Semampunya apabila berziarah ke merata tempat, saya berminat untuk menyinggah di mana-mana masjid dan surau, merakam aktiviti dan program yang disusun, serba sedikit keindahan dan kemudahan masjid,  walaupun hanya dalam tempoh masa yang terbatas sekali. Ziarah ke banyak masjid dan surau banyak memberi pengalaman dan penemuan baru,  lalu menimbulkan idea dan ilham untuk dikongsi bersama serta dicadang pula untuk dilaksanakan di tempat sendiri.

Ini kali pertama ziarah saya ke Masjid al-Husna Bandar Sunway Petaling Jaya. Rombongan kami dalam perjalanan untuk berziarah ukhuwah di rumah seorang ahli korporat, dan merancang sejak awal untuk solat zuhur di sini. Masjidnya indah, terletak di tepi lebuh raya di kawasan perumahan serta bertentangan pula dengan Sunway Piramid. Pintu-pintu dan tiang-tiang masjid direka ala-ala mini pintu dan tiang Masjid Nabawi di Madinah.

Masjid ini juga mempunyai beberapa bilik kuliah, perpustakaan, pejabat, bilik penyelenggaraan jenazah, bilik penyediaan makanan serta van jenazah sumbangan Bank Rakyat. Melihat kemudahan serta paparan aktiviti lewat papan kenyataan, saya berkeyakinan masjid ini adalah antara masjid yang makmur seperti kebanyakan masjid-masjid lain di negeri Selangor.

Kepala singa dari  celah pintu masjid. Khabarnya kelihatan kepala patung ini bertembung dengan menara masjid walaupun dipisahkan oleh lebuhraya.

About these ads