Saya kurang maklum bila perkhidmatan feri ekspress Menumbok-Labuan-Menumbok ini bermula. Tetapi ia satu lagi pilihan kepada pengguna untuk bergerak kedua-dua lokasi. Untuk ke Labuan, boleh menaiki kapal terbang melalui Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Lumpur dan lain-lain. Boleh juga menaiki feri ekspress dari Kota Kinabalu dengan tempoh 2 jam 30 minit setiap hari.

Dari Menumbok sendiri ada tiga bentuk kemudahan kenderaan laut ke Labuan. Pertama menggunakan bot laju dengan tambang RM15 seorang, 20-30 minit boleh tiba ke lokasi. Kedua menggunakan feri kenderaan Wawasan Perdana yang memakan masa tidak kurang sejam setengah dengan tambang penumpang hanya RM5 sahaja sementara tambang kenderaan pelbagai menurut saiz kenderaan.

Kini pula ada lagi satu pilihan iaitu feri ekspress yang dinamakan Feri Rajawali atau Feri Muhibbah yang mengambil masa 40-50 minit sahaja dengan tambang antara RM10, RM15 atau RM20 mengikut tempat. Jadualnya pada 8.30 pagi dan 2 petang dari Labuan ke Menumbok sementara Menumbok ke Labuan dijadualkan pada 10 pagi dan 4 petang setiap hari. Kerana perjalanan solo hari itu, saya luangkan masa untuk mencuba perkhidmatan feri ini. Bolehlah, bagi saya tidak terlalu hebat atau teruk. Sederhana. Katanya perjalanan 40 minit, yang saya sertai baru ini tidak kurang 55 minit.

Sebenarnya ada lagi perkhidmatan kenderaan laut ke Labuan selain dari Kota Kinabalu dan Menumbok. Ada perkhidmatan feri atau bot dari Sipitang, Brunei, Lawas dan Limbang ke Labuan dan sebaliknya. Cuma rakyat Labuan sudah lama mengidamkan sebuah jambatan yang menghubungkan antara kedua-dua wilayah Sabah dan Labuan agar dapat dibina. Meskipun barangkali ia tidak menguntungkan kerajaan kerana hasilnya yang lambat, tetapi ia sepatutnya menjadi agenda ‘rakyat diutamakan’. Kalau BN tidak sudi, apa kata cuba alih kepada Pakatan Rakyat.

About these ads