Sejuk dan damai hati saat kami membuat kunjungan ke Maahad ad-Da’wah al-Islamiyyah di Padang Menora Tasek Gelugor, Seberang Perai Pulau Pinang siang tadi.

Sudah beberapa tahun saya mendengar kisah harum Maahad ini yang dipimpin oleh Ust Hj Subri Hj Md Arshad dan dibantu oleh Ust Muhammad Hilmi Ahmad bersama rakan-rakan mereka yang lain, baru kini saya dapat melihat sendiri.

Ust Hj Subri adalah lepasan Universiti al-Azhar, merupakan pendakwah yang tidak asing lagi di Pulau Pinang ini, sementara Ust Muhammad Hilmi berasal dari Pendang Kedah juga lepasan universiti yang sama, pernah belajar di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, KK satu ketika dahulu.

Saya dimaklumkan di maahad yang diasaskan pada 2001 ini terdapat lebih 30 pelajar lelaki berumur antara 12-17 tahun yang berasal dari pelbagai negeri. Pengambilan pelajar lepasan UPSR dengan keputusan sekurang-kurangnya 3A.

Dengan guru seramai 8 orang ketika ini, mereka menghafaz al-Quran sebagai asas pengajian seawal pagi dan kemudian mempelajari ilmu-ilmu Islam seperti fekah, tauhid, akhlak, tafsir, hadith, nahu, sirah, tajwid dan lain-lain. RM600 dikenakan untuk yuran pendaftaran dan RM220 untuk yuran bulanan.

Setelah ziarah di maahad lelaki, kami bergerak pula ke maahad banat (perempuan) yang baru beroperasi setahun lalu. Kawasan dan binaannya lebih cantik sesuai dengan nilai pembangunannya sekitar RM2 juta.

Kami juga dibawa melawat rumah warga emas perempuan bernilai RM400 ribu yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap sebelum Ramadhan. Ia terletak di belakang Maahad ad-Da’wah al-Islamiyyah (banat). Penempatan berbentuk asrama dilengkapi dengan surau itu akan diisi nanti dengan pengajian-pengajian¬† untuk penghuninya.

Saya difahamkan berikutan kesedaran masyarakat Islam di sini, mereka mewaqafkan sebahagian pendapatan mereka untuk pembangunan ketiga-tiga institusi ini. Bahkan untuk rumah warga emas itu, masing-masing sudah tersedia penaja kelengkapan bilik masing-masing.

Saya kira kawasan ini akan menjadi institusi atau kompleks pendidikan Islam yang penting di Pulau Pinang satu hari nanti berikutan banyak lagi perancangan-perancangan yang sedang disusun atur oleh pihak penganjur seperti bangunan tadika dan lain-lain.

Mudah-mudahan usaha mereka diridhai oleh Allah SWT.

Bawah : Ma’ahad ad-Da’wah al-Islamiyyah (banin)

Bawah : Maahad Da’wah al-Islamiyyah (banat)

Gambar bawah : Rumah warga emas (dalam pembikinan)

Bawah : Rumah guru


About these ads