksanakan agenda ummah dalam bidang ekonomi, sosial dan dakwah Islamiah. Katanya, “peruntukan itu dibahagikan berdasarkan aktiviti, jumlah ahli dan program yang dilaksanakan dan bantuan itu diharap dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang”.

Menurut Tuan Haji Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM, “sumbangan itu diberikan bagi membantu NGO berkenaan dalam memperluaskan aktiviti dan program keagamaan mereka dalam bidang khusus masing-masing, selain untuk merapatkan hubungan erat antara kerajaan dan kumpulan berkenaan”, katanya ketika menyampaikan ucapan aluan dalam majlis tersebut.

Antara yang menerima sumbangan terbabit ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Islam Malaysia (HALUAN), Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Pertubuhan Cina Islam Sabah (PCIS), Perhimpunan Belia Islam Sedunia (WAMY), Persatuan Pengasih Malaysia, Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, Pertubuhan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM) dan Angkatan Belia Malaysia (ABIM).

Wakil Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, En Mohamad Zaki Mohamad Yusof menyatakan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan sekali gus memberi suntikan semangat kepada mereka untuk menjalankan aktiviti yang telah dirancang dengan lancar dan berkesan.

‘ADIK-ADIKKU’ MUSIM KE-2

Sewajarnya saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam program realiti  ‘Adik-Adikku’ musim ke-2 daripada mula sehingga ke peringkat akhir di Dewan B, Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sehingga berjaya melahirkan daie-daie kecil berbakat besar. Saya positif dalam hal ini, meskipun ada kelemahan-kelemahan yang boleh diperbaiki pada musim-musim akan datang. Namun kita lihatlah kebaikan yang boleh diambil bersama. Barangkali ini hadiah terbaik menjelang persaraan Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Wan Mohammad Syeikh Abdul Aziz.

Saya ingin mengulas ringkas dari satu sudut yang berbeza. Bukan berkenaan adik Munir yang dinobatkan sebagai juara, bukan juga berkenaan para murabbi dan rais yang kental dan bersemangat itu, bahkan bukan juga berkenaan kepetahan adik-adik dan anak-anak yang berbakat itu yang sudah banyak diulas oleh orang lain. Anak-anak saya sendiri meminati rancangan ini, menghafal lagunya dan terpacak melihat peserta bertaraf abang dan kakak mereka ini lincah di pentas utama.

Kejayaan JAKIM mendapatkan hak siaran langsung di TV1 apatah lagi ketika waktu perdana – saya kira menyumbang dan memberi impak yang sangat besar dalam dunia dakwah. Kita mengetahui inilah masa utama masyarakat menonton tv dan sudah banyak rancangan hiburan yang disiarkan dalam waktu sebegini dan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Saya berharap warga JAKIM dan para pendakwah terus bekerja keras untuk memperkasa dan memperkukuh program ini pada musim-musim akan datang dengan mencari lagi idea-idea bernas untuk diketengahkan demi kebaikan Islam di Malaysia. Ia perlu lebih diketengahkan ke dalam masyarakat dengan promosi yang lebih berkesan dan agresif agar rakyat mengetahui program sebaik ini.

Seperti ramai komentar sahabat-sahabat di facebook, bahkan saya meyakini kekecewaan ramai para ustaz dan ustazah, hanya satu kelemahan yang sangat ketara pada malam itu. Sayang benar tetamu kehormat enggan menutup aurat sedangkan semua peserta bahkan Dato’ Siti Nurhaliza juga menutup aurat. Oleh kerana rancangan ini menarik perhatian kanak-kanak, akan menimbulkan persoalan di kalangan mereka, mengapa tetamu kehormat itu tidak menutup aurat, adakah dia tidak mengetahui kewajibannya?

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers