Arkib foto Abu Nuha Corner

Dalam kefahaman mereka yang mengamalkan kepercayaan mandi safar untuk membuang sial, hari rabu terakhir pada bulan berkenaan adalah kemuncak atau hari keramaian untuk mengadakan majlis berkenaan. Untuk tahun ini, rabu lepas adalah rabu terakhir dalam bulan Safar. Masih ramai umat Islam (walaupun mereka berasal dari kepulauan Filipina atau Mindanao atau keturunan mereka) yang melaksanakan kepercayaan ini walaupun sebahagian pengamalnya dimaklumkan juga ada yang bukan Islam.

Saya kira ini bukan soalnya mengatakan mereka berasal dari mana, atau bangsa apa kerana sebahagian besar yang terlibat adalah beragama Islam. Bahkan saya dimaklumkan tahun lepas, amalan sama berlaku juga di Sipitang menurut kata imam di sana. Tempat-tempat lain, saya kurang maklum pula. Pernah mereka yang saya temui mengenali saya dan memanggil saya ustaz, kerana katanya sebelum itu mereka mengingati saya sebagai khatib di sebuah masjid di Petagas.

Tahun ini saya tidak turun ke lokasi-lokasi berkenaan seperti yang saya pernah buat pada tahun 2009, 2010 dan 2011, saya meninjau di Pantai Teluk Likas dan Tanjung Aru yang dipenuhi oleh ratusan atau barangkali ribuan pengamalnya. Tetapi ramai juga teman-teman yang melihat atau melimpasi kawasan-kawasan berkenaan dan melaporkannya ke facebook masing-masing.

Ini sekadar pandangan peribadi saya untuk membanteras atau mengurangi amalan salah ini.

1) JHEAINS atau JAKIM bekerjasama dengan penceramah atau pendakwah kalangan yang berasal dari sebelah Mindanao dan sekitarnya, (contohnya Ustaz Abu Hurairah, Ustaz Abdullah Mahdi dan ramai lagi) apatah lagi yang mempunyai kebolehan berbahasa dengan bahasa golongan sasaran seperti bahasa Bajau Suluk, Obian dan Illanun. Penduduk sasaran dikumpul dan diberikan pengetahuan tentang kesalahan amalan berkenaan.

2) Pengalaman saya membuat tinjauan, ada kalangan mereka adalah pelajar sekolah yang terpaksa memonteng pada hari berkenaan kerana hendak mandi buang sial. Di peringkat ini, guru-guru berperanan untuk memberi kefahaman kepada pelajar mereka. Dalam konteks sekitar Kota Kinabalu, antara sekolah yang disasarkan ialah sekitar Likas, Sepanggar dan Putatan.

3) Pihak SS Mufti atau Ybhg Pengarah JHEAINS membuat kenyataan media tentang larangan mandi buang sial ini dan disiarkan dalam media-media negeri dan maya. Sekurang-kurangnya yang tidak tahu menjadi tahu tentang adanya kefahaman salah ini.

4) Sepanduk-sepanduk berkenaan kesalahan amalan ini dipasang di lokasi-lokasi strategik secara meluas. Selain itu pasukan-pasukan sukarelawan dakwah  dari kalangan NGO Islam Sabah boleh bekerjasama untuk mengedarkan handbill pada hari berlakunya upacara berkenaan.

Saya kira pendekatan sebegini wajar didahulukan berbanding melakukan tindakan penguatkuasaan kerana hasil tinjauan saya dahulu, kebanyakan mereka datang dengan perasaan tidak bersalah langsung, sebab itu apabila saya hendak merakam dan menggambar, mereka dengan gembiranya memberikan kerjasama dan bercerita dengan penuh semangat.

Walaubagaimanapun, saya mencadangkan pada masa akan datang agensi Islam di Sabah seperti JHEAINS (sebagai ketua), JAKIM, YADIM, Pejabat Mufti, USIA, NGO Islam (Concern), dan pihak-pihak berkepentingan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), parti politik, JK Masjid dan sebagainya duduk berbincang mencari pendekatan yang sesuai dan berhikmah. Mungkin di sana ada idea-idea yang lebih baik untuk dilaksanakan agar amalan ini berkurangan daripada tahun ke tahun. Mungkin juga perlu KPI tertentu untuk sasaran bagi menghapuskan amalan ini suatu hari nanti.

Catatan saya tentang upacara mandi buang sial di Teluk Likas pada tahun 2009 boleh dibaca di sini : http://abunuha.wordpress.com/2009/02/25/pesta-buang-sial-di-teluk-likas/