Baru saja saya menulis dalam status facebook memohon simpati rakan-rakan agar menghulurkan sumbangan untuk kami meneruskan kerja-kerja memberi sumbangan kepada gelandangan, dalam tempoh sekitar 48 jam saya dan kawan-kawan menerima sumbangan sekitar hampir RM2000. Kami membuat sedikit kira-kira, belanja itu mencukupi sehingga akhir bulan mei. Insya Allah.
Bukan sekali saya mendengar ucapan syukur dan terima kasih daripada pihak gelandangan ini. Bagi kami hanyalah sekadar menyampaikan sumbangan umat Islam yang bermurah hati. Ia kerja tali menali – ada orang yang menzahirkan idea, ada penyumbang, ada yang memasak (sama ada beli atau masak sendiri) dan ada yang menghantar. Semoga semuanya diganjari sesuatu daripada Allah SWT.
Saya sebutkan kepada mereka, bahawa inilah sekadar yang kami mampu membantu. Pihak yang lebih berkemampuan sewajarnya juga tampil contohnya memberikan pekerjaan sehingga mereka boleh menampung kehidupan dengan lebih baik. Rata-rata gelandangan kami temui adalah orang baik daripada segi kemanusiaannya. Mereka tidak mencuri, tidak merogol, bahkan ada yang bekerja mengumpul tin dan botol kosong untuk dijual semula.
Seorang pakcik muallaf yang sering mabuk dahulunya – barangkali dengan sebab kejahilannya sehingga mengatakan hukum minum montoku itu hanya makruh saja, selalu saja saya nasihatkan dua perkara – berhenti minum arak dan pergi sembahyang jumaat. Apabila bertemu kebelakangan ini, saya tanya lagi : “Ada minum montoku lagi?” “Tidak sudah”, katanya. Saya tidak tahu hari-hari lain, tapi jika bertemu pada jumaat malam sabtu dan sabtu malam ahad, sudah tiada lagi bau-bau arak dekat dengannya.
Saya pohon kepada semua agar mendoakan mereka berubah kepada lebih baik. Kawan-kawan yang turut berziarah pada peringkat awal, saya cadangkan hanya sekadar menyantuni mereka, tidak dahulu menegur kesalahan dalam amalan beragama mereka. Yang penting mereka disantuni dan ditawan hati-hati mereka. Selepas beberapa minggu, baru sedikit demi sedikit nasihat-nasihat diberikan dan nampaknya mereka boleh menerima.
Saya mendengar permintaan salah seorang gelandangan yang kami agak biasa dengannya, katanya : “Ustaz, bolehkah kami berjumpa dengan orang yang selalu bersedekah dengan kami?” Saya sekadar tersenyum saja, dan akan mengikhtiarkan sesuatu acara istimewa untuk mereka satu hari nanti, seperti cadangan Poknik untuk mengadakan hari keluarga bersama-sama mereka dan para penyumbang. Insya Allah.
Tuan Haji Ambo pula mencadangkan skuad kami mengenakan satu pakaian atau uniform seragam tertentu agar nampak syiarnya dan lebih kemas.


























Assalamualaikum wmt wbt
Tuan Ustaz,
Saya amat kagum dan bangga dengan usaha Ustaz mendekati, membantu dan sekaligus berdakwah kepada gelandangan. . . .
Saya juga rasa terpanggil untuk bersama Ustaz dan rakan yang terlibat dalam Program Ziarah Bantu Gelandangan. . . .
InsyaAllah dengan sedikit Ilmu Kaunseling (sebagai Kaunselor) mungkin boleh bergabung dengan kepakaran Ustaz untuk membantu.
BAGAIMANA CARA UNTUK SAYA MENYERTAI PRORAM USTAZ?
HJ.MOHD MAKHTAR HJ.NOR
Mungkin kita perlu memikirkan cara membantu mereka untuk meneruskan kehidupan tanpa perlu dibantu setiap masa. Insya Allah. Ini secara langsung dapat memberi nafas baru kepada mereka..cara hidup yg lebih ‘sihat & baik’ insya Allah akan meningkatkan lagi ibadat kepadaNya. Amin
kami tidak bantu setiap masa. hari tertentu saja. ini juga memberi peluang kepada org yang mahu menyumbang. jika ada orang yang mahu memikirkan cara lain, fikirkanlah. kami sudah berfikir, inilah yg mampu kami lakukan.