Foto kredit kepada Wan Mohamad di Facebook WeLL.

Pertama, saya catatkan dahulu catatan luahan dan pengalaman Wan Mohamad (yang saya perbetulkan ejaan) pada 21 Ogos 2012 jam 8.30 malam, kemudian saya catatkan pula pengalaman peribadi kami sekeluarga menaiki feri ketika pulang dari Labuan ke Menumbok pada selasa 21 Ogos 2012 lepas.

FERRY WAWASAN ROSAK LAGI ?????. Warga WeLL yang dihormati.

Ingin berkongsi pengalaman pagi tadi. Gambar yang tertera ini merupakan kejadian sebenar. Feri Wawasan yang bertolak dari Labuan ke Menumbok jam 8 pagi telah sampai ke Menumbok lebih kurang jam 10:30 am. Masalahnya.. Feri Wawasan tidak boleh mendarat ke Menumbok kerana ENJIN telah rosak. Oleh itu, feri tersebut terpaksa menunggu Feri Ranca-Ranca yang bertolak jam 11:00 am dari Labuan membantu mendaratkan ke Menumbok. Feri Wawasan tersebut berjaya mendarat sekitar jam 1:30 petang dengan bantuan sebuah Feri Ranca Ranca. Cuba bayangkan, penumpang yang di dalam feri tersebut terpaksa menunggu dari jam 10:30 am hingga sekitar jam 1:30 pm di tengah laut.

Cuba bayangkan penumpang yang menunggu dari Labuan yang sepatutnya bertolak menggunakan Feri Wawasan jam 2:00 pm terkandas menunggu feri tersebut? Cuba bayangkan jadual Feri Wwawasan yang bertolak dari Menumbok ke Labuan jam 4:30 pm juga telah terkandas? Cuba bayangkan penumpang bas yang bertolak dari Menumbok ke Kota Kinabalu terkandas? Cuba bayangkan penumpang bas dari Kota Kinabalu ke Menumbok yang sepatutnya bertolak jam 1:30 pm juga tertunggu tunggu?

Cuba bayangkan Feri Kimanis yang baru juga terkandas yang sepatutnya sampai ke Labuan jam 4:30 pm sampai sekarang ini (jam 8:00 malam) belum dapat mendarat lagi di Labuan, DISEBABKAN BERI LALUAN FERI WAWASAN DAN FERI RANCA RANCA MENURUNKAN PENUMPANG DAN MENGAMBIL PENUMPANG DI MENUMBOK DAN LABUAN. Kebetulan, adik saya menaiki Feri Kimanis sampai sekarang masih berlabuh di laut menunggu giliran.

SAMPAI BILA KEADAAN INI AKAN BERTERUSAN? BUKAN PERTAMA KALI IANYA TERJADI, TETAPI BAGAI DIPANDANG SEBELAH MATA SAHAJA PERKARA INI DIBIARKAN BERLARUTAN TERUTAMANYA PADA MUSIM PERAYAAN. DIMANAKAH PEMIMPIN KITA YANG KITA LANTIK? MENGAPA SUARA RAKYAT LABUAN DAN RAKYAT SABAH YANG BEKERJA DI LABUAN YANG INGINKAN JAMBATAN ATAU PERKHIDMATAN FERI YANG CEKAP TIDAK DI ENDAHKAN? SIAPA HARUS DI SALAHKAN DALAM HAL INI?

TERLALU PENAT MEMIKIRKAN HAL FERI INI DARI DULU SAMPAI SEKARANG? KALAULAH, ADA PEMIMPIN YANG BERANI ATAU BERJAYA MEMBUAT JAMBATAN LABUAN KE MENUMBOK, “ATAU MAMPU MENGURUS ATAU MENGENAL PASTI JALAN KELUAR UNTUK PERMASALAHAN INI”, PASTI PEMIMPIN TERSEBUT AKAN DI KENANG SEUMUR HIDUP DAN PASTI AKAN DIPILIH MEWAKILI RAKYAT. SEKIAN TERIMA KASIH.

Cerita saya pula.

Pagi selasa berkenaan, seperti mana kisah di atas dicatatkan, sebenarnya abang saya sekeluarga berada di dalam feri tersebut. Beliau daripada masa ke masa ada menghantar sms tentang kerosakan enjin feri berkenaan dan memaklumkan maklumat yang sama seperti catatan di atas. Masalah berkenaan berlarutan dan ‘berjangkit’ pula kepada penumpang yang terlibat dalam pelayaran-pelayaran seterusnya termasuk kami.

Perjalanan menurut jadual asal ialah pada jam 7 malam. Namun oleh kerana saya sudah mengagak jadual pergerakan feri akan terjejas, sekitar jam 5 petang saya hubungi pejabat feri, dan mereka meminta saya datang sekitar jam 8 malam kerana katanya feri dijangka bertolak sekitar jam 9 malam. Jam 8 malam sebelum bertolak dari rumah, saya hubungi pejabat feri sekali lagi untuk pengesahan, dan kali ini mereka minta kami datang pada jam 11 malam pula.

Saya tidak faham kenapa pihak pengurusan tidak menyediakan plan sekiranya feri ditimpa masalah, apa tindakan mereka terhadap penumpang yang ternanti-nanti berjam-jam lamanya. Bukankah tiap kali mengisi borang untuk menempah tiket, no telefon pemandu akan dihubungi sama? Sepatutnya pihak feri juga proaktif sama, bukan saja penumpang kenderaan yang sibuk menghubungi mereka.

Sambung cerita balik. Kami tiba di terminal feri sekitar jam 11 malam. Belum ada tanda-tanda feri sampai. Bahkan cerita-cerita penumpang yang lain memaklumkan feri hanya bergerak sekitar jam 12 malam dari Menumbok. Ketika itu ada lebih kurang 30 buah kenderaan menunggu giliran untuk meninggalkan pulau Labuan. Saya sekali lagi kesal, ketika dalam tempoh begitu, tiada seorang pun petugas atau wakil pengurusan feri di pejabat tiket, sekurang-kurangnya untuk memaklumkan perkembangan dan pergerakan semasa feri.

Dalam tempoh penantian 7 jam (waktu asal pelayaran jam 7 malam) sepatutnya pihak feri menyediakan sedikit sebanyak makan minum ringan paling tidak air mineral untuk mereka yang menanti di sekitar terminal, sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap penumpang. Akhirnya, feri tiba dan mendarat di jeti Labuan pada jam 1.20 pagi rabu dan kami dari Labuan bergerak masuk mengambil giliran dan bertolak jam 2.00 pagi, seterusnya tiba pada jam 3.30 pagi di jeti Menumbok.

Hajat asal kami untuk bermalam di Menumbok terbatal dengan sendirinya dan kami meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu, tiba di rumah ketika azan subuh. Demikian pengalaman ‘manis’ yang kami sekeluarga alami ketika perjalanan pulang Labuan-Menumbok pada malam dan pagi rabu lepas. Kisah lebih kurang sebegini pernah kami alami dan saya catatkan 2 tahun lalu ketika perjalanan Menumbok-Labuan, juga ketika balik bercuti hari raya.

Antara kenderaan yang menanti, ketika ini jam 11.30 malam.

Kenderaan bergerak masuk ke dalam feri. Ketika ini jam 1.39 pagi.

Kenderaan dalam feri. Ketika ini jam 1.51 pagi.

About these ads