Category: Maahad Tahfiz


Saya pasti wajah keceriaan di muka para siswa-siswi kami, apabila mereka mula berangkat dari Maahad menuju ke lokasi berikutnya di Pusat Latihan Binsuluk Membakut, kira-kira sejam  setengah perjalanan menaiki bas. Semua pensyarah menyertai rombongan kali ini bagi meraikan minggu halawatul ukhuwah buat siswa siswi baru Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

Antara acara menarik di sana ialah aktiviti sukan, pertandingan menghafaz al-Quran, malam penghayatan dan majlis penutupan serta penyampaian hadiah. Rombongan balik ke Kota Kinabalu menjelang tengahari sabtu. Kita saksikan saja foto-foto menarik sepanjang program di sana. Jurugambar ialah Md Rezu dan Khairul Anwar serta dibantu oleh kawan-kawan yang lain.

Keluarga Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah akan lebih meriah dan semakin membesar apabila  menerima kehadiran 22 siswa siswi baru sejak seminggu lalu. Mereka merupakan sekumpulan siswa siswi yang telah memohon masuk ke maahad ini dan lulus dalam temuduga yang telah diadakan pada akhir April lepas.

Dalam tempoh seminggu bermula ahad hingga sabtu semalam, semua siswa siswi baru telah menjalani program ‘Minggu Halawatul Ukhuwah’ yang dikendalikan oleh Persatuan Pelajar Maahad Tahfiz diketuai oleh Yang Dipertua Sdr Mohd Khairul Doing dan semua siswa-siswi senior. Antara pengisian yang diadakan ialah beberapa slot ceramah pelbagai tajuk seperti ‘Pengurusan Masa’ oleh Ustaz Taif Kassim dan ‘Siapa Kita’ oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim.

Para pensyarah maahad turut mengambil bahagian menyampaikan slot ceramah masing-masing yang berkaitan dengan dalaman maahad, antaranya Puan Hiryanti Tabin bertajuk ‘Sejenak Bersama Mudirah’, Ustazah Dayang Masni bertajuk ‘Akademik di Maahad’, dan saya sendiri dengan tajuk ‘Teknik Menghafaz al-Quran’. YDP Persatuan Pelajar juga menyampaikan satu slot bagi memperkenalkan persatuan mereka.

Selain itu juga terdapat sesi latihan dalam kumpulan (LDK), sukan, bacaan ma’thurat, qiyamullail dan lain-lain. Sesi kedua bagi minggu halawatul ukhuwah ini disambung di Pusat Latihan Binsuluk, Membakut bermula sejak pagi khamis sehingga tengahari sabtu dengan pelbagai lagi program yang diatur bagi meraikan kehadiran siswa siswi yang baru. Entri berikutnya akan menceritakan tentang aktiviti kami di Binsuluk pula.

Dengan kehadiran semua siswa siswi baru ini, maka keseluruhan siswa siswi semester satu, tiga, lima dan program persijilan ialah seramai 41 orang dengan pecahan 27 siswa dan 14  siswi, dan ini merupakan jumlah terbesar dalam sejarah sejak maahad ini ditubuhkan pada 1995.

Sumber : http://www.islam.gov.my/majlis-menghafaz-al-quran-peringkat-kebangsaan-kali-ke-33-tahun-1433h2012m-1

Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan dengan kerjasama pihak kerajaan negeri Perlis telah diadakan dengan jayanya berlangsung selama lima hari iaitu bermula pada 13 hingga 17 April 2012 yang lalu bertempat di Dewan Warisan, Kangar. Pembukaan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1433H/2012M telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Md Isa bin Sabu, Menteri Besar Perlis. Manakala Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.

Memetik ucapan alu-aluan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Majlis Perasmian majlis tersebut, pengajian tahfiz telah mendapat tempat istimewa dengan wujudnya institusi tahfiz al-Quran di bawah kelolaan Kerajaan Pusat, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri dan institusi tahfiz swasta.

Di samping itu, terdapat banyak sekolah menengah yang menggabungkan akademik dan tahfiz dalam kurikulum pengajian seperti MRSM Ulu al-Bab dan Sekolah Menengah Sains Tahfiz. Sehingga kini sebanyak 323 buah institusi tahfiz yang berdaftar di Malaysia. 36 buah daripadanya ialah institusi tahfiz di bawah Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dengan jumlah pelajar dianggarkan melebihi 15,000 orang.

Selaras dengan titah ucapan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah, di negara kita, peluang buat para huffaz terbuka luas. Terdapat lebih kurang 5000 buah masjid dan maahad tahfiz yang membuka ruang dan peluang untuk menjadi tenaga pengajar.

Di samping itu, di institusi pengajian tinggi juga memerlukan penempatan para penghafaz untuk berkhidmat dan menyarankan kepada Kerajaan supaya menggalakkan maahad tahfiz menawarkan sijil-sijil pelajaran yang diiktiraf oleh Kerajaan seperti SPM untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kelak sama ada di dalam mahupun luar Negara, berikhtiar menghasilkan golongan professional yang huffaz Al-Quran, serta mewujudkan sebuah Pusat Pengajian Tinggi Al-Quran bertaraf universiti untuk para penghafaz.

Ini satu kejutan dan perkembangan yang sangat memberansangkan bagi dunia tahfiz khususnya Maahad Tahfiz Negeri Sabah apabila sebelum berangkat ke Kunak untuk melaksanakan amanah mengadakan temuduga kemasukan ke Maahad Tahfiz Sabah, saya dimaklumkan jumlah calon mencecah hampir 30 orang. Bagi saya pihak-pihak bertanggungjawab dan berkenaan wajar memikirkan secara positif, serius dan bersungguh-sungguh akan masa depan kompleks Maahad Tahfiz Sabah yang masih tertangguh-tangguh itu.

Kenapa saya katakan demikian, kerana dalam kunjungan saya ke Kunak, saya mendapati daripada 27 orang calon, hanya seorang sahaja yang mendapat markah di bawah 50, manakala selebihnya 60% ke atas. Namun apakan daya, pengurusan maahad hanya berdaya mengambil pelajar seramai sekitar 20-26 orang berdasarkan kapasiti asrama dan tenaga pengajar yang terbatas. Ini belum lagi diambil kira calon-calon yang ditemuduga lebih awal di Kota Kinabalu apatah lagi sekiranya promosi ke Maahad Tahfiz dilakukan secara optima dan bersungguh-sungguh ke seluruh Sabah.

Dalam pembahagian tugas di Maahad, tahun ini saya diamanahkan untuk melakukan kerja-kerja promosi khususnya ke sekolah-sekolah menengah agama sama ada milik kementerian pelajaran atau kerajaan negeri. Bahkan atas bantuan rakan-rakan di sektor pendidikan islam jabatan pelajaran Sabah telah memaklumkan kepada saya senarai sekolah-sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang mempunyai kelas aliran arab (KAA) yang akan saya cuba datangi untuk mempromosi kepada sasaran khususnya tingkatan 4-6 akan peluang belajar serta kelebihannya di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

Dalam konteks kunjungan dan tugasan saya ke Kunak, kami mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Tuan Pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pekan Kunak, Ustaz Bambang Muhamad Rafadi Yusoff yang bersungguh-sungguh mempromosi perihal maahad tahfiz kepada para pelajarnya. Saya dijemput sendiri oleh beliau dan kemudian menghantar kembali ke Lapangan Terbang Tawau dalam perjalanan sekitar 45 minit setiap satu perjalanan. Daripada sejumlah 27 orang, saya dimaklumkan hanya dua orang yang datang dari luar (bukan pelajar di sana).

Seperti temuduga di Kota Kinabalu pada rabu lepas, sistemnya juga sama hanya saya sendirian mengendalikan ujian bertulis sementara ujian lisan saya dibantu oleh Ustaz Bambang sendiri dari bahagian Bahasa Arab. Beberapa guru dan pelajar juga banyak membantu menyediakan keperluan yang berkaitan. Ujian bertulis bermula jam 10.30 pagi selama setengah jam sementara ujian lisan bermula seorang demi seorang bermula jam 12 tengahari setelah mereka dibahagi-bahagikan ayat tertentu untuk dihafaz. Sesi kedua ini hanya berakhir menjelang maghrib, di mana hajat saya untuk meronda sekolah tidak kesampaian, apatah lagi untuk melihat-lihat Pekan Kunak.

Secara langsung ketika temuduga berjalan, saya melihat bakat-bakat yang baik dan bakal-bakal calon penghafaz al-Quran untuk diterbangkan ke Kota Kinabalu. Saya melihat potensi cemerlang mereka, kerana 11 calon mendapat markah 80% ke atas, insya Allah jika mereka menerima tawaran ini nanti, saya kira kegemilangan dunia menghafaz al-Quran pada tahun 2012 akan lebih terserlah dari dunia Pantai Timur Sabah khususnya di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Saya menanti mereka di Kota Kinabalu!

Sejak pagi hingga menjelang tengahari tadi, Maahad Tahfiz dikunjungi oleh hampir 20 calon yang berminat untuk ditemuduga masuk menghafaz al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah, Kepayan dekat sini. Sesi pertama temuduga bermula dengan ujian bertulis yang merangkumi dua subjek iaitu ilmu tajwid dan Bahasa Arab.

Pada sesi kedua, temuduga lisan dijalankan dengan panel diketuai sendiri oleh Puan Pengetua Ustazah Hiryanti Tabin. Temuduga lisan mengambil kira markah bahagian hafazan al-Quran, penampilan, akademik, bahasa arab dan pengetahuan am. Ahli panel yang lain ialah Ustazah Dayang Masni Datu Saribu, Ustaz Haji Azlan Bakri dan saya sendiri.

Di antara calon-calon berkenaan, ada yang datang dari Sandakan, Beaufort, Papar dan selebihnya sekitar Kota Kinabalu. Pada pagi khamis, satu temuduga lagi akan diadakan di daerah Kunak dengan jumlah calon hampir 30 orang dijangka hadir. Semua keputusan dijangka dikeluarkan pada minggu hadapan.

KATEGORI 1 – 10 JUZUK (LELAKI)

Tempat ke-3 : Amzanil Shah bin Arnizam Shah (Pahang) : 97.37%

Tempat ke-2 : Aminul Ghazali bin Jawawi (Selangor) : 98.05%

Tempat pertama : Muhammad Hafiz bin Sobri (Perak) : 98.20%

 

KATEGORI 1 – 10 JUZUK (PEREMPUAN)

Tempat ke-3 : Maryam binti Ahmad Lutfi (N.Sembilan) : 96.91%

Tempat ke-2 : Sumaiyah Najihah binti Mohd Zaini (Selangor) : 97.79%

Tempat pertama : Nurul Ain Nabilah binti Norsham (Melaka) : 98.01%

 

KATEGORI 1 – 20 JUZUK (LELAKI)

Tempat ke-3 : Muhammad Zul Akmal bin Abdul Latif (Selangor) : 96.70%

Tempat ke-2 : Mohamad Omar bin Mansu (P.Pinang) : 97.01%

Tempat pertama : Nu’man Zaki bin Mohd Zaki (Kelantan) : 97.98%

 

KATEGORI 1 – 20 JUZUK (PEREMPUAN)

Tempat ke-3 : Umaimah bin Tajul Arifin (Terengganu) : 95.31%

Tempat ke-2 : Radhiah binti Abd Rahman (Kelantan) : 95.88%

Tempat pertama : Khairunnisa binti Zaini (Johor) : 96.88

 

 KATEGORI 1 – 30 JUZUK (LELAKI)

Tempat ke-3 : Khairul Anuar bin Mohd Dahnan (Perak) : 94.85%

Tempat ke-2 : Muhammad Khairul Razikin bin Abdul Razak (Sabah) : 95.75%

Tempat pertama : Muhamad Izzul bin Zahidi (Melaka) : 97.18% 

 

KATEGORI 1 – 30 JUZUK (PEREMPUAN)

Tempat ke-3 : Hasanah binti Muhamad (Kelantan) : 90.00%

Tempat ke-2 ; Izzah Nafisah binti Ismail (Selangor) : 91.00%

Tempat pertama : Jueziatul Husna binti Ariffin (Terengganu) : 95.48%

Alhamdulillah, Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah kali ke-4 di Dewan Saadah Wisma MUIS berjalan lancar pada sabtu lepas dengan penyertaan 17 orang peserta termasuk anak-anak Sabah yang menuntut di Darul Quran Kuala Kubu Baru, Maahad Tahfiz Sandakan dan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah sendiri. Dalam penganjuran yang serba kekurangan terutama kehadiran orang ramai yang mengecewakan, saya tetap menyanjung usaha-usaha mengangkat dan memperkenalkan budaya menghafaz al-Quran di negeri Sabah ini.

Memang walaupun orang Sabah sudah ada yang menghafaz al-Quran sejak akhir tahun 1960an lagi, tetapi perkembangannya sangat perlahan. Apa yang saya ketahui ialah sehingga akhir 1980an pun jumlahnya belum mencapai 10 orang. Ia semakin baik dan berkembang pada pertengahan dan akhir 90an, apatah lagi Maahad Tahfiz Sabah mula beroperasi. Jumlah anak-anak Sabah mungkin sudah melebih 200 orang, mengambil kira lepasan Maahad Tahfiz Sabah, Darul Quran Kuala Kubu Baru, serta institusi tahfiz persendirian seperti di Kg Bingkul Beaufort, Maahad Tahfiz Sandakan, Maahad Tahfiz asy-Syatibi di Masjid Bandar Kota Kinabalu dan lain-lain.

Saya sangat optimis bahawa dengan penganjuran Majlis Menghafaz al-Quran seperti yang diadakan baru-baru ini jika terus diperbaiki kelemahan yang berlaku untuk tahun-tahun mendatang, insya Allah institusi tahfiz di Sabah akan terus meriah dengan kemasukan calon-calon penghafaz al-Quran terutama di kalangan orang-orang muda.  Walaubagaimanapun, kami angkatan akhir 90an dan awal 2000 yang bersembang hari itu berasa sangat teruja kerana kini Majlis Menghafaz sudah diangkat lokasinya ke tempat yang lebih berprestij. Maklumlah tiga tahun sebelum ini majlis berkenaan diadakan di Maahad Tahfiz al-Quran saja.

Para hakim hari itu dipimpin oleh Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, orang lama dalam dunia tahfiz di Sabah. Beliau orang ketiga menghafaz al-Quran pada awal 70an, dan kami orang-orang muda membantu dan menimba pengalaman yang sangat berharga pada hari yang bersejarah ini. Sahabat karib saya sejak 20 tahun lalu, Ustaz Rahim Yahya Abdul Rahman yang juga rakan sekelas sejak zaman sekolah dan di Maahad turut bersama-sama duduk di kerusi panel hakim bersama Ustaz Md Jumat Abdul Razak (Pejabat Mufti), Ustaz Haji Ibrahim Kisab (Imam Besar Masjid Negeri Sabah). Ustaz Zulfauzi Awang Besar dan Ustaz Md Hailmi Misbah berada di pentas sebagai hakim fatih dan munabbih.

Muhammad Khairul Razikin Abdul Razak yang mendapat 93 peratus untuk johan kategori 1-30 juzu’ sekali lagi akan mewakili Sabah bersama Muhammad Nasir Muhammad Mursal (johan 1-10) dan Astizam Adam Malik (wakil 1-20 juzu’) ke Majlis Menghafaz Kebangsaan di Perlis pada 12-15 April. Tiada wakil bahagian perempuan yang layak pada tahun ini pada ketiga-tiga kategori.

Kepada peserta yang diangkat sebagai pemenang, tahniah diucapkan dan semoga menjadi pencetus semangat, motivasi dan contoh yang baik kepada orang lain. Kepada peserta yang lain, pengalaman dapat naik pentas dan mempersembahkan hafazan di hadapan khalayak sudah tentu menjadi pengalaman yang sangat berharga dan manis yang tidak dapat dirasai oleh semua orang, semoga boleh tampil dengan lebih baik pada tahun akan datang.

Majlis Penutupan dilakukan oleh Aspah Abdullah Sani, Timbalan Pengerusi MUIS mewakili Pengerusi MUIS YB Datuk Haji Mohd Suhaili Said. Turut hadir ialah Ustaz Saifuddin Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS yang mewakili Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri Suratman.

Sebahagian siswa huffaz al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) membuka peluang kepada pelajar – lelaki dan perempuan – lepasan SPM yang berkelayakan untuk memohon masuk ke program Diploma Pengajian Tahfiz al-Quran bagi sesi 2012-2015 (3 tahun @ 6 semester).

Antara syarat kemasukan ialah warganegara Malaysia berumur tidak lebih 21 tahun, mempunyai SPM dengan syarat kepujian Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Pengetahuan Agama Islam Tinggi, dan lulus Bahasa Inggeris. Proses kemasukan adalah melalui proses temuduga yang akan dijalankan pada 25 April 2012 di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah, Kepayan.

Tarikh tutup bagi menghantar borang permohonan ialah pada 20 April 2012 (Jumaat) di Pejabat Am Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah atau di Bahagian Pendidikan JHEAINS, tingkat 9 Wisma MUIS. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung di talian 088-317072 (Pejabat Maahad Tahfiz).

Nota : Sebuah artikel panjang sempena majlis menghafaz al-Quran negeri Sabah

Sekitar seminggu daripada sekarang, Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah akan diadakan. Mengikut hitungannya ini kali keempat diadakan tetapi kali pertama diadakan secara besar-besaran, diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu pada sabtu 7 April 2012 akan datang.

Nampaknya ada sedikit peningkatan daripada segi penganjuran bagi memilih wakil Sabah ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan selepas ini. Saya diamanahkan untuk melatih sedikit sebanyak kepada peserta dari Maahad Tahfiz Negeri, mengadakan latih tubi soal jawab khususnya apabila berada di pentas. Insya Allah, latihan sedang berjalan sehingga sehari dua sebelum majlis berlangsung. Dalam dunia menghafaz, kami sekadar membantu dan mendorong mana yang patut, selebihnya ia bergantung kepada mutu hafazan mereka sendiri.

Kepada mereka seramai 10 orang, di peringkat awal saya ceritakan tentang sejarah penglibatan peserta Sabah ke Majlis Menghafaz Peringkat Kebangsaan berdasarkan apa yang saya ketahui melalui kisah senior-senior dan juga pengalaman peribadi yang pernah menyertai majlis ini dua kali pada 1995 dan 1997. Ia kisah yang seingat saya belum pernah saya catatkan melalui blog ini dan saya bersangka baik serta positif dengan apa yang telah berlaku berdasarkan perkembangannya sehingga kini.

PERINGKAT 1

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah mula beroperasi pada pertengahan tahun 1995. Sebelum kewujudannya, wakil-wakil Sabah untuk menyertai Majlis Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan dipilih terus dari pelajar-pelajar Sabah yang menuntut di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ) yang kini dikenali sebagai Darul Quran. Antara mereka ialah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi, Ustaz Adam Abdul Hai, Ustaz Pajudin Nordin, Ustaz Imran Anggun, Ustaz Azizul Ramli Saparuddin dan lain-lain.

Seringkali terdapat kelompangan dari segi jumlah perwakilan ke peringkat kebangsaan. Ketika itu setiap negeri sepatutnya menghantar 6 orang wakil, 3 lelaki dan 3 perempuan untuk mengisi setiap kategori juzu’ 1-3, 1-15 dan 1-30. Menjadi kebiasaan Sabah hanya menghantar seorang atau dua orang peserta daripada kalangan pelajar tahfiz di Kuala Lumpur. Bahkan saya pernah dimaklumkan bahawa ada ketikanya sekitar tahun awal 90an pelajar tahfiz dari negeri lain menawarkan diri bagi mewakili Sabah kerana ketiadaan atau kekurangan peserta.

PERINGKAT 2

Apabila Maahad Tahfiz Sabah diwujudkan, peserta Majlis Menghafaz al-Quran ke Peringkat Kebangsaan menjadi lebih terbuka. Pada awal-awal penubuhannya, perwakilan dipilih dari kalangan pelajar maahad sahaja mengikut prestasi dalam kuliah masing-masing. Masih belum ada sebarang pertandingan atau majlis bagi pemilihan peserta di peringkat negeri.

Sebagai orang yang pernah mewakili negeri Sabah pada 1995 dan 1997, saya memahami hakikat bahawa ketika itu objektif penyertaan kami ialah sekadar untuk memaklumkan bahawa Sabah sudah mempunyai maahadnya sendiri. Ketika itu belum timbul objektif persaingan di peringkat kebangsaan kerana maahad yang masih baru dipupuk diperingkat awal. Penyertaan dari pelajar Sabah di Darul Quran juga dibuka semula kerana wakil dari Maahad Tahfiz Sabah masih belum mencukupi.

PERINGKAT 3

Sejak 4 tahun lalu, seingat saya JAKIM mahukan Sabah mengadakan majlis menghafaz al-Quran di peringkat negeri. Ini kerana prestasi Sabah di peringkat kebangsaan masih di takuk yang lama seperti tahun-tahun 80an dan 90an. Tidak usah malu kepada sejarah, zaman awal dahulu ramai yang naik pentas dan kemudian geleng kepala terhadap soalan yang dilontarkan. Kemudian mendapat saguhati ‘hasil gelengan kepala’ tersebut.

Saya pernah utarakan kepada ramai pihak yang berautoriti dan mereka yang berada dalam bidang ini, bahawa sudah sampai masanya Sabah menghantar pesertanya untuk bersaing di peringkat kebangsaan, bukan lagi sekadar menghantar wakil seperti zaman kami dan zaman sebelumnya. Jadi apabila JAKIM mahukan Sabah mengadakan majlis menghafaz di peringkat negeri, saya antara individu yang sangat gembira.

Tidak mengapalah majlis pada kali pertama dan kedua diadakan sekadar di bilik kuliah Maahad Tahfiz – walaupun bagi memilih peserta negeri untuk ke kebangsaan dan kemudian pada kali yang ketiga ‘diangkat ke Dewan al-Azhar juga di Maahad Tahfiz. Pada tahun 2012 ini ia dinaiktarafkan lagi dengan diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS, satu dewan yang biasa mengadakan majlis bertaraf negeri dan kebangsaan khususnya dalam acara keagamaan.

Daripada segi perasmian majlis sebagai perbandingan, pada kali pertama dan kedua seingat saya tidak ada perasmian sangat, sementara kali ketiga dirasmikan oleh Ustaz Haji Abdul Rahman Talipuddin, selaku pegawai Bahagian Pendidikan JHEAINS yang diamanahkan menyelia perkembangan Maahad Tahfiz al-Quran. Khabarnya tahun ini majlis akan dirasmikan oleh Pengerusi MUIS YB Datuk Suhaili Said.

Saya melihat di negeri-negeri lain majlis menghafaz mereka dirasmikan oleh Sultan atau wakilnya atau Menteri Besar atau setidak-tidaknya exco yang menjaga hal ehwal agama. Apa signifikannya majlis perasmian? Sebenarnya dengan kehadiran pembesar-pembesar negeri, ia akan ‘mengheret’ lebih ramai tetamu berkepentingan untuk hadir bersama-sama.

Dalam konteks Sabah, saya percaya jika Pengerusi MUIS merasmikan, ia mungkin sekadar menarik beberapa pegawai kanan JHEAINS untuk hadir. Jika Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang hadir, sudah tentu lebih ramai ketua jabatan dan pegawai kanan yang hadir. Jika Ketua Menteri yang hadir, ia akan menarik ramai YB dan ketua-ketua jabatan hadir bersama-sama. Jika TYT Yang DiPertua Negeri Sabah hadir, majlis ini dihadiri oleh semua jemaah menteri dan majoriti ADUN beragama Islam.

Kesannya ialah lebih ramai yang mengetahui dan mendengar kualiti peserta dan majlis menghafaz al-Quran itu sendiri. Bajetnya sudah tentu meningkat, dan ini sudah tentu sangat baik untuk perkembangan ilmu al-Quran di kalangan umat Islam di Sabah. Tidak mengapalah untuk kali ini, kerana itu mungkin sekadar cita-cita dan impian saya melihat majlis ini akan lebih meriah dan gah pada tahun mendatang.

Saya merasa bersyukur, dua tahun kebelakangan Sabah sudah menonjolkan peserta yang berbakat di peringkat kebangsaan.  Muhammad Khairul Razikin sudah pernah mendapat tempat terbaik dalam majlis menghafaz peringkat kebangsaan pada tahun 2011 dan 2010. Begitu juga Zainab Sapiuddin yang pernah mendapat tempat ketika pada tahun 2010. Ustaz Kadri Abdul Hamid selaku orang lama sebagai hakim majlis menghafaz kebangsaan pernah memaklumkan kepada saya, kualiti peserta Sabah sudah jauh berbeza berbanding dahulu.

DORONGAN

Kepada anak-anakanda peserta saya minta mereka bayangkan beberapa situasi dalam majlis berkenaan. Pertama, seorang pelajar remaja yang terpegun mendengar kualiti hafazan peserta, sehingga Allah SWT menggerakkan hatinya untuk memasuki mana-mana institusi tahfiz selepas itu. Kedua, seorang ibu mendengar hafazan seorang peserta, sehingga hatinya terbuka untuk menghantar anaknya masuk ke maahad tahfiz. Ketiga, seorang ahli korporat muslim yang menyaksikan kehebatan peserta menjawab soalan hafazan, sehingga ia tertarik dan mengeluarkan sedikit hartanya untuk menaja atau mendirikan sebuah institusi tahfiz di Sabah.

Sudah tentu peserta-peserta berkenaan akan mendapat saham yang tidak sedikit daripada situasi yang berlaku tadi. Apa yang saya maksudkan ialah Majlis Menghafaz al-Quran bukan sekadar satu acara rasmi kerajaan. Lihatlah majlis menghafaz ini dari konteks dan kacamata dakwah. Insya Allah bumi Sabah akan terus subur dengan para penghafaz al-Quran dengan kaedah dan strategi yang betul, seiring dengan petunjuk Allah SWT.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan menganjurkan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah pada ketetapan berikut :

Tarikh : 7 April 2012 (Sabtu)

Masa : Bermula jam 7.00 pagi

Tempat : Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu

Matlamat Majlis Menghafaz Al-Quran adalah untuk mencungkil bakat hafiz dan hafizah dalam bidang Menghafaz Al-Quran bagi Negeri Sabah, selain untuk memilih wakil Negeri Sabah ke Majlis Menghafaz Peringkat Kebangsaan yang akan datang.

Majlis Menghafaz Al-Quran ini terbahagi kepada tiga tahap :-

1. Tahap pertama dari Juzuk Pertama hingga Juzuk Sepuluh (1 – 10) yang melibatkan peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun. Sebanyak 3 soalan hafazan dan 1 soalan tarannum dalam bentuk hafazan (tidak kurang 2 lagu)- (setiap soalan hafazan 2 minit dan soalan tarannum 4 minit).

2. Tahap kedua dari Juzuk Pertama hingga Juzuk Dua Puluh (1 – 20)  yang melibatkan peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun. Sebanyak 5 soalan hafazan (setiap soalan 2 minit).

3. Tahap ketiga dari Juzuk Pertama hingga Tiga Puluh (1 – 30) yang  melibatkan peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun. Sebanyak 6 soalan hafazan (setiap soalan 2 minit) dan 2 soalan tafsir (Juzuk 7&8) berpandukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Penyertaan

Terbuka kepada warganegara Malaysia (Bermastautin Di Sabah) lelaki dan wanita (Qari & Qariah)

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi urusetia pertandingan melalui :-

1. 013-5410840 (Ustaz Mohd Azlan)

2. 019-8529392 (Ustaz Sahiful Rahmat)

3. 088-317072 (Pejabat Am)

Tarikh Tutup

Tarikh tutup penyertaan 04 April 2012. Borang penyertaan boleh didapati di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers