Petang sabtu, 23 Julai lalu saya menghantar isteri yang menyertai program ceramah bulanan kaum ibu @ muslimat di Masjid Nurul Ihsan Kampung Lok Kawi Baru. Idea mengadakan program berkenaan saya sampaikan kepada pengerusi dan imam masjid berkenaan bagi membantu memberi kefahaman kepada kaum ibu berkaitan hal ehwal ajaran agama Islam.

Alhamdulillah, tidak kurang 40 orang kaum ibu yang hadir tidak termasuk anak-anak kecil yang turut sama memeriahkan program berkenaan. Saya pernah bincangkan hal ini kepada jamaah masjid berkenaan bahawa banyak peraturan agama yang tidak diketahui oleh kaum ibu dan dalam masa yang sama mereka tidak digerakkan untuk diberikan kefahaman sedangkan masa mereka banyak dihabiskan bersama anak-anak, memasak, membasuh pakaian dan sebagainya sedangkan semua perkara tersebut memerlukan kefahaman agama yang baik.

Contohnya pendidikan anak-anak, kaedah membersihkan pakaian menurut ilmu fekah (sedangkan pakaian itu nanti dibawa solat dsb), masakan yang menepati syariat ugama dan sebagainya. Sementara ceramah tempohari berkisar tentang persediaan menyambut bulan Ramadhan, khususnya yang ada kaitan dengan hukum hakam untuk muslimat. Terima kasih atas kesudian semua yang terlibat – penceramah, pengerusi dan JK Masjid serta kaum ibu serta anak-anak yang hadir.

Ada masa kita atur program yang lain pula.

About these ads