Ada sesuatu yang menggembirakan kami sebenarnya dengan kehadiran Tuan Guru Dato Dr Haron Din ke Sabah sejak tengahari sabtu hingga lewat petang ahad semalam. Selain mengisi kuliah bersama kami selama 5 jam malam ahad dan pagi ahad, ada aktiviti sampingan yang tidak mungkin kami lupakan. Rakan-rakan urus setia sudah tentu lebih banyak masa bersama beliau terutama yang menjadi pemandu, pengiring, menyediakan keperluan makan minum, penginapan beliau dan sebagainya.

Saya kira antara yang beruntung ialah Chef Abdullah yang menyediakan keperluan di hotel sama ada makan minum dan sebagainya. Bersama Ybhg Tuan Guru ialah isterinya yang turut sama. Kami sangat memahami situasi Tuan Guru yang baru sihat daripada pembedahan, namun beliau tetap memerlukan perhatian dan tidak dibenarkan terlalu lama dengan aktiviti kuliah yang memenatkan.

Saya berpeluang bertanya Tuan Guru satu soalan ‘nakal’ tentang ruqyah, iaitu jampi berdasarkan ayat al-Quran atau doa yang ma’thur. Persoalan itu sudah lama saya simpan dan pernah juga ditanyakan kepada sahabat-sahabat Darussyifa’ Sabah. Di dalam senarai ruqyah asas kedua, terdapat satu ayat penyejuk yang biasa digunakan jika berlaku demam panas dan sebagainya. Saya dedahkan terlebih dahulu di sini berdasarkan perbualan kami, kata Tuan Guru, soalan itu belum pernah ada yang menanyakan kepadanya. Soalan saya, bolehkah doa penyejuk (Allahummarham jildahur raqiiq… sehingga akhir) dibacakan kepada kenderaan yang sedang panas? Terdiam juga Tuan Guru pada mulanya.

Ketika solat zuhur, Tuan Guru sudi menjadi imam kepada kira-kira 400 jamaah yang hadir termasuk kami – seramai 170 orang – pelajar Darussyifa’ Sabah dan WP Labuan. Alhamdulillah kata Ustaz Haji Muchlish, kita berpeluang mengaminkan doa-doa selepas solat yang dipimpin oleh Tuan Guru sendiri. Ia sesuatu yang berharga, dan biasanya tidak akan difahami oleh mereka yang tidak sukakan kepadanya.

Selepas asar, kami berziarah pula ke hotel penginapan, bersama sahabat-sahabat yang lain, antara lain bertujuan meminta tahnikkan anak-anak kami kepada Tuan Guru. Antaranya bayi kepada Ustaz Nasir Harun, Ustaz Ezri Moktar, Ustaz Mohd Jumat Abd Razak, dan anak kami juga. Tuan Guru juga sudi memberikan sebotol air setiap kami yang sudah diruqyahkan oleh beliau di hadapan kami.

Kami juga ramai-ramai menghantar Tuan Guru dan isterinya ke Terminal Satu KKIA yang berangkat pulang ke KL pada jam 6.45 petang. Tiba awal, sudah ramai di sana, maka masa yang terluang diisi dengan sesi bergambar bersama beliau. (Namun saya diuji apabila kad memori saya pula rosak pada hari ini sekaligus tidak dapat diakses sedangkan terlalu banyak foto kenangan sahabat-sahabat, anak-anak bersama Ybhg Tuan Guru. Juga ada foto isteri dan muslimat bersama Ybhg Datin. Allah, akhirnya kenangan itu hanya tersimpan di hati kami saja.)

Antara yang berharga ialah foto anakanda Ubay ditahnik, juga anakanda sahabat-sahabat lain (mujur ada rakaman video), foto anakanda Abdul Hadi mencium tangan Tuan Guru dan duduk bergambar di pangkuan beliau. Saya sendiri tiada foto bersama Tuan Guru kali ini kerana memberi peluang sahabat-sahabat lain. Lagipun sudah pernah bergambar berdua pada bulan mei lalu. Namun kalau ada sahabat lain yang kebetulan merakam aksi berkenaan, saya pohon dikongsi bersama.

Kredit foto : Muhammad Uwais

About these ads