Setiba di hotel penginapan di Hotel Regency Jalan Raja Alang tempoh hari, saya tidak mengambil masa yang lama untuk segera keluar – sebelum tiba waktu mesyuarat bermula pada jam 9 malam. Dua jam yang ada saya manfaatkan, setelah solat jamak maghrib isyak, berjalan ke sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, menuju kedai-kedai buku yang lazimnya saya ziarahi di Pertama Kompleks dan lain-lain.

Ada sekian buku baru yang saya beli, antaranya cetakan PTS, Telaga Biru dan lain-lain berjumlah hampir RM130. Saya ucapkan terima kasih kepada Pak Din Pustaka Pertama yang selalu beri saya diskaun apabila saya memborong buku-buku di kedainya. Alhamdulillah, saya pernah promosikan premis beliau di blog ini dan menurutnya adalah sedikit sebanyak orang yang datang hasil promosi itu dan mengenali wajah Pak Din yang saya paparkan di entri berkenaan.

KEDAI ARAB

Dalam perjalanan itu, saya menyinggah ke satu kedai runcit arab milik orang Syria – namanya Pemborong Suria Wholesaler Sdn Bhd. Ia tidak jauh daripada tempat penginapan kami, kira-kira hanya 5 minit berjalan kaki. Ini persinggahan kali pertama ke sini. Teruja juga kerana sudah lama tidak masuk kedai runcit arab sebegini. Masa terbatas, saya hanya sempat beli 3 paket inai Yaman, roti isyh 6 keping saiz sederhana, sebotol madu lebah saiz sederhana dan keju 2 kotak.

Saya perhati kalangan pekerjanya ada yang berbangsa Arab Syria dan ada juga yang berkulit hitam barangkali dari sebelah Afrika. Kecuali kedai / gerai makan arab (dahulu di Jesselton Point yang sudah tutup), rasanya kedai runcit arab belum saya pernah dapati di sebelah Kota Kinabalu atau Sabah umumnya. Kalau ada boleh juga sekali sekala membeli barangan runcit bikinan dari Timur Tengah.

About these ads