Category: SMAI TPHR


Sumber : di sini

Oleh: Ahmad Haji Yassin

KINARUT – Sekolah Menengah Agama Islam Negeri Sabah (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut terus mengungguli Majlis Ko-Kurikulum Peringkat Negeri Tahun 2012 apabila pelajar-pelajar sekolah tersebut menjadi johan dalam pertandingan khat lelaki dan perempuan, pertandingan khutbah, syarahan agama dalam bahasa Arab kedua-dua kategori menengah & rendah (bahagian lelaki dan perempuan) dan pertandingan kuiz.

Pertandingan nasyid johan tahun lalu terus mengekalkan kejohanan mereka selain menjadi johan dalam Tilawah al-Quran sementara Sekolah Menengah Agama Negeri Beaufort menjadi johan dalam maharah al-kitabah wal qiraah. Antara pelajar dari SMAN Toh Puan Hajah Rahmah yang menjadi johan ialah adik Abdul Hafidz Zainuddin bahagian pelajar lelaki dan adik Safina Saharim bahagian pelajar perempuan dalam pertandingan khat.

Johan Pertandingan menyampaikan khutbah disandang oleh adik Kamarul Ariffin Abdullah, adik Omar Abdul Aziz Nurhasan dan adik Norfadilah Mansyur johan pertandingan syarahan bahasa Arab peringkat menengah rendah, manakala adik Mohd Amirul Azhar Hasanyddin dan adik Siti Khadijah Farahani Sabdin, kedua-duanya pelajar dari SMAN Toh Puan Hajah Rahmah menjadi johan syarahan bahasa arab dalam kategori menengah atas.

Majlis Ko-Kurikulum anjuran Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam itu telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kawang, Datuk Ghulam Haidarkhan manakala Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS, Ustaz Haji Saifuddin Daud.

Mengulas mengenai ko-kurikulum tersebut, Ustaz Haji Saifuddin berkata, usaha seperti ini merupakan satu usaha ke arah menjadikan golongan pelajar menjadi modal Insan yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara dan negeri pada masa depan, katanya. Menurut beliau lagi, usaha seperti ini juga dapat mengilap pelajar-pelajar yang bukan sahaja petah bercakap dalam bahasa Malaysia tetapi yang lebih membanggakan mereka mampu menyampaikan dalam bahasa Arab.

Ini merupakan satu usaha kita menjadikan pelajar-pelajar didikan agama ini mampu menjadi tonggak kejayaan dan kekuatan umat Islam pada masa yanh akan datang sekaligus menjadi penerus kepimpinan yang serba boleh dalam menghadapi zaman globalisasi yang cukup mencabar ini, tegasnya.

Sumber berita : di sini

Oleh: Ahmad Haji Yassin

KOTA KINABALU - Adik Nurfadhilah binti Syamsudin telah dianugerahkan pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Menengah Agama Malaysia (STAM) 2011 dengan pencapaian 6 Mumtaz, 3 Jayyid Jiddan dan 1 Jayyid semasa Majlis Ihtifal Sekolah Menengah Agama Islam Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut di Dewan Saadah Wisma MUIS, dekat sini pagi tadi.

Empat orang pelajar STAM yang lain telah mendapat Jayyid Jiddan ialah Syahrul Hikma Ramadan Syamsuddin yang mendapat 4 Mumtaz dan 6 Jayyid Jiddan, Nusaibah Idrohom mendapat 4 Mumtaz dan 6 Jayyid Jiddan, Mohd Hafiz Mohd Sidik mendapat 3 Mumtaz, 6 Jaiyid Jiddan dan 1 Jaiyid manakala Ghazali Anang mendapat 3 Mumtaz, 6 Jayyid Jiddan dan 1 Jayyid.

Majlis Penyampaian Hadiah & Sijil kepada para pelajar cemerlang telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Tuan Haji Saifuddin Haji Daud yang mewakili Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri A. Suratman. Dalam teks ucapan Datuk Pengarah yang disampaikan oleh Haji Saifuddin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sekolah Menengah Agama Negeri Toh Puan Hajah Rahmah diatas kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai dalam peperiksaan.

Peperiksaan Menengah Rendah 2011 telah mendapat keputusan 100% lulus, 5 orang pelajar mendapat 9A manakala Sijil Menengah Agama (SMU) telah mendapat keputusan 98.9% lulus. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat keputusan 100% lulus, adik Nazira binti Shamad dalam aliran Sains mendapat 9A & 2B manakala adik Nurhaida binti Makda dalam aliran Sastera mendapat 8A & 2B.

Datuk Amri juga  mahu SMAN Toh Puan Hajah Rahmah agar terus melahirkan pelajar cemerlang. Oleh sebab itu, beliau menyarankan kepada seluruh warga pendidik termasuk pengetua agar merancang hala tuju seperti yang digariskan dalam pelan strategik SMAN Toh Puan Hajah Rahmah (2012 – 2016) dapat direalisasikan kerana ianya merupakan amanah yang perlu dilaksanakan oleh warga pendidik bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam membina sebuah negara maju pada tahun 2020, katanya.

Katanya, kita penuh yakin, sekolah tersebut telah banyak melahirkan ramai pelajar yang berwibawa dan berketerampilan. Pada hari ini, ramai dikalangan mereka bukan sahaja berkhidmat dengan JHEAINS tetapi juga berkhidmat dengan jabatan-jabatan lain termasuklah menjadi pensyarah di universiti-universiti tempatan. Ini merupakan satu kejayaan yang telah dicapai sejak beroperasi pada 1974 lagi.

Kepada para pelajar, beliau menyarankan bahawa dalam era globalisasi pelajar seharusnya sanggup menghadapi pelbagai cabaran baru dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah-ubah. Peranan pelajar kini semakin mencabar dalam usaha membina diri untuk menguasai pelbagai ilmu. Dalam kita memburu kemajuan, jangan pula dilupakan aspek kerohanian, akhlak, dan tatasusila. Setiap individu berperanan menjana kecemerlanghan berlandaskan akal budi yang luhur, tegasnya.

Terdahulu dalam ucapan Pengetua SMAN Toh Puan Hajah Rahmah, Tuan Haji Omar Gana meminta pihak pengurusan JHEAINS agar dapat membina dua bilik makmal sains dan makmal bahasa. Ini bagi memudahkan para pelajar bagi meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar. Selain itu, beliau juga mengharapkan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam STAM 2011, dalam aliran Sains dapat dihantar ke Universiti Al-Azhar di Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, katanya.

KENDURI SEKOLAH BARU

Di sebalik pelbagai masalah dan kemelut, akhirnya Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah kini mendapat kompleksnya yang baru di Kinarut berjiran dengan kompleks Pasukan Gerakan Am  (PGA). Pada malam tadi diadakan satu majlis kesyukuran sempena perpindahan dan pembukaan kompleks sekolah yang baru ini. Kompleks bagi fasa 1 sekolah ini baru sahaja siap dan mula beroperasi pada 9 Januari lalu. Sekolah baru ini dibangunkan di tapak tanah seluas 30 ekar dengan kos RM20 juta yang terletak di Kinarut, 20 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu.

Antara tetamu kehormat yang menghadiri majlis berkenaan ialah  ADUN Kawang YB Datuk Ghulam Haidar Khan, Pegawai Daerah Papar Encik Iman Ali,  Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS Ustaz Haji Saifuddin Haji Daud, Pengetua Sekolah Ustaz Haji Ag Omar Pg Gana, pegawai-pegawai JHEAINS dengan majlis bacaan yasin dipimpin oleh Imam Daerah Papar, Imam Jaafar. Semua guru dan pelajar yang berjumlah lebih 500 orang turut hadir.

Ustaz Haji Ag Omar Pg Gana berkata, majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran bagi semua warga guru JHEAINS dan pelajar yang memulakan sesi persekolahan di sekolah baru. Harapannya agar para pelajar agar dapat menumpukan pelajaran mereka dengan tenang tanpa gangguan.  Katanya, walaupun terdapat beberapa kekurangan masih terdapat ianya bukanlah satu halangan bagi para pelajar meningkatkan kecemerlangan mereka, apa yang penting adalah kemahuan serta kesungguhan mereka dalam memperolehi kejayaan.

Nama sekolah ini akan sedikit berubah kepada Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah, KINARUT, setelah berpindah daerah dari Sembulan Kota Kinabalu ke Kinarut Papar. Untuk fasa berikut bagi pembinaan sekolah ini ia melibatkan pembesaran asrama putera dan puteri bangunan, rumah guru dan stadium sekolah tersebut, dan diharap dapat dilaksanakan tahun ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa Kinarut menjadi hub pendidikan di sini terletaknya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Menariknya di Kinarut ini juga terletaknya sebuah sekolah menengah agama di bawah kementerian pelajaran yang bernama SMKA Tun Mustapha mengambil sempena tokoh dan bapa kemerdekaan Sabah. Sementara nama sekolah Toh Puan Hajjah Rahmah adalah isteri Tun Datu Mustapha Datu Harun. Kini mereka sudah ‘berjiran’.

Foto lain menyusul …

Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu terus mencatatkan keputusan cemerlang dalam PMR 2011 apabila 5 orang pelajarnya mendapat keputusan 9A dalam semua mata pelajaran, 2 orang mendapat 8A, 2 orang lagi mendapat 7A serta 11 orang memperolehi 6A hingga ke 5A.

Pelajar yang mendapat 9A ialah Assaiyidah Aisyah bt Saipuddin, Fiqriyah bt Mohd Kunarto, Mohammad Hafiz bin Hawaji, Sofiyyah bt Sarudin dan Satria bin Ali. Manakala dua orang yang mendapat 8A ialah Mohd Firdaus bin Azmih dan Noraisyah Syafiqah bt Yaakub. Seterusnya mereka yang mendapat 7A ialah Amira Athirah bt Hamjah dan Mohd Nur Syafiee bin Ag Juri.

Pengetua sekolah Tuan Haji Awang Omar Haji Pengiran Gana mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dan kepada semua guru yang mengajar mata pelajaran dalam PMR 2010. Beliau berkata, kesungguhan guru dan pelajar berusaha untuk mencapai visi sekolah sebagai faktor utama kejayaan tersebut. Begitu juga kerjasama dan doa ibu bapa yang tidak henti-henti demi kemajuan anak-anak dan sekolah berkenaan.

Menyatakan rasa penuh kesyukuran kepada Allah, beliau turut merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Yayasan Sabah yang terlibat dalam menyumbang ke arah kejayaan tersebut.

Sumber : http://www.jheains.sabah.gov.my/

Oleh : Ahmad Haji Yassin

KINARUT – Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah, Kota Kinabalu yang baru dibangunkan di tapak tanah seluas 30 ekar dengan kos RM20 juta yang terletak di Kinarut, 20 kilometer dari bandar Kota Kinabalu dijangka boleh digunakan pada sesi persekolahan awal tahun 2012 jika segalanya dapat disiapkan terutama penyambungan bekalan eletrik ke bangunan sekolah tersebut dalam masa terdekat ini, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Amri A Suratman semasa lawatan ke bangunan baru sekolah tersebut petang kelmarin.

Menurut Datuk Haji Amri, pembinaan fasa pertama ini yang membabitkan bangunan kelas, asrama putera dan puteri, bilik guru, kantin dan dewan makan sudah siap untuk menyambut kehadiran para pelajar sekolah. Datuk Haji Amri juga berpuas hati dengan siapnya bangunan tersebut yang bertaraf kolej dan satu-satunya Sekolah Menengah Agama Negeri (yang dikelolakan oleh JHEAINS) yang tercantik. Pembinaan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di Pekan Beaufort dan Keningau bakal dibina pada masa yang terdekat ini, katanya.

Menurutnya, bangunan sekolah baru ini akan memberikan keselesaan kepada lebih 500 orang pelajar yang belajar di sekolah tersebut. Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Bahagian Pembangunan, Ag Asnawi Haji Jafar, Pengetua SMAN Toh Puan Hajah Rahmah, Tuan Haji Omar Gana, Nasir Sekolah-Sekolah Agama JHEAINS, Ustaz Mohd Taif Kassim, Ustazah Aisah Kasan dan Ustazah Zubaidah Jammadi.

 

JAMUAN HARI RAYA @ SMUI TPHR

Pada awal pagi, saya menerima SMS langsung daripada tuan pengetua sekolah Ustaz Haji Awang Omar Pengiran Gana menjemput hadir ke majlis hari raya di tengah-tengah perkarangan sekolah. Saya kira ini pertama kali dibuat oleh pihak sekolah melibatkan guru, pelajar dan JK PIBG. Tidak ketinggalan tetamu mereka ialah pegawai-pegawai kanan JHEAINS khususnya dari Bahagian Pendidikan.

Majlisnya ringkas sahaja iaitu doa yang dipimpin oleh Ustaz Ali Aero dan kemudian majlis makan-makan. Hanya majlis bermula sedikit lewat berbanding waktu asal tetapi itu tidak menjejaskan kelancaran majlis yang dimeriahkan dengan lagu-lagu nasyid lama dendangan el-Suraya. Barangkali ini sambutan raya terakhir di sini sebelum lokasi sekolah dijangka berpindah pada awal tahun hadapan, itu pun jika tidak ada apa-apa halangan. Insya Allah.

Nikmatilah foto-foto yang sempat dirakamkan.


Bahagia rasanya bertemu rakan-rakan lama, dalam majlis santai Resepsi ‘Idul Fitri Alumni Sekolah Menengah Ugama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu di Pantai Tanjung Aru 1 petang semalam. Bagi saya, bukan makan-makannya yang penting kerana itu menjadi nombor dua, tiga atau empat. Namun begitu entah apa sebabnya ramai di kalangan alumni yang tidak hadir walaupun di FB Grup Ex TPHR itu nampaknya ramai bersemangat. Tarikh 16 September yang dipilih kerana cuti umum berturutan jumaat hingga ahad nampaknya tidak menarik ramai yang jauh dan dekat untuk hadir meski ia sudah diwarwarkan kalau tidak salah sejak bulan mei lagi.

Kehadiran hanyalah sekitar 50 orang saja, itu pun bersilih ganti. Sementara saya tidak hadir daripada awal kerana urusan lain dan hanya tiba jam 3 petang. Justeru barangkali ada yang datang dan pulang lebih awal daripada saya (maka tiada rakaman fotonya) atau datang selepas saya pulang sekitar jam 4.15 petang. Pun begitu, meski ringkas dan santai ia tetap bermakna. Saya menemui senior-senior yang tidak pernah saya kenali dan ada juga yang sudah rasanya bertahun tidak bertemu. Menariknya saya mengenali seseorang di luar tetapi saya tidak mengetahui dia adalah alumni dan senior di sekolah yang sama.

Maklum saja apabila bertemu alumni sekolah, kisah-kisah lama akan terungkai kembali. Zaman-zaman nakal, kenangan bersama di asrama, kisah-kisah lucu menjadi bualan mengikat silaturrahim. Pertemuan hanya sekitar 2-3 jam, sudah tentu tidak cukup untuk membincangkan topik yang lebih serius. Sebab itu rancangan awalnya adalah untuk bertemu dan menginap di satu lokasi, sehari semalam agar banyak perkara yang dapat dibincangkan terutama peranan alumni sekolah terhadap perkembangan dakwah di Sabah. Apakan daya, JK hanya merancang, Allah yang menentukan, hanya program kecil-kecilan sebegini dapat diadakan.

Saya ada mencadangkan kepada JK alumni agar mengubah strategi reunion ini. Oleh kerana cadangan asal menemukan semua alumni daripada awal sehingga akhir (2010) nampak begitu besar dan tidak mencapai matlamat, maka saya melihat jika masih mahu mengadakan projek ini ialah melalui kunjungan JK alumni ke daerah-daerah tertentu dan berkumpul di sana. Contohnya, majlis reunion di Tawau untuk mereka yang bermastautin di Tawau dan daerah-daerah berdekatan seperti Kunak, Semporna dan Lahad Datu. Begitulah juga di kawasan lain.

Satu cadangan yang lain ialah diadakan mengikut kumpulan kelas tingkatan berkenaan, dan untuk mengadakannya ia diserahkan kepada kebijaksanaan ahli-ahli batch tahun berkenaan kerana biasanya kumpulan berkenaan lebih akrab dengan rakan-rakan sebaya dan seusia mereka. Untuk kaedah ini, kumpulan tingkatan kami pernah mengadakannya beberapa tahun lalu. Saya rasa Ustaz Ak Yuzie di Membakut patut memikirkan semula program ini. Ini memandangkan ketika itu baru hanya beberapa orang yang berkahwin, tetapi kali ini rasanya majoriti sudah berumahtangga dan bercahayamata.

Untuk program semalam, walaupun ringkas, saya merakamkan tahniah kepada Ustaz Zulhaimi Asbi @ Jool, Ustaz Sufian Amran @ Pyan, Ustaz Saiful Khair Sampon @ Chip dan seluruh tenaga yang bertungkus lumus menjayakannya. Penghargaan juga buat mereka yang datang dari jauh untuk bersilaturrahim dan berukhuwah. Semoga bertemu lagi.

Saya baru menerima emel berupa borang penyertaan bagi majlis perkampungan lepasan pelajar SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu yang bakal diadakan pada 16 dan 17 September 2011 di Beringgis Beach Resort, Papar. Perkampungan ini (reunion) mensasarkan sehingga 400 lepasan pelajar, bermula sejak ia ditubuhkan pada awal 70an sehingga tahun 2010.

Sebagaimana yang pernah saya catatkan sebelum ini, kerjasama pembaca blog ini sangat diharapkan untuk menyebarkan maklumat program ini kepada keluarga, rakan, jiran, penduduk kampung, taman atau seumpamanya yang merupakan lepasan pelajar sekolah berkenaan. Selain lepasan pelajar, guru atau mereka yang pernah mencurahkan ilmu di sekolah ini juga dialu-alukan hadir sama. Sila klik borang dan maklumat di bawah, cetak, isi maklumat dan serahkan kepada urus setia yang tercatat namanya. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 3 Julai 2011. Sistem penyertaan ialah siapa cepat dia dapat.

View full article »

UNTUK ALUMNI SMUI TPHR SAHAJA

View full article »

Majlis berkenaan berlangsung meriah di SMAN Pantai Manis Papar sebagai tuan rumah kali ini. Sejak awal pagi, urus setia dari Bahagian Pendidikan JHEAINS, para peserta, guru-guru dan juri hakim datang berkumpul bagi menjayakan majlis berkenaan. Tujuh acara dilangsungkan serentak iaitu syarahan Bahasa Arab, pidato, khutbah, khat, kuiz, nasyid dan maharah al-kitabah wal-qiraah.

Saya tiba dengan kenderaan sendiri pada jam 8.10 pagi untuk menunaikan amanah sebagai hakim bahagian kuiz bersama-sama dengan sahabat saya Ustaz Hisyam Yayah dari Pejabat Mufti Negeri Sabah. Lima buah sekolah JHEAINS menyertai majlis ko-kurikulum ini iaitu SMAI Toh Puan Hajah Rahmah, SMAI Papar, SMAI Beaufort, SMAI Tambunan dan SMAI Kunak. Untuk bahagian kuiz ini SMAI Toh Puan muncul sebagai johannya dan sekaligus johan keseluruhan.

Pemerhatian saya dan Ustaz Hisham, soalan-soalan kuiz yang terbahagi kepada 3 kategori iaitu tauhid, fekah dan bahasa Arab ini sangat menarik. Soalan-soalan merujuk kepada standard PMR, tiga peserta bagi setiap sekolah dan mereka memilih soalan antara 1 hingga 15. Pada pusingan pertama, Papar kelihatan mendahului, disaingi pada pusingan kedua dan kemudiannya dipintas oleh Toh Puan pada pusingan ketiga dan akhirnya muncul johan. Jelas sekali, para peserta umumnya agak lemah dalam kategori bahasa Arab.

Majlis penutupan dilakukan oleh Puan Hajah Apsah Haji Kudi, KPP Bahagian Khidmat Pengurusan mewakili Pengarah JHEAINS. Hanya satu saya kelihatan ralat dalam majlis ko-kurikulum ini kerana ketiadaan acara tilawah dan hafazan  al-Quran yang sepatutnya menjadi acara penting kerana subjek ini diajar di sekolah-sekolah JHEAINS. Tahniah kepada semua yang terlibat, semoga tahun hadapan lebih baik dan berkualiti persembahan dan hasilnya kepada dakwah Islam di Sabah. Insya Allah.

Foto berikut sumbangan Ahmad Haji Yasin :

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers