MUQADDIMAH

1) Di dalam agama Islam terdapat 2 perayaan iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha.

2) Menurut syariat, menyambut hari Eidil Fitri didahului dengan puasa, zakat, takbir dan solat raya.

MAKNA ‘EID (HARI RAYA)

1) Eid ertinya kembali.

2) Dinamakan begitu kerana disebabkan berulang pada setiap tahun. 

3) Atau disebabkan kegembiraan yang timbul dengan kembalinya hari itu.

4) Atau disebabkan terlalu banyak nikmat daripada Allah pada hari tersebut keatas hamba-hambaNya.

5) Atau umat Islam kembali dalam keadaan bersih daripada dosa setelah melakukan amal ibadah, taubat dan sebagainya sepanjang Ramadhan.

6) Atau juga kerana umat Islam kembali kepada asal tidak berpuasa seperti sebelum Ramadhan.

SOLAT EIDIL FITRI

1) Disyariatkan pada tahun kedua selepas hijrah.

2) Hukumnya sunnat muakkad dan dituntut melakukan secara berjamaah, tetapi sah jika dilakukan secara bersendirian.

3) Dituntut mendirikannya kepada semua mukallaf – lelaki, perempuan, dan orang bermukim atau bemusafir.

4)  Tidak sunat azan dan iqamah, tetapi diseru dengan : “assolaatu jaami’ah”.

5) Waktunya bermula dengan terbitnya matahari hingga gelincirnya, tetapi yang utama ialah ketika matahari naik setinggi galah, kerana itulah waktu yang selalu didirikan solat oleh Nabi SAW.

6) Mempunyai 2 rakaat, dimulakan dengan takbiratul ihram, kemudian membaca doa iftitah, kemudian bertakbir sebanyak 7 kali dalam keadaan mengangkat tangan sehingga bersetentang dua bahunya seperti mana takbiratul ihram.

7) Ketujuh-tujuh takbir itu dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana dan disunnatkan membaca tasbih :

سبحان الله والحمد لله ولآ إله إلا الله والله أكبر

8) Kemudian membaca isti’azah dan surah al-Fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa ayat.

9) Apabila berdiri pada rakaat yang kedua, hendaklah bertakbir sebanyak 5 kali, tidak termasuk takbir yang dibaca ketika bangun dari sujud.

10) Kelima-lima takbir itu juga dipisahkan dengan bacaan tasbih di atas.

11) Kesemua takbir tambahan itu hukumnya sunnat sahaja, jika terlupa melakukannya dan terus membaca al-Fatihah, maka takbir-takbir tadi luput dan tidak perlu diulangi semula dan solatnya tetap sah.

12) Solat hari raya boleh didirikan di masjid atau di padang, yang afdhal ialah tempat yang luas dan memuatkan semua orang yang bersembahyang.

KHUTBAH HARI RAYA

1) Dilakukan selepas solat hari raya, berlawanan dengan khutbah Jumaat.

2) Semua rukun dan sunnat khutbah sama seperti khutbah Jumaat.

3) Khutbah pertama sunnat dimulakan dengan 9 kali takbir, dan khutbah kedua dengan 7 kali takbir.

BERTAKBIR PADA HARI RAYA

1) Sunnat bertakbir bermula tenggelamnya matahari pada malam hari raya di rumah, di jalanraya, di masjid dan di pasar dengan suara yang tinggi sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk solat hari raya.

2) Pada hari raya puasa, takbir tidak lagi disunnatkan selepas solat raya, bahkan sunnatnya berakhir apabila imam mengangkat takbiratul ihram.

3) Lafaz takbir :

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أْكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ. لآ إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الحْمَدُ

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكَْرَةً وَأَصِيلا، لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَلا نَعْـبٌدُ إلا إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَو كَرِهَ الْكَافِرُونَ. لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

ADAB-ADAB PADA HARI RAYA

1) Mandi dan memakai pakaiannya yang cantik dan bersih.

2) Disunnatkan datang lebih awal ke masjid pada pagi hari raya.

3) Pada hari eidul fitri, disunnatkan makan sedikit sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya.

4) Disunnatkan pergi ke tempat sembahyang atau masjid dengan melalui satu jalan dan kembali dengan jalan yang lain.

MENZIARAHI KUBUR

1) Menziarahi kubur tidak disunnatkan pada waktu-waktu tertentu seperti hari raya sahaja, bahkan dilakukan pada bila-bila masa.

2) Para ulama bersepakat bahawa sunnat bagi golongan lelaki menziarahi kubur orang Islam.

3) Bagi golongan perempuan, makruh menziarahi kubur kerana dibimbangi berlaku tabarruj (solekan yang berlebihan ketika keluar rumah), menjerit-jerit dan mengangkat suara.

4) Walaubagaimanapun disunnatkan menziarahi kubur Rasulullah SAW dan kubur para Nabi serta orang soleh, dengan syarat mereka keluar dengan tidak dalam keadaan berhias, tidak mengangkat suara dan bersesak-sesak dengan golongan lelaki.

ADAB MENZIARAHI KUBUR

1) Disunnatkan memberi salam kepada penghuni kubur dengan berkata :

السلام عليكم دَارَ قَومٍ مُؤمِنِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاحِقُونَ

“Salam sejahtera buat kamu semua wahai penghuni di rumah orang-orang beriman. Sesungguhnya kami dengan izin Allah akan datang menyusuli kamu”.

2) Datang dengan menutup aurat, bersopan, tidak berbuat bising atau bergelak ketawa, serta tidak melaungkau atau duduk di atas kuburan.

3) Tidak melakukan perkara khurafat seperti pemujaan, atau meninggalkan wang ringgit di tanah kubur dan sebagainya.

4) Dibaca di sisi mereka ayat-ayat al-Quran kerana rahmat Allah akan turun ketika ayat dibaca.

5) Setelah selesai membaca al-Quran, hendaklah mendoakan kebaikan untuk mereka; pahala bacaannya dihadiahkan kepada ruh-ruh mereka.

6) Apabila doa diterima Allah, maka si mati akan mendapat manfaat daripada pahala bacaan yang dihadiahkan kepadanya.

PUASA ENAM HARI DALAM BULAN SYAWAL

1) Disunnatkan berpuasa 6 hari dalam bulan syawal, berdasarkan perintah Nabi SAW : “Sesiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka ia seumpama berpuasa sepanjang tahun”.

2) Puasa 6 hari dalam bulan Syawal boleh dilakukan berselang seli tetapi sebaik-baiknya dilakukan secara berturutan selepas hari raya pertama.

3) Melewatkan puasa sunnat syawal akan menimbulkan rasa malas, sedangkan bersegera melakukan ibadah adalah lebih afdhal.

4) Menurut ulama’ terkemudian dalam Mazhab Syafie seperti al-Khatib asy-Syarbini dan Imam Ramli, orang yang menunaikan puasa kerana qadha, nazar atau sebagainya dalam bulan syawal akan memperolehi pahala puasa sunnat syawal.

ADAB BERTAMU

1) Berziarah pada masa yang sesuai dan disenangi tuan rumah.

2) Masuk ke rumah setelah diizinkan dan memberi salam.

3) Menjaga mata, jangan liar memandang ke sana ke mari.

4) Tidak meminta sesuatu yang boleh menyusahkan tuan rumah.

5) Tidak berziarah ke rumah yang boleh mendatangkan fitnah seperti berdua-duaan tanpa mahram dan sebagainya.

6) Tidak berziarah semata-mata tujuan memuaskan kehendak perut.

7) Jangan duduk terlalu lama atau terlalu bersegera hendak pulang.

8) Meninggalkan tuan rumah dengan salam dan berjabat tangan sesama lelaki atau sesama perempuan.

ADAB MENERIMA TETAMU

1) Memuliakan tetamu dengan bermanis muka dan kata-kata yang sopan.

2) Memenuhi hajat tamu jika ia memerlukan bantuan mengikut kemampuan.

3) Tidak membezakan layanan antara tetamu yang berada dan sebaliknya.

4) Tidak menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah supaya dipuji orang.

5) Memberi jamuan walaupun ala kadar sebagai penghormatan.

6) Menerima, melayan dan memuliakan tetamu termasuk ajaran Islam dan ciri-ciri orang beriman. 

TUNTUTAN BERMAAF-MAAFAN

1) Memohon maaf terhadap sesama manusia adalah satu sikap yang dianjurkan agama, tambahan lagi kepada orang tua dan ahli keluarga.

2) Suka memberi maaf termasuk sifat orang bertaqwa. Firman Allah : “(Orang yang bertaqwa itu) ialah, orang yang menafkahkan harta ketika senang dan susah, menahan marah, dan suka memaafkan orang lain; Allah suka orang yang berbuat baik”. (Ali Imran : 134)

3) Sabda Nabi SAW : “Sesiapa yang memaafkan kesalahan orang, ketika ia mampu membalas maka Allah akan memberinya maaf pada hari kesulitan (hari kiamat)”.

LARANGAN BERJABAT TANGAN ANTARA BUKAN MAHRAM LELAKI – PEREMPUAN

1) Rasulullah SAW tidak pernah berjabat tangan dengan wanita bukan mahram, kecuali dengan para isterinya.

2) Islam melarang perbuatan itu dengan tujuan pencegahan awal, supaya jangan sampai timbul fitnah, atau keinginan seksual atau keseronokan.

HUKUM MEMBERI DUIT RAYA

1) Harus hukumnya bersedekah duit raya sebagai satu kegembiraan terutama kepada anak-anak kecil dan orang susah. Sabda Nabi SAW : “Hendaklah kamu memberi hadiah, nanti akan timbul rasa kasih sayang”.

2) Sabda Nabi SAW : “Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima”.

3) Walaubagaimanapun, para ibubapa hendaklah mendidik anak-anak agar jangan suka meminta-minta dengan orang lain.

MENERUSKAN AMALAN YANG BAIK DALAM RAMADHAN KE DALAM BULAN SYAWAL

1) Antara ibadah yang sewajarnya diteruskan adalah seperti rajin membaca al-Quran, solat berjamaah, suka bersedekah, berpuasa sunnat, mendengar ceramah dan tazkirah, mendirikan solat sunnat seperti solat tahajjud, tasbih, hajat, witir, rawatib, rajin ke masjid dan sebagainya.

Dikeluarkan oleh :

Bahagian Penyelidikan & Informasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Kinabalu.

Sept 2008 / Ramadhan 1429H.