Beliau adalah satu nama besar dalam dunia tahfiz al-Quran di Malaysia.

Ustaz Haji Azhari Haji Othman al-Hafiz dilahirkan pada 30 Mei 1953 di Kampung Tegayung, Melor Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SRK Tegayung sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Shamsul Ma’arif Pulai Condong (1963-1968) dan  Maahad Muhammadi antara tahun 1968 hingga 1971. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Institut Tahfiz yang ketika itu beroperasi di Masjid Negara pada 1973 hingga 1976.

Mengimbas kembali pengajian tahfiz di Masjid Negara, beliau menceritakan bahawa mereka seramai 12 orang adalah kumpulan yang ketiga dari seluruh Malaysia yang mendalami ilmu tahfiz al-Quran. Meskipun sudah berlalu  lebih 35 tahun, beliau masing mengingati rakan-rakan sekelas beliau iaitu Ustaz Datuk Haji Idris Talib, Ustaz Haji Salleh Sani Harun, Ustaz Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Basri Khalil, Ustaz Mohd Ma’ruf Nasruni, Ustaz Abdullah Haji Anis, Ustaz Raihal Anis, Ustaz Yusuf Mohammad, Ustaz Abdul Aziz Mohd Noor, Ustaz Salleh Yaakub dan Ustaz Muhsin.

Seterusnya, Ustaz Haji Azhari melanjutkan pengajian ke Mesir, khususnya di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra selama enam tahun bermula dengan kelas Aliyah dan kemudian Takhassus Qiraat antara tahun 1978 hingga 1984. Dalam tempoh itu beliau sempat bertalaqqi al-Quran dengan tiga orang masyaikh iaitu Shaikh Said al-Khaidri dengan talaqqi qiraat tujuh, Shaikh Fathi Daud dengan talaqqi qiraat sepuluh dan Shaikh Abdul Rauf juga talaqqi qiraat sepuluh.

Sekembali ke tanahair, bermulalah kerjaya beliau dengan bertugas sebagai imam di Masjid al-Akram Datuk Keramat pada awal 1985. Beberapa bulan kemudian, beliau mula bertugas sebagai Pegawai Penasihat Agama di Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam antara Julai 1985 sehingga Mac 1990. Bermula Mac 1990 itulah beliau mula melapor diri bertugas di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai JAKIM.

Di BAHEIS, beliau ditempatkan di Pusat Islam sebagai pensyarah di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ). Lokasi IPTQ seringkali berubah antaranya di Pinggir Taman Tun Dr Ismail dan Hulu Langat sebelum kampus tetapnya kini di Kuala Kubu Baru dengan nama Darul Quran. Sehingga kini, meski masih bertugas sebagai warga JAKIM, beliau pernah bertugas sebagai imam di Masjid Negara pada tahun 2000-2004, kembali ke Darul Quran pada 2004, berpindah ke Masjid Wilayah Jalan Duta pada 2005 dan kembali sekali lagi ke Darul Quran pada 2007 sehingga kini.

Kepakaran beliau dalam ilmu-ilmu al-Quran menyebabkan beliau seringkali diundang ke pelbagai majlis dan acara berkaitan. Antaranya sebagai hakim Majlis Tilawah al-Quran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kebangsaan sejak 1985, MTQ PDRM Kebangsaan sejak 1988, MTQ Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 1996, dan hakim Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan sejak 1993. Beliau turut pernah diundang sebagai hakim Majlis Menghafaz al-Quran anjuran negara Arab Saudi pada 2009.

Selain sering menyampaikan ceramah di seluruh negara berkaitan ilmu-ilmu al-Quran seperti tajwid, fasahah, suara dan lain-lain, beliau juga adalah ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri sejak 1992 dan pernah diberi peranan sebagai pengerusi pada tahun 1994-2002. Kini beliau adalah timbalan pengerusi di bawah kepimpinan Datuk Shaikh Haji Mohammad Nor Mansor al-Hafiz yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Berkenaan keluarga bahagianya, beliau mendirikan rumahtangga dengan Ustazah Hajah Rosnani Tumijo yang berasal dari Selangor pada tahun 1978 dan dikurniakan dengan enam orang anak. Raihani, 30; Hannan, 26; Siti Marahaini, 23; Ruhi Najihah, 19; Ismah Azirah, 15; dan Nur Aqilah, 11 tahun. Anak sulung beliau, Raihani telahpun berumahtangga dan sehingga kini mempunyai dua orang cahayamata.

Beliau turut bercerita berkenaan rezeki dan ilmu yang Allah SWT kurniakan dalam dunia tahfiz al-Quran sehingga beliau berpeluang melawat negara-negara asing seperti Mesir, Arab Saudi, Syria, China, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand selain undangan dari negeri-negeri di seluruh pelusuk Malaysia.

Antara peristiwa yang menjadi kenangan beliau ialah apabila terjatuh dari keretapi di Mesir (dipanggil metro) ketika beliau baru tiba beberapa bulan di sana semasa pengajian di Maahad Qiraat al-Azhar. Selain itu, pengalaman manis beliau apabila pertama kali dijemput mengajar al-Quran pada 1974 (ketika masih belajar di tahfiz) di rumah Datuk Abdullah Ahmad ketika itu Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Di hujung perbualan kami, beliau sempat menasihatkan guru-guru al-Quran terutama ribuan mereka yang pernah berguru dengannya agar beramal dengan al-Quran kerana Allah SWT, mengajarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat tanpa bermegah-megah dengan ilmu yang dimiliki. Selain itu beliau turut menasihatkan guru-guru al-Quran agar tidak meletakkan harga tertentu kepada masyarakat. Kepada mereka yang menghafaz al-Quran beliau bersama-sama mengingatkan agar menjaga hafalan dengan selalu mengulang-ulang hafalan mereka.

Temuramah dan bual bicara diadakan pada 2 November 2010 di Hotel Holiday Villa, Alor Star Kedah sempena Mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

About these ads