Tag Archive: Arnab


ARNAB BARU

Di kandang arnab kami, ada satu kandang yang diisi dengan tanah. Ada 3 ekor arnab yang tinggal di sini, satu jantan dua betina. Saya tengok mereka selalu menggali lubang dan kemudian menutup. Kemudian menggali lagi di ruang yang lain dan kemudian menutup semula. Begitulah..

Sekali lagi kami terkejut riang apabila suatu hari tanpa diduga ada seekor anak arnab keluar dari celah-celah lubang dan bersembunyi di balik ibunya. Cantik. Berdasarkan saiznya ketika itu, mungkin ia berumur sekitar 3 hingga 4 minggu. Sudah tidak menyusu dengan ibunya tetapi ikut makan dan minum bersama arnab dewasa yang lain.

Menambah kejutan kepada kami, beberapa hari kemudian, kami baru perasan bahawa anak-anak arnab ini bukan seekor tapi empat ekor! Alhamdulillah!

HAIWAN PELIHARAAN KAMI…

Sehingga kini ada 14 ekor arnab dewasa, 30 ekor anak-anak ayam pelbagai jenis (ayam telur, ayam kambing dan ayam kacukan), 4 ekor ayam dewasa, 2 ekor kucing jantan dan 2 ekor labi-labi yang baru dibeli ahad lalu.

14 ekor arnab itu termasuk seekor yang dihadiahkan oleh sahabat saya, Anizan Mahruf – terima kasih! Puncanya kerana beberapa ekor arnab miliknya mati seekor demi seekor dan kemudian hanya tinggal seekor, maka itulah dihadiahkannya. Di rumahnya ada belasan kucing-kucing pelbagai jenis dan cantik-cantik pula. Tempoh 4 tahun setakat ini memelihara arnab banyak memberi kenangan  menarik dan ilmu berguna. Ada yang sudah disempat disembelih dan dimakan, banyak juga yang mati kecil dan ketika sudah dewasa.

Kedua-dua kucing yang ada pula kesemuanya jantan dan hadiah orang. Seekor tinggal di rumah dan menjadi kesayangan atok sementara seekor lagi di kandang khas, kerana selalu ‘membuang’ di dalam rumah. Yang tinggal di rumah namanya Syomeng pemberian keluarga tionghua di Petagas kerana kucingnya. Syomeng agak kasar dengan kami kecuali atok, tapi agak memilih makanan, mau makanan yang standard, tidak mahu makan tulang-tulang ikan atau ayam seperti yang lain. Dia mahu ikan yang bermasak terutamanya digoreng. Dalam hal itu, atoklah yang melayan kehendaknya, sehingga jelas Syomeng pun suka menguis-nguiskan tubuhnya ke kaki atok.

Kebiasaan memelihara anak-anak ayam akan ada yang mati awal. Pernah sekian puluh yang dibeli dan seekor demi seekor mati sehingga habis sebelum sempat membesar. Ada juga yang bertahan sampai dewasa sehingga ia boleh dimanfaatkan, ayam kambing atau ayam karan yang cepat membesar untuk disembelih dan dimakan, ayam telur yang boleh bertelur dan ayam kampung yang bertelur dan menetaskan telur sehingga anak-anaknya tergedik-gedik mengekor di belakang.

Labi-labi itu saya beli tanpa dirancang. Kata Apek yang menjual, makanannya tidak cerewet seperti ikan, ia makan apa yang dimakan oleh manusia. Juga tidak perlu alat-alat oksigen seperti ikan. Setakat beberapa hari ini agak ok, saya tidak tahu apa akan jadi pada masa depan. Kata orang, ada bahagian ditubuhnya yang boleh dibuat ubat untuk penyakit. Saya baru mendengarnya.

YANG TIGA EKOR

Segmen cerita arnab kami di blog ini memang sentiasa ada peminatnya. Kalau lama tidak bercerita hal arnab-arnab comel ini, ada saja pembaca yang bising bertanya tentangnya. Minggu lalu, ada seorang pakcik berurusan di lorong rumah kami. Dilihatnya kandang arnab, seraya bertanya : “Jualkah?” Soalan mengandungi permintaan kerana dia berhajat untuk membeli.

Saya masih keberatan untuk menjual atau memberi kerana sasaran saya untuk meramaikan keturunannya belum tercapai. Kini baru ada 20 ekor termasuk 3 yang masih kecil (foto atas). Saya ada sasaran tertentu, membina kandang-kandang baru khusus untuk ibu-ibu yang mengandung. Selepas itu, kalau ada rezeki, bolehlah jual ke mana-mana. Kalau pasaran menggalakkan, barangkali boleh jadi penjual arnab atau daging arnab sepenuh masa. Amacam?

Tiga ekor di atas semuanya comel-comel. Mudah-mudahan terus membesar.

SERONOK PELIHARA ARNAB

Satu demi satu ibu arnab beranak. Disatukan dengan pejantan hanya beberapa hari, kemudian dalam tempoh sebulan atau 28-29 hari, tunggu hasilnya. Arnab betina yang subur akan sibuk menggugurkan bulu badannya sebagai persediaan sebelum bersalin dalam tempoh terdekat. Itu juga menjadi petanda buat kami agar melakukan sedikit persediaan.

Sesudah melahirkan 10 ekor anak baru-baru ini, satu demi satu mati. Kini hanya tinggal 3 ekor yang membesar dengan cantik sekali. Matanya sudah mula terbuka, kakinya semakin kuat untuk berjalan dan sesekali berlari bermain sesama mereka tetapi kiut sekali melihat mereka mendapatkan ibunya untuk menyusu. Saya intai pada lewat petang atau tengah malam, kadang-kadang leka bermain atau terlentang tidur.

Seronok memelihara arnab yang kini sudah berjumlah 20 ekor. Saya bercadang membesarkan kandangnya lagi. Saya mesti memikirkan beberapa betina yang bakal menjadi ibu sedikit masa lagi.

DIROBEK TIKUS

Terkejut juga saya, ibu arnab yang baru beranak sebulan lalu hari ini beranak lagi. Sebelah siang, saya melihat si ibu sudah meluruhkan sebahagian bulu-bulu badannya untuk menjadi alas dan selimut anak-anaknya nanti. Menjelang maghrib, saya lihat si ibu sudah melahirkan anak-anaknya. Saya kira satu demi satu. Ada lapan ekor.

Sebelah malam, selepas pulang program saya jenguk lagi. Seekor daripada anak-anaknya dilahap tikus. Itu sangkaan kuat saya apabila melihat pintu kandang tidak tertutup rapat. Sebelum ini pun saya sering melihat tikus berkeliaran dan makan minum bersama. Tapi jumlah anak yang tinggal saya kira semula. Rupanya sebelah petang tadi si ibu belum habis melahirkan. Semuanya ada 10 ekor termasuk yang dirobek tikus itu.

ENAM EKOR KE KLINIK

Rupa-rupanya, cerita-cerita tentang arnab yang kami pelihara ada juga peminatnya. Saya pernah catatkan dulu, melihat, menjenguk dan memberi makan minum arnab-arnab ini menjadi ruang saya berehat dan menenangkan diri. Segar mata melihat 17 ekor yang ada kini semakin membesar dan ada yang beranak pula.

Minggu ini kebetulan saya bercuti 3 hari menyambung cuti maulidur Rasul dan ruang itu antaranya selain memenuhi undangan tazkirah maulid di banyak lokasi, juga saya isi dengan membawa enam daripada 17 ekor arnab ke klinik. Sudah beberapa hari sebelumnya saya lihat telinga mereka terkopak terkena kutu.

Dua kali ke klinik haiwan di Sabah Animal Medical Centre di Luyang dalam tempoh 3 hari, dengan seekor arnab dikenakan bayaran RM10 sahaja untuk ditimbang dan disuntik. Di sini, haiwan yang biasa dibawa untuk dirawat ialah kucing dan anjing. Tempohari ada seeorang makcik yang membawa tiga ekor arnabnya untuk diperiksa dan salahsatunya mengalami sakit kulit yang terkupas. Selain itu, saya tidak pernah bertemu orang yang membawa arnab ke sini.

Melihat haiwan kucing dan anjing dibawa untuk rawatan, timbul juga kasihan. Ada kucing yang menderita susah untuk buang air, ada yang cedera akibat kemalangan, ada yang tiada selera makan dan sebagainya. Tidak kurang juga anjing dan kucing yang dibawa untuk pemeriksaan rutin. Saya diberitahu dan ditunjukkan sepasang anjing yang siap dipakaikan baju merah (lihat foto di bawah) yang selalu mengekori tuannya ke Tamu Jalan Gaya saban minggu.

Inilah suasana rutin yang selalu saya lihat apabila berkunjung ke sini. Foto menyusul.

TINGGAL SATU

Dalam banyak-banyak arnab yang kami miliki, betina yang seekor ini agak kasar dan kuat ‘mengakai’ terutama apabila saya mahu menyentuhnya. Kadang-kadang agak sukar untuk menambah makanan atau minumannya kerana kaki atau mulutnya pantas untuk menyerang, barangkali untuk mempertahankan dirinya.

Beberapa hari lalu, arnab ini beranak lagi. Kebetulan beberapa hari sebelum itu, saya asingkan arnab jantan yang sedang sakit diserang kutu. Cuping telinganya terkopak. Sepanjang tiga tahun memelihara arnab, penyakit gangguan kutu ini yang agak banyak dan menyebabkan arnab-arnab kami selalu dibawa ke klinik haiwan.

Arnab betina ini hanya melahirkan tiga ekor. Malangnya pagi-pagi saya meninjau, seekor daripadanya yang kelihatan tegap dan berisi sudah mati. Hanya tinggal dua ekor. Kemudian sehari dua kemudian, belum sempat saya bersihkan anak arnab yang mati itu, seekor lagi hilang bersama anak arnab yang mati. Saya syak ditanggung oleh tikus-tikus yang hidup berjiran di situ.

Lubang-lubang tikus sudah ditutup. Seekor yang tinggal bersama ibunya kelihatan sihat dan semakin membesar. Bulu hitam mulai tumbuh, seperti ibunya juga. Saat foto diambil, si anak masih berselimut di dalam bulu-bulu yang disediakan ibunya.

KENANGAN

Mula-mula si ibu melahirkan lima ekor anak. Dua daripadanya mati. Tinggal tiga ekor. Walaubagaimanapun, tiga ekor anak itu hanya bertahan 4-5 hari sahaja kemudian mati juga. Sekitar beberapa hari kemudian, si ibu pula mati dalam lubang tanah yang digalinya sendiri.

Jumlah yang masih tinggal sehingga hari ini ialah 16 ekor arnab.

HAMPIR SEBULAN

Foto 8 November 2010, berumur 24 hari

Anak-anak arnab seramai tujuh ekor ini dilahirkan pada pertengahan Oktober lalu. Alhamdulillah, percubaan menggunakan tanah sebagai tempat kelahiran dan membesar agak menjadi apabila setakat ini semuanya membesar dengan sihat dan baik-baik. Hampir setiap hari saya menjenguk suasana anak-anak tujuh ekor ini, dan saya teruja mereka membesar dan tumbuh bulu setelah 5-6 hari dilahirkan.

Namun agak menyedihkan dalam tempoh itu ada keluarga besar mereka yang mati. Mula-mula saudara kandung ibu mereka mati mengejut. Entah apa puncanya saya kurang maklum. Beberapa hari lalu, ibu mereka pula yang mati. Saya sudah memerhatikan sebelum itu keadaan lemah sang ibu walaupun makan minumnya tidak terabai.

Mujur umur sekitar tiga minggu lebih anak-anak ini sudah boleh makan dan minum sendiri, tidak terlalu bergantung dengan susu ibu mereka.

APEK

Sampai di rumah pada jam 12.40 tengah malam ahad. Sampai sahaja, saya tidak terus masuk ke rumah melainkan terlebih dahulu meninjau kandang arnab, khususnya yang baru lahir lebih seminggu lalu. Tapi lain pula yang terjadi apabila melihat arnab kami yang paling senior bernama Apek terkulai di kandangnya.

Pada 10 Zulhijjah 1428 – iaitu hari raya haji tahun 2007, sejurus mengiringi TYT Tun Ahmadshah solat hari raya di Masjid Bandaraya (kerana saya masih bertugas di Istana ketika itu), dengan lengkap berpakaian baju melayu saya membeli dua pasang arnab berusia sebulan di Asia City. Arnab itu kami beri nama Apek, Fafau, Kiran dan Fenda.

Lebih setahun mereka membesar bersama kami. Satu demi satu kemudiannya mati. Arnab generasi pertama yang tinggal hanyalah Apek yang nampaknya bertahan dan hidup bersama arnab-arnab junior. Berakhirnya riwayat Apek meninggalkan keturunan yang berusia enam bulan sebanyak tiga ekor, dan salah satu daripada anaknya itu sudah pun mempunyai zuriatnya sendiri.

Saat saya mengebumikan Apek pada tengahari ahad, terasa juga sedihnya kerana Apek adalah arnab kesayangan saya selama hampir 3 tahun, seekor arnab satin keemasan yang manja dengan saya. Saya tahu dia suka sekali dibelai, namun kini dia sudah tiada. Tapi melihat cucu-cucu Apek seramai tujuh ekor yang cantik itu, sedih saya akhirnya terubat juga.

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers