Category: Keluarga


Satu jam saja, saya cuba meluangkan masa untuk anak-anak yang puas memujuk saya untuk membawa mereka ke Tanjung Aru Perdana sekali lagi apatah lagi kami  sudah lama tidak berkunjung ke sini. Kebetulan saya balik dari ibu negara, turun melalui terminal 2, manakala Tanjung Aru Perdana berada di hadapan mata, saya menyetujui permintaan anak-anak.

Jam 4.40 petang kami berangkat pulang. Saya perlu rehat dan kumpul tenaga kerana menjelang maghrib saya kena menyambung kuliah maghrib pula di sebuah masjid.

ANAKKU BRAIN TUMOUR

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Isyak Radhiah

Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd

Harga : RM25.00 / RM27.00 

Pada pertengahan 2010, mereka diduga Allah dengan penyakit yang digeruni yang dihidapi anak ketiga mereka, Ahmad Mahir Baihaqi atau nama panggilannya Aqi, yang ketika itu (pertengahan 2010) berumur 9 tahun. Anak yang cergas sejak lahir itu mendapat sakit kepala yang berterusan dan muntah-muntah selama seminggu. Dia disahkan menghidap ketumbuhan otak (brain tumour) oleh Hospital Pakar Damansara.

Maka bermulalah episod dugaan hidup yang terpaksa ditempuhi oleh isteri yang ketiadaan suami di sisi, iaitu tatkala Che Amran ke Australia selama 10 hari untuk pelancaran album Raihan. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kebahagiaan dan kegembiraan bagaikan diragut. Perasaan berkecamuk berlegar di dalam diri. Benarkah anak ini menghidap penyakit bahaya yang menjadi igauan ngeri setiap insan? Kepulangan suami menjadi pengubat jiwa yang gundah.

Namun, empat hari mereka dalam keadaan buntu, sambil tetap pasrah dengan ketentuan Ilahi dan redha dengan ketetapan-Nya. Doktor pakar bertegas bahawa pembedahan perlu segera dibuat untuk mengelakkan tumor daripada membesar dan menyerang saraf penting di dalam otak. Berpindah ke hospital kerajaan dan kemudian berpatah balik ke hospital swasta adalah usaha yang dilakukan semata-mata kerana mahu memastikan pembedahan dilakukan segera ke atas Aqi.

Namun masalah kewangan dan risiko yang akan dihadapi sekiranya pembedahan dijalankan, membuatkan mereka suami isteri dalam dilema. Pandangan dan nasihat daripada kaum keluarga dan kenalan melalui telefon dan SMS, diambil sebagai pertimbangan. Biar apa pun, keputusan adalah di tangan mereka. Mereka sendirilah yang perlu memutuskan apa yang terbaik untuk anak mereka. Perlukah pembedahan segera dilakukan atau patutkah ditangguhkan? Wajarkah mereka memilih rawatan alternatif untuk mengelak risiko daripada pembedahan? Wujudkah rawatan alternatif untuk penyakit berbahaya ini yang tidak memerlukan pembedahan? Sejauh mana kesannya?

Pertemuan dengan Kak Zah yang mempunyai anak dengan penyakit yang sama dengan Baihaqi telah membuat Isyah merenung dan berfikir dengan mendalam. Antara pesanan Kak Zah yang menusuk kalbu Isyah, “Kita perlu bergerak untuk anak seperti ini. Walaupun dia nampak dah stabil, kita tidak boleh berada di zon selesa.” Walaupun anak Kak Zah sendiri telah menjalani pembedahan, dia menyarankan agar Isyah berusaha mendapatkan rawatan lain terlebih dahulu kerana Isyah masih mempunyai pilihan, berbanding dengan Kak Zah sebelum ini yang terdesak membuat keputusan kerana kesuntukan masa dalam membuat pilihan.

Pesanan ibunya juga membuatkan renungan Isyah makin dalam. “Sah, mak rasa elok kalau tangguh dulu perancangan pembedahan tu. Mak tak sedap hati kalau menyentuh bahagian kepala,” kata si ibu. Berdasarkan pandangan majoriti ahli keluarga dan sahabat-handai, akhirnya Isyah dan Che Amran membuat keputusan. Ketika segala persiapan sudah dibuat oleh hospital pakar untuk menjalankan pembedahan ke atas Baihaqi, Che Amran menelefon doktor dan memaklumkan keputusan itu – meminta pembedahan ditangguhkan dan meminta izin untuk membawa keluar Baihaqi dari hospital.

Selepas itu bermulalah perjalanan mencari kaedah-kaedah rawatan alternatif yang diiringi dengan terapi solat, terapi doa, terapi al-Quran dan penjagaan pemakanan yang ketat untuk Baihaqi. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor sebelum ini, “Jangan mengharapkan sangat daripada anak ini, dia tidak akan hidup lama.”

Hikmah daripada apa yang berlaku, Isyah dan Che Amran semakin sedar akan tanggungjawab mereka dalam memenuhi amanah Allah menjaga dan mendidik anak-anak. Hubungan mereka suami isteri juga bertambah erat, manakala hubungan dengan kaum keluarga dan sahabat-handai tambah rapat. Anakku ‘Brain Tumour’ adalah perkongsian pengalaman yang akan memberi motivasi ‘hidup’ kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak yang senasib dengan Baihaqi. Lebih daripada itu, ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.

TESTIMONI

“Satu perkongsian pengalaman yang sangat bermakna buat seorang yang bernama ibu mahupun bapa Tahniah bukan hanya pada penerbitan bukunya tetapi juga kerana ketabahan melalui saat-saat genting demi nyawa seorang anak yang disayangi. Penulisan ini juga sebagai panduan bagi mereka yang menghadapi masalah yang sama.” – Tn Hj Ismail Ahmad, Pengarah Urusan HPA

“Gabungan pengalaman dan ilmu berdasarkan fakta … bukan sahaja sebagai panduan untuk mereka yang menghadapi ujian penyakit malah panduan bagaimana hubungan dalam keluarga, dengan saudara-mara dan sahabat-handai perlu berlangsung secara ikhlas.” – Siti Rugayah Hj. Tibek, pensyarah Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, UKM

“Buku ini bukan sekadar mengenai tumor di dalam kranium tetapi menjangkaui persoalan seluas atmosfera kehidupan. Bingkisan berharga bagi sesiapa yang mencari pahlawan dalam diri, semangat melawan kental, rahsia perawatan yang begitu unik, harga budi dan kasih sayang serta pergantungan mutlak pada Ilahi. Ia membenarkan: setiap sesuatu sentiasa punya pilihan ketiga yang infiniti!” – Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, perunding motivasi dan penulis buku U-Turn Ke Jalan Lurus dan R&R Di Lebuh Raya Kehidupan

“Sangat terkesan dengan jalan ceritanya. Amat menarik. Satu catatan pengalaman yang amat berharga. Wajib dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Kekentalan jiwa seorang ibu membawa kepada kekuatan. Walau dalam keadaan genting masih mampu membuat keputusan dengan tenang.” – Hasan Suyut, CEO Lotus West Engineering Sdn. Bhd. dan penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah

“Kita tidak akan tahu sejauh mana kuatnya kita dalam menghadapi ujian hidup sehinggalah satu-satunya pilihan yang ada pada kita hanyalah untuk redha dan sabar dalam menerima qadha dan qadar Allah. Buku ini besar nilai tarbiahnya kerana ia memaparkan bagaimana pasangan suami isteri ini mengurus ujian hidup dengan jiwa tauhid.” Zabidi bin Mohamed, penulis skrip drama http://zabidiskrip.blogspot.com

Lyan adik angkat isteri saya sejak zaman sekolah lagi. Justeru saya juga boleh dikatakan biasa dengannya sejak 10 tahun lalu. Kami pernah berziarah ke rumah mereka ini di Kg Benoni Papar. Sementara Ibrahim juga telah saya kenali dalam tempoh yang sama. Lebih lama lagi saya sudah mengenali kakaknya Puan Noraima dan juga bapanya Tuan Haji Ahmad yang bekerja di Restoran Sri Rahmat.

Saya rasa lucu pula menghadiri majlis perkahwinan mereka di sini kerana memang niat asal sekadar memenuhi undangan ke walimah al-urus mereka. Rupanya keluarga perempuan menghendaki lebih daripada itu. Menjadi suatu adat perkahwinan dalam suku brunai, pengantin lelaki sejak tiba dan keluar dari kereta akan dipimpin dan diiring oleh seseorang yang dihormati mereka bertemu dengan pengantin perempuan sebelum mereka disandingkan di pelaminan.

Maka itulah yang mereka harapkan daripada saya, maka saya tersengih mengingatkan permintaan mereka. Manakan tidak, ini suatu ‘tugasan’ yang tidak pernah saya lakukan. Teringat pula semasa diri sendiri naik pelamin hampir 10 tahun lalu dipimpin oleh orang lain. Maka spontannya saya teringat, ketika saya dan isteri melangsungkan perkahwinan, maka Lyan dan Ibrahim inilah yang menjadi pengapit kami. Semacam ini membalas ‘jasa baik’ mereka pula.

Kami sangat bergembira Allah SWT mentakdirkan mereka disatukan setelah sekian lama mereka saling mengenali antara satu sama lain. Semoga mereka menjadi pasangan dan keluarga yang bahagia, menjadi contoh yang baik kepada keluarga besar dan kawan-kawan sebaya mereka. Insya Allah.

ARNAB BARU

Di kandang arnab kami, ada satu kandang yang diisi dengan tanah. Ada 3 ekor arnab yang tinggal di sini, satu jantan dua betina. Saya tengok mereka selalu menggali lubang dan kemudian menutup. Kemudian menggali lagi di ruang yang lain dan kemudian menutup semula. Begitulah..

Sekali lagi kami terkejut riang apabila suatu hari tanpa diduga ada seekor anak arnab keluar dari celah-celah lubang dan bersembunyi di balik ibunya. Cantik. Berdasarkan saiznya ketika itu, mungkin ia berumur sekitar 3 hingga 4 minggu. Sudah tidak menyusu dengan ibunya tetapi ikut makan dan minum bersama arnab dewasa yang lain.

Menambah kejutan kepada kami, beberapa hari kemudian, kami baru perasan bahawa anak-anak arnab ini bukan seekor tapi empat ekor! Alhamdulillah!

Hari lahir anak ke-2 dan anak ke-4, Hana Sumayyah dan Lu’lu’ Badriyyah jatuh pada hari yang sama iaitu 12 Mac. Hana Sumayyah dilahirkan tepat hari pertama Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu menutup wad bersalin sepenuhnya dan dipindahkan ke Hospital Ibu dan Kanak-Kanak, Likas. Sementara Lu’lu’ Badriyyah dilahirkan 4 hari selepas pilihanraya umum ke-12 yang berlangsung pada 8 mac 2008.

Tahun ini 12 mac jatuh pada hari isnin dan kami awalkan sehari sambutannya pada petang ahad secara sederhana dengan dihadiri oleh sepupu-sepupunya dan anak-anak jiran khususnya yang mengaji al-Quran di rumah kami. Sekadarnya untuk menggembirakan hati anak-anak, apatah lagi saya banyak masa di luar.

Tahun ini Lu’lu’ Badriyyah sudah bersekolah di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Taman Pasir Putih Putatan untuk kelas 4 tahun sementara Hana Sumayyah sudah masuk darjah 1 di SK Kem Lok Kawi dan darjah 2 sekolah agama di Pusat Pendidikan Islam an-Nur Taman Austral. Doakan anak-anak kami dan kita semua soleh dan solehah. Amin.

DANG NIJAH & MUHARMAN

Kami sekeluarga merakamkan tahniah kepada Dayang Asnizah Haji Ismail dan Muharman Olang yang selamat disatukan. Sebenarnya mereka telah selamat dinikahkan pada 10 Februari 2012 lepas, dan pada ahad lepas adalah kenduri majlis perkahwinan mereka. Tuan Haji Ismail sekeluarga adalah termasuk keluarga besar kami yang tinggal di Kg Andus Papar, hanya saya kurang maklum daripada segi salsilah keluarga.

Saya rasa berbesar hati, setiap kali kenduri kendara beliau ada mengundang saya datang walaupun tidak semua saya dapat penuhi.  Kenduri baru ini, saya terlambat datang. Tetapi anak-anak beliau dan seangkatannya kesemuanya mengalu-alukan ketibaan saya. Majlis sudah selesai sebenarnya, tetapi mereka semua berkumpul kembali untuk sesi fotografi keluarga besar mereka.

Buat Dang Nijah dan Muharman, selamat menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Semoga Allah SWT memberkati kehidupan kalian berdua dan berkekalan sehingga ke syurga. Ada masa, datanglah ke rumah. :)

33 DAN 34 TAHUN

Saya menerima kejutan (walaupun tidaklah terkejut sangat), pada pagi tadi setelah selesai sesi tasmik al-Quran. Anakanda-anakanda siswa saya dari semester 2 di Maahad Tahfiz, bersolawat beramai-ramai dari luar kelas sambil Rafiuddin membawa sekotak kek untuk saya potong. Kek ini – sebenarnya ada dua dibelikan oleh anakanda siswi. Apapun saya mengucapkan terima kasih atas ingatan mereka.

Lima hari lepas saya berumur 34 tahun menurut taqwim hijrah dan hari ini saya berumur 33 tahun menurut kalendar masihi. Saya dilahirkan pada 22 Rabiul Awwal tahun 1399, hari selasa di Kampung Buang Sayang Sipitang. Saya suka sekali kalau setiap di kalangan para pembaca blog ini agar berikhtiar mencari tarikh lahir mereka mengikut taqwim hijrah. Saya ingati perkara ini kerana Ustaz Ismail Kamus pernah menyebutkan dalam satu ceramahnya. Katanya antara cara mengingati taqwim Islam ialah dengan mengetahui tarikh lahir masing-masing menurut kalendar hijrah. Cuba-cubalah cari ya.

SANTAI DI MAJU CAFE

Sesekali cerita hal makan-makan.

Minggu lepas, Ustaz Mohammad Suaid ada menunjukkan kepada saya satu restoran baru di Kepayan Perdana, Jalan Lintas, tidak jauh dari stesen minyak petronas dan jalan masuk menuju ke Cyber City Apartment. Hajat kami hendak menyinggah di sana tetapi tidak kesampaian kerana kesuntukan masa. Ketika itu kami dalam perjalanan ke Kg Simpudu Papar untuk menempah 5 ekor kambing untuk dikendurikan.

Cuti maulidur rasul pada isnin lepas, saya ambil sedikit kesempatan bersama keluarga makan-makan di Maju Cafe ini. Ya, ia baru sebulan beroperasi, kata pekerjanya. Kawasannya pun agak selesa dan bersih. Di tingkat atas katanya ada ruang yang berhawa dingin. Anak-anak yang empat orang – Hana, Hadi, Lu’lu’ dan Aina’ cuma minta roti canai + milo ais sementara saya, isteri dan Nuha makan nasi + ikan putih tiga rasa +  lamb chop.

Kesimpulan kami di sini, layanannya mesra, makanannya sedap, masa menanti tidaklah terlalu lama – agak standard – walaupun waktu sudah menjelang tengahari dan pelanggan mereka sudah mulai ramai ketika itu.  Jumlahnya RM93.40, berbaloi juga dengan perkhidmatan yang bagus. Siapa berhajat boleh datang sini. Sedia duit lebih sikit ya.

KENDURI UNTUK KAK LONG

Seminggu lalu kami menerima khabar menyedihkan akan pemergian Salemah binti Mat Jan atau yang lebih kami panggil mesra dengan nama Kak Long. Kak Long adalah sepupu isteri saya yang tinggal di Shah Alam. Kak Long meninggal dunia dalam usia 49 tahun kerana mengalami sakit jantung.

Saya tidak mengenal rapat dan hanya pernah bertemu dua atau tiga kali saja. Tapi kami mengetahui beliau sangat sibuk sebagai tukang masak di restoran keluarga mereka di Shah Alam. Beberapa kali bertemu itulah kesemuanya di restoran mereka. Orang baik hati dan ketika datang ke sana, beliau menegur mesra dan melayan keperluan makan minum kami dengan segera.

Keluarga kami di Putatan Sabah tetap tidak melupakan Kak Long. Isnin lepas kami mengadakan kenduri tahlil untuk Allahyarham Kak Long dengan menjemput jamaah masjid. Doa kami Kak Long ditempatkan bersama golongan orang yang beriman. Kepada keluarga di Shah Alam dan di Alor Gajah Melaka agar bersabar dengan musibah ini. Al-Fatihah.

17 JANUARI

Selamat menyambut ulangtahun ke-68 untuk Nenek Aji. Semoga berbahagia dunia akhirat. (17 Januari 1944)

Daripada cucu-cucu : Nuha, Hana, Hadi, Lu’lu’, Aina’ & Ubay

 

Untuk Pakcik Onn juga. Sama tarikh dengan Nenek Aji.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers