Semasa belajar di Maahad Tahfiz bermula Jun tahun 1995-1999, kami pernah tinggal di beberapa lokasi. Pada peringkat permulaan, kami tinggal di asrama putera SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, Sembulan – kerana kami sendiri belajar dalam tingkatan 4 (tahun 1995) pada waktu pagi dan kemudian ke Masjid Negeri Sabah pula untuk kelas tahfiz di sana. Ketika itu kami dikumpulkan sebilik di bilik 5.

Pada tahun 1996 (tingkatan 5 dan petang ke Maahad Tahfiz), kami berpindah ke rumah MUIS, iaitu sederet quaters yang bersebelahan dengan SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah. Lokasi kelas dengan rumah kami hanya berhadapan, dipisahkan oleh selorong jalan. Rumah MUIS yang sebanyak 10 unit ini asalnya adalah untuk pemandu-pemandu kenderaan MUIS, namun turut tinggal di sini ialah bilal dan imam Masjid Negeri Sabah.

Pada tahun 1997-1999, kami belajar sepenuh masa di Maahad Tahfiz yang beroperasi di Masjid Negeri Sabah. Ketika itu asrama penginapan kami turut berpindah ke Grace Court, Sembulan. Pada zaman awal kami ini, hanya ada dua unit rumah di blok A (1-3-11 & 1-4-11) untuk kami yang baru seramai kira-kira 10 orang.

Antara jiran kami di Grace Court yang sangat rapat ialah Pakcik Fikri Ismail, orang Negeri Sembilan yang kini menetap di Taman Tun Dr Ismail, Damansara. Beliau menjadi jiran kami paling rapat selama beliau bertugas di Jabatan Pertanian, kerana beliau tinggal sendirian sementara keluarganya di Kuala Lumpur. Kami juga pernah berjiran dengan Tuan Haji Zuhaili, pegawai kanan Petronas Sabah (kini di KLCC) yang juga tinggal solo.

Antara jiran sekeluarga yang kami akrab ialah keluarga Kak Liza – orang Selangor, dan keluarga Abang Dzul orang Papar yang ramai keluarga di Brunei. Boleh dikatakan, persahabatan dengan keluarga Abang Dzul masih terjalin hingga kini dan sudah beberapa kali kami bertemu dan berziarah. Sementara keluarga Kak Liza hanya dapat dihubungi lewat facebook kerana mereka sudah berpindah ke Semenanjung. Pakcik Fikri dan isteri pula sesekali saya hubungi melalui telefon dan satu ketika dahulu pernah bermalam di rumah mereka.

Yang ingin saya ceritakan di sini ialah tentang perihal jiran kami yang cuma bersebelahan pintu, seorang perempuan muda beragama Kristian yang tinggal sendirian, hanya sesekali teman lelakinya datang ke situ, kalau tidak silap lelaki itu seorang peguam. Barangkali umur perempuan yang kami kenali Karol itu pun ketika itu sekitar pertengahan 20an, sering berpakaian seksi merah menyala, mungkin seragam tempat bekerjanya di sebuah pusat kecantikan antarabangsa di Kota Kinabalu.

Barangkali dengan keadaannya yang jarang di rumah, dan kalau ada sering menutup pintu atau pintu pagarnya tertutup, kami jarang bertegur sapa. Apatah lagi beliau sendirian, kami muda anak muda lelaki berumur awal 20an, ada juga berhajat untuk bertegur sebagai memenuhi adab berjiran, tapi juga ada perasaan segan. Saya sangat pasti teman-teman serumah dan semaahad (Amir, Syem, Razali, Hafidz, Hj Yakob, Zamrul, Rahim, Awang Ibnu dan lain-lain) mengingati jiran ini dan boleh segarkan balik ingatan.

Allah SWT takdirkan, minggu lepas saya terserempak dengannya tapi belum dapat bertegur sapa. Lalu saya belum dapat mengesahkan benar dia atau bukan. Semalam, saya bertemu lagi di Masjid Negeri Sabah dalam sesi rawatan pengubatan Islam yang diadakan setiap pagi ahad. Saya salah seorang perawat dan ditugaskan merawatnya.

Setelah bersoal jawab, saya dapat mengesahkan bahawa orang ini adalah jiran kami pada tahun 1997-1999 di Grace Court. Lebih indah, apabila kakak ini sudah memeluk Islam sejak tahun 2000. Katanya, beliau berhijrah ke Semenanjung beberapa tahun sebelum kembali ke Kota Kinabalu untuk meneruskan kehidupan melalui perniagaan di Karamunsing. Cuma sejak beberapa minggu kebelakangan, kami membantu beliau melakukan rawatan kerana mendakwa dirinya disihir atau ada gangguan makhluk halus berdasarkan beberapa simptom pada dirinya.

Segala puji milik Allah SWT yang memberikan hidayah kepada kakak ini dengan Islam, semoga terus istiqamah dan thabat dalam keimanan. Beliau juga masih mengikuti kelas saudara kita untuk mendalami al-Quran dan ilmu-ilmu asas Islam. Insya Allah saya berhasrat untuk bertemu lagi dan membantu mana yang wajar, untuk pembaca blog ini doakan kebaikan untuk beliau.

Nur

About these ads