Bagi peminat-peminat siaran rancangan realiti kanak-kanak yang berorentasikan pendakwah cilik ‘Adik-Adikku’ bakal bersiaran bagi musim ke-4 pada tahun hadapan. Pada tahun ini sudah disiarkan bagi musim ke-3 dan pentas akhirnya telah diadakan pada 18 Mac 2012 lepas di Dewan Plenary PICC, Putrajaya dan disiarkan secara langsung menerusi TV1.

Kini pihak penganjur iaitu JAKIM dengan kerjasama RTM giat mengadakan ujibakat bagi musim ke-4 yang dijangka disiarkan pada awal tahun 2013 pula. Pada sabtu lepas diadakan ujibakat di Labuan, sementara pada ahad 1 Julai, ujibakat serentak diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu. Ia adalah satu pengalaman menarik bagi saya apabila dilantik sebagai juri bagi ujibakat di Kota Kinabalu.

Saya menerima tawaran itu dengan perasaan berdebar tetapi tetap teruja, kerana rancangan realiti ini semakin mendapat sokongan dengan jumlah rating penonton yang agak tinggi, bimbang-bimbang penglibatan kecil saya tidak memenuhi kehendak dan objektif JAKIM itu sendiri. Saya sendiri berharap dapat menyumbang sesuatu bagi kemajuan dakwah di Malaysia apatah lagi ia rancangan yang bakal disiarkan di kaca tv.

Biarlah saya catatkan di sini, nama saya disebut oleh sahabat baik saya Mohd Nadzri Mustakim, teman persekolahan di Toh Puan Hajjah Rahmah dan Maahad Tahfiz Sabah sebelum kami mengambil haluan masing-masing. Nadzri kini bertugas di Bahagian Media JAKIM Putrajaya, mencadangkan nama saya apabila pihak penerbit rancangan berhajat mencari juri untuk sesi Sabah.

Sedikit hampa apabila peserta yang datang ke RTM Sabah hanya seramai 8 orang, dengan 6 orang daripada mereka sangat berbakat. Saya dimaklumkan surat dihantar ke Jabatan Pelajaran Negeri yang kemudian difaks pula ke Pejabat Pelajaran Daerah dan seterusnya dipanjangkan ke sekolah-sekolah. Ustaz Kamarol Azhar dari Tenom memaklumkan saya betapa kreatifnya sekolah anaknya dengan pihak sekolah melampirkan surat kepada semua ibu bapa akan program ini. Sementara ada sekolah yang hanya memaklumkan kepada murid melalui lisan para ustaz sahaja. Entah berapa ramai pula sekolah yang tidak proaktif dengan program ini.

Saya ada memberikan beberapa cadangan kepada penerbit program agar cabaran ini mereka sahut. Antaranya melibatkan JAKIM Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kerana JHEAINS mempunyai sekolah-sekolahnya tersendiri yang patut diwarwarkan. Bahkan bagi saya tidak wajar sekadar faks surat, kalau perlu mesyuarat demi mesyuarat, kenapa tidak? Begitu juga tidak langsung kelihatan sepanduk-sepanduk, bunting atau poster-poster yang mempromosi program ini di lokasi strategik. Contohnya masjid surau, jabatan kerajaan dan sebagainya. Sebab itu promosi dan kerjasama ramai pihak sangat diperlukan.

Mudah-mudahan program ini terus mendapat sokongan dan bermanfaat demi kelansungan dakwah di Malaysia. Oh ya, 12 peserta terpilih seluruh negara dijangka akan berkampung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada cuti sekolah akhir tahun di mana rancangan ini akan dirakam, dan kemudian siarannya dijangka pada awal tahun 2013. Harapnya adalah peserta Sabah akan terselit di celah-celah pendakwah cilik ini.