Ahad malam isnin, selepas solat isyak adalah giliran saya menyampaikan kuliah tafsir di bilik kuliah 2, Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, saya berkesempatan menghabiskan muka surat terakhir daripada surah al-Ahqaf bermula ayat 29 hingga 35, sesudah empat atau lima kali pertemuan rasanya. Saya catatkan semula terjemahan sebahagian ayat yang ditafsirkan :

29. Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

30. Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar kitab (al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam)

31. “Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepada-Nya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

32. “Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.

Setelah tiga bulan Sayyidatina Khadijah isteri Nabi SAW wafat dan disusuli dengan wafatnya bapa saudaranya Abu Talib, yang menyebabkan Baginda kehilangan dua orang penyokongnya yang terkuat di samping penentangan kaum kafir Quraisy semakin menjadi-jadi, maka pada malam akhir-akhir bulan Syawal tahun yang kesepuluh kerasulan, baginda bersama anak angkatnya Zaid bin Harithah yang telah meninggalkan Kota Makkah menuju ke Taif untuk berdakwah.

Di sanalah Baginda tinggal selama sebulan, menyeru penduduknya terutama para pembesar kaum agar memeluk Islam, tetapi mereka menolak. Sebaliknya mereka hasut budak-budak nakal supaya memaki-maki, menghalau dan melemparinya dengan batu. Ini menyebabkan Baginda kembali semula dari Taif ke Makkah dengan perasaan yang sangat kecewa.

Sehinga baginda tiba di Batnu Nakhlah, yang terletaknya sejauh perjalanan satu malam dari Makkah, di sanalah baginda didatangi oleh serombongan bangsa jin seramai tujuh atau sembilan jin yang mendengar baginda SAW membaca al-Quran semasa mendirikan solat tahajud.

Dikatakan jin itu dari jin Nasibin negeri Yaman yang menjadi pembesar dan  atau dari jin Ninuwa negeri tempat kediaman Nabi Yunus AS. Quran yang dibaca oleh Nabi SAW dan didengari oleh rombongan jin itu dikatakan daripada surah al-Alaq (Iqra’), ar-Rahman dan al-Jin. Para ulama menyebutkan bahawa antara sebab Nabi SAW didatangi oleh rombongan jin itu antara lain adalah sebagai perintah Allah kepada baginda agar memberi peringatan kepada bangsa jin agar menyembah Allah dan membacakan al-Quran kepada mereka.

Maka Allah datangkan serombongan daripada kalangan jin kepada baginda supaya mereka nanti apabila pulang dapat pula memberi peringatan kaum mereka sendiri. Ini kerana jin juga makhluk yang dibebani dengan kewajiban agama seperti manusia. Jin ada yang mukmin dan kafir, ada menganut agama Yahudi, Kristian, Majusi, menyembah berhala dan lain-lain. Mereka diberi pahala setiap kebaikan dan mendapat dosa atas kejahatan yang dilakukan.