Category: Mesir


Masjid Kg Peringatan

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Islam, Kg Peringatan Petagas

Suasana Syawal tahun ini turut mencatatkan peristiwa berdarah yang menyayat hati di mana penerusan kekejaman kerajaan Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa sehingga yang terbaru menggunakan senjata kimia yang mengorbankan lebih 1200 orang rakyat.

Kita juga mengutuk tindakan tidak bertamadun kerajaan haram  Mesir yang membunuh ribuan serta mencederakan puluhan ribu rakyatnya sendiri yang tidak bersenjata termasuk wanita dan kanak-kanak sehingga ada yang dibakar dalam masa 2 hari sahaja. Masjid dan hospital turut menjadi sasaran untuk ditembak dan dibakar.

Sebelum ini kita bercakap tentang kekejaman zionis Yahudi dalam menyembelih, membedil dan mengebom umat Islam tetapi kini orang yang mengaku manusia tetapi berhati binatang menghalakan senjata kepada saudara seagama.

Jika pada bulan Syawal tahun 5H nabi Muhammad s.a.w bersama tentera Islam terpaksa berdepan tentera Ahzab atau bersekutu Kuffar tetapi pada ini ada Negara umat Islam sendiri bersekongkol dengan zionis yahudi Israel, Amerika Syarikat seperti Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menjanjikan AS12 billion dolar kepada tentera yang menggulingkan kerajaan sah di Mesir.

Adakah kita boleh menghalalkan darah saudara seagama untuk dibunuh sesuka hati sedangkan mereka bangkit bukan sebagai pemberontak sebagaimana didakwa oleh musuh Islam sebaliknya untuk menuntut hak mereka yang dirampas. 

Apa yang berlaku di bumi Mesir dan sekitar tanah Arab mengingatkan kita tentang perancangan licik zionis yahudi dalam membina Israel Raya sebagaimana dicita-citakan iaitu memanjang dari Syria hingga ke Iraq dan Mesir berpusat di Palestin di mana rancangan awal ianya berjaya dibentuk pada tahun 1995 yang lalu tetapi masih tersasar hingga hari ini.

Begitu juga peperangan saudara yang diletuskan ini bertujuan untuk kapitalisme mengaut keuntungan daripada jualan senjata. Adakah kita mahu melihat lahirnya Firaun moden yang membunuh sesiapa sahaja yang ingin kembali kepada system Islam. Adakah kita rela melihat lahirnya Haman moden yang menasihat pemimpin termasuk untuk membunuh rakyat sendiri asalkan kekal berkuasa.

Adakah kita sanggup memerhati lahirnya Qarun moden yang sanggup gunakan harta kekayaan untuk memadam kebangkitan Islam. Semoga laungan laungan وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده  yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab) dapat kita laksanakan dalam kehidupan seharian dalam meraih kemenangan daripada Allah dengan sama-sama kembali bersatu atas landasan Islam dan menolak sebarang ideologi dan sistem ciptaan manusia.

Bangkitlah membantu saudara seagama yang ditindas termasuk di bumi Mesir, Syria, Palestin, Ronghiya dan seluruh dunia termasuk melalui harta dan doa. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Firman Allah dalam  ayat 153 surah al-An’am:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَ‌اطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّ‌قَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

prihatin mesir

Sumber : http://myfaisalonline.blogspot.com/2013/08/kepentingan-yang-tejejas-punca-kepada.html

Sinopsis

Krisis Mesir yang berlaku berpunca ekoran TERJEJASNYA kepentingan sekurang-kurangnya LIMA pihak dibawah. Mereka ialah :

1- Kepentingan Israel

2- Kepentingan politik antarabangsa US

3- Kepentingan negara Arab

4- Kepentingan tentera Mesir

5- Kepentingan Majlis Tertinggi Kehakiman Mesir

Berikut adalah ulasan tentang isu ini.

Latar Belakang Isu 

Pada 4 Julai 2013, kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Dr. Mursi, yang dilantik secara demokrasi pada 24 Jun 2013 telah pun dirampas oleh tentera Mesir yang diketuai oleh Jeneral Fattah al-Sisi. Ekoran dari rampasan ini, penyokong Mursi telah mengadakan bantahan dan berhimpun bagi menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan Mursi di seluruh negara terutamanya di dua tempat penting di Cairo iaitu di Medan Rabaah dan Dataran Nahdah.

Bantahan aman itu berjaya mengumpulkan sehingga lebih dari 5 juta rakyat dan sebagai tanda sokongan mereka terhadap Mursi, mereka telah terus berada secara berterusan di kedua tempat itu sehingga berlaku trajedi 15 Ogos apabila pihak tentera telah berusaha menyuraikan himpunan itu secara kekerasan.

Pada pagi 15 Ogos, operasi yang bermula 6 pagi hingga ke malam, tentera telah membunuh lebih dari 2,000 orang dan mencederakan lebih dari 10,000 orang. Angka kematian setakat 17 Ogos meningkat kepada 5,000 orang.

Punca (tidak sebenar)

Rampasan kuasa ini berpunca dari ketidakpuasan hati pihak pembangkang terhadap pemerintahan Mursi dengan dakwaan ekonomi negara itu semakin buruk dan rakyat semakin menderita. Mereka mendakwa Mursi gagal membawa perubahan sebagai mana yang diharapkan oleh Revolusi rakyat Mesir pada 2011 setelah 6 bulan menjadi presiden untuk menjaga kebajikan rakyat miskin dan mengawal tekanan taraf hidup rakyat miskin di Mesir.

Ekoran tidak puas hati ini, pihak pembangkang telah mempengaruhi dan menghasut rakyat membenci kerajaan Mursi dengan membesar-besarkan isu yang sengaja mereka bangkitkan. Sekurang-kurangnya 6 Channel TV Mesir yang dikuasai oleh pembangkang dan media antarabangsa termasuk media cetak telah menyiarkan berita-berita yang memburukkan Mursi dan memperkecilkan usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Mursi.

Soalnya, adakah dakwaan kegagalan itu boleh diterima akal, sedangkan

  • Dalam tempoh 6 bulan, apakah perubahan ekonomi yang boleh dilakukan oleh Mursi? Takkanlah kesan pemernitahan Hosni Mubarak selama 30 tahun dapat diubah dalam masa 6 bulan sahaja.
  • Mesir mengalami krisis perlembagaan yang menyebabkan usaha pembaharuan Mursi terbantut.
  • Penyokong Mubarak melakukkan sabotaj untuk menaikkan kemarahan rakyat. Contohnya, para pengusaha kedai minyak tidak menjual minyak kerana mendakwa kehabisan minyak sehingga berlaku krisis minyak yang sangat meruncing.
  • Mereka mengupah samseng untuk melakukan kekacauan. Tujuannya ialah untuk memastikan keadaan politik di Mesir sentiasa tegang dan kerajaan Mursi tidak stabil.

Punca sebenar

Rampasan kuasa berpunca dari kepentingan kalangan ramai pihak yang tejejas ekoran kejatuhan Mubarak. Berikut adalah beberapa kepentingan beberapa pihak-pihak yang terjejas dengan pelantikan Mursi sebagai Presiden Mesir.

  • Kepentingan Israel
  • Kepentingan politik antarabangsa US
  • Kepentingan negara Arab
  • Kepentingan tentera
  • Kepentingan Majlis Tertinggi Kehakiman Mesir

Kepentingan Israel

Mursi mengamalkan dasar luar yang menentang Israel

  • Membuka sempadan Mesir Palestine yang ditutup semasa pemerintahan Mubarak bagi membenarkan bantuan dan aktiviti ekonomi rakyat Palestine.
  • Berdiri teguh dibelakang kerajaan Palestine pimpinan Hamas dan bukan sebagai perantara antara Palestine dan Israel. Ini kerana Hamas adalah saudara kembar Ikhwan Muslimin.
  • Menghentikan pembekalan gas asli ke Israel yang telah berjalan di bawah pemerintahan Mubarak selama 20 tahun (1991-2011).
  • Memanggil duta Mesir di Israel balik apabila Israel membuat serangan udara ke Palestine pada hujung 2012.
  • Memanggil campur tangan Arab dan antarabangsa bagi menghentikan keganasan Israel.

Kepentingan politik antarabangsa US

Ikhwan muslimin mempunyai cita-cita untuk menegakkan Islam bermula dari individu Islam, rumah tangga Islam, masyarakat Islam, Negara Islam dan perluasan Islam ke seluruh dunia. Cita-cita ini sangat berbahaya kepada kuasa besar dunia, khasnya US dan sekutunya.

Dalam satu kajian perisikan US yang ditulis oleh Cheryl Bernard (2004), beliau telah menjelaskan mana-mana pihak yang berpegang dengan idea politik Islam dan Negara Islam akan ditentang oleh US khasnya yang membawa pendekatan keganasan. Beliau menamakan gerakan Hamas.

Sungguhpun Mursi sebagai Presiden dan melucutkan dirinya sebagai ahli Ikhwan, tetapi bagi US, Mursi tetap membawa aspirasi Ikhwan yang tidak boleh dipisahkan dari usaha untuk menegakkan kerajaan yang melaksanakan perundangan Islam. Ini tidak digemari oleh US kerana bertentangan dengan kepentingan mereka kerana mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita menubuhkan Negara Islam semua tidak akan mesra dengan US.

Kepentingan tentera

Ada pandangan yang mengatakan bahawa kejayaan Arab Spring di Mesir pada 2011 turut disokong oleh tentera kerana bagi mereka Mubarak perlu ditukar dan orang baru diperlukan. Walaupun pada zahirnya adalah rakyat tetapi dibelakangnya adalah kuasa tentera.

Setelah Mursi menjawat sebagai presiden, kepentingan tentera tidak dijaga oleh Mursi kerana usaha Mursi untuk mengurangkan kuasa tentera. Menurut satu analisis, kepentingan 40% penguasaan ekonomi Mesir dan bantuan tahunan US 1.3 Bilion yang disalurkan terus kepada tentera sukar untuk dilepaskan oleh kuasa tentera.

US pula memerlukan tentera untuk melaksanakan dasar mesra dengan Israel. Usaha rampasan ini dipercayai ada kaitan dengan mainan US yang tentunyatidak akan merelakan tentera berada dibawah mana-mana pihak termasuk presiden.

Hakikatnya, sejak dari zaman presiden Gamal Abd Nasir, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak, semua kerusi presiden dan dasar-dasar negara dipengaruhi atau paling tidak, dibayangi oleh tentera. Ramai yang percaya bahawa kerajaan atau pemerintah yang naik selepas ini mesti menjadi boneka kepada tentera.

Kepentingan Negara Arab 

Mursi yang dibayangi dengan Ikhwan Muslimin telah memberi seribu macam sangka buruk terhadap kerajaan Mesir di kalangan negara Arab. Hampir semua negara Arab mempunyai pengalaman buruk berhadapan kumpulan Islam yang membawa ideologi Ikhwan yang menyeru ke arah penubuhan sebuah Negara Islam.

Kemenangan Mursi sebagai presiden menerusi sistem pilihanraya yang demokratik menakutkan negara Arab yang rata-ratanya mengamalkan sistem monarki dan rata-ratanya mereka bersikap keras dengan golongan Islamis di dalam negara mereka. Mereka terpaksa bertindak sedemikian kerana tidak mahu kepentinan politik dan ekonomi mereka terjejas kerana mereka merupakan sekutu atau sekurang-kurangnya mesra dengan barat.

Hal ini nampak jelas apabila Amir Emirate (UAE) dan Raja Saudi mengucapkan tahniah kepada tentera yang telah menjayakan misi menjatuhkan Mursi. Malah setiap mereka berjanji menghulurkan bantuan sebanyak 3 dan 5 Billion USD kepada Mesir.

Kepentingan Majlis Tertinggi Kehakiman Mesir

Mursi dilihat cuba memonopoli kuasa setelah beliau mengumumkan dekri presiden pada November 2012. Majlis Tertinggi Kehakiman menyifatkannya sebagai satu serangan tidak pernah berlaku ke atas badan kehakiman di negara tersebut.

Pada awal Disember 2012, Mursi membuat keputusan untuk membatalkan dekri itu selepas berlaku pertempuran antara penyokong dan penentang beliau. Menjelang pungutan suara draf Perlembagaan pada 15 Disember 2012 yang dirangka sepenuhnya oleh parti Islam, Mesir sekali lagi dicemari protes ganas.

Di sebalik kekacauan dan protes itu, sebanyak 64 peratus penduduk Mesir menyokong draf Perlembagaan tersebut. Antara kandungan draf Perlembagaan itu menjadikan undang-undang Syariah kekal sebagai sumber utama perundangan manakala penganut lain seperti Kristian dan Yahudi akan menggunakan agama masing- masing sebagai sumber perundangan mereka serta tempoh jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal selama lapan tahun.

Keputusan tersebut membuktikan sekali lagi kemenangan Ikhwanul Muslimin selepas Mursi meluluskan Perlembagaan baru itu pada 26 Disember lalu. Mursi kini berhadapan cabaran untuk mendapatkan persetujuan bagi melaksanakan langkah penjimatan. Beliau juga akan memperkenalkan insentif yang akan menarik semula minat pelabur untuk menjalankan urus niaga di negara itu. (Sumber -Sinar harian) 

Kesimpulan

Beberapa pihak yang terjejas dengan pelantikan Mursi telah berusaha menghasut rakyat bagi membenci Mursi dan kerajaannya bagi mencapai cita-cita politik mereka. Setelah dilihat rakyat benar-benar menunjukkan kemarahan mereka, pihak tentera telah mengambil tindakan merampas kuasa dari Mursi yang seterusnya melantik orang baru sebagai pemerintah Mesir.

Muhamad Faisal Ashaari

Pensyarah 
Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan

Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Tarikh : 14 Ogos 2013

Lokasi : Kampung Air, Kota Kinabalu

Satu majlis mahabbah mengumpulkan alumni sekolah Toh Puan Hajah Rahmah dan alumni azhariyyun diadakan baru-baru ini atas inisiatif beberapa senior yang ingin mengadakan pertemuan sempena hari raya.

Pada awal program ini dirancang, saya antara yang berhasrat kuat untuk hadir. Pada ketika itu kami tidak merancang untuk balik bercuti ke WP Labuan. Akhirnya pada majlis ini berlangsung, kami masih di perjalanan pulang. Mujur sahabat-sahabat yang hadir merakamkan foto kenangan majlis ini untuk dikongsikan bersama.

Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (1)

Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (2) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (3) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (4) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (5) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (6)

Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (7) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (9) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (10) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (11)

20130819_202315

Menanam cintakan perjuangan dan kasih kepada saudara seagama yang jauh dan dizalimi. Satu hari anak-anak akan mengerti…

KUALA LUMPUR: PAS menggesa pertubuhan antarabangsa menggantung keanggotaan Mesir sebagai suatu tekanan politik terhadap negara itu sehingga rejim tentera yang merampas kuasa kembali kepada demokrasi dan mengembalikan hak rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat gesaan itu ketika berucap pada majlis Munajat Membantah Kekejaman Kudeta Mesir di Padang Merbok, di sini malam tadi. Katanya, desakan masyarakat antarabangsa akan menyebabkan berlaku perubahan kepada negara itu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan demikian perlu dilakukan sebagaimana yang diambil oleh Kesatuan Afrika menggantung keanggotaan Mesir.

“Kehadiran malam ini cukup ramai, menandakan simpati kita terhadap rakyat Mesir, mereka yang dizalimi. Himpunan pada malam ini insya Allah akan dilapor media antarabangsa,” ujarnya. Beliau menegaskan himpunan yang diadakan itu menandakan PAS bersama dengan masyarakat antarabangsa membantah kezaliman yang dilakukan oleh rejim tentera Mesir terhadap rakyat negara itu.

Turut berucap ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa, Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Nasrudin Hassan dan Siti Zailah Mohd Yusoff, Setiausaha Dewan Ulamak dan AJK PAS Pusat, Dr Kahiruddin Aman Razali dan Datuk Abu Bakar Chik. Majlis yang bermula sejak petang ditersukan dengan solat Maghrib berjemaah, solat ghaib, solat hajat, ucapan pemimpin dan diakhiri dengan solat Isyak berjemaah. (Harakahdaily)

Himpunan 100K (1) Himpunan 100K (2) Himpunan 100K (4) Himpunan 100K (5)

Sepanjang pengajian di Mesir 10 tahun lalu dan bergaul bersama rakan-rakan Sabahan di bawah naungan Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM), saya sempat berada di bawah ‘pemerintahan’ lima Yang Dipertua BKPSM (kalau tidak salah) iaitu Ustaz Haji Asman Mohd Ali, Ustaz Haji Firmanshah Mohd Yunus, Ustaz Haji Mustakim Maisar, Ustaz Haji Sahrum Samlan dan Ustaz Haji Norazlan Mahmud.

Dalam tempoh hari raya ini, kami sekeluarga sempat berziarah dan bertemu dengan tiga mantan YDP BKPSM, iaitu Ustaz Haji Mustakim Maisar, Ustaz Haji Sahrum Samlan dan Ustaz Haji Norazlan Mahmud.

Ustaz Haji Mustakim kini berada di Selangor mencebur diri dalam bidang perkhidmatan pelancongan khususnya pemandu pelancong kepada pelancong dari Timur Tengah. Dalam tempoh ziarah raya baru ini kami singgah di rumah keluarga isterinya di Kg Kerukan Kuala Penyu bertemu sahabat lama ini. Ustazah Noranimah juga adalah teman baik isteri saya semasa di Mansoura.

Ustaz Haji Sahrum pula yang kami ziarahi di WP Labuan membawa berita gembira dengan anak kedua dan rumah comel mereka sendiri yang baru siap diduduki beberapa bulan kebelakangan. Isterinya juga teman baik isteri saya lepasan Universiti al-Azhar Kaherah dan kini bertugas di UMS Labuan. Berdasarkan maklumat teman-teman lain, nama Ustaz Sahrum semakin harum di Labuan dengan undangan tazkirah, sementalahan beliau juga salah seorang aktivis Darussyifa’ Labuan.

Ustaz Haji Norazlan juga berumahtangga di WP Labuan, selain sebagai guru JQAF beliau juga perawat Darussyifa’ Labuan seperti Ustaz Sahrum. Beliau juga punya potensi untuk menonjol sebagai pendakwah-pendakwah muda tempatan yang diharapkan melonjakkan Islam di Labuan ini.

Sebagai ahli biasa semasa di Mesir, saya merasa seronok dapat bertemu pimpinan pelajar saya satu ketika dahulu yang membawa ingatan kepada kenangan-kenangan manis.

Mustakim Maisar (1) Mustakim Maisar (2) Mustakim Maisar (3) Sahrum Samlan (1) Sahrum Samlan (2) Norazlan Mahmud

Sekitar 400 umat Islam menyertai himpunan aman bagi membantah kerajaan kudeta Mesir yang diadakan di perkarangan Masjid Negeri Sabah selepas solat jumaat semalam. Himpunan ini diadakan serentak di seluruh negara bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan umat Islam di Mesir apabila Presiden Dr Mohamed Morsi digulingkan oleh tentera 3 Julai lepas.

Antara yang berucap ialah Pesuruhjaya PAS Sabah Aminuddin Aling, Ketua Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu, wakil ABIM Sabah dan lain-lain. Himpunan aman ini berakhir pada jam 1.40 petang dengan keazaman peserta untuk menyebarluaskan maklumat kejadian yang berlaku di Mesir serta mendoakan kemenangan bagi pejuang-pejuang Islam di sana.

Puluhan NGO Islam di Sabah turut menyertai himpunan ini menunjukkan kebersamaan dan solidariti buat saudara seaqidah yang tertindas walaupun dipisahkan oleh jarak dan benua.

Bantah Kudeta @ MNS (1) Bantah Kudeta @ MNS (2) Bantah Kudeta @ MNS (3) Bantah Kudeta @ MNS (4) Bantah Kudeta @ MNS (5) Bantah Kudeta @ MNS (6) Bantah Kudeta @ MNS (7) Bantah Kudeta @ MNS (8) Bantah Kudeta @ MNS (9) Bantah Kudeta @ MNS (10)

IMG-20130815-WA0142

Sumber : http://www.pas.org.my/v2/index.php/artikel/presiden-pas/1804-reaksi-keras-terhadap-konflik-terkini-di-mesir

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim tentera di Mesir yang bertindak kejam dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya sendiri sehingga menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan cedera parah.

PAS menyeru kepada komuniti antarabangsa termasuklah Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan langkah drastik terhadap rejim tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi yang merampas kuasa dari rakyat Mesir itu.

Pertama, semua pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), OIC, Liga Arab mestilah mengecam tindakan kekerasan rejim tentera yang tidak sah itu dan seterusnya memberikan tekanan diplomatik terhadap mereka yang melaksanakan coup d’état terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Presiden Muhammad Morsi.

Kedua, pihak yang melakukan jenayah dan bertindak kejam terhadap penyokong Presiden Morsi mestilah disiasat oleh satu Suruhanjaya Bebas Antarabangsa supaya tindakan mengikut tatacara undang-undang dapat dilakukan.

Ketiga, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada Presiden Morsi mestilah dikembalikan, manakala penyelesaian kepada krisis di Mesir perlu mengikut lunas demokrasi tanpa campurtangan asing dan pihak tentera.

PAS sekali lagi ingin mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa kegagalan menyelesaikan konflik di Mesir ini akan membawa akibat yang lebih buruk terhadap keamanan rantau Asia Barat kerana ianya akan melahirkan aktiviti tindakbalas yang lebih keras, di mana iklim politik, ekonomi dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.

Sehubungan dengan itu, PAS menyeru supaya semua penyokong dan ahli PAS, dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan ini supaya menunjukkan solidariti dengan turut sama menyertai Himpunan Munajat Perdana 100k anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, bersama dengan parti-parti politik dan NGO dalam negara kita pada hari Sabtu 17 Ogos ini. Marilah kita terus bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya kezaliman dihancurkan dan keamanan dikembalikan dalam konflik di Mesir ini.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

Egypt

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/21053-demokrasi-mesir-kemenangan-untuk-segelintir-penipu-besar

Al-Quran memaparkan bahawa di Mesir tercipta sejarah kemunculan Fir’aun, raja yang memerintah kerajaan paling zalim dan penipu dalam sejarah dunia. Al Quran adalah kitab suci petunjuk sepanjang zaman, bukan sahaja hukumnya, termasuk juga ceritanya.

Peristiwa terkini menjadi kenyataan yang berulang bahawa Al-Quran adalah kalam Allah yang membawa petunjuk sepanjang zaman bukannya buku cerita.

Berlaku terkini selepas Arab Spring, satu pendedahan bahawa peristiwa pertengahan abad dua puluh yang baru berlalu oleh buku berjudul: Inside The Muslim Brotherhood, karya bersama Dr Yusuf Nada dan Douglas Thompson, memaparkan kisah benar berlaku di tahun lima puluhan (26 Okt. 1954), apabila regim tentera di bawah pimpinan Presiden Gamal Abdul Nasir ingin mengatasi pengaruh Gerakan Ikhwan Muslimin yang menguasai rakyat kerana dakwah, tarbiyah dan aktiviti politik dan kemasyarakatan dalam tajuk Islam yang sempurna yang sangat adil terhadap semua.

Walaupun adanya kerjasama yang baik dan aman oleh pihak Ikhwan dalam kerajaan bagi membuat perubahan selepas tentera mengambil alih kerajaan Mesir dan sehingga Ikhwan Muslimin bersama membebaskan Mesir daripada tentera British dan pembebasan Terusan Suez.

Maka kerana takut dan dengki terhadap pengaruh Ikhwan di kalangan terbesar rakyat, maka satu drama bohong dilakonkan bagi mencipta tuduhan dan fitnah menyingkir Kumpulan Islam ini daripada bersama memimpin rakyat.

Setelah pemimpin pengasasnya Hasan Al-Banna syahid ditembak mati oleh polis kerana terlibat melemahkan tentera Israel dalam perang 1948, langkah yang paling tidak disenangi oleh kuasa Barat dan Timur. Satu langkah diambil bagi menyingkirkan Hasan Al Banna dengan pembunuhan yang kejam itu, kerana jasanya yang baik, bukannya kerana dosa dan kesalahannya.

Drama penipuan dilakonkan pula selepasnya, apabila Presiden Gamal Abdul Nasir yang berucap di pentas sambutan ulang tahun pengunduran tentera British diadakan di Medan Mansyiah bandar Iskandariyyah. Presiden Nasir dipakaikan terlebih dahulu dengan baju kalis peluru.

Ketika sedang berucap, seorang ditugaskan untuk menembak ke arah yang tidak mengenai apa-apa sasaran. Apabila beberapa tembakan dilakukan menyebabkan  khalayak yang berhimpun dalam keadaan huru hara.

Presiden yang  ditabalkan menjadi hero tampil semula ke hadapan mikrofon sambil mengangkat tangan menegaskan: “Sekiranya Gamal Abdul Nasir mati ditembak, maka seluruh rakyat Mesir adalah Gamal Abdul Nasir”.

Tukang-tukang sorak yang dipasang di setiap penjuru berjaya membakar emosi rakyat yang hadir dengan kenderaan percuma dan media upahan mendukungnya di seluruh negara. Selepasnya Ikhwan Muslimin dituduh terlibat dengan usaha membunuh Presiden hero yang gagah berani.

Akhirnya ramai pemimpin dan pengikut yang ditangkap, dibicarakan di mahkamah lakonan dan ramai tokoh yang dihukum mati atau lama dipenjara sehingga dimakan usia setelah dibebaskan, walau pun mereka adalah kawan  bersama pada mulanya namun diperlakukan apa sahaja kerana gila kuasa.

Penipuan besar yang sangat zalim ini didedahkan kepada umum oleh beberapa tokoh kerajaan Mesir setelah tua dan insaf sebelum meninggal dunia, di antaranya ialah Hasan Al Tihami mantan Ketua Perisikan di masa pemerintahan Presiden Gamal Abdul Nasir, juga penghubung  dengan CIA, merangkap mantan Timbalan Perdana Menteri di zaman Presiden Anwar Sadat dan mantan Setiausaha Agung OIC.

Setiap yang membaca sejarah Mesir moden menyaksikan Fir’aun yang dipilih melalui pilihanraya juga, tetapi mesti menang 99% pengundi. Sehinggalah lakonan menipu didedahkan dengan berlakunya Arab Spring, apabila ledakan kebangkitan rakyat yang tidak boleh disekat, memaksa mantan Presiden Husni Mubarak daripada kalangan tentera diundurkan oleh gelombang kebangkitan rakyat yang tidak mampu dihalang.

Akhirnya Mesir memilih demokrasi hak rakyat menjadi hakim yang adil, secara piliharaya yang adil  juga, bebas dan telus, diperhatikan oleh pemantau dalam negeri dan luar negeri. Apabila pilihan raya diadakan, tiba-tiba kumpulan-kumpulan  Islam mencapai kemenangan, mendapat kerusi terbesar dalam Majlis Perwakilan Rakyat dan Majlis Syura.

Selepasnya semua kumpulan Islam dan kumpulan sekular sederhana bersama NGO mendukung calon Muhammad Mursi daripada Ikhwan Muslimin, sehingga berjaya ditabalkan menjadi Presiden pertama yang dipilih rakyat secara pilihanraya yang dipantau sepenuhnya.

Presiden Muhammad Mursi menunjukkan sikap yang paling terbuka dan tidak menyalahgunakan kuasanya untuk membalas dendam dan jauh sekali salah laku, sehingga disaksikan oleh seluruh rakyat.

Langkahnya menubuhkan kerarajaan campuran teknokrat, melibatkan ahli politik, pentadbir dan akademik, dari kalangan mereka yang bersih daripada salah laku kerajaan dahulu dan terdahulu. Tindakan mengatasi masalah tidak mudah, kerana masih dibebani saki baki kerajaan dahulu dan pentadbirannya daripada atas sehingga ke akar umbi.

Masalah yang mencengkam rakyat dan kehidupannya sejak beraja dan republik,  beberapa dekad tidak mungkin diselesaikan oleh manusia paling bijak dalam masa sehari dua atau setahun.

Terkini berlakulah peristiwa yang menjadi perhatian seluruh dunia, drama Firaun moden menyihir rakyat yang bodoh diulang lakonan dengan pelakon dan skrip yang berubah mengikut kehendak zaman dan penipunya.

Presiden Muhammad Mursi dipecat oleh tentera dan parti-parti politik yang kalah pilihanraya, diangkat memerintah negara dengan kekerasan tentera.  Sebelumnya mahkamah yang masih dianggotai oleh tangan-tangan regim dahulu, membatalkan keahlian Majlis perwakilan Rakyat (Parlimen) sehingga keahliannya tidak mencukupi.

Ahli-ahli politik parti-parti yang kalah pilihanraya yang gagal menggunakan politik wang walau pun dengan bantuan jentera kerajaan yang disalahgunakan gagal mencapai kemenangan dengan segala tipu dayanya.

Terdedah kepada umum betapa para pemimpin yang kalah pilihanraya menggunakan duit dengan bantuan negara serantau, menjadi khadam kepada negara yang masih bermusuh terhadap Islam, dengan semangat Islamofobia yang masih menghantui mereka, mengharamkan kumpulan Islam memimpin kerajaan walau pun melalui proses demokrasi.

Drama dilakonkan dengan mengumpan dan mengupah supaya dilakonkan demonstrasi yang diizinkan oleh kerajaan pimpinan Dr Muhammad Mursi, dengan alasan beberapa masalah yang tidak mungkin selesai dengan cepat.

Rakyat miskin yang bodoh digunakan dengan wang, khususnya penghuni kawasan setinggan, perkuburan dan kaki lima sejak zaman dahulu kerana kerajaan dahulu sengaja tidak menyelesaikannya, supaya mudah dibeli undi dan menjadi pengundi hantu. Disertakan dengan protes tanda tangan berpuluh juta rakyat yang sangat diragukan kesahihannya kerana buta huruf dan buta akal.

Seterusnya digunakan saki baki angkatan tentera yang berpangkat  tinggi, melakukan rampasan kuasa bertopengkan demokrasi haram bagi membunuh demokrasi yang sah melalui pungutan suara yang adil, semata-mata bagi menyingkirkan kumpulan berkuasa, tanpa mengira bencana buruk mungkin berlaku selepasnya sehingga perang saudara yang berlarutan bagi peluang keemasan kepada peniaga-peniaga senjata mendapat duit Arab jahiliyyah bersama Firaun baru di Mesir.

Keadaan buruk yang tidak harus diundang boleh berlaku, apabila pada asalnya kumpulan Islam radikal yang tidak feqah politik telah berjaya dipujuk oleh para ulama yang bijaksana di Mesir ikut menyertai amalan Demokrasi akan berkata bahawa Demokrasi tidak berguna lagi.

Rakyat yang cintakan keamanan dan hak yang adil juga merasakan pintunya ditutup, maka beranggapan hanya kekerasan sahaja yang boleh memecahkannya. Kesannya, keseluruhan rantau dan negara barat menyokong drama yang zalim itu.

Kebimbangan ini teryata apabila banyak kalangan negara barat dan pertubuhan hak asasi manusia mengutuk perkara yang berlaku, serta mendesak supaya Presiden Muhammad Mursi dibebaskan dan pilihanraya yang adil boleh diadakan semula dalam masa yang terdekat sekiranya tidak berpuashati terhadapnya.

PAS bersama dengan parti-parti Islam dan NGO Islam yang lahir bersama gerakan Islah dan tajidid menyokong protes aman mengikut amalan Demokrasi yang adil dan diikuti dengan pilihanraya bebas adalah terbaik bagi umat Islam menyelsaikan masalah mereka, kerana cara yang lain hanya mengundang mudarat yang lebih besar dan kesempatan kepada musuh negara dan umat.

PRESIDEN PAS
28 Julai 2013

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 76 other followers

%d bloggers like this: