Foto : Blog Haji Arshad bertarikh 10 September 2011.
Kisah-kisah dari Tanah Suci Makkah dan Madinah sentiasa menggamit hati dan perasaan untuk diri yang kerdil ini bermohon kepada-Nya agar diberikan lagi rezeki dan kesempatan berziarah dan beribadah ke sana. Sepanjang Ramadhan lalu, ramai sahabat dan kenalan menunaikan ibadah umrah dan ziarah bahkan ramai juga yang berhari raya ke sana.
Gembira membaca catatan facebook sahabat lama ketika di Maahad Tahfiz dahulu, Ustaz Nazri Mustakim @ Syem yang tiba di Madinah 2 hari sebelum Syawal tiba dan berada di Tanah Suci selama 12 hari. Beliau menyertai rombongan bersama keluarganya yang rata-rata saya kenali kerana mereka dahulunya menetap di Kota Kinabalu Sabah.
Dalam tempoh Ramadhan, saya turut menerima beberapa pesanan ringkas @ sms dari Makkah. Tuan Haji Mansur Mohammad dari Kelantan yang pernah menetap di Sabah juga berada di Makkah sepanjang Ramadhan dan sebahagian Syawal, yang saya difahamkan amalan ini dilakukan hampir setiap tahun. Puan Hajjah Masneh Abdullah, rakan jamaah dan kuliah di Masjid Negeri Sabah juga akitivis muallaf di Teratak Fitrah juga berada di Tanah Suci. Sempat juga saya menitipkan pesan agar mendoakan saya dan keluarga.
Saya turut menerima khabar sama daripada Ustazah Nurdahlia Abdullah pegawai JAKIM Sabah yang berhari raya di Makkah. Doa saya agar beliau ditemukan jodoh dengan lelaki yang soleh, insya Allah. Siswa Sabah di Mesir antaranya Ustaz Suhaidi Saad juga khabarnya berhari raya di Makkah. Beliau ada memaklumkan keberangkatannya dari Kaherah ke Tanah Suci sebelum pemergiannya tempoh hari.
Sahabat-sahabat dan kenalan di jabatan, jamaah masjid tertentu juga sering bertukar maklumat pergerakan mereka ke tanah suci. Alhamdulillah, Allah SWT memberi kelebihan rezeki kepada mereka, dan memanfaatkan rezeki untuk ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Itu jauh lebih baik dan mulia berbanding kalau melancong ke tempat lain apatah lagi lokasi yang dipenuhi dengan maksiat dan dosa.
Mengubati kerinduan terhadap Tanah Suci Makkah dan Madinah, ada beberapa blog yang sering saya layari (ada yang hampir setiap hari dan ada yang sesekali-sekala). Ia sangat menggamit perasaan membuatkan sesekali air mata mengalir kerana rindu hendak ke sana. Ia suatu perasaan yang sangat susah sekali digambarkan kecuali bagi mereka yang sudah pernah ke sana.
Blog http://manzlie-makkah.blogspot.com/ dengan tagline ‘pengalaman di Kota Makkah’. Catatan profilnya : Tuan Manzlie Makkah, Saudi Arabia. Menetap di Kota Makkah dan berkerja di HOTEL AL-JEWWAR ROYALE ORCHID yang terletak betul-betul sekali di hadapan Masjidil Haram. Kalau tidak salah ingatan, ketika berumrah tahun lepas, saya merancang dengan bantuan Tuan Haji Omar untuk berjumpa tetapi tidak kesampaian.
Blog http://hajiarshad.blogspot.com/ dengan tagline ‘kehidupan Makkah 2′. Pemilik blog ini ialah Tuan Haji Mohd Arshad berasal dari Teluk Intan Perak dan kini di Makkah. Antara catatan profilnya ‘menguruskan Hotel/Katering di Makkah dan Madinah serta urusan Jemaah Umrah dan Haji yang datang persendirian atau kumpulan’. Turut menyediakan khidmat badal haji dan umrah, korban, dam dan akikah serta apa apa urusan di Madinah dan Makkah.
Blog http://muhdkamil.org/blog/ dengan tagline ‘kehidupan ringkas tapi signifikan’ catatan indah Dr Muhd Kamil Ibrahim berasal dari Besut Terengganu. Barangkali hampir dua tahun saya mengikuti blog beliau hampir setiap hari dengan pelbagai catatan peristiwa, terutama kisah-kisah mustajab doa dan pergantungan kepada Allah SWT. Beliau penulis buku ‘travelog haji mengubah sempadan iman’. Dengan doa itulah beliau ditakdirkan oleh Allah SWT berhijrah ke Madinah bersama keluarga sejak 2 hari lepas.
Dua blogger di Makkah dan seorang di Madinah dan dilengkapkan dengan satu web tv siaran langsung dari Masjidil Haram di Makkah (http://www.justin.tv/bidayatv?utm_campaign=live_embed_click&utm_source=blog.hoeda.info#/w/1748062912/18) dan Masjid an-Nabawi di Madinah (http://www.justin.tv/anachedtv2#/w/1758671824/4). Mudah-mudahan ia sentiasa mendorong saya agar sentiasa ingin ke sana. Mari.
Foto dari blog Tuan Manzlie bertarikh 7 September 2011
Foto blog Dr Muhd Kamil bertarikh 11 September 2011 (hari ini)
Sumber : http://www.ustazamin.com/
Cara menentukan awal bulan di Malaysia adalah dengan 3 kaedah iaitu :-
1. Melihat anak bulan
2. Hisab (kira-kira)
3. Dengan gabungan kedua-dua di atas
Cara melihat anak bulan di Malaysia pula cukup canggih dengan menggunakan teropong berteknologi tinggi, dengan sela-sela masa tertentu dan bacaan kordinat tertentu.

1 Ogos 2o11, di negara China, melihat anak bulan akan diketuai oleh Imam masjid. Cara yang digunakan hanyalah satu cara iaitu melihat dengan mata dan tidak menggunakan hisab (kira-kira). Dan yang menariknya, mereka Orang Islam di Xi’an melihat anak bulan hanya dengan mata dan teropong. Mereka akan berkumpul beramai-ramai di masjid dan melihat beramai-ramai. Apa yang menarik ialah malam tersebut, nampak anak bulan. Mereka akan menjerit dengan gembira “Chilali- Chilali (anak bulan-anak bulan) sebenarnya ia dari bahasa Arab iaitu “Hilali”
Malam ini, pekerja Islam di mana-mana akan memakai tudung sebagai menghormati bulan Ramadhan. Ini adalah jurugambar bersama kami, senyum sampai telinga di sisi Muslimah China.. barangkali, macam nilah senyuman orang isteri lebih..
Ketika dalam bulan Ramadhan, ramai orang boleh memberi komitmen untuk solat berjamaah, suka bersedekah, rajin tadarrus dan tilawah, iktikaf di rumah-rumah Allah, berpakaian sopan dan menutup aurat dan pelbagai bentuk kebaikan lagi. Sayangnya banyak kebaikan dilakukan tanpa ilmu dan kefahaman Islam. Ramainya berbuat baik hanya dalam bulan Ramadhan.
Alasan sinisnya, kerana syaitan dirantai.
Para guru kita berpesan, Ramadhan itu umpama suatu madrasah atau tempat pengajian. Atau suatu perumpamaan lain, Ramadhan seperti suatu tempoh kursus sebulan dalam setahun. Maka hasilnya ternampak sesudah kursus berakhir. Memang dalam Ramadhan, semuanya serba baik dan menjadi. Tapi itu waktu kursus, semua mau markah tinggi.
Kini waktu kursus sudah berakhir, masing-masing kembali ke medan masing-masing. Sebelas bulan mendatang adalah medan sebenarnya, menguji keberkesanan kursus yang sudah dijalani sebelum ini. Jika gagal, jangan salahkan kursus yang dijalani, salahkan diri sendiri. Ketika kursus, kita banyak dibantu. Pahala berganda baik amalan wajib atau sunat, syaitan diikat, pintu syurga terbentang dan pintu neraka tertutup untuk memberi motivasi kepada diri sendiri.
Mari kita ubah kebiasaan sebelum Ramadhan dan meneruskan kebaikan dalam bulan Ramadhan sehingga selepas Ramadhan. Teruskan solat berjamaah di masjid dan surau, teruskan tilawatul Quran dan pengajian-pengajian, teruskan amalan menutup aurat, berkata baik dan sopan, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Buktikan keberhasilan kursus Ramadhan.
Melakukan kebaikan bukan hanya dalam Ramadhan tetapi sepanjang hayat kita.
p/s : Nasihat untuk diri sendiri.
Ini suasana isnin terakhir semalam pada waktu zuhur di Masjid Negeri Sabah, sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal pada sebelah malamnya. Nampaknya jamaah kelihatan agak susut sedikit hanya tinggal kira-kira enam saf saja berbanding 9-12 saf pada hari-hari sebelumnya. Jadual tazkirah zuhur pun kami susun setakat hingga hari ahad lepas sahaja.
Barangkali sudah ramai yang bercuti dan pulang ke kampung halaman masing-masing. Sebenarnya suasana lengang turut terasa apabila saya meronda sekitar jalan-jalan utama di Bandaraya Kota Kinabalu sehari dua kebelakangan. Hanya yang agak sibuk di jalan-jalan sekitar Sinsuran dan Segama, barangkali umat Islam mencari keperluan pakaian baru pada saat-saat akhir.
Kebanyakan orang bercuti hingga hujung minggu ini. Mudah-mudahan Masjid Negeri Sabah dan masjid-masjid lain akan kembali meriah pada minggu hadapan. Selamat menyambut eidul fitri, hati-hati di jalanraya. Ingatlah mereka yang tersayang.
Saya menunaikan janji kepada anak-anak untuk membawa mereka berbuka puasa di Hotel Shangri La di Bandaran petang tadi. Saya sudah memaklumkan perkara itu beberapa hari sebelum ini kepada mereka. Sesungguhnya ini pertama kali saya membawa mereka makan-makan di hotel. Sejak awal pagi, anak-anak terutamanya Abdul Hadi begitu teruja. Bermacam-macam soalan diajukan, maklumlah selama ini kalau pun pernah bermalam di mana-mana resort, hanya terbayang kolam mandi saja.
“Ada kerusi ka Babah di hotel tu?”
“Cukupkah meja di hotel nanti?”
“Babah, kita bawa khemah kah?”
Bukan mahu bermewah, tetapi sekadar menggembirakan hati isteri dan anak-anak. Maklum saja, dalam Ramadhan ini banyak masa saya diperuntukkan di luar rumah kerana pelbagai aktiviti yang sudah diatur. Hanya masa saya berbuka banyak bersama keluarga kecuali beberapa kali. Lagipun ini hadiah atas ketekunan dan kesungguhan mereka menunaikan ibadah puasa.
Nuha insya Allah menamatkan puasa tahun ini dengan rekod penuh. Hana (6 tahun) ada dua hari tidak berpuasa kerana demam – jika diambil kira maka rekod juga penuh kerana bukan ponteng dengan sengaja atau suka-suka. Abdul Hadi (5 tahun) berpuasa sebanyak 22 hari – ponteng pada minggu pertama dan kemudian berterusan puasa sejak hari ke-8 Ramadhan sehingga hari ini. Sebenarnya kekuatan anak-anak ini jujurnya mengalahkan saya ketika kecil dahulu.
Turut serta bersama-sama kami ialah Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar dan keluarganya. Kami bersungkai dan bersolat magrhib bersama di surau kecil yang disediakan di tingkat dua. Terima kasih buat Chef Abdullah Ahmad yang menempah meja untuk kami bersungkai bersama-sama malam ini. Ternyata anak-anak sangat gembira.
Kali kedua berziarah dan bertemua rakan-rakan dalam SAHABAT sepanjang Ramadhan ini tetapi di lokasi yang berbeza. Tempoh hari di kelas pengajian Teratak Fitrah sementara kali ini di markas mereka di Jalan Kurol Melangi, Kg Likas bersama 60 ahli yang hadir diketuai presidennya Sdr Abu Bakar Ongkosing.
Saat saya tiba, rakan-rakan dari IKRAM baru selesai menyampaikan sumbangan mereka dan saya terus mengganti untuk slot berikutnya. Ia penyampaian sumbangan sekampit beras kepada 60 penerima yang dipilih oleh SAHABAT sendiri sebagai lambang keprihatinan kami kepada saudara kita. Oleh kerana ramai rakan-rakan sudah pulang ke kampung dan yang ada di KK semuanya sibuk dengan persiapan masing-masing, maka saya hadir sendirian bagi mewakili semua pihak yang terlibat.
Tazkirah saya sekitar setengah jam, saya sentuh pelbagai topik – sedekah, lailatul qadar, hari raya sehinggalah keperluan ahli-ahli menyumbang demi kebaikan Islam – sama ada berbentuk wang ringgit, harta, tenaga dan idea khususnya dalam NGO SAHABAT dan keterlibatan mereka dalam apa juga program keislaman sama ada di pejabat atau masjid surau berhampiran kediaman masing-masing. Saya doakan agar semuanya baik-baik saja dalam kehidupan mereka di dalam Islam.
Antara program Ramadhan yang saya turun diamanahkan untuk mengisinya ialah program sembang santai ‘Malam-Malam Ramadhan’ yang diadakan di Sabah FM. Ia adalah anjuran bersama JHEAINS dan Sabah FM bagi mengisi slot-slot keagamaan khususnya pada waktu malam. Saya kira kerjasama JHEAINS dan Sabah FM khususnya sejak kebelakangan ini semakin galak dan erat sekali.
Saya sendiri selain sembang ‘Malam-Malam Ramadhan’ ini juga mengisi slot rakaman tazkirah ‘Ihya Ramadhan sebanyak 29 siri yang disiarkan setiap selepas azan zuhur. Selain itu ada beberapa program lain seperti ‘Resipi Ramadhan’ yang berbentuk nasihat pada waktu asar. Saya kurang maklum program-program lain, tetapi saya kira para ustaz dan pendakwah wajar untuk mengisi slot-slot keagamaan kerana medan pendengar yang lebih ramai.
“Malam-Malam Ramadhan’ disiarkan setiap malam bermula jam 11.15 malam secara lansung dari konti Sabah FM dan berakhir setengah jam kemudian. Ia kadang-kadang berakhir lambat bergantung suasana sembang antara penyampai dan tetamu undangan. Saya sendiri terlibat dalam dua kali, pertama pada 20 Ogos atas tajuk Lailatul Qadar dan kali kedua pada 26 Ogos dengan topik Falsafah Aidilfitri.
Konsep soal jawab tetapi secara santai dan bersembang, kadang-kadang diselitkan dengan unsur humor dan lenggok bahasa Sabahan supaya pendengar tidak terlalu stress mendengar walaupun sesetengah isu sebenarnya adalah tajuk dan topik yang penting. Antara tajuk-tajuk bersama tetamu undangan lain ialah seperti ‘niat’, ‘solat tarawih’, ‘berpuasa di kampung’, ‘adab berpuasa’, ‘raya di Makkah’, ‘raya di bandar’, ‘adab berhari raya’ dan banyak lagi.
Sesetengah sembang dilakukan secara spontan tanpa ada perbincangan awal. DJ Saitoh yang bersama saya banyak kali juga mengemukakan pertanyaan luar jangka dan tidak diduga. Mujurlah semua soalan dapat dijawab dengan baik. Antaranya soalan berkaitan pelita hari raya dan pakaian baju baju baru – termasuk fesyen tidak menutup aurat. Slot kali kedua baru-baru ini, selesai habis program, DJ Saitoh menerima satu panggilan pendengar yang memuji program berkenaan apatah lagi ia walaupun sebahagian tajuk adalah ilmiah tetapi cara penyampaian adalah bersahaja.
Saya juga menerima respon baik daripada beberapa sahabat dan jamaah masjid negeri sabah yang bertemu saya sehari dua kemudian dan mencadangkan program berkenaan diteruskan atau dikembangkan di luar Ramadhan. Saya kira Ustaz Sakaria Samela yang menjadi urus setia di pihak JHEAINS (beliau adalah pembaca setia blog ini) boleh memikirkan cadangan tersebut, walaupun mungkin tidak diadakan secara harian tetapi mingguan atau dua tiga kali seminggu menyentuh pelbagai topik kehidupan yang disentuh dengan nilai agama Islam.
Tahniah kepada semua yang terlibat. Insya Allah ada pahala yang menyusul.
Beberapa tahun bertugas dalam pentadbiran Masjid Negeri Sabah dan bergelumang dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah, menjadikan hubungan dengan warga kerja Masjid Negeri amat akrab sekali. Kami mengetahui kehidupan mereka (kalaupun tidak keseluruhan), kesusahan hidup dan sebagainya kerana kebanyakan mereka pernah saya ziarahi di rumah-rumah mereka.
Saya berbincang dengan Ustaz Haji Muchlish agar sedikit peruntukan diberikan dengan sumbangan sekampit beras turut disampaikan kepada mereka sekitar 35 orang. Ia juga sebagai tanda penghargaan atas kerjasama semua warga MNS terhadap aktiviti Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) yang banyak diadakan di sini. Alhamdulillah, majlis ringkas dengan sesi tazkriah oleh Ustaz Muchlish sendiri dan penyampaian sumbangan kepada yang terlibat. Majlis turut dihadiri oleh Ybhg Imam Besar Ustaz Haji Ibrahim Kisab dan Setiausaha JK Induk MNS Awang Ibrahim.
Tahniah juga kepada warga MNS (di bawah JK Induk) yang menerima saguhati RM500 sempena hari raya baru-baru ini. Semoga sumbangan ini serba sedikit dapat meringankan beban kehidupan mereka. Insya Allah hari raya kita bertemu dan berziarah.
Saya kira dalam majlis-majlis penyerahan sumbangan beras, program yang berlangsung ahad lalu di Masjid Hilal Kg Tanjung Dumpil adalah yang paling meriah rasanya. Majlis disekalikan dengan majlis berbuka puasa @ sungkai bersama penduduk kampung dan para penerima anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan beras kepada hampir 70 penerima dari tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Sri Pandan, Kampung Linsuk dan Kampung Contoh. Sumbangan disampaikan bersama-sama oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, Ustaz Haji Khir Abdullah dan Lahirul Latigu. Alhamdulillah, rakan-rakan dari Surau Riyadhus Solihin Taman Austral turut hadiah memberi sokongan dan menyantuni penduduk kampung khususnya para penerima.
Ustaz Nor Azamuddin Umar pula memimpin solat tarawih pada malam berkenaan yang turut dihadiri oleh para jamaah lainnya. Majlis berakhir sekitar jam 9.30 malam. Setinggi penghargaan kami ucapkan kepada semua pihak khususnya tuan rumah JK Masjid Hilal di atas kesudian menerima dan membenarkan kami mengadakan majlis berkenaan di masjid yang baru dan indah ini. Semoga masjid baru yang bernilai RM1 juta ini akan terus makmur dan mendapat rahmat Allah SWT.