“Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutus para rasul pada tiap-tiap umat (yang menyerukan), ‘Beribadahlah kepada Allah (saja) dan jauhilah thaghut…”

Rasul adalah manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk menerima wahyu dan diperintahkan untuk menyampaikan kepada umatnya. Kebahagiaan dan kemenangan hidup orang beriman di dunia sehingga ke akhirat hanya diperolehi apabila manusia mengimani, mengasihi dan meneladani cara hidup mereka setulusnya kerana Allah SWT.

Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah SWT yang mengutuskan para Rasul untuk membimbing, memberi khabar gembira kepada orang beriman,  memberi peringatan yang ingkar, menunjukkan jalan kebenaran untuk diikuti dan menunjukkan jalan kesesatan untuk dijauhi, serta dalam masa yang sama menunjukkan contoh terbaik kepada umat masing-masing.

Justeru, orang beriman mesti mengambil sikap sekurang-kurangnya terhadap lima perkara berikut bagi membuktikan keimanan dan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW :

1) Beriman bahawa Muhammad SAW adalah utusan Allah, yang diutus kepada seluruh umat manusia, sebagai pemberi peringatan dan khabar gembira, sebagai penyeru ke jalan Allah dengan pembawa cahaya kebenaran;

2) Menjalankan perintah Baginda dan menjauhi larangannya;

3) Memperjuangkan sunnahnya, mengamalkan dan menyebarkan;

4) Memperbanyakkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW;

5) Mencintai sahabat dan kaum kerabat Baginda dan membela mereka dan mengkaji perjalanan hidup dan sirah Baginda SAW.

About these ads