Category: Tafsir
Sumber : http://tarbawi.my/
Allah Taala berfirman di dalam Al Quran (bermaksud), “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan…” (Al Baqarah:195).
Makna bagi ayat “…mencampakkan diri ke dalam kebinasaan” di sini ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam, nanti kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan, “…Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”.
Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah Taala, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.
Diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Constantinople (Istanbul, Turki), tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai. Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani, menawarkan untuk masuk ke dalam pasukan tentera Rom yang ramai bersendirian walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, “Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran; “…Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”?
Kebetulan di dalam peperangan tersebut ada seorang Sahabat Nabi yang umurnya telah menjangkau 80 tahun, namanya Abu Ayub Al Ansari R.A iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah S.A.W berhijrah, unta Baginda S.A.W telah berhenti di laman rumah Abu Ayub sebagai isyarat Baginda memilih rumahnya untuk bermalam di situ sebelum Baginda memiliki rumah sendiri di kota Madinah. Abu Ayub telah tua ketika bersama tentera Islam dalam peperangan menentang Rom.
Apabila Abu Ayub Al Ansari mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa (pentakwilan yang menyeleweng). Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah Taala, iaitu ketika Allah memenangkan agamaNya dan ramai orang yang menolong agamaNya. Maka berkatalah segelintir kami kepada segelintir yang lain.
Kami berbisik sesama kami, dengan harapan hal itu tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah S.A.W bahawasanya harta manusia sudah banyak; Kita ketinggalan dalam memajukan dan mengumpul harta benda kerana terlalu mementingkan jihad (di medan perang), kita tidak dapat menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik (kerana asyik berjihad)”.
“Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam sudah ramai, maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, agar kita dapat mengatasinya semula”.
“Justeru, Allah Taala menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan, “…Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”.
Abu Ayub R.A adalah seorang Sahabat yang berani, sekalipun dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (kota constantinople) dan melarang tentera Islam membawa pulang mayatnya ke Madinah. Ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.
Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Constantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.
Akhirnya Allah Taala memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad Al Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W bahawa Baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya. Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia (Aya Sophia)yang besar itu berhasil ditawan oleh orang Islam.
Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ia ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini. Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid Al Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.
Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub Al Ansari, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga ke peringkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain. Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah Taala, di hadapan matanya hanyalah balasan baik daripada Allah dan janjiNya. Apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.
Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah. FirmanNya yang bermaksud, “Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berbuat baik” (Al Baqarah:195). Di antara berbuat baik itu ialah membelanjakan harta benda kepada menegakkan agama Allah Taala dan sesungguhnya Allah amat suka dan kasih kepada orang-orang yang suka berbuat baik. - TARBAWI
Abdul Hadi Awang.
Ahad malam isnin, selepas solat isyak adalah giliran saya menyampaikan kuliah tafsir di bilik kuliah 2, Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, saya berkesempatan menghabiskan muka surat terakhir daripada surah al-Ahqaf bermula ayat 29 hingga 35, sesudah empat atau lima kali pertemuan rasanya. Saya catatkan semula terjemahan sebahagian ayat yang ditafsirkan :
29. Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.
30. Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar kitab (al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam)
31. “Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepada-Nya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
32. “Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.
Setelah tiga bulan Sayyidatina Khadijah isteri Nabi SAW wafat dan disusuli dengan wafatnya bapa saudaranya Abu Talib, yang menyebabkan Baginda kehilangan dua orang penyokongnya yang terkuat di samping penentangan kaum kafir Quraisy semakin menjadi-jadi, maka pada malam akhir-akhir bulan Syawal tahun yang kesepuluh kerasulan, baginda bersama anak angkatnya Zaid bin Harithah yang telah meninggalkan Kota Makkah menuju ke Taif untuk berdakwah.
Di sanalah Baginda tinggal selama sebulan, menyeru penduduknya terutama para pembesar kaum agar memeluk Islam, tetapi mereka menolak. Sebaliknya mereka hasut budak-budak nakal supaya memaki-maki, menghalau dan melemparinya dengan batu. Ini menyebabkan Baginda kembali semula dari Taif ke Makkah dengan perasaan yang sangat kecewa.
Sehinga baginda tiba di Batnu Nakhlah, yang terletaknya sejauh perjalanan satu malam dari Makkah, di sanalah baginda didatangi oleh serombongan bangsa jin seramai tujuh atau sembilan jin yang mendengar baginda SAW membaca al-Quran semasa mendirikan solat tahajud.
Dikatakan jin itu dari jin Nasibin negeri Yaman yang menjadi pembesar dan atau dari jin Ninuwa negeri tempat kediaman Nabi Yunus AS. Quran yang dibaca oleh Nabi SAW dan didengari oleh rombongan jin itu dikatakan daripada surah al-Alaq (Iqra’), ar-Rahman dan al-Jin. Para ulama menyebutkan bahawa antara sebab Nabi SAW didatangi oleh rombongan jin itu antara lain adalah sebagai perintah Allah kepada baginda agar memberi peringatan kepada bangsa jin agar menyembah Allah dan membacakan al-Quran kepada mereka.
Maka Allah datangkan serombongan daripada kalangan jin kepada baginda supaya mereka nanti apabila pulang dapat pula memberi peringatan kaum mereka sendiri. Ini kerana jin juga makhluk yang dibebani dengan kewajiban agama seperti manusia. Jin ada yang mukmin dan kafir, ada menganut agama Yahudi, Kristian, Majusi, menyembah berhala dan lain-lain. Mereka diberi pahala setiap kebaikan dan mendapat dosa atas kejahatan yang dilakukan.
Sumber : http://presiden.pas.org.my/v2/
Oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang
(sambungan tafsir surah al-maidah ayat 79)
Sabda nabi : “Apabila dilakukan kejahatan (dosa) diatas muka bumi dan terdapat terdapat pula orang yang menyaksikannya, lalu dia membencinya, dia adalah orang yang tidak bersama dengan (kejahatan itu). Dan sesiapa tidak berada di dalam majlis maksiat, tiba-tiba dia redha kepadanya, dia seperti orang yang hadir di dalam majlis berkenaan”
Ia melihat maksiat tetapi benci kepada maksiat berkenaan, namun dia tidak dapat lari dari melihat maksiat berkenaan itu kerana ia dikurung, maka dia diselamatkan Allah seperti mereka yang tidak melakukan maksiat walaupun hadir di dalam majlis tersebut. Sementara orang yang tidak berada di dalam majlis maksiat, tetapi dia redha dengan majlis maksiat itu, seperti memberi lessen kepada majlis maksiat atau seumpamanya, maka hukumnya sama dengan orang yang melakukan maksiat. Oleh sebab itu, menurut kaedah ilmu fekah bahawa sesiapa yang redha dengan kekufuran, maka dia jadi kafir. Begitu juga jika kita redha dengan maksiat, kita turut terlibat dengan maksiat.
Seorang sahabat nabi bernama Abu Sa’id Al-Khudri r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w berkhutbah yang bermaksud “ingatlah jangan seseorang itu takut kepada orang ramai sehingga dia berkata benar apabila dia mengetahui perkara yang benar.” Ertinya, jangan ada dikalangan kamu apabila melihat perkara yang sebenar melainkan mesti menyatakan kebenaran dan mencegah mungkar apabila melihat kemungkaran, jangan berdiam diri untuk cegah mungkar kerana takut kepada orang ramai.
Abu Sa’id yang meriwayatkan hadis ini menangis sambil berkata: Demi Allah !! kami melihat beberapa perkara mungkar lalu kami merasa takut, inilah kelemahan kami. Tidak sebagaimana beberapa orang sahabat, bila melihat perkara tidak betul, mereka menegurnya tidak kira siapa. Hatta Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab pernah menasihatkan, pada suatu ketika setelah barang-barang daripada Parsi antaranya kain yang dirampas daripada peperangan menentang kerajaan Parsi, Saidina Umar membahagikan kain-kain berkenaan kepada penduduk Madinah.
Esok masing-masing memakai baju yang dibuat daripada kain berkenaan, Saidina Umar pun memakai baju dari kain yang dibahagi-bahagikan itu, lalu bangun seorang sahabat dan berkata : Kami tidak mahu dengar dan kami tidak mahu taat tuan. Saidina Umar berkata kepadanya : Kenapa kamu berkata demikian? Sahabat itu bertanya pula: dari mana kamu ambil baju yang dipakai ini? Kerana mengikut pembahagian semalam tidak padan kain itu dengan tubuh kamu, kerana kain yang kamu dapat semalam sedikit sahaja.
Lalu Saidina Umar menyuruh anaknya bangun, bangun wahai Abdullah!! Lalu Abdullah bin Umar menyatakan bahawa saya memberikan bahagian saya kepada ayah saya. (untuk melengkapkan jadi sehelai baju). Sahabat itu berkata : Sekarang saya mendengar dan saya taat. Ini menggambarkan bagaimana amalan yang dilaksanakan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Berlaku di zaman para sahabat r.a dan bagaimana saidina Umar menguruskan soal pembahagian harta rampasan perang dengan adil, sehingga dia sendiri menerima bahagian sebagaimana sahabat yang lain walaupun tidak mencukupinya.
Begitu juga di zaman khalifah Muawiyyah bin Abi Sufian ketika bangun berucap dengan dan taatlah aku, lalu bangun seorang tabi’in, Abu Qasim Al-Khula’I yang juga seorang ulama’ yang masih muda, sedangkan Muawiyyah seorang yang sudah tua menjadi khalifah. Kata Abu Qasim : Wahai Muawiyyah!! Sesungguhnya harta yang kamu kumpul diambil dari negeri ini, bukan dari titik peluh kamu, juga bukan dari ibu bapa dan pusaka kamu, ini adalah harta negara, mengapa kamu bertindak demikian?
Muawiyah tidak tahan lalu lari dari majlis berkenaan, lalu dia datang semula lalu berkata : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya syaitan itu daripada api dan sesungguhnya marah itu daripada syaitan, untuk memadamkan api, air digunakan justeru sesiapa yang marah hendaklah dia berwudhu’, aku telah berwudhu’ kerana mendengar Rasulullah s.a.w, sebenarnya apa yang kamu katakana itu adalah benar. Peristiwa itu berlaku dizaman kegemilangan Islam.
Buku yang sudah dibaca :
Penulis : Syeikh Muhammad Mutawalli as-Sya’rawi
Penerbit : Jahabersa
Harga : RM9.00
Cerita yang ada dalam Al-Qur’an sangatlah menarik hati. Mengapa cerita-cerita tersebut boleh memberi kesan di hati dan sangat mempengaruhi kejiwaan orang yang membacanya.
Tidak ada seorangpun yang mengetahui secara pasti apakah Allah SWT yang telah menumbuhkan daya khayal terhadap orang yang mengikuti jalan cerita tersebut dan mengikuti kejadian demi kejadian, ataukah kejadian-kejadian yang ada dalam cerita tersebut yang memang menimbulkan gejolak jiwa sehingga siapa saja pembaca akan berkhayal seakan-akan ia mengalami langsung kisah tersebut?






























