Malam berkenaan, saya menangguhkan kuliah mingguan di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral kerana ingin bersama-sama dalam Majlis Dakwah Bersama Ulama’ di Masjid Negeri Sabah bersama al-Habib Idrus bin Salim al-Jufri, pimpinan majlis ta’lim dan zikir al-khairat Jakarta dan pemimpin Pasantren Pemuda al-Khairat, Palu Sulawesi Indonesia.

Majlis bersama al-Habib Idrus keseluruhannya malam khamis lepas di Masjid Negeri Sabah menjurus kepada mencintai Rasulullah SAW. Beliau menjelaskan dalil dalil dan saranan yang mewajibkan kita mencintai Rasulullah SAW. Kata al-Habib memberi contoh tentang perintah bersolawat, Allah SWT sendiri dan para malaikat bersolawat kepada Rasulullah SAW, berbeza dengan perintah sujud hormat kepada Adam yang hanya diperintahkan kepada para malaikat.

Terdahulu, majlis yang bermula selepas solat maghrib itu dimulakan dengan bacaan qasidah dan maulid bersama kira-kira 400 jamaah yang hadir. Majlis berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Bugis Sabah dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Majlis yang sama juga diadakan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (8 Mac) dan Masjid Pekan Ranau (9 Mac).