Mulai hari ini, seramai 5015 calon Sijil Rendah Ugama (SRU) darjah enam menduduki peperiksaan berkenaan di 94 pusat peperiksaan. Jumlah pelajar berkenaan terdiri daripada 262 buah Sekolah Agama Negeri (SAN), Sekolah Agama Rakyat (SAR) seluruh Sabah serta Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) Wilayah Persekutuan Labuan.

Peperiksaan berkenaan yang bermula hari ini hanya akan berakhir pada sabtu akan datang melibatkan 11 mata pelajaran iaitu Tajwid, Khat, Imla’, Bahasa Arab, al-Quran al-Karim, Tafsir, Akhlak, Sejarah Islam, Hadith, Fekah dan Tauhid. Peperiksaan berkenaan dikira satu ujian penting bagi menilai kemampuan pelajar terbabit dalam menguasai ilmu-ilmu asas agama Islam bagi tahap umur 12 tahun sebagaimana yang digariskan oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Selain itu, peperiksaan terbabit juga menjadi asas untuk melayakkan calon meneruskan pengajian di sekolah-sekolah menengah agama kendalian jabatan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, seramai 298 calon Sijil Menengah Ugama (SMU) daripada pelajar tingkatan empat di tujuh buah sekolah menengah terlibat dalam peperiksaan berkenaan yang bermula sejak 27 September hingga 5 Oktober. Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu, SMAN Pantai Manis Papar, SMAN Beaufort, SMAN Kunak, SMAN Tambunan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Tawau dan SABK Irsyadiah Merakau Ranau.

Blog ini juga dimaklumkan bahawa ini adalah kali pertama SMAN Beaufort menyertai peperiksaan SMU sementara bagi SRAI WP Labuan dikhabarkan menyertai peperiksaan SRU buat kali terakhir tahun ini. Dijangka Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan akan mengendalikan peperiksaannya sendiri pada tahun akan datang.

Keputusan bagi kedua-dua peperiksaan berkenaan dijangka diumumkan sebelum cuti persekolahan bermula hujung tahun ini. Bagi kesemua calon, Abu Nuha Corner mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan semoga mendapat kejayaan yang cemerlang.

Foto-foto dirakam di Madrasah Islamiah Masjid Negeri Sabah dan SMAN Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu.

Peperiksaan SMU di SMAN Toh Puan Hajah Rahmah :

About these ads