al-Quran

Dalam kelas semalam, ada di kalangan mereka yang bertanya : “Ustaz, ada assigmentkah?”

Saya baru teringat, saya menyampaikan kuliah di universiti dan bukan di surau atau masjid. Melakukan kerja tugasan luar kelas adalah kebiasaan warga di pengajian tinggi. Lagipun ada markah untuk tugasan itu.

Saya berfikir sejenak, tugasan apa hendak dibagi kepada mereka.

Akhirnya idea spontan saya muncul. Saya memutuskan agar mereka menemuramah beberapa orang hafiz dan hafizah al-Quran di sekitar Kota Kinabalu.

Saya maklum bahawa ustaz dan ustazah sudah berlambak di bumi Sabah. Kehadiran para pendakwah juga dimaklumi bersama. Tetapi dunia penghafazan al-Quran tidak banyak diteroka oleh orang awam.

Saya ingin benar mereka mengetahui cara hidup seorang hafiz atau hafizah, bagaimana mereka menghafaz al-Quran dan menjaganya, kaedah menghafaz serta pantang larangnya.

Mereka juga boleh bertanya tentang petua-petua mempelajari al-Quran, menghafaz dan sebagainya. Tujuan saya supaya minat mereka terhadap ilmu al-Quran semakin bersemi dan berkembang.

Sebelum pertemuan terakhir pada 31 Oktober nanti, mereka dikehendaki bertemu dengan tokoh-tokoh hafiz dan hafizah berikut :

1) Datuk Hj Asmali Bachi – Masjid Negeri Sabah.

2) Ust Shahrin Imran – Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

3) Ust Hj Losman Linjal – Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

4) Ust Hj Imbran Anggun – Istana Negeri Kota Kinabalu.

5) Ustazah Dg Masni Datu Saribu – Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

6) Ust Md Jumat Abd Razak – Pejabat Mufti Negeri Sabah

7) Ustazah Normi Hj Mat Yusuf – Madrasah Islamiyyah Masjid Negeri Sabah.

Saya sendiri dapat berharap agar dapat menyertai beberapa pertemuan itu jika berkelapangan.

Pada pertemuan terakhir kuliah nanti, setiap kumpulan akan membentangkan hasil pertemuan mereka dan kisah-kisah menarik yang mereka perolehi. Semoga ada manfaatnya.