Saya sangat berbesar hati apabila sahabat saya Ustaz Abdu Khalil Hassan mengundang saya sebagai salah seorang panel dalam kursus pemantapan imam dan bilal peringkat WP Labuan yang diadakan di Dewan Syura Masjid Jamek an-Nur pada selasa lepas. Sebenarnya ini adalah pertama kali saya diundang oleh Jabatan Agama Islam WP Labuan (JAWI) untuk mengisi program mereka.

Saya berada di Labuan sejak sabtu, menyambung keberadaan saya selepas Seminar al-Quran Rasm Uthmani Peringkat WP Labuan yang diadakan di UMS Labuan anjuran bersama KDN, Pejabat Mufti Labuan & JAWI. Sementara kursus pemantapan imam dan bilal ini mengumpul sebahagian imam dan bilal di WP Labuan – sekitar 50 orang sahaja – kerana sebahagian lagi bertugas di masjid dan surau masing-masing.

Alhamdulillah saya bersama sahabat saya Ustaz Bahtiar Hud mengisi slot masing-masing sejak pagi hingga menjelang asar, sebelum acara penutupan ringkas oleh Ketua Penolong Pengarah JAWI Labuan. Ustaz Bahtiar menumpukan tentang topik memperkasa dan menambah kualiti imam dan bilal dalam dua slot, sementara saya dalam satu slot membahaskan tentang kemahiran ‘seni khutbah’, bacaan dalam solat dan wirid.

Memandangkan ketika itu bulan Ramadhan semakin hampir, saya mengambil kesempatan untuk menguji beberapa bilal dan imam untuk melaungkan solawat dan wirid antara solat tarawih dan doa-doanya. Memang keterbatasan masa menghalang perbincangan lebih lanjut, saya berharap dapat berpeluang pada masa hadapan untuk membantu imam dan bilal memperbaiki kualiti ibadah solat dan khutbah.

About these ads