Selesai solat jumaat di Masjid Qaryah Bukit Pegoh, kami bergerak ke Darul Aitam iaitu rumah anak-anak yatim yang diusahakan oleh Ybhg Datuk Idris Talib salah seorang ahli lajnah tashih al-Quran dari Melaka ini. Datuk Idris Talib termasuk dalam kumpulan ketiga pelajar yang menghafaz al-Quran pada zamannya bersama-sama Ustaz Azhari Othman, Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Haji Salleh Sani dan lain-lain.

Saya pernah bertanya kepada beberapa orang awam di Melaka ini dan mereka memanggilnya Ustaz atau Datuk Idris al-Hafiz, seorang tokoh agama yang sangat dikenali di bumi bersejarah ini. Sesuatu yang saya sukai dengan beliau ialah cara bercakapnya yang lunak dan kelihatan penyayang. Apabila beliau memimpin doa, bait-bait doanya sangat bagus sekali terutama bagi mereka yang memahaminya.

Barangkali dengan sifat penyayang yang ada pada dirinya, beliau mampu dengan dibantu oleh keluarganya mengadakan Darul Aitam ini. Ini kunjungan kali kedua kami ke Darul Aitam ini. Sehingga kini apabila saya bertanya tempohari, terdapat 50 penghuni yang berasal dari sekitar Melaka kanak-kanak dan remaja. Bagi peribadi saya, kesungguhan Datuk Idris sangat wajar dicontohi. Apabila beliau menyertai mesyuarat lajnah tashih al-Quran, akan ada sahaja anak-anak yatim yang beliau bawa sekaligus membantu beliau juga.

Di samping menjamu selera dengan jamuan nasi arab, daging kambing dan durian, pihak Lajnah Tashih al-Quran KDN juga menyampaikan sumbangan ikhlas kepada Datuk Idris di atas musibah yang menimpa beliau baru-baru ini. Sumbangan disampaikan oleh Ybhg Dato’ Syeikh Haji Mohammad Nor Mansor, pengerusi lajnah. Semoga beliau bersabar dan insya Allah, Allah SWT bersama orang-orang yang sabar.

Jika rakan pembaca blog ini ingin menghulurkan sumbangan kepada Darul Aitam boleh masukkan ke akaun Bank Bumiputera Commerce atas nama  ASRAMA ANAK-ANAK YATIM BUKIT PEGOH ATAU DARUL AITAM, Nombor Akaun : 501153028501.